Soalan: Adakah seseorang muslim itu dimestikan mengikut mahzab yang tertentu di antara mahzab-mahzab Fiqh yang muncul di dalam Islam atau dia hanya perlu mengambil hukum daripada Al Quran dan Hadith sahaja dan mengenepikan mahzab-mahzab tersebut atau di sana terdapat sau huraian yang detail?
Jawapan:
1. Sekiranya seorang muslim itu mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan hukum daripada ayat Al Quran dan Hadith seta dapat memahami pengertian yang tersirat daripada kuda-keduanya, mampu membeza di antara dalil khas dengan am, dalil am yang dikhususkan, nasikh dan mansukh, mujmal dan mubaiyyin, muhkam dan mutasyabih dan mampu untuk menyelaraskan di antara dalil yang zahirnya bercanggah, maka dia diharuskan mengambil hukum terus daripada Al Quran dan Hadith tanpa perlu merujuk kepada pendapat-pendapat mazhab dan para fuqaha
Selain daripada itu, dia juga mesti memiliki sifat-sifat berikut:
1. Mahir dalam ilmu bahasa Arab seperti ilmu Nahu dan Sorof, kerana kedua-dua ilmu tersebut merupakan asas dalam memahami makna lafaz.
2. Mengetahui pendapat para ulama berhubung dengan ayat atau hadith itu.
3. Mahir dalam kaedah-kaedah Usul Feqh (Qawa'id Usuliyyah)
4. Mahir dalam memahami ayat-ayat dan hadith-hadith yang berkait dengan hukum hakam (Ayat Al-Ahkam dan Hadith Al-Ahkam)
5. Memilik sifat takwa, amanah dan takut kepada ALlah SWT.
Sekiranya seseorang tidak memiliki sifat-sifat di atas, adalah dikira sebagai satu kezaliman sekiranya seseorang yang tifak tahu membaca ayat Al Quran dengan baik dan tidak mampu untuk membaca nas hadith mengikut kaedah Nahu yang betul kemudian, berani pula mempertikaikan para fuqaha dan mazhab-mahzab yang muncul pada zaman di mana bahasa Arab fasih menjadi pertuturan harian mereka dan zaman mereka lebih hampir dengan zaman RasuluLlah SAW.
2. Sekiranya seseorang tidak memiliki sifat-sifat di atas dan dia tidak memiliki kemampuan seperti mana yang disebut tadi, maka diwajibkannya bertaqlid kepada mana-mana mazhab daripada mahzab-mahzab yang empat.
Dikira sebagai satu kesalahan juga, sekiranya kita mentafsirkan makna ayat Al Quran, iaitu Firman ALLah Ta'ala yang ertinya:
"Mereka menjadikan para ulama dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain dari ALlah."
(At-Taubah: 31)
Dengan mengatakan bahawa ia ditujukan kepada para fuqaha
Qias dengan perkara tersebut kurang tepat kerana para ulama Yahudi dan rahib-rahib Nasrani mereka-reka sendiri hukum-hakam kepada kaum mereka yang bertentangan dengan nas-nas dalam kitab Taurat dan Injil, lalu kaum mereka mengikut apa yang mereka keluarkan itu dalam keadaan sedar bahawa hukum-hakam tersebut bercanggah dengan hukum ALlah, seolah-olah mereka menyamakan ulama dan rahib-rahib mereka itu dengan ALlah dalam menentukan hukum-hakam.
Sedangkan mahzab-mahzab fiqh dalam Islam, mereka bukanlah yang mencetuskan hukum-hakam tetapi mereka cuma berperanan untuk menghurai dan menjelaskan kehendak ayat dan hadith serta pegertiannya. Selain dari itu mereka juga yang meletakkan masalah-masalah semasa yang baru timbul pada kehendak-kehendak ayat atau hadith dan memasukkan setiap juzuk peristiwa yang berlaku di bawah 'Qawaid Syar'iyyah'. Ini tidak dapat dilakukan melainkan mereka yang memiliki sifat-sifat yang telah diterangkan tadi.
Perumpamaan mahzab dengan muqallidnya (pengikut) bagaikan dua orang lelaki yang salah seorangnya memiliki penglihatan yang tajam yang dapat melihat kedudukan anak bulan dengan jelas pada awal bulan, manakala seorang lagi mempunyai penglihatan yang kabur yang tidak dapat melihat kedudukan anak bulan. Lelaki yang pertama tadi dapat melihat anak bulan manakala yang kedua tidak dapat melihatnya, lalu lelaki yang pertama tadi menunjukkannya tempat anak bulan itu di langit sehinggalah lelaki kedua dapat melihatnya. Jadi, rukyahnya berlaku dengan perantaraan lelaki yang tajam penglihatan tadi.
Begitulah keadaannya dengan mahzab-mahzab, kerana mereka mempunyai kemampuan dan kelayakan untuk membezakan di antara dalil yang zahir (yang jelas) dengan dalil yang perlu ditakwil, di antara nasikh dan mansukh, memahami nas melalui kaedah-kaedah bahasa, lalu mereka mengeluarkan hukum.
Setelah itu, hukum yang dikeluarkan itu diterima secara lisan atau tulisan oleh mereka yang tidak mempunyai kemampuan dan kelayakan untuk memahami dalil-dalil tadi. Jadi, mahzab-mahzab tadi bukanlah yang mencetuskan hukum-hakam yang bertentangan dengan ajaran Islam dan tidak ada paksaan pada mengikut mereka, lebih-lebih lagi menganggap mereka tuhan-tuhan selain daripada ALlah SWT. Apa yang mereka bahaskan tidak lari dari skop yang dibenarkan oleh ALlah yang Maha Bijaksana
Tiada ulasan:
Catat Ulasan