ADAKAH dengan bertudung dan menutup aurat akan mengurangkan keuntungan sesuatu perniagaan? Adakah bertudung itu suatu kesalahan untuk bekerja di pusat-pusat kecantikan yang biasanya mengamalkan dasar `gaya bebas dan menarik'? Adakah bertudung itu tidak menarik dan menyekat kebebasan? Kebebasan yang bagaimana yang disekat?
Keadaan di mana diskriminasi terhadap wanita Muslim yang bertudung dilihat sebagai suatu fenomena yang bukan baru di negara ini meskipun negara sudah terkenal sebagai negara Islam di mata dunia. Tidak lama dahulu seorang pekerja telah dibuang oleh majikannya, sebuah hotel mewah di ibu kota kerana beliau memakai tudung.
Terbaru, seorang gadis diberi kata dua agar membuka tudungnya jika ingin bekerja di pusat kecantikan yang mengamalkan dasar `gaya bebas dan menarik'.
Menerusi Persatuan Kecantikan dan Spa Bumiputera, mereka sepakat mempertahankan keputusan iaitu mana-mana syarikat tidak seharusnya diwajibkan menggaji pekerja bertudung sekiranya perkara itu tidak menguntungkan perusahaannya. Mereka `menasihatkan' kepada pemohon yang berminat bekerja di dalam bidang itu bersedia mengikuti dasar-dasar sebegitu dengan mengatakan jika berada dikolam renang, perlu
berpakaian tertentu kerana ada sesetengah kolam tidak membenarkan orang bertudung masuk kerana prosedurnya sebegitu.
"Kenalah pandai menyesuaikan diri jika ingin bekerja dalam bidang kecantikan. Jika dia tidak suka, dia kenalah cari kerja yang ada persekitaran lebih Islamik," kata Persatuan Kecantikan dan Spa Bumiputera itu.
Sebagai Muslim, tidak sepatutnya kita membantah atau mencari helah membenarkan apa yang salah. Apa yang kita fikirkan betul tidak semuanya mendatangkan kebaikan. Allah lebih mengetahui apa yang ditetapkan untuk manusia. Firman Allah yang bermaksud: "Dan tidaklah harus bagi orang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidak harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia sesat dengan kesesatan yang jelas nyata." (Surah al-Ahzab: 36)
Islam dengan tegas telah menetapkan batas-batas aurat yang perlu dipatuhi tanpa perlu pertikaian. Jika ingin dipertikaikan wanita bertudung akan menjejaskan perniagaan, lihat sahaja Khadijah, isteri Rasulullah s.a.w yang berjaya sebagai seorang usahawan. Sememangnya Khadijah tidak menjalankan perniagaan pusat kecantikan tetapi lihat pula Rozita Ibrahim, pengasas barangan kecantikan Sendayu Tinggi yang bergelar jutawan dan berjaya dalam bidang perniagaan berkonsepkan barangan kecantikan dengan mengenakan tudung. Beliau masih lagi boleh bergaya dengan bebas dan menarik tanpa berasa janggal!
Ternyata bertudung bukanlah alasan berjaya atau tidak bagi perniagaan sebegini. Jika dari awal mengetahui bahawasanya rezeki datangnya daripada Allah s.w.t serta memahami konsep menutup aurat serta niat bekerja hanya untuk mencapai keredaan Allah s.w.t, pertikaian ini tidak akan berlaku. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah mewajibkan beberapa kewajiban, maka jangan kamu sia-siakan dia; dan Allah telah memberikan beberapa batas, maka jangan kamu langgar dia; dan Allah telah mengharamkan sesuatu, maka jangan kamu pertengkarkan dia; dan Allah telah
mendiamkan beberapa hal sebagai tanda kasihnya kepada kamu, Dia tidak lupa, maka jangan kamu perbincangkan dia." (Riwayat Daraquthni, dihasankan oleh an-Nawawi).
Jika difikirkan adalah sesuatu yang sukar difahami mengapa persoalan memakai tudung ini dikatakan akan menjejaskan keuntungan syarikat yang memegang dasar `gaya bebas dan menarik' ini sedangkan Allah s.w.t. telah menetapkan rezeki setiap hamba-hamba-Nya serta telah menunjukkan contoh yang terbaik menerusi kejayaan Khadijah, isteri Rasullullah dalam berniaga. Alasan sedemikian dilihat sebagai suatu
yang melampaui batas.
Alasan sedemikian hanya bersifat sombong dan tidak memahami ajaran Islam dengan baik. Syariat Islam merupakan suatu syariat yang utuh, tidak pernah mengalami penghapusan mahupun perubahan.
Syariat Islam berkeadaan berkekalan dan berterusan - tidak berlaku perubahan dan penggantian terhadap hukum hakam agama dan perundangannya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa membuat cara baru dalam urusan kami, dengan sesuatu yang tidak ada contohnya, maka dia itu tertolak." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata: "Sesungguhnya sikap manusia, baik yang berbentuk percakapan ataupun perbuatan ada dua bentuk: ibadah untuk kemaslahatan agamanya, dan kedua adat (kebiasaan) yang sangat mereka mahukan demi kemaslahatan dunia mereka. Maka dengan terperincinya pokok-pokok syariat, kita dapat mengakui, bahawa seluruh ibadah yang telah dibenarkannya, hanya dapat ditetapkan dengan ketentuan syarak itu sendiri."
Isu tudung pada hakikatnya tidak sepatutnya menjadi polemik masyarakat umat Islam yang tidak berkesudahan. Isu ini bukanlah isu etika atau dasar mana-mana persatuan atau syarikat sehingga ia harus dipertimbangkan atau diperdebatkan. Isu tudung adalah soal hukum syarak yang ditentukan oleh Maha Pencipta. Oleh yang demikian, umat Islam wajib, sama ada mahu atau tidak mahu wajib akur dan terikat setiap masa tanpa mengira pangkat, kedudukan mahupun keadaan.
Apabila perintah kewajiban pemakaian tudung diturunkan-Nya, umat Islam zaman awal tidak pernah mempersoalkan sama ada boleh atau tidak, sesuai atau tidak, bila dan di mana perlu dipakai atau adakah ia akan menjejaskan perniagaan mahupun meminta para cendekiawan atau pemimpin membincangkannya. Mereka segera menyamput perintah itu serta-merta dengan patuh tanpa soal kerana keredaan-Nya mengatasi segala wang ringgit dan kemewahan dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan