Pada zaman dahulu ada seorang mukmin dan seorang kafir, kedua-dua mereka pergi menjala ikan. Si Kafir mengangkat jala dengan menyebut nama berhalanya lalu dia mendapat banyak ikan manakala Si Mukmin mengangkat jala dengan menyebut nama Allah S.W.T, tetapi tidak mendapat satu ikan pun.
Orang mukmin itu pun menjala ikan sehingga sampai waktu Maghrib maka dia pun dapatlah seekor ikan, tetapi malangnya ikan itu telah jatuh kembali ke dalam sungai. Maka kembalilah orang mukmin dengan tidak mendapat apa-apa ikan dan Si Kafir pula mendapat banyak ikan.
Melihat akan hal yang demikian maka malaikat yang menjaga orang mukmin itu pun sangat kesal dan apabila malaikat itu naik ke langit maka Allah S.W.T menunjukkan kepada malaikat tersebut tempat yang disediakan oleh Allah S.W.T untuk orang mukmin itu, iaitu syurga. Sehingga malaikat itu berkata, "Tidak bererti apa-apa pun penderitaan di dunia ini, apabila dia mendapat tempat di syurga."
Allah S.W.T juga menunjukkan tempat orang kafir kepada malaikat tersebut dan berkata malaikat itu, "Demi Allah, tidak berguna apa yang dia dapat di dunia pada hal tempat kembalinya ke neraka jahanam."
Pada hari Kiamat Allah S.W.T tetap akan menolak alasan empat jenis manusia dengan empat sebab :
1. Menolak alasan orang kaya dengan Nabi Sulaiman. Kalau orang kaya itu berkata "Kekayaan itu telah menyibukkan aku sehingga aku tidak sempat melakukan amal ibadat." Maka Allah S.W.T akan berfirman, "Kekayaan kamu itu tidak sampai dengan kekayaan Nabi
Sulaiman, tapi Nabi Sulaiman tidak lalai dari melakukan ibadat."
2. Apabila hamba sahaya berkata, "Oleh kerana aku hamba sahaya, maka aku tidak bebas. Oleh itu aku tidak dapat beribadat padamu." Lalu Allah S.W.T berfirman, "Nabi Yusuf juga pernah menjadi hamba sahaya, tapi tidak pula dia lalai dari melakukan ibadat."
3. Apabila orang miskin berkata, "Kemiskinan inilah yang menyebabkan kami lalai dari beribadat kepadaMu." Lalu Allah S.W.T berfirman, "Kamu tidaklah semiskin Nabi Isa a.s, tetapi Nabi Isa a.s tidak pula lalai dari beribadat padaku."
4. Apabila orang yang sakit memberi alasan dengan mengatakan, "Penyakit itulah yang telah menghalang aku dari beribadat kepadaMu." Maka Allah S.W.T berfirman, "Penyakitmu itu tidak sebagaimana teruk dari penyakit yang dihadapi oleh Nabi Ayub
a.s, tetapi ia tidak menghalangnya dari beribadat padaKu." Sehingga tidak ada alasan bagi orang yang akan beralasan di sisi Allah S.W.T di hari Kiamat.
Apabila seseorang itu takut kepada Allah S.W.T, maka tidak ada suatu apa pun yang dapat menghalangnya dari beribadat kepada Allah S.W.T., sebab Allah yang menciptakan seseorang itu dan apa saja yang dimilikinya di dunia ini akan ditinggalkan olehnya apabila dia menghadap Allah S.W.T kelak. Beruntunglah orang yang memahami tujuan
hidupnya di dunia ini dan rugilah bagi mereka yang menggunakan alasan tidak ada masa untuk beribadat kepada Allah S.W.T., padahal apabila telah mati mereka itu, maka manakah masa yang mereka sebut-sebutkan itu? Apakah yang telah terjadi pada harta bendanya? Tidakkah usahanya hanya di dunia dan di akhirat papa kedana dan yang
menunggunya ialah Ahzab, Ahzab.
Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah meninggalkan wasiat yang berbunyi, "Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah S.W.T telah menetapkan agama Islam itu agamamu. Oleh itu janganlah kamu semua mati, melainkan mati dalam Islam.""
Tiada ulasan:
Catat Ulasan