Al-Quran adalah kitab yang agung, bersih dari nilai-nilai cemar yang mengoyak kejelasan risalah suci yang terkandung di dalamnya. Al-Quran bukannya buku atau majalah lucu, yang membawa watak khayal dan lucu. Al-Quran adalah Kalam Allah untuk umat manusia.
Namun kesilapan dan kurang memahami manhaj ilmu dengan baik telah menjerumuskan sebahagian penulis dan penceramah ke lembah kekarutan dalam menggambarkan watak-watak cerita di dalam al-Quran. Risalah kecil ini saya hidangkan untuk sahabah-sahabah sebagai satu muqaddimah awal dalam gerak kerja kita membersihkan anasir-anasir cemar ini di dalam pemikiran umat.
Penceramah dan Pencemaran al-Quran.
Seorang penceramah berceramah untuk orang ramai mengenai Nabi Allah Ayyub a.s., antara katanya: “Nabi Ayyub a.s. telah ditimpa penyakit yang dahsyat sehingga keluar ulat dari tubuhnya. Ulat-ulat tersebut yang jatuh ke darat menjadi lebah, sementara yang jatuh ke laut menjadi gamat…”. Seterusnya beliau berkempen kelebihan madu lebah dan air gamat yang dijualnya.(Baca dulu petikan artikel saya sebelum membuat sebarang andaian)
Seorang penceramah yang lain pula menceritakan tentang kisah Nabi Yusuf a.s. Kesimpulan dari kisah yang dibawanya, beliau mengajar orang ramai do`a agar wajah kelihatan kacak dan cantik, yang entah dari mana direkanya, diikuti dengan petua bahawa sesiapa yang hendak mendapat anak lelaki maka hendaklah banyak menyebut nama “Yusuf!, Yusuf!, Yusuf” dan sesiapa yang hendak mendapatkan anak perempuan, maka hendaklah membanyakkan sebutan “Maryam!, Maryam!, Maryam!”. (Fahami dahulu tajuk artikel saya, jangan membuat sebarang spekulasi sebelum habis membaca prosiding ini).
Ini adalah dua contoh yang saya bawa daripada entah ribu bentuk dan gaya bercerita yang membabitkan para anbiya’ dan solihin yang telah dicemarkan dengan kejahilan dan keterbabasan lidah para penceramah serta bercampur dengan riwayat Israiliyyat. Maka bergabunglah rekaan penceramah atau ustaz dan rekaan Yahudi di dalam sesebuah ceramah atau kuliah agama. Watak-watak agung yang sebahagian besar mereka disebut di dalam al-Quran telah diolah dalam bentuk yang menghilangkan nilaian perjuangan serta tujuan kebangkitan mereka. Watak-watak mereka dicemari dengan tokok tambah yang akhirnya melucukan sesiapa yang mendengar kisah mereka.
Lantas menjadikan sebahagian manusia mempersoalkan kebenaran kisah mereka. Bahkan wajah cerita mereka kadang-kala diperlihatkan begitu ‘kartun’ sekali seperti mana sebahagian lidah para pendusta agama yang mereka-reka kisah Nabi Sulaiman a.s. dan sang kancil, lalu jadilah cerita ini memenuhi buku-buku jalanan yang mencemar Nabi yang agung itu.(Jangan terpesong dengan dakyah ini)
Kisah-Kisah Al-Quran Hilang Fungsi
Akhirnya kita dapati kisah-kisah al-Quran menjadi sudah tidak indah lagi. Ianya dicemarkan oleh para penceramah atau penulis yang menghiasi kisah-kisah tersebut dengan watak-watak dan adegan-adegan tambahan yang kadang-kalanya memandulkan tujuan kisah-kisah al-Quran. Nabi Sulaiman a.s umpamanya, telah dicemari kisahnya, hilang peranannya sebagai seorang nabi yang berjuang dan berdakwah seperti yang hendak ditonjolkan oleh al-Quran. Tinggallah hanya kisah-kisah ajaibnya semata-mata. Nabi Yusuf a.s. pula umpamanya, yang berdakwah dalam dan luar penjara kepada tauhid, yang menduduki kerusi kewangan negara dan mentadbir dengan keadilan dan kebijaksanaan, hilang ditelan kisah kekacakannya sahaja. Lebih malang lagi, ada yang membuat petua-petua untuk kacak atau cantik dan berseri dengan jampi-jampi yang menyebut nama Nabi Yusuf. Seolah-olah kisahnya di dalam al-Quran itu khas untuk mak andam.
Nabi Nuh a.s. pula, telah berdakwah dengan tidak putus asa kepada kepada tauhid dalam tempoh yang panjang, bersama dengan pengorbanan dan kesabaran, ini semua hilang dari pemikiran sebahagian umat. Bahkan ada yang hanya mengenang Nabi Nuh a.s. dengan menyedia bubur asyura, dengan dakwaan palsu bahawa demikianlah bubur Nabi Nuh a.s. ketika di dalam kapal. Seakan-akan Nabi Nuh a.s. itu datang hanya sebagai pemberi resipi khayalan tersebut. Maka robohlah keagungan anbiya ditelan kedangkalan kita terhadap tujuan kedatangan dan pengutusan mereka. Ini semua kadang-kala menjadikan generasi moden yang kurang faham terhadap agama bertambah keliru dan akhirnya mungkin menganggap agama sebagai dongengan semata.
Tujuan Kisah-Kisah Al-Quran
Sebenarnya, dalam al-Quran ada banyak kisah-kisah silam yang dimuatkan. Namun al-Quran bukanlah sebuah buku cerita yang semata-mata untuk bercerita tanpa arah tuju yang jelas. Kata al-Syeikh al-Imam Muhammad Abu Zahrah dalam kitabnya al-Mu’jizah al-Kubra, al-Quran :
“Sesungguh al-Quran bukanlah sebuah buku cerita, tidak juga seperti riwayat-riwayat kisah yang menyebut peristiwa-peristiwa khayal atau sebenar. Sebaliknya, kisah-kisah al-Quran adalah kisah peristiwa-peristiwa yang benar, yang membawa pengajaran, memberikan bandingan, menjelaskan tempat golongan yang sesat dan kedudukan golongan yang mendapat pertunjuk, akibat kesesatan dan kesudahan hidayah. Ianya menerangkan apa yang ditentang oleh para nabi dan seluruh para penyeru kebenaran di belakang mereka. Ianya kisah-kisah untuk pengajaran dari peristiwa-peristiwa yang berlaku, bukan untuk sekadar sedap didengari dan bacaan semata".
Untuk itu Allah ta`ala berfirman pada akhir kisah Nabi Allah Yusuf a.s. (Surah Yusuf, ayat 111) yang bermaksud:
"Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka (rasul-rasul) itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang berakal. Ia (Al Quran) bukanlah cerita-cerita dongeng tetapi ia membenarkan kitab-kitab yang terdahulu, dan juga penjelasan tentang segala sesuatu, dan rahmat kepada orang-orang yang beriman."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan