Sumber: http://tronohtranquility.blogspot.com/
Merujuk pada pos sebelum ini, sengaja aku ambil kisah dari Sejarah Melayu, nama lainnya Sulalatus Salatin, nama Inggeris The Malay Annals (bukan The Malay Anals, yang mungkin satu tajuk DVD baik punya!).
Sedikit pembetulan, Seri Teri Buana, atau lebih tepatnya Sri Tri Buana bukanlah raja yang membuat wa'ad (perjanjian) dengan Demang Lebar Daun. Sebetulnya yang berwa'ad dan berkahwin pula dengan Wan Sendari ialah Nila Utama atau nama glamernya Sang Sapurba Taramberi Tri Buana yang seterusnya mendapat anak iaitu Sri Tri Buana hasil dari perkahwinan mereka. Sri Tri Buana kemudiannya menjadi pemerintah Temasek (sekarang Singapura, syurga membeli-belah) dan susur galur mereka menurut hingga ke Parameswara yang akhirnya menjadi Sultan Muzaffar Shah, pemerintah Melaka (di mana terletaknya Jonkers Walk).
Pening kepala? Tidak apa. Kalau baca teks Sejarah Melayu memang begitu.
Itu belum campur dengan Hikayat Merong Mahawangsa, yang kononnya sejarah asal-usul Kesultanan Kedah. Katanya Merong Mahawangsa seorang pahlawan dan nakhoda, yang mengiringi putera Empayar Rom yang bakal dikahwinkan dengan puteri Empayar China. Tapi malangnya dalam pelayaran mereka diserang Garuda dan Merong Mahawangsa terkandas di pantai Kedah, kemudian menubuhkan kerajaan Kedah yang diwarisi keturunannya hingga ke hari ini.
Bunyi macam Lord Of The Rings punya skrip saja.
Dalam Sejarah Melayu diceritakan yang Nila Utama atau Sang Sapurba ini dari putera tiga beradik, dua yang lain ialah Nila Pahlawan dan Krishna Pendita. Mereka ini anak Raja Suran, yang berkahwin dengan Puteri Mahtabulbahri dan bersemayam di sebuah kerajaan dasar laut bernama Dika (apa kali pertama jumpa masa scuba diving kot?).
Arakian menjadi kisah, si putera tiga beradik ini meninggalkan Dika dengan menaiki seekor lembu putih dan mendarat di atas Bukit Siguntang Maha Meru (lembu masuk dalam laut dan terbang ke atas bukit?) yang terletak di hulu Sungai Musi. Lalu mereka disambut oleh Demang Lebar Daun yang pada masa itu pemerintah negeri Palembang.
Untuk setiap dari putera tiga beradik ini diberikan negeri masing-masing dan perempuan untuk diperisterikan. Nila Pahlawan berkahwin dengan Wan Empuk, Krishna Pendita berkahwin pula dengan Wan Malini sementara si bongsu atau Sang Sapurba berkahwin dengan anak Demang Lebar Daun, Wan Sendari.
Syarat perkahwinan Sang Sapurba dan Wan Sendari ialah wa'ad atau perjanjian antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun, yang aku petik dalam pos sebelum ini. Wa'ad inilah katanya yang menjadi perjanjian antara raja-raja Melayu dan orang-orang Melayu hingga ke hari ini.
Siapa yang percaya cerita di atas boleh berhenti baca setakat ini, tutup komputer dan pergi merafak sembah raja-raja Melayu kamu.
Sebenarnya ada banyak versi Sejarah Melayu dengan gaya cerita yang sedikit berbeza antara satu sama lain. Tapi konsepnya tetap sama, Sang Sapurba putera Raja Suran ini boleh diturut keturunannya pada Iskandar Zulkarnain. Dulu-dulu Iskandar Zulkarnain disamakan dengan Alexander The Great tapi oleh kerana pendedahan lewat kebelakangan ini yang mengatakan Alexander seorang hedonis, ada teori lain pula yang muncul.
Iskandar Zulkarnain khabarnya seorang raja Parsi yang warak dan adil, mungkin juga Islam. Okay, apa-apa saja.
Kalau dikaji versi Sejarah Melayu ringkas di atas ini secara kasar, kita boleh rumuskan sebegini:
1) Raja-raja Melayu asalnya keturunan Iskandar Zulkarnain yang hebat, gah dan mungkin beragama Islam, bukan orang Jakun atau berasal dari India
2) Tapi nama seperti Krishna Pendita atau Sang Sapurba Taramberi Tri Buana ada unsur Sanskrit atau Hindu?
3) Nama Demang Lebar Daun ada ciri-ciri nama kampung dan unsur Orang Asli
4) Kerajaan dasar laut Dika pastinya satu persamaan dengan mitos kerajaan dasar laut Atlantis
5) Lembu putih yang menjadi tunggangan putera tiga beradik mungkin ilham dari kepercayaan Hindu kerana lembu ialah haiwan suci mereka
6) Individu yang tulis Sejarah Melayu ini pastinya mempunyai imaginasi yang tinggi
7) JRR Tolkien pun tidak boleh lawan tahap imaginasi sebegini
Okay, perkara 6 dan 7 diselitkan agar kamu tidak bosan, pening kepala dan cepat-cepat telan Panadol Actifast.
Masih boleh ikut? Kalau boleh ikut kita sambung kelas sejarah kita.
Letaknya Bukit Siguntang Maha Meru ini di Palembang, Sumatera. Kononnya wa'ad atau perjanjian Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun berlaku di atas bukit ini. Wa'ad yang menentukan corak hubungan diantara dua keturunan, keturunan Sang Sapurba dari Iskandar Zulkarnain yang menjadi raja-raja Melayu dan keturunan Demang Lebar Daun yang menjadi rakyat Melayu. Di Bukit Siguntang inilah asalnya bangsa Melayu dan bangunnya kerajaan Melayu pertama iaitu Srivijaya.
Oh, kita rakyat biasa ini keturunan Demang Lebar Daun rupanya. Asal dari Sumatera rupanya. Kerana wa'ad dua keturunan ini berpecah, satu jadi pemerintah dan satu diperintah, berjanji tidak akan menghina, memusuhi atau mengkhianati satu sama lain.
Tapi wa'ad ini ada satu caveat, satu syarat yang mungkin boleh overwrite segala syarat-syarat yang lain.
"Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa jangan derhaka pada anak cucu hamba, jikalau ia zalim dan jahat pekertinya sekalipun."
Siapa cakap? Titah Sang Sapurba. Maknanya zalim dan jahat mana pun raja-raja Melayu, hendaklah kita tidak derhaka pada mereka.
Patutlah cucu-cicit Demang Lebar Daun, yang berdaftar dengan United Malays National Organisation (UMNO) lantang berdemonstrasi bila Nizar Jamaludin derhaka pada Sultan Azlan Shah. Nizar Jamaludin keturunan Demang Lebar Daun, macam kebanyakan dari kita semua. Tapi Sultan Azlan Shah adalah waris dari Kesultanan Melayu Melaka, yang bermula dari Parameswara, yang asalnya dari keturunan Sang Sapurba dan pastinya Iskandar Zulkarnain.
Tapi Karpal 'Over my dead body' Singh?
Walaupun 89 laporan polis telah dibuat (punyalah banyak, satu laporan tidak cukup ke? Kes Nurin Jazlin pun belum selesai) ke atas Karpal Singh, tapi Singa Jelutong ini tetap ada hak untuk menyaman Sultan Azlan Shah.
Tidak, bukan sebab Karpal Singh ini bukan keturunan Demang Lebar Daun (keturunan Guru Nanak mungkin) lalu tidak terikat dengan wa'ad yang ada. Tapi sebab hak menyaman dan menyeret raja-raja Melayu termaktub dalam Pindaan Perlembagaan 1993.
Terima kasih pada Douglas Gomez dan mantan perdana menteri serta presiden United Malays National Organisation, Mahathir Mohamed.
Ini Douglas Gomez siapa? Adik-beradik Merong Mahawangsa? Bekas kekasih Wan Sendari? Majistret? Lawyer? Ahli muzik?
Douglas Gomez ialah bekas jurulatih hoki Johor yang pernah kena 'hentak' dengan Sultan Iskandar, sultan negeri Johor. Tapi sebenarnya Sultan Iskandar ini bukanlah keturunan Iskandar Zulkarnain pun.
Pernah baca kisah 'Sultan Mahmud Mangkat Dijulang'? Tindakan revolusioner pertama dalam sejarah bangsa Melayu, bila keluarga Bendahara membunuh Sultan Mahmud, sultan Johor dari keturunan Kesultanan Melayu Melaka, kemudian merampas tampuk kekuasaan Johor dan menjadikan keturunan mereka sebagai raja, memulakan era Dinasti Bendahara. Dinasti Bendahara kemudiannya diganti pula oleh Dinasti Temenggung dengan bantuan Sir Stamford Raffles, yang diwarisi ke hari ini oleh Sultan Iskandar.
Berbalik pada kisah Douglas Gomez ini tadi, si polan ini telah dipukul oleh Sultan Iskandar, yang sekarang sudah perasan kononnya berdarah raja dan keturunan Iskandar Zulkarnain juga, hanya kerana si polan Gomez mengkritik kepimpinan sukan hoki di Johor. Sukan punya pasal saja, bukan dia mengorat puteri raja pun.
Insiden yang berlaku ini menjurus kepada Pindaan Perlembagaan 1993, yang melucutkan kekebalan undang-undang raja Melayu. Pelopor pada pindaan ini ialah Mahathir Mohamad, Perdana Menteri dan Presiden United Malays National Organisation ketika itu. Tapi tidak pula ada tuduhan derhaka dilemparkan kepada beliau, mahu pun berpuluh laporan polis dibuat ke atas Mahathir.
Hari ini, kalau dibaca Utusan Malaysia kita akan lihat orang-orang Melayu yang mengaku keturunan Demang Lebar Daun sedang riuh-rendah mempertahankan institusi raja-raja Melayu. Mereka marah bila ada cicit Demang Lebar Daun yang lain dan cicit Guru Nanak derhaka dan mencabar kedaulatan raja-raja Melayu.
Lebih-lebih lagi bila yang dicabar ialah Sultan Azlan, sultan Perak yang berasal dari keturunan Kesultanan Melayu Melaka, yang bermula dengan Parameswara, yang juga keturunan Sang Sapurba dari susur galur Iskandar Zulkarnain. Yang datang ke Bukit Siguntang naik lembu putih itu, bukan naik Rolls Royce hitam.
Punyalah marah cucu-cicit Demang Lebar Daun itu, jika mengikut pada laporan Utusan Malaysia, hingga ada yang menuntut dikembalikan kekebalan raja-raja Melayu, diharamkan Karpal Singh dari memijak bumi Perak atau dilucutkan saja kerakyatannya.
Apakah salah cicit Guru Nanak itu diperlakukan sedemikian rupa? Sedangkan beliau hanya melakukan apa yang telah termaktub dalam Pindaan Perlembagaan 1993, ilham dari United Malays National Organisation sendiri.
Kalaulah Utusan Malaysia dijadikan penunjuk aras kadar intelek orang-orang Melayu, maka boleh dikatakan masa depan bangsa Melayu sangatlah gelap.
Tapi Utusan Malaysia bukanlah sahih sangat. Mereka di Utusan sendiri pun tahu tiada apa yang boleh dilakukan ke atas Karpal Singh, kerana beliau tidak bersalah. Begitu juga Nizar atas keengganan meletak jawatan MB. Jadi yang termampu oleh Utusan ialah menghebohkan kononnya 100% orang-orang Melayu sangat marah dan kecewa.
Pendedahan oleh Merdeka Center dalam kajiselidik mereka menunjukkan 62% rakyat Perak berpendapat pihak istana tidak memainkan peranan sepatutnya mengikut aspirasi dan kehendak rakyat Perak. Sebanyak 74% responden pula berpendapat Dewan Undangan Negeri patut dibubarkan dan pilihanraya diadakan di Perak. Bangsa Melayu Perak mewakili sebanyak 47% dari sampel kajiselidik.
Terpulang pada kamu untuk menilai jika Utusan Malaysia yang sahih atau kajiselidik Merdeka Center yang lebih meyakinkan.
Kalau dibelek buku sejarah, kita akan terbaca kisah-kisah raja Melayu. Banyak keburukan dari kebaikan, percayalah. Dari kisah membelah perut Dang Anum yang makan nangka di taman istana hingga ke menggadai Tanah Melayu kepada penjajah British. Tapi cucu-cicit Demang Lebar Daun, orang-orang Melayu hamba sahaya ini masih setia menjunjung titah Tuanku di atas batu jemala mereka semua.
Kerana anak Melayu tidak derhaka, anak Melayu tidak mahu dimakan tulah dan anak Melayu takut hilangnya raja-raja Melayu bermakna hilangnya kuasa Melayu.
Melayu yang mengaku Islam terlupa kata-kata Tuhan mereka, tidak akan berubah nasib sesuatu kaum selagi mereka tidak mengubahnya sendiri.
Letaknya kuasa Melayu bukan di atas takhta dalam istana, pada keris atau cogan diraja mahu pun pada daulat raja-raja. Kuasa Melayu akan kekal bila bangsa Melayu itu sendiri maju, dalam pendidikan, ekonomi dan segala bentuk kehidupan.
Janji Tuhan orang-orang Melayu Islam, bila satu kaum itu berlaku adil kepada kaum yang lain, maka akan diangkat Tuhan martabat mereka dan jadilah mereka kaum yang berjaya.
Dari wa'ad antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun yang membawa kepada tertubuhnya kerajaan Melayu pertama Srivijaya, pada tahun 683 mengikut Batu Bersurat Kedukan Bukit, hingga ke hari ini, usia perjanjian sumpah setia raja-raja Melayu dan rakyat Melayu telah mencecah 1325 tahun.
Adakah wa'ad atau perjanjian ini kekal selagi ada bulan dan bintang? Sedangkan perjanjian untuk hak milik kekal tanah kampung baru saja pun hanya 999 tahun.
Kerana itulah sangat penting bila Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun membuat wa'ad di Bukit Siguntang, sepatutnya ada peguam yang membantu meneliti kontrak perjanjian ini.
Silapnya kita tidak ada Karpal Singh pada masa itu.
1 ulasan:
berkata Rasululllah s.a.w " Selepas aku yang memerintah kamu, kalifah2 aku amirul mukminin, selepas itu kamu diperintah oleh sultan2 muslimin, sekiranya kuasa sultan2 ini dimansuhkan, maka kamu akan diperintah oleh pemerintah yang zalim. Yang akan menzalimi kamu dan agama kamu".
Belum lagi kenal sejarah miker ini yop ooi,miker orang batu gajah, cerr citer sape yang terkenal kat batu gajah mase sultan perak pertama...
Sejarah melayu .... jangan takat dikutip pada helaian kertas saje..
pengalaman rohani itu yang penting.. buat malu orang batu gajah jerrr...
Catat Ulasan