SESETENGAH di antara kita selalu keluar, sama ada kerana urusan pekerjaan, menziarahi keluarga dan kenalan atau kerana semata-mata bercuti. Ada antara kita tidak ambil kisah mengenai perjalanan, asalkan pasti tempat ditujui. Tetapi dalam Islam ada beberapa panduan yang wajar diberi perhatian, antaranya:
1. Dianjurkan memulai perjalanan pada Khamis.
Melalui hadis diriwayat Bukhari bermaksud: “Rasulullah s.a.w berangkat ke Perang Tabuk pada Khamis. Rasulullah menyukai memulai perjalanannya pada Khamis.”
2. Dianjurkan memulakan perjalanan pada waktu malam.
Dalam hadis diriwayatkan Abu Daud, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Berjalanlah pada waktu malam kerana bumi dijadikan lebih pendek pada waktu malam.”
3. Dianjurkan bermusafir bersama-sama.
Hadis riwayat Bukhari, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Jika manusia mengetahui bahaya bermusafir sendirian sebagaimana aku ketahui, tentu mereka enggan bermusafir sendirian.”
4. Berdoa dalam musafir
Sabda Rasulullah s.a.w, seperti diriwayatkan Tirmidzi, bermaksud: “Tiga doa yang pasti akan dikabulkan Allah S.W.T ialah doa orang teraniaya, doa orang dalam perjalanan dan doa orang tua terhadap anaknya.”
5. Meraikan permulaan perjalanan dan berdoa
Dalam hadis riwayat Tirmidzi, Abu Hurairah r.a meriwayatkan, seorang lelaki berkata (kepada Rasulullah), wahai Rasulullah, saya akan memulai perjalanan (musafir), jadi berikanlah nasihat kepada saya. Nabi berkata: hendaklah engkau bertakwa kepada Allah dan bertakbir setiap kali melewati (melalui) tempat yang tinggi. Selepas lelaki itu pergi, Nabi s.a.w berdoa, “ Ya Allah, dekatkanlah jarak perjalanannya dan mudahkan perjalanannya.”
Nabi s.a.w, apabila menghantar seseorang bermusafir, tidak melepaskan tangannya daripada orang terbabit sebelum orang berkenaan melepaskan dahulu tangannya.
Kemudian, baginda berdoa (maksudnya): “Saya titipkan kepada Allah agamamu, amanatmu dan kesudahan amalmu.” (Hadis riwayat Ahmad)
6. Dianjurkan juga segera kembali kepada keluarga apabila urusan sudah selesai.
Sabda Nabi s.a.w bermaksud: “Perjalanan adalah sebahagian daripada azab. Dia tidak dapat makan enak dan minum sepuas-puasnya serta tidur dengan nyenyak. Apabila seorang daripada kamu sudah menyelesaikan hajatnya, segeralah kembali kepada keluarganya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan