Masbuq
ertinya yang didahului. Salah satu daripada istilah ilmu fiqh, iaitu
ma’mum yang tidak sempat membaca surah al-Fâtihah berserta imam pada
rakaat pertama. Lawannya muwâfiq.
Hukumnya adalah seperti berikut:
- Jika ma’mum melakukan takbîratul ihrâm sewaktu imam belum ruku‘, hendaklah ma’mum terus membaca surah al-Fâtihah seberapa segera yang mungkin tanpa membaca doa Iftitâh. Apabila imam ruku‘ sebelum ma’mum habis membaca surah al-Fâtihah, maka hendaklah ma’mum itu memberhentikan bacaan surah al-Fâtihahnya dan terus ruku‘ bersama imam, kerana bacaan surah al-Fâtihah ma’mum yang tidak habis itu sama ada sebahagiannya atau semuanya akan ditanggung oleh imam.
- Sekiranya ma’mum melakukan takbîratul ihrâm sewaktu imam sedang ruku‘, hendaklah ma’mum itu terus ruku‘ bersama imam tanpa membaca surah al-Fâtihah. Dengan berbuat demikian, ma’mum tersebut mendapat satu rakaat, kerana ma’mum itu sempat ruku‘ bersama imam. Tetapi sekiranya dia tidak sempat ruku‘ bersama imam, maka tidaklah dikira rakaat itu bersama imam. Hendaklah ditambah kekurangan rakaatnya sesudah imam memberi salam.
- Jika imam sedang duduk membaca tahiyyat atau sedang sujud, maka ma’mum hendaklah melakukan takbîratul ihram kemudian terus mengikut keadaan dan perbuatan imam itu. Oleh kerana ma’mum itu tidak sempat ruku‘ bersama-sama imam, maka dia tidak dikira mendapat satu rakaat.
Contoh-contoh sembahyang masbuq:
- Jika ma’mum yang masbûq sempat ruku‘ bersama imam pada rakaat yang kedua dalam sembahyang Subuh, ma’mum itu hendaklah mengikut keadaan dan perbuatan imam, kemudian apabila imam telah selesai memberi salam, maka ma’mum tersebut hendaklah berdiri untuk melakukan rakaat yang kedua bagi dirinya dan sunat baginya membaca doa Qunut sekali lagi dalam rakaat yang kedua itu.
- Jika ma’mum yang masbûq itu sempat ruku‘ bersama imam pada rakaat yang ketiga (akhir) dalam sembahyang Maghrib, ma’mum itu hendaklah mengikut keadaan dan perbuatan imam, kemudian apabila imam selesai memberi salam, maka ma’mum tersebut hendaklah berdiri untuk melakukan rakaat yang kedua bagi dirinya dan melakukan tahiyyat awwal dalam rakaat itu, kemudian dia berdiri lagi untuk melakukan rakaat yang ketiga hingga selesai memberi salam.
Sumber: http://www.mufti.gov.bn
Tiada ulasan:
Catat Ulasan