Murtad adalah sesuatu perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebutkan oleh seseorang Islam yang mukallaf di mana perbuatan atau perkataan itu menyebabkan seseorang tadi keluar dari agama Islam.
Seseorang Islam boleh menjadi murtad disebabkan satu daripada perkara-perkara berikut::
1) Disebabkan i'tiqad (kepercayaan) .
2) Disebabkan perbuatan yang sengaja.
3) Disebabkan perkataan yang sengaja.
Seseorang Islam juga boleh menjadi murtad disebabkan i'tiqad (kepercayaan) yang bertentangan dengan aqidah Islam. Di antaranya::
1) Tidak mengaku bahawa Allah Ta'ala ialah Tuhan yang berhak disembah.
2) Tidak mengakui atau ragu-ragu bahawa nabi Muhammad saw itu adalah utusan Allah, atau mengingkari salah seorang rasul yang dahulu diturunkan dari nabi saw.
3) Tidak mengakui bahawa Al-Quran itu diturunkan kepada nabi Muhammad saw dengan perantaraan malaikat Jibrail.
4) Tidak mempercayai dan meragui hukum-hukum Allah yang disebutkan di dalam Al-Quran dan hadits Rasulullah saw.
5) Tidak mengakui adanya malaikat-malaikat dan segala urusan yang diserahkan oleh Allah kepada malaikat-malaikat itu.
6) Tidak mengakui atau ragu-ragu bahawa hari Qiamat itu akan datang; dan yang berkaitan dengan hari Qiamat, seperti Syurga, Neraka, dan lain-lainnya.
7) Tidak mempercayai Qadha' dan Qadar, iaitu buruk atau baiknya semuanya ditentukan dan datang dari Allah Ta'ala.
8) Tidak mengakui atau ragu-ragu menerima ijma' (kesepakatan) sahabat-sahabat Nabi saw dalam perkara hukum-hukum agama (ijma' sahabat).
9) Menghalalkan perkara-perkara yang telah diharamkan Allah dengan dalil-dalil Qath'ei (dalil yang sudah mutlak) seperti menghalalkan zina, minum arak, makan riba, dan sebagainya.
10) Mengharamkan perkara-perkara yang telah dihalalkan Allah dengan dalil-dalil Qath'ei, seperti jual beli, berkahwin, sewa menyewa dan sebagainya.
11) Mengingkari perkara-perkara yang telah diketahui oleh semua orang Islam sebagai suatu perkara yang telah ditentukan dan ditetapkan dalam agama, seperti mengingkari sembahyang, bilangan waktunya, bilangan raka'atnya.
12) Tidak mengakui kewajiban yang telah ditsabitkan dengan dalil-dalil Qath'ie, seperti sembahyang lima waktu sehari semalam, puasa sebulan Ramadhan, Zakat, Haji, dan sebagainya.
Perbuatan-perbuatan yang menyebabkan seseorang Islam itu menjadi murtad di antaranya adalah::
1) Sembah sujud berhala.
2) Sujud menyembah matahari dan bulan.
3) Sujud kepada makhluk-makhluk lain, seperti sujud kepada manusia, haiwan, kayu dan batu.
4) Membuangkan Al-Quran atau hadits nabi saw ke dalam najis atau memijaknya.
Seseorang Islam yang melakukan perbuatan-perbuatan yang disebutkan di atas, sama ada kerana
a) sengaja atau
b) sombong dan takbur, atau
c) hendak menghinakan agama Islam
boleh menyebabkan ianya menjadi murtad dan kafir.
PERKATAAN-PERKATAAN YANG BOLEH MENYEBABKAN SESEORANG ISLAM ITU MENJADI MURTAD
Iaitu (antaranya): :
1. Mengatakan Allah Ta'ala itu ada sekutu dan berbilang-bilang, atau mengatakan Allah tidak berkuasa apa-apa atas alam ini.
2. Mengatakan SYARIAH Islam yang diturunkan Allah bukan untuk mengatur perhubungan di antara individu dan masyarakat.
3. Mengatakan hukum-hukum ISLAM tidak wajib dilaksanakan pada masa sekarang, kerana tidak sesuai dengan keadaan hidup masyarakat hari ini.
4. Mengatakan setengah-setengah hukum Islam tidak sesuai lagi diguna pakai pada hari ini, hanya sesuai pada masa yang silam.
Yang ini juga kena jaga baik sebab sebagaimana yang saya terangkan di atas tadi, bergantung kepada siapa yang mengucapkannya - orang yang ada pengetahuan dalam hal ehwal syara' ataupun bukan. Saya bimbang ini akan jadi bahan murahan sesetengah golongan politik yang hanya suka menyalahkan orang lain TETAPI tidak berusaha memberikan pengetahuan kepada orang ramai yang mana menyebabkan gejala murtad berleluasa..
5. Mengatakan tafsiran-tafsiran ayat-ayat Al-Quran yang dibuat oleh ulama-ulama tafsir yang dahulu (muktabar) tidak sesuai lagi digunakan sebagai dasar hukum hari ini, dan menganjurkan ulama-ulama hari ini membuat tafsiran mengikut keadaan dan suasana kehidupan ummat.
*Yang ini pun kena jaga baik sebab nanti diselewengkan maksudnya oleh sesetengah golongan. Yang dimaksudkan di atas adalah tafsiran-tafsiran yang menyentuh soal HUKUM-HAKAM agama Islam yang sudah jelas seperti di dalam BAHAGIAN AQIDAH dan FIQH (Ibadat, Muamalat, Munakahat, dan Jinayah).
Tafsiran-tafsiran ayat Quran tentang pelbagai ilmu pengetahuan yang lain daripada soal hukum sememangnya boleh dibuat kerana ilmu Allah itu amat luas dan kita perlu menerokainya mencari ilmu yang dikurniai-Nya.
6. Mengatakan bahawa Qadha dan Qadar (takdir dan ketentuan Allah) bukan datang dari Allah, malah adalah datang dari makhluk itu sendiri, atau dari kekuatan alam, bencana alam dan seumpamanya yang bermaksud yang sama iaitu bukan dari Allah sendiri.
7. Mengatakan Allah Ta'ala itu salah satu daripada tiga Tuhan, iaitu Isa, Maryam, dan Ruhul Qudus. Dalam nash Al-Quran, jelas bahawa mengatakan bahawa orang-orang yang mengatakan Allah Ta'ala itu salah satu daripada tiga Tuhan adalah kafir - rujuk Al-Maidah, ayat 73.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan