SEDARLAH, apa yang kita makan, minum dan guna pakai setiap hari sepanjang hidup akan mencorakkan amalan dalam budaya, moral, sosial dan akhlak hidup serta tahap iman seseorang.
Jika makan dan minum yang menjadi darah daging dalam badan kita halal dan toyyiban (baik, bersih dan selamat), fitrahnya akan baik dan tinggilah akhlak, moral dan sosial hidup sehariannya serta akan bersinarlah cahaya keimanan.
Namun, apabila apa yang masuk dan diisi ke dalam perut itu tidak bersih dan tidak selamat kerana menyalahi syarak timbullah pelbagai masalah akhlak, moral dan budaya hidup negatif sebagaimana yang banyak melanda ummah sekarang.
Allah SWT berfirman dalam mafhumnya antara lain: Hai sekelian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi mu. (al-Baqarah: 168).
Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah. (al-Baqarah: 172).
Islam mensyaratkan hanya makanan (termasuk minuman) yang halal lagi toyyiban sahaja untuk dimakan oleh hamba-hamba-Nya yang beriman.
Ini kerana dalam makanan kata Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Yaakob Che Man, hanya datang dari dua sumber iaitu haiwan dan tumbuhan.
Katanya, berdasar kajian sains, makanan dari sumber haiwan iaitu daging adalah bahan paling mudah dicemari bakteria negatif dan boleh merosakkan sistem tubuh badan manusia.
“Berbeza dengan makanan berasaskan tumbuhan, di mana bakteria yang mencemarinya adalah dari jenis positif yang kurang memberi impak terhadap sistem dalam tubuh badan,” jelasnya.
Persoalannya, sejauh mana keprihatinan kita terhadap tahap halal dan toyyiban sumber serta cara pemerosesan daging ternakan yang dimakan? Dalam Islam, daging ternakan halal dan toyyiban (kecuali babi dan keturunannya) hanya dengan satu jalan iaitu mesti disembelih mengikut hukum syarak.
Perintah suruhan menyembelih ternakan untuk dimakan termaktub dalam al-Quran yang mafhum-Nya: Maka makanlah binatang-binatang (yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika kamu beriman kepada ayat-ayat-Nya. Mengapa kamu tidak mahu memakan (binatang-binatang yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal sesungguhnya Allah telah menjelaskan kepada kamu apa yang diharamkan-Nya atas mu, kecuali apa yang terpaksa kamu memakannya... (al-An’aam: 118-119).
Soalnya, bagaimana untuk memastikan daging sama ada segera atau siap proses yang dijual itu disembelih serta menepati rukun sembelihan mengikut syarak?
Dr. Yaakob berkata, setiap individu perlu faham secara mendalam dan mengutamakan konsep serta roh halal dan haram yang ditetapkan Islam.
Katanya, setiap Muslim perlu tahu hak-hak ditetapkan agama dan orang bukan Islam mesti menghormatinya. Ini kerana kira-kira 16 juta penduduk Malaysia dan 1.8 bilion penghuni dunia adalah Muslim yang mengharapkan bekalan daging halal.
Ternakan dan penghasilan daging halal tegas beliau, punya prospek perdagangan yang besar lagi luas dan konsep halal serta toyyiban penting dan telah mendapat perhatian negara pengeluar seluruh dunia.
“Bagaimanapun tahap kesedaran, kefahaman dan keprihatinan yang lebih tinggi perlulah ada dan diamalkan kalangan pengguna Muslim sendiri,” ujarnya.
Beliau memberitahu demikian dalam syarahan mengenai Isu halal haram hari ini dari perspektif syarak, perdagangan dan sains pada Kursus Penyembelihan Halal 2008 kelolaan IPPH, UPM, baru-baru ini.
Kursus dua hari usahasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Sains Haiwan Fakulti Pertanian UPM itu diadakan khas untuk para pengusaha rumah sembelihan, penternak dan pemilik ladang ternakan dan individu di seluruh negara. Program tahunan IPPH itu terhad kepada 35 peserta sahaja.
Menurut Dr. Yaakob, kebaikan sistem sembelihan yang digariskan oleh Islam dalam menghasilkan daging halal lagi toyyiban untuk tubuh badan manusia telah diakui oleh hasil kajian sains.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Diagnostik dan Kepastian Kualiti Jabatan Perkhidmatan Haiwan Malaysia, Dr. Muhamad Kamarulzaman Muhamad Sharif berkata, penggunaan kaedah stunning yang dilaksanakan di rumah-rumah sembelihan komersial moden khasnya di negara Barat, terutama dalam penggunaan mekanikal kini dikaji semula, meskipun Majlis Fatwa Malaysia menghalalkannya.
Ini kerana, proses sembelihan komersial untuk perdagangan, ternakan ruminan (meragut) terutamanya perlu melalui proses stunning yang menyebabkan haiwan terkena renjatan elektrik bagi melemahkan sistem saraf sebelum memasuki proses sembelihan yang juga secara elektrikal (mekanikal stunner).
Sebab itu kata beliau, sesetengah negara Barat yang prihatin dengan kebajikan haiwan telah menolak penggunaan sistem stunning yang disifatkan proses penyeksaan dan tekanan ke atas haiwan sebelum disembelih.
Menurut Dr. Muhamad Kamarulzaman, negara Barat baru sedar kesan tekanan yang ditanggung haiwan dalam proses tersebut dan pentingnya menjaga keselesaan haiwan semasa proses penyembelihan bagi menjamin daging berkualiti.
Sedangkan Islam kata beliau, sudah menggariskan konsep penyembelihan yang tidak menyeksa dan menjejaskan psikologi haiwan sembelihan lebih 14 abad lalu.
Sebab itu Islam menetapkan rukun-rukun sembelihan iaitu wajib disembelih oleh orang Muslim (dengan niat semata-mata kerana Allah), mengguna pisau yang tajam (alat penyembelih), binatang yang halal dan mesti memutuskan dua urat saraf iaitu halkum (saluran pernafasan) dan marikh (saluran makanan).
Penentuan halal dan toyyiban bagaimanapun tidak hanya sekadar memenuhi rukun sembelihan tetapi turut melibatkan sumber pemakanan ternakan, peralatan sembelihan, kawasan pemerosesan, bahan pembungkusan, urusan pengangkutan dan cara penyediaan yang bebas dari sumber tidak halal.
Allah telah berfirman: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah (haram juga menurut ayat ini daging yang berasal dari sembelihan yang menyebut nama Allah tetapi disebut pula nama selain Allah]. Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (al-Baqarah: 173).
Maklumat asas sembelihan dan daging halal yang toyyiban:
A: Di ladang:
- Mengguna sumber pemakanan yang halal.
B: Proses Sembelihan;
1. Haiwan berpuasa (tidak diberi makan) menjelang sembelihan.
2. Haiwan tidak tersiksa dan tertekan.
3. Haiwan disirami air dan rehat yang cukup.
4. Haiwan tidak mati sebelum disembelih.
5. Hanya Muslim sebagai penyembelih.
6. Dua urat saraf di leher - saluran pernafasan (halkum) dan saluran makanan (marikh) di leher haiwan benar-benar putus.
7. Pendarahan (selepas disembelih):
- Masa minimum pendarahan haiwan ruminan (meragut) tidak kurang enam minit.
- Masa minimum ternakan poltri (jenis ayam dan itik) tidak kurang tiga minit.
C: Proses pembersihan:
1. Haiwan telah disembelih diletak dalam tong atau tempat khas yang tidak tercemar dari kotoran dan cukup udara (cara manual)
2. Haiwan mesti disahkan mati sebelum di celur atau dilapah.
3. Pastikan air celuran bersih dan tidak bertukar warna (bercampur darah dan najis).
4. Tempat pemotongan daging yang bersih.
D: Pasaran:
1. Daging tidak diangkut atau diletak bersama bahan-bahan tidak halal.
2. Daging tidak lebam, kehitaman atau rosak tisu dan organnya.
3. Jangan beli jika meragui kehalalannya.
4. Meneliti logo halal adalah pilihan terakhir (logo halal tidak menjamin produk yang dijual benar-benar halal).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan