Rabu, April 30, 2008

Kewajipan Nafkah: Antara Mahkamah Dunia dengan Mahkamah Akhirat

MANUSIA dilahirkan di dunia oleh Allah Taala sebagai satu ujian kelayakan menerima ganjaran syurga Allah Taala di akhirat. Tidak ada seorang manusia yang melalui kehidupan dunia tanpa sebarang ujian. Ujian Allah di dunia ini kadang-kadang datang dalam bentuk kewajipan yang perlu dilaksanakan, kadang-kadang dalam bentuk amanah yang perlu ditunaikan dan kadang-kadang dalam bentuk kesusahan yang perlu dijalani dengan kesabaran. Ujian-ujian yang diberikan oleh Allah dalam berbagai-bagai bentuk ini bukanlah sebagai satu beban kepada manusia. Tetapi ia adalah sebagai satu ruang atau peluang untuk manusia membuktikan kecemerlangan di hadapan Allah sebagai pelajar sekolah menduduki peperiksaan.

Begitu juga lumrah kehidupan berkeluarga. Setiap ahli keluarga mempunyai peluang menduduki ujian Allah Taala dalam bentuk yang tertentu. Suami diuji oleh Allah dengan kewajipan menyara dan membiayai dan mendidik keluarga. Isteri diuji oleh Allah dengan kewajipan taat kepada suami, menjaga maruah suami dan menghadhanah anak-anak dengan sempurna. Anak-anak pula diuji oleh Allah dengan taat dan menghormati ibu bapa serta menjaga kebajikan mereka apabila sudah tua dan tidak berupaya.

Suami dan bapa diberi peluang oleh Allah untuk menunjukkan kecemerlangan dalam menunaikan kewajipan kekeluargaan. Kewajipan utama yang perlu dilaksanakan oleh suami dan bapa ialah menyara atau membiayaai keperluan-keperluan asasi ahli keluarga dengan sempurna merangkumi makan minum, tempat tinggal, pakaian, pelajaran dan rawatan kesihatan apabila diperlukan. Ini adalah satu kewajipan agama yang ditetapkan oleh Allah dan disampaikan melalui Rasulullah s.a.w. Kewajipan ini mengandungi nilai agama Allah. Menunaikannya akan
diberikan ganjaran pahala dan syurga, manakala mengabaikannya akan menerima balasan dosa dan neraka. Inilah beza antara bapa dengan suami Muslim dengan bapa dan suami bukan Muslim. Suami dan bapa Muslim menunaikan kewajipan menyara dan membiayai keluarga dengan
semangat agama dan mengharapkan ganjaran daripada Allah Taala. Manakala bapa atau suami bukan Muslim menyara keluarga hanya kerana perasaan sayang, belas kasihan atau paksaan undang-undang. Suami dan bapa Muslim yang melaksanakan tuntutan nafkah hanya kerana tiga sebab iaitu sayang, kasihan, dan paksaan undang-undang adalah mengalami kerugian kerana tidak mendapat redha dan ganjaran Allah kerana tidak menunaikannya dengan roh agama.

Semangat agama dalam menyempurnakan kewajipan membiayai atau memberi nafkah kepada ahli keluarga ini jelas terpapar melalui beberapa noktah penting:

1. Kewajipan nafkah bagi keluarga muslim adalah sabit dengan nas syarak, iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Hukum wajib yang telah ditetapkan oleh nas ini adalah termasuk dalam lima hukum taklif dalam syariat Islam iaitu wajib, sunat, harus, makruh, dan haram. Mematuhi
hukum taklif ini dengan ikhlas akan menerima ganjaran syarak iaitu pahala dan syurga. Dalam ilmu usul, apabila sesuatu hukum itu diputuskan oleh nas al-Quran dan al-Sunnah serta dipersetujui oleh para ulamak secara ijmak maka ia menunjukkan perkara itu adalah
termasuk dalam keperluan ´daruri´. Apabila ia tidak ditunaikan, maka kehidupan orang berhak menerimanya. Antara nas al-Quran yang mensabitkan kewajipan nafkah ini ialah firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud:

"Dan ke atas bapa yang isteri melahirkan anak baginya hendaklah memberikan nafkah makan minum dan pakaian isterinya itu."

2. Rasulullah s.a.w, melalui beberapa hadis menjelaskan kelebihan dan ganjaran yang diperolehi oleh suami dan bapa yang bekerja dan berusaha menunaikan keperluan keluarga. Rasulullah tidak bertutur kecuali dengan wahyu yang diilhamkan oleh Allah. Maka saranan dan galakan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w ini juga adalah galakan dan saranan syarak yang hakikatnya datang daripada Allah Taala. Antara hadis-hadis yang menyentuh perkara ini ialah:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a:

Maksudnya: "Antara dosa-dosa ada yang tidak akan diampunkan melainkan dengan bekerja dalam mencari rezeki." (Diriwayatkan oleh Tabrani, Abu Nuáim dan Al-Khatib)

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a:

Maksudnya: "Sesiapa yang berpetang-petangan dalam keadaan letih disebabkan oleh kerja yang dilakukan oleh kedua tangannya maka dia berpetang-petangan dalam keadaan diampunkan dosanya." (Diriwayatkan oleh Tabrani)

Diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah:

Maksudnya: "Sesungguhnya di kalangan dosa-dosa itu ada dosa-dosa yang tidak akan dibersihkan oleh puasa, sembahyang dan tidak juga oleh haji dan umrah." Baginda ditanya: "Kalau begitu apakah yang dapat membersihkannya wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Berpenat lelah dalam mencari rezeki untuk hidup." (Diriwayatkan oleh Ibnu Asakir dan Abu Nuáim).

Kerja dan usaha mencari rezeki untuk menyara dan memenuhi keperluan keluarga dijadikan oleh Rasulullah s.a.w sebagai salah satu sebab dosa-dosa diampunkan. Inilah nilai keagamaan yang mulia dalam urusan mencari rezeki untuk menyara keluarga. Kalau begitu nilainya, bagaimana suami dan bapa boleh memandang remeh dan tidak memberikan perhatian dalam menanganinya. Rasulullah s.a.w memberikan gambaran menyara dan membiayai keluarga ini adalah lubuk yang paling lumayan untuk mendapat ganjaran terutama mendapat keampunan daripada Allah Taala.

Di samping nilai-nilai keagamaan yang terdapat dalam usaha memberi nafkah dan membiayai keluarga, nafkah juga memberi impak sosial yang negatif sekiranya tidak ditangani oleh sempurna. Antara impak sosial yang telah berlaku dalam masyarakat kita ialah:

1. Bapa atau suami dipandang hina oleh masyarakat kerana tidak bertanggungjawab.

2. Isteri atau anak terpaksa meminta-minta daripada orang lain samada secara terus atau melalui media massa seperti surat khabar dan televisyen. Perbuatan ini akan menjatuhkan maruah manusia dan keluarga.

3. Anak-anak akan rasa rendah dan hina diri apabila membandingkan dirinya dengan rakan-rakan lain yang mendapat pembiayaan yang sempurna. Kesan jiwanya ini amat mendalam yang boleh mengakibatkan kesan buruk terhadap pelajaran dan perkembangan hidup anak-anak. Ada
antara mereka yang memaksa diri sendiri untuk berhenti sekolah untuk bekerja mencari rezeki sebelum masa yang sepatutnya.

4. Isteri terpaksa berhempas pulas mencari rezeki sepanjang hari tanpa mengira siang atau malam. Ini memberi kesan kepada perhatian dan bimbingan terhadap anak-anak. Isteri juga sebagai ibu tidak sempat memberikan perhatian kepada anak-anak kerana sibuk kerja mencari rezeki. Akhirnya, anak-anak kehilangan bimbingan dan seterusnya terjebak ke penyelewengan akhlak.

5. Isteri atau anak anak terlibat dengan kegiatan jenayah seperti menjual dadah dan pelacuran untuk mencari sumber pendapatan demi untuk menyara keluarga.

6. Tidak kurang juga tanpa nafkah dan pembiayaan yang mencukupi menyebabkan ada ibu yang beragama Islam menyerahkan anak kepada pihak gereja Kristian untuk dijaga.

Walaupun begitu besar kepentingan memberi nafkah dan membiayai keluarga serta begitu mulia nilainya di sisi agama, tetapi masih kedapatan juga suami atau bapa yang tidak menghiraukan perkara ini. Kadang-kadang mereka dengan sengaja tidak membiayai keperluan
keluarga tanpa rasa bersalah. Ada juga bapa atau suami yang tidak bijak menggunakan rezeki sehingga kehabisan sebelum sempat digunakan untuk membiayai keperluan asas keluarga.

Oleh kerana kedapatan suami atau bapa yang ingkar dan lalai daripada menunaikan kewajipan nafkah ini, maka pihak berwajib terpaksa menyusun peraturan yang diharapkan dapat menangani masalah ini. Berbagai langkah telah disusun termasuklah kursus-kursus perkahwinan dan undang-undang yang digubal dan yang boleh dikuatkuasakan. Berbagai bahagian dan pecahan undang-undang telah digubal bagi mengawal dan mengatasi keingkaran atau kelalaian pihak suami atau bapa daripada menunaikan nafkah. Ini adalah penyelesaian duniawi yang dapat diikhtiarkan oleh manusia bagi menjamin kelangsungan hidup pihak isteri dan anak-anak dalam keadaan normal dan terbela keperluan asasi mereka.

Namun, kadang-kadang ada suami atau bapa yang dapat mengelakkan diri daripada menunaikan kewajipan nafkah ini kerana bijak mencari helah dan mempergunakan sistem undang-undang yang ada. Tidak kurang juga isteri dan anak-anak yang menderita tidak cukup pembiayaan hidup selama tempoh menunggu keputusan mahkamah yang kadang-kadang memakan masa yang lama. Walaupun mahkamah boleh membuat keputusan pihak suami atau bapa mesti membayar nafkah atau jumlah pembiayaan terkebelakang, namun keperluan isteri dan anak-anak yang asasi mesti ditangani pada masanya tanpa boleh ditangguh. Daripada mana isteri dan anak-anak hendak mendapatkan pembiayaan sebelum mahkamah membuat keputusan yang memaksa suami menyerahkan pembiayaan tersebut. Makan minum, pakaian, sewa rumah dan keperluan sekolah anak tidak boleh ditangguhkan. Setiap hari isteri dan anak-anak perlu makan, pakaian dan tempat tinggal tanpa boleh ditangguhkan.

Oleh itu suami atau bapa perlu diperingatkan bahawa walaupun dapat mengelakkan diri atau menangguhkan tempoh memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak melalui proses mahkamah dunia, tetapi mereka tidak dapat mengelakkan diri daripada perhitungan mahkamah akhirat
kerana ia termasuk dalam urusan duniawi yang diambil kira di mahkamah akhirat. Perhitungan inilah yang jarang-jarang diambil kira oleh suami atau bapa yang cuba melarikan diri daripada menunaikan kewajipan membiayai keluarga.

Perlu diingat juga, oleh kerana membiayai keluarga atau memberi nafkah ini adalah urusan agama yang akan diberikan ganjaran pahala apabila menunaikannya dan diberikan balasan dosa jika mengabaikannya, maka hawa nafsu, iblis dan syaitan akan sentiasa campur tangan
menghalang suami atau bapa daripada menunaikannya. Tujuan iblis dan syaitan ialah supaya suami atau bapa ternganga di hadapan Hakim yang Maha Mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi di mahkamah padang mahsyar kelak.

Justeru itu, suami dan bapa perlu meneguhkan persepsi dalam fikiran bahaya memberi nafkah kepada tanggungan adalah satu bentuk ujian Allah bagi melihat ia dilalui dengan jaya atau tidak. Dalam konteks mendekatkan diri kepada Allah dan mensucikan jiwa, usaha mencari
rezeki untuk memberi nafkah keluarga adalah peluang keemasan untuk suami atau bapa mendekatkan diri dan mencari keampunan Allah apabila ia ditunaikan dengan ikhlas, bukan dalam keadaan terpaksa dan merungut apabila diperintahkan oleh mahkamah syariah di dunia.

Oleh HASNAN KASAN
Pusat Pengajian Umum
Universiti Kebangsaan Malaysia

Tiada ulasan: