Buah kurma atau tamar pastinya menjadi pilihan umat Islam di seluruh dunia sebagai juadah untuk berbuka puasa.
Populariti kurma mengatasi hidangan lain ketika berbuka puasa dan buah ini menjadi makanan utama Nabi Muhammad SAW yang diteladani umat Islam zaman berzaman. Umat Islam dianjurkan berbuka puasa dengan buah kurma sebaik terbenamnya matahari kerana ia perkara yang disunatkan.
Selain bulan puasa, biasanya masyarakat Melayu Islam sering dihadiahkan kurma oleh jemaah yang baru pulang dari mengerjakan ibadat haji di Makkah.
Menjadi makanan wajib di Asia Barat, kurma menurut ensiklopedia Wikipedia dipercayai berasal di sekitar Teluk Parsi dan ditanam sejak zaman kuno dari Mesopotamia hingga prasejarah Mesir, kira-kira 4,000 tahun Sebelum Masihi. Bukti arkeologi pula menunjukkan kurma mungkin berasal dari timur Arab dalam 6,000 tahun Sebelum Masihi. Buah ini kemudian dibawa pedagang Arab ke Asia Selatan, Asia Tenggara, utara Afrika dan Sepanyol yang mana orang Sepanyol memperkenalkan buah ini ke Mexico dan California pada 1765.
Tarikh sebenar kurma dibawa ke Malaysia tidak diketahui tetapi ia dipercayai diperkenalkan pedagang Arab yang datang berniaga dan berdakwah ketika zaman kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.
Pengusaha kurma terkemuka di negara ini, Datuk Yusuf Taiyoob, berkata setiap tahun permintaan terhadap kurma meningkat dan biasanya syarikatnya membawa masuk kira-kira 3,000 hingga 4,000 tan dari beberapa negara seperti Iran, Iraq, Mesir, Tunisia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Afrika Selatan.
Beliau yang juga pemilik dan Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd, berkata biasanya stok dibawa masuk dua bulan sebelum Ramadan bagi memudahkan urusan pemasaran dan pengagihan kepada pemborong dan wakil jualan di seluruh negara.
“Syarikat kami bukan hanya membawa masuk kurma untuk pasaran tempatan, tetapi juga menjadi pembekal utama untuk pasaran di Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei.
Tahun ini, gudang kami yang lebih besar baru dibuka, jadi jumlah stok lebih banyak berbanding pada tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau menjelaskan harga kurma bagi sambutan Ramadan kali ini meningkat sedikit, namun beliau masih mengekalkan harga untuk pasaran tempatan dengan kadar lama.
“Ada beberapa negara pembekal kurma menjual lebih mahal dari tahun lalu tetapi untuk pasaran Malaysia kita masih mengekalkan harganya.
Namun, beberapa bekalan kurma segar yang banyak dijual seperti tahun lalu tidak dapat dipasarkan tahun ini kerana bekalan berkurangan.
“Musim menuai kurma biasanya pada September dan Oktober. Jadi, tahun ini kita kurangkan membawa masuk kurma segar kerana kos membawanya menggunakan kargo udara mahal. Kita jangka stok baru yang lebih segar akan sampai awal September nanti,” katanya yang menguasai 50 peratus pasaran kurma di negara ini.
Penolong Pengarah, Bahagian Zat Makanan, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan, Surainee Wahab, berkata kurma atau nama botani Phoenix dactylifera mengandungi zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, kalsium, vitamin B1, vitamin B2, beta karotena serta niasin.
“Buah kurma amat sesuai untuk dijadikan hidangan berbuka puasa kerana kandungan tenaganya yang tinggi dapat mengembalikan paras gula yang rendah dalam darah kepada paras yang normal.
“Amalan berbuka puasa yang baik ialah dengan mengambil tiga biji kurma yang kaya dengan tenaga, serat, vitamin dan mineral.
Kemudian diikuti dengan setengah cawan jus buah-buahan. Selepas itu bolehlah mengambil satu mangkuk kecil sup sayur berserta dengan satu atau dua keping roti.
“Bagi mereka yang menghidapi kencing manis, buah kurma boleh diambil sebagai makanan pertama untuk berbuka puasa. Namun begitu, mereka perlu mengawal pengambilannya. Mereka boleh mengambil tiga biji kurma tetapi perlu menghadkan pengambilan makanan serta minuman manis yang lain,” katanya.
Kurma baik untuk diet pemakanan, malah, kandungan zatnya dapat membantu dalam perubatan (mempunyai tenaga pembersihan) dan estringen pada masalah usus yang dapat mengatasi masalah sembelit dan gangguan usus kronik.
Ia juga dapat digunakan dalam masalah sakit kerongkong, selesema dan demam, juga dikatakan penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah insomnia, selain mempunyai pelbagai khasiat lain.
Oleh kerana kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium, ia sesuai untuk wanita sama ada ketika hamil atau selepas bersalin. Jus kurma dapat mengurangkan tumpah darah, menguatkan rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi.
Kandungan zat besi yang terkandung pada buah berkenaan juga menyebabkan wanita berpantang sesuai mengambilnya sebagai hidangan tanpa keraguan. Bagi ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, ia dapat diatasi dengan memakan buah kurma sekali gus menggalakkan pertambahan kandungan susu.
Kurma juga membantu melancarkan perjalanan darah, menghindari barah, merawat buah pinggang, mencuci hati dan membantu mengurangkan pengaliran darah ketika kelahiran. Berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak, pembentukan darah dan sum-sum tulang.
Antara kajian lain dijalankan membuktikan kurma antara makanan paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga, selain berkhasiat membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan, mencergaskan minda kanak-kanak. Justeru, ia sangat sesuai untuk perut kosong, memberikan tenaga dan menyegarkan kisaran penghadaman.
Dilaporkan 100 gram kurma segar mengandungi sumber vitamin C yang diperlukan badan dan membekalkan 230 kalori untuk tenaga (960 kJ). Oleh kerana kurma mengandungi sedikit air, ia masih pekat walaupun sudah kering.
Bermakna dengan memakan kurma, badan mendapat tenaga mencukupi walaupun hanya dimakan sebiji dan segelas air. Oleh sebab itulah ada individu yang memilih berbuka puasa dengan hanya sebiji kurma dan badan sudah berupaya mendapat tenaga kembali selepas sehari suntuk berpuasa.
Kini, kurma bukan hanya dimakan umat Islam tetapi menjadi pilihan pelbagai masyarakat dunia yang hidangkan dalam pelbagai resipi serta juadah. Dengan ada reka cipta dalam dunia masakan, kurma boleh dinikmati pelbagai cara dan tidak lagi hanya dimakan sebagai buah semata-mata. Pakar masakan mula menjadikan kurma sebagai bahan pilihan dalam resipi yang dicipta.
Selain digabungkan dengan coklat, manisan dan agar-agar, kurma menjadi ramuan dalam kek, biskut dan jem yang menjadi menu tidak kira bagi sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Peniaga juga memberi wajah baru kepada kurma dengan membuang biji dan digantikan dengan badam, dipakej dengan cara yang menarik dan kemas.
Malah, kini kurma menjadi bahan utama dalam hamper yang dihadiahkan kepada kawan-kawan, kenalan, saudara mara serta rakan niaga terutama menjelang Ramadan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan