Terdapat perselisihan berkenaan tarikh peristiwa Isra' dan Mi'raj berlaku. Secara pasti ia berlaku sebelum hijrah pada tahun ke-10 kenabian atau selepasnya. Pendapat sahih yang dipegang oleh jumhur ulama, Isra' dan Mi'raj berlaku pada suatu malam secara jaga melibatkan jasad dan roh Nabi s.a.w.. Baginda diisra'kan daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Kemudian Baginda dimi'rajkan ke langit yang tinggi. Seterusnya pulang kembali ke rumah Baginda di Makkah pada malam itu juga. Baginda memberitahu Quraisy tentang mukjizat itu. Mereka mempersenda dan memperlekehkan Baginda. Namun Abu Bakar dan mereka yang kuat imannya telah membenarkan Baginda.
Pada malam Isra' dan Mi'raj tersebut, sembahyang lima waktu difardhukan ke atas setiap orang Islam yang baligh dan berakal. Kefardhuan solat pada malam Isra' dan Mi'raj menunjukkan hikmah kenapa solat disyariatkan. Allah seolah-olah berfirman kepada hamba-hamba-Nya yang beriman: Sekiranya Mi'raj Rasul kamu dengan jasad dan roh ke langit merupakan mukjizat, kamu pula diperuntukkan solat lima waktu setiap hari, sebagai mi'raj (anak tangga) untuk kamu naik menemui-Ku dengan roh dan hati kamu. Jadikan solat lima kali sehari sebagai peningkatan roh yang boleh mengangkat kamu daripada tenggelam dalam hawa dan syahwat kamu, serta memperlihatkan kamu kebesaran, kekuasaan dan keEsaan Aku. Ini mendorong kamu untuk memimpin muka bumi ini, bukan dengan cara memperhamba, menguasai dan menakluki (orang lain). Bahkan melalui jalan kebaikan dan ketinggian, juga dengan cara kesucian dan peningkatan roh menerusi jalan solat.
Mukjizat lsra' dan Mi'raj juga mempunyai banyak rahsia. Antaranya ialah:
Pertama: Menghubungkait isu Masjidil Aqsa dan kawasan sekitarnya dengan isu Dunia Islam. Ini kerana Makkah selepas perutusan Rasul s.a.w. telah menjadi pusat perhimpunan Dunia Islam dan kesatuan visinya. Peristiwa Isra' Mi'raj ini juga menunjukkan usaha mempertahankan Palestin sebenarnya mewakili usaha mempertahankan Islam itu sendiri. Setiap orang Islam di pelbagai ceruk bumi wajib melaksanakannya. Kecuaian mempertahan dan membebaskan Palestin merupakan kecuaian terhadap Islam. la merupakan jenayah yang akan dihukum oleh Allah kepada setiap orang yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya.
Kedua: Isra' Mi'raj menjadi simbol kepada ketinggian kedudukan orang Islam dan lambang kepada kewajipan mengangkat dirinya mengatasi hawa nafsu dan syahwat dunia. Dia juga wajib menjadi manusia yang tiada tolok bandingnya dikalangan seluruh manusia. Sama ada dari segi kedudukannya yang tinggi, visinya yang mulia dan sikapnya yang sentiasa berlegar dalam lingkungan nilai-nilai yang mithali untuk selama-lamanya.
Ketiga: Isra' Mi'raj juga menunjukkan penerokaan angkasa dan keluar daripada tarikan graviti bumi boleh diusahakan. Dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj, Rasul kita merupakan angkasawan pertama dalam sejarah dunia seluruhnya. Meneroka angkasa seterusnya pulang ke bumi dengan selamat adalah perkara yang boleh berlaku. Sekalipun ia berlaku kepada Rasulullah s.a.w. secara mukjizat pada zaman Baginda, namun ia boleh terjadi kepada manusia biasa melalui ilmu dan idea.
Sumber : Sirah Nabi Muhammad S.A.W.; Pengajaran dan Pedoman
Oleh: Dr. Mustafa as-Syibaie
Tiada ulasan:
Catat Ulasan