Rukun Islam
Rukun Islam ada lima perkara iaitu:
Mengucap dua kalimah syahadat
“ Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh-Nya”
Dengan syahadat, kita mengabdikan diri dengan hati dan sanubari dan dengan pengakuan lidah bahawa Tuhan yang Maha Esa itu adalah Allah s.w.t dan Nabi Muhammad adalah pesuruh-Nya.
Solat Lima Waktu Sehari Semalam
Solat adalah rukun Islam yang kedua yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam. Sesiapa yang mendirikan solat akan mendapat pahala dan sesiapa yang meninggalkannya mendapat dosa dan azab yang pedih di akhirat.
Solat ialah beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulakan dengan takbiraktul ihram dan disudahi dengan memberi salam. Allah s.w.t berfirman:
“ Dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu satu kewajiban yang ditentukan waktu ke atas orang yang beriman”
Solat Fardhu yang wajib didirikan ialah solat ima waktu sehari semalam. Solat Jumaat difardhukan kepada muslim pada setiap hari Jumaat. Solat amat penting bagi setiap individu muslim. Oleh itu anak-anak hendaklah dilatih mengerjakan solat sebagaimana hadith Rasullah s.a.w iaitu:
“ Suruhlah anak-anak kamu solat ketika mereka berumur 7 tahun dan pukullah mereka sekiranya meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun. Asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) daripada tempat tidur”
Dengan sembahyang kita mengabdikan seluruh tubuh badan kita menyembah-Nya. Mulai dari lidah yang membaca, tangan bergerak, mata , telinga dan fikiran terpusat dengan susunan rukun sembahyang yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Mengeluarkan Zakat
Zakat dari segi bahasa boleh diertikan sebagai tumbuh dan bertambah. Ia juga bererti zakat dan baik, suci dan subur.
Ia membawa makna pembersihan dan kesuburan, kerana dengan mengeluarkan zakat, maka harta pencarian dan simpanan menjadi bersih; bersih dari sesuatu yang haram dimiliki, iaitu hak-hak orang lain yang telah diwajibkan kita mengeluarkannya, serta hasil pencarian dan pendapatan tersebut akan diberkati Allah.
Zakat dari segi syara’ bermaksud nama daripada harta-harta tertentu yang diberikan kepada orang-orang tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu.
Pembayaran zakat dibuat oleh seseorang Muslim dari harta/ pendapatan/ perniagaan/ tanaman/ ternakannya sama ada dalam bentuk wang atau bijian atau ternakan, dengan kadar tertentu (2.5% atau 5% atau 10%) bergantung kepada jenis harta, yang diserah kepada pihak berkuasa yang mengutip zakat, untuk diagih kepada 8 asnaf golongan-golongan yang berhak menerima zakat.
Zakat juga boleh dibayar terus sekiranya tiada pihak berkuasa menguruskannya.
Dengan zakat, kita mengabdikan kepada Allah dengan menyerahkan sebahagian daripada harta milik kita kepada mereka yang berhak menerimanya.
Berpuasa di Bulan Ramadan
Firman Allah s.w.t
“ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “
Bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya
“Orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadan kerana didorong oleh rasa keimanan kepada Allah dan dengan penuh kesedaran, maka akan diampunkan oleh Allah akan dosa-dosanya yang telah lalu. “
Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari.
Dengan berpuasa, kita mengabdikan hawa nafsu dan segala keinginan kita kepada Allah dengan menahan nafsu makan dan minum serta menjauhkan larangan-Nya. Ini secara langsung akan melahirkan rasa keinsafan serta meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.
Mengerjakan Haji Di Baitullah
Haji dalam syarak ialah mengunjungi Baitullah Al-Haram di dalam bulan haji kerana mengerjakan tawaf, sai’e dan wukuf di Arafah dengan menurut syarat–syaratnya serta menunaikan segala yang wajibnya.
Dengan mengerjakan haji, kita menyembah Allah dengan harta kekayaan milik kita dan mengunjungi ke Baitullah kepada mereka yang mempunyai kemampuan sekurang-kurangnya sekali dalam hidup.
Rukun Iman
Rukun Iman ada enam perkara iaitu:
Beriman Kepada Allah
Dengan Iman, kita membulatkan keyakinan dan menundukkan diri serta hati kita hanya kepada-Nya.Secara positifnya kita menuju Tauhid yang semurni-murninya dan secara negatif kita menolak segala bentuk pemujaan kepada selain Allah s.w.t.
Beriman Kepada Malaikat-Malaikat
Dengan Iman kita mempercayai bahawa adanya makhluk ghaib yang bernama Malaikat yang menjalankan tugasnya mengikut perintah Allah.Secara positif kita percaya kepada alam ghaib yang ditegaskan oleh Allah dan secara negatif kita menolak segala bentuk ghaib yang tidak dinyatakan Allah.
Beriman Kepada Rasul-Rasul
Dengan beriman kepada Rasul-Rasul, kita mempercayai adanya pesuruh-pesuruh Allah di muka bumi ini untuk dijadikan petunjuk dan teladan.
Beriman Kepada Kitab-Kitab
Dengan beriman kepada kitab-kitab suci, kita mempercayai adanya kitab-kitab Allah yang memimpin manusia, yang di akhiri oleh Kitab Al-Quran.
Beriman Kepada Hari Kiamat
Dengan Iman, kita mempercayai bahawa di sebalik kehidupan di dunia yang fana ini masih ada lagi kehidupan yang abadi dan berkekalan iaitu suatu tempat penentuan kedudukan manusia sama ada di syurga atau neraka.
Beriman Kepada Qada’ dan Qadar
Dengan beriman kepada qada’ dan qadar, kita mempercayai bahawa di samping kita berusaha dan merancang akan kehidupan di dunia ini, Allah telah menentukan segala sesuatu itu dan terletak di dalam kekuasaan-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan