Khamis, April 03, 2008

Hukum Berkenaan dengan Rokok Dalam Syari`at Islam

Merokok dan Asal Tembakau:

“Merokok” atau “tadkhin” dalam Bahasa Arabnya atau “smoking” dalam Bahasa Inggeris merupakan istilah yang digunakan untuk perbuatan menghisap rokok atau menghisap tembakau dengan apa cara sekalipun. Merokok itu nampaknya merujuk kepada perbuatan mengenakan api pada rokok sigaret, atau cerut, atau tembakau dalam paip, termasuk ke dalam sesuatu seperti paip yang ada air pada bahagian tengahnya, atau kalau bahannya tidak tembakau, ianya sesuatu bahan seperti tembakau yang mendatangkan kesan-kesan yang sama seperti kesan-kesan menghisap tembakau. Asap daripada tembakau atau bahan yang sepertinya yang terkena api itu disedut dengtan mulut dengan itu ia masuk ke dalam mulut, seterusnya dihisap lagi masuk ke dalam dada, kemudian dihembuskan asap itu samaada melalui hidung atau mulut, atau ke dua-duanya sekali; itulah “menghisap rokok” atau”menghisap paip atau cerut” dalam Bahasa Melayu, atu “tadkhin” dalam Bahasa Arab atau “smoking” dalam Bahasa Inggeris.

Berkenaan dengan perbuatan menghisap rokok atau menggunakan tembakau secara yang demikian sebagaimana yang biasa diketahui sekarang adalah nampaknya bukan diketahui dalam umat Islam pada zaman Rasulullah s.a.w., zaman Sahabat dan tabi’in, dan bahkan tidak diketahui pada zaman para imam mujtahidin dan sahabat mereka. Allah meredhai mereka semuanya.

Tembakau ini, atau Bahasa Arabnya “tib’ghun” pl. “tubughun” atau bahasa Inggerisnya “tobacco” tidak dikenali kerana ianya datang dari Barat. Secara ringkasnya dari segi sejarahnya tembakau ini, (dalam Bahasa Latinnya ialah “Nicotania tabacum”) mula digunakan di Dunia Barat dengan penemuan Amerika oleh Columbus, dalam perjalanannya mula-mula yang diketahui pada tahun 1492M; waktu itu Columbus dan orang-orangnya bertemu dengan Orang-Orang India di sana itu ada memegang di tangan mereka sesuatu yang menyala api padanya dan mereka ada herba yang mereka hisap asapnya yang merupakan amalan kebiasaan mereka. Mereka menghisap bahan itu dengan menggunakan paip. Kepada mereka ini upacara suci yang mereka laksanakan untuk menghubungi Roh Agung yang mereka percaya kepadanya. Selepas orang-orang Sepanyol dengan jayanya memperkenalkan tembakau ke Eropah dan golongan elit British menghisap paip dengan tembakaunya pada masa rehat dan bersenang-senang mereka, maka penanaman merupakan asas ekonomi negeri-negeri jajahan British yang mula-mula di Amerika Utara.

Pada tahun 1630an tembakau dengan teguhnya menjadi tanaman yang mendatangkan hasil pendapatann yang besar bagi negeri Virginia yang tentangnya dinyatakan bahawa Thomas Jefferson dilaporkan berkata: “khidmat yang terbesar yang boleh dilakukan oleh mana-mana negeri ialah menambahkan suatu jenis pokok yang berguna kepada budayanya”. Kemudian tembakau itu menjadi “nocotiana” kerana mengambil sempena nama Jean Nicot yang menjadi duta Francis ke Portugal yang meminta supaya Permaisuri Francis mengambil berat tentangnya nya kerana ada khasiat-khasiatnya sebagai ubat. Dalam abad ke-17 para ahli perniagaan Eropah memperkenalkan tembakau itu di seluruh Asia dan Afrika Kemudian dalam abad ke 19 orang-orang Sepanyol memperkenalkan cerut ke ke Asia melalui Filipina dan kemudian ke Rusia dan Turki. Dengan itu ia masuk ke dalam negeri-negeri Islam.

Selepas menghisap rokok menjadi sedemikian berkembang dengan para pemimpin politik dan pelakun termasyhur di Barat menjadikannya sangat popular, menghisap rokok mendapat pukulan hebat kerana ada tentangan pada tahun 1950 dan awal 60an kerana kalangan perubatan menghubungkan tembakau dengan penyakit seperti barah paru-paru dan sebagainya. Mulai dari masa itu masalah mula menjadi meruncing berkenaan dengan perniagaaqn rokok, sampai ke hari ini. Walaupun di negara-negara Barat seperti Amerika dan Britain mengambil sikap sangat tidak menggalakkan merokok di kalangan rakyatnya, syarikat-syarikat gergasi rokok terus menerus menjalankan perniagaan mereka di negeri-negeri di Afrika dan Asia dan ramai orang-orang Islam terlibat dengan amalan menghisap rokok ini sampai ia menjadi amalan yang lumrah di mana-mana.

Sebagaimana yang disebutkan di atas menghisap rokok atau merokok “tadkhin” atau “smoking” tidak ada nas secara langsung dalam Qur’an dan Sunnah, maka hukumnya pada zaman awal tidak ada, tetapi kita memang memahami bahawa mana-mana masalah tidak boleh tidak atau mesti termasuk ke dalam mana-mana hukum Allah yang lima (“al-ahkam al-khamsah”), samada yang wajib, atau sunat, atau haram atau harus atau makruh, dengan takrif-takrifnya yang sedia maklum dalam ilm usul al-fiqh dan fiqh.

Perbincangan Berkenaan Dengan Hukum Tentang Menghisap Rokok:

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Syaikh Universiti al-Azhar, Jad al-Haq Ali Jad al-Haq dalam fatwanya bahawa masalah menghisap rokok ini banyak dibahas oleh para ulama dengan melihat segi manfaat atau mudaratnya dengan hukum asalnya tanpa didapati dalam Qur’an atau sunnah, dan perbuatan menghisap inipun (disebut beliau sebagai “menghisap asap ini” (shurb hadha’-d-dukhan)) (شرب هذا الدخان) tidak berlaku melainkan pada bahagian awal abad ke 11 Hijrah selepas daripada ianya zahir dan berkembang di Barat, negeri Maghribi, Sudan, kemudian berkembang ke negeri-negeri lain.

Maka bila ia berkembang dalam negeri-negeri Islam ada golongan yang bependapat ianya ada mempunyai faedah-faedah yang banyak, sehingga, sebagai misalannya ada dari golongan itu yang menyatakan bahawa ia menghadamkan makanan, menghilangkan unsur-unsur racun atau toksin dalam badan, membunug ulat-ulat dalam usus, menyenangkan keluar lendir badan, memanaskan badan kepala dan badan, meringankan selsema, menguatkan tumpuan fikiran, dan cita-cita, serta menjadikan keluar hampas badan dengan segera.

Ada golongan lain pula, kata beliau, sebagaimana yang diambil pendapat itu daripada ahli-ahli perubatan dan pemikir zamannya, bahawa menghisap rokok itu pada permulaannya mendatangkan beberapa faedah pada badan, sehingga orang yang berkenaan itu berterusan dengan perbuatan menghisap itu, sehingga jadilah selaput pada matanya (al-ghishawah fil-basar), berat pada gerak geri anggota, dan penghadaman pun terganggu. Beliau menyebutkan ada pendapat yang menyatakan menghisap rokok itu panas, menjadikan kering badan, menimbulkan rasa haus, memudaratkan kalbu dan otak, menimbulkan debaran pada jantung, dan memekatkan darah.

Maka dari sinilah timbul pendapat-pendapat para fuqaha berkenaan dengannya: maka keluarlah pendapat-pendapat mereka antara yang menyatakan harus (“ibahah”), makruh (“kirahah”), tegah dan haram (“al-man’ wa al-hurmah”). Ada yang membuat kenyataan bahawa asal tentangnya haram melainkan bila ditunjukkan oleh dalil Syara’ tentang harrusnya: (ان الاصل فيها الحرمة الا ما دل دليل الشرع على اباحته) Dan beliau menyatakan bahawa ada yang berpendapat bahawa asal hukum tentangnya adalah harus melainkan bila ditunjukkan oleh dalil hukum Syara’ tentang haramnya ( ان الاصل فيها الاباحة الا ما دل الشرع على حرمته)

Beliau menyebut golongan yang ketiga sebagai yang mendetailkan manfaat dan kemudaratannya, dan bila ada kemudaratan maka dasarnya haram, dan bila ada manfaat-manfaatnya, maka dasarnya harus. Dengan itun mereka yang memandang menghisap rokok itu (شرب الدخان ) ada faedah-faedahnya maka diambil pendapat bahawasanya harus menghisapnya. Adapun mereka yang menyabitkan kemudaratan pada merokok itu dan tidak ada faedahnya, maka dihukumkan ianya haram. Dan mereka yang terumbang ambing antara dua antara manfaat dan mudaratnya berpendapat menghisap rokok itu makruh. Dan antara mereka itu ada yang berpendapat kalaulah menghisap itu merupakan perbuatan israf atau menyia-nyiaka harta membelinya dengan harga yang mahal, maka itu perbuatan israf yang haram, apa lagi dengan baunya yang tidak menyenangkan, khususnya bagi orang yang menghisapnya, maka dihukumkan haram.

Dengan itu maka tidak didapati kata sepakat antara fuqaha dalam hal menghisap rokok ini, tidak ada keputusan yang bersifat yakin wajahnya, sebagaimana tidak ada di sana itu dalil atau nas shar’i yang memberi hukum tentang haram atau makruhnya.

Maka ada ulama yang mengambil pendapat dari Radd al-Mukhtar (رد المختار) karangan ibn ‘Abidin dan mengatakan ianya harus (أنه مباح) dan mereka yang memberi fatwa tentang halalnya yang diperpagangi pendapatnya dalam Empat Mazhab itu, sebagaimana yang dinukilkan oleh al-‘Allamah al-Ajhuri dalam “Risalah”nya; dan yang mengikut pendapat ini ialah al-‘Alamah ‘Abd al-Ghani an-Nablusi al-Hanafi dalam risalahnya di mana beliau menghalalkan perbuatan itu. Kata beliau:

( انه لم يقم دليل شرعى على حرمته وكراهته , و لم يثبت اسكاره او تقتيره بعامة الشاربين حتى يكون حراما او مكروها تحريما , فهو يدخل فى قاعدة : " الآصل فى الآشياء الاباحة" وفى "الآشباه عند الكلام على قاعدة "الآصل فى الآشياء الاباحة او التوقف"…)

(sesungguhnya (tentang perkara ini) tidak ada berdiri dalil syari’ tentang hukum haramnya atau makruhynya, dan tidak sabit mabuknya ataupun melemahkannya di kalangan semua para penghisapnya sehingga jailah ianya haram atau makruh tahrim (pada sisi hukumnya), maka ianya termasyuk di bawah kaedah (usul al-fiqh) “asalm (hukum) pada semua perkara ialah harus” dan dalam kitab “Ashbah” (karangan Imam al-Suyuti) termasuk ke dalam kaedah “asal (hukum) dalam semua perkara ialah harus atau tawaqquf…”).

Dan dalam “Radd al-Mukhtar” karangan Ibn ‘Abidin dinyatakan:

( أن فى ادخاله تحت هذه القاعدة اشارة الى عدم اسكاره و تقتيره

و اضراره كما قيل )

“Sesungguhnya ianya dimasukkan di bawah kaedah ini mengisyaratkan bahawa ianya tidak memabukkannya deann tidak melemahkannya dan memudaratkannya, sebagaimana yang dikatakan.”

Dan tentang hukumnya antara harus dan tawaqquf (“al-ibahah wa al-tawaqquf”) (بين الاباحة والتوقف) dan pilihan yang mula-mula itu kerana yang rajih pada jumhur Hanafiyah dan Syafi’iyah sebagaimana yang ada dalam kitab “al-Tahrir” bahawa yang asalnya ialahn harus (“al-ibahah”), melainkan sebagaimana yang dikatakan oleh al-‘Allamah at-Tahtawi:

(( يكره تعاطيه كراهة التحريم لعارض , ككونه فى المسجد , للنهى الوارد فى الثوم والبصل وهو ملحق بهما , وكونه حال القراءة لما فيه من الاخلال بتعظم كتاب الله تعالى … الى ان قال : " والكراهة لعارض , لآننا فى حكم الاباحة فى عامة اللآحوال"))

“Makruh mengambilnya (iaitu menghisapnya) sebagai makruh tahrim kerana sebab yang mendatang (li-‘aridin) seperti halnya dalam masjid, kerana ada riwayat menegahnya berkenaan dengan makan bawang dan bawang putih dan menghisap rokok itu dikaitkan dengan kedua-duanya itu, dan keadaannya dalam hal membaca Qur’an kerana dalam perbuatan itu (merokok itu) ada padanya perbuatan tidak memuliakan Kitab Allah taala…” sampai kepada katanya”…dan makruh kerana sesuatu sebab mendatang (li ‘aridin), kerana kami menghukumkannya harus dalam semua hal dan keadaan”.

Dan pendapat al-’Imadi tentang makruh menghisap tembakau itu ditanggungkan maksudnya- sebagaimana yang disebut oleh Abu as-Su’ud – sebagai makruh tanzihiyah; dan pendapat al-Ghazzi al-Shafi’i pula hukum haramnya itu didhaifkan oleh golongan Shafi’iyah sendiri, dan hukumnya pada mazhab mereka ialah makruh tanzih kecuali kerana sesuatu sebab yang mendatang (“illa li-‘aridin”) dan makruh tanzih itu berhimpun dengan ibahah (harus). ( الكراهية التننزيهية تجامع الاباحة)(9).

Kerana itu, kata Jad al-Haqq ‘Ali Jad al-Haqq bahawa dari situ bolehlah diketahui bahawa hukum menghisap rokok itu asalnya adalah harus melainkan kerana sesuatu sebab yang mendatang ( أن الآصل فيه الاباحة الا لعارض توجب تحريمه او كراهته التحريمية , لضرره الشديد بالنفس , او بالمال , او بهما,

او تعاطيه فى المسجد , او فى أثناء سماع القراءن لما فيه من المنافاة لتعظيم الله تعالى )

“Asalnya (hukum) berkenaan dengan menghisap rokok itu adalah harus, melainkan kerana sesuatu sebab yang mendatang yang menjadikan hukumnya haram, atau makruh tahrim, kerana kemudaratan yang berat bke atas diri, atau harta, atau kedua-duanya sekali, atau ianya berlaku dalam masjid atau dalam masa mendengtar bacaan Qur’an, kerana ada padanya perkara yang menafikan kebesaran dan kemuliaan (Kalam) Allah taala.

Kalau ditanyakan bilakah yang demikian itu boleh berlaku, maka boleh dijawabkan bahawa itu boleh berlaku - mengikut setengah daripada para fuqaha yang dahulu-dahulu, dengan mengambil faham daripada para ahli perubatan dan ahli fikir - bila menghisap rokok itu berlaku pada peringkat permulaannya ada setengah daripada kemanfaatannya pada badan, kemudian ia terus menerus menghisapnya berkekalan, kemudian jadilah selaput pada pandangan matanya, berat gerak-geri anggotanya, gangguan pada penghadhamannya, dan sedutan asapnya itu panas, mengeringkan badan, mendatangkan rasa haus, serta memudaratkan jantung serta otak, demikian seterusnya.

Dalam Bughyah al-Mustarshidin terdapat kenyataan sedemikian:

(مسألة ك) قال لم يرد فى التنباك حديث عنه صلى الله عليه وسلم ولا أثر عن أحد من السلف وكل ما يروى فيه من ذلك لا أصل بل مكذوب لحدوثه بعد الآلف واختلف العلماء فيه حلا وحرمة والفت فيه التاليف و أطال كل فى الاستدلال لمدعاه والخلاف فيه واقع بين متأخرى الآئمة الآربعة والذى يظهر انه ان عرض له ما يحرمه بالنسبة لمن يضره فى عقله أو بدنه فحرام كما يحرم العسل على المحرور والطين لمن يضره و قد يعرض له ما يبيحه بل يصيره مسنونا كما اذا استعمل للتداوى بقول ثقة أو تجربة نفسه بأنه دواء للعلة التى شرب لها كالتداوى بالنجاسة غير صرف الخمر وحيث خلا عن تلك العوارض فهو مكروه اذ الخلاف القوى فى الحرمة يفيد الكراهة).

Ertinya: Mas’alah: kata beliau: Tidak ada hadith datang daripada Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam berkenaan dengan tembakau, dan tidak ada athar dari seorang dari kalangan Salaf, dan tiap-tiap perkara yang diriwayatkan tentang perkara itu tidak ada asalnya dan bohong, kerana perkara tembakau itu perkara yang baharu, selepas seribu tahun Hijrah, dan para ulama berbeza pendapat tentang hukum halal dan haramnya, dan banyak karangan-karangan yang ditulis tentangnya, dan tiap-tiap pihak panjanglah huraian mengambil dalil mengemukakan dakwaannya, dan khilaf tentangnya berlaku antara ulama yang kemudian dalam kalangan imam-imam empat mazhab. Dan yang zahirnya (tentang menghisap tembakau itu ialah) kalau berlaku dengannya apa yang mengharamkannya bagi orang yang mendapat mudharatnya, pada segi akalnya, atau badannya, maka hukumnya haram, sebagaimana haramnya madu atas orang yang panas dirinya (maka menjadi berbahaya dengan madu itu) dan tanah bagi orang yang mendapat mudharat dengannya, dan kadang-kadang ada maswanya boleh berlaku padanya apa yang menjadikannya harus, bahkan menjadikannya sunat, seperti ianya digunakan untuk berubat, mengikut pendapat orang yang dipercayai, atau mengikut percubaan yang telah dibuat sendiri (oleh orang yang berkenaan), bahawa ia ubat bagi penyakit (dawa’ lil-‘illah) yang dihisap bagi tujuan berubat, sebagaimana berubat dengan bahan najis lain daripada (menggunakan) khamar semata-mata (sirf al-khamr) , dan bila tidak ada perkara-perkara mendatang itu maka ianya makruh, kerana khilaf yang kuat dalam perkara haram menimbulkan maksud makruh.”

Kemudian beliau menambah lagi kata-katanya berkenaan dengan merokok ini:

( التنباك معروف من أقبح الحلال اذ فيه اذهاب الحال والمال ولا يختار استعماله أكلا أو سعوطا أو شربا بالدخانه ذو مروءة من الرجال وقد أفتى بتحريمه أئمة من أهل الكمال)

Tembakau adalah terkenal termasuk daripada perkara yang terburuk dalam perkara halal, kerana dalam perbuatan menghisapnya berlakulah kehilangan hal (kerohanian yang baik yang diamali seseorang ahli rohaninya) dan kehilangan harta, dan orang yang mempunyai maruah dari kalangan ahli rohani yang baik martabatnya (lit. orang yang ada maruah dari kalangan lelaki) tidak melakukan perbuatan menggunakan tembakau itu itu secara menyedutnya melalui hidung, atau menghisap asapnya, dan telah memberi fatwa tentang haramnya imam-imam dari kalangan ahli rohani yang sempurna (a’immah min ahl al-kamal) (seperti Sayyid ‘Abd Allah al-Haddad dan seterusnya…)

Dan penyelidikan-penyelidikan dalam perubatan moden menyingkapkan bahaya dan kemudaratan menghisap rokok itu ke atas kesihatan tubuh badan manusia. Mereka membentangkan penemuan-penemuan dari penyelidikan perubatan tentang bahaya merokok dengan nyatanya.

Perkara-perkara asasi yang lima:

Ditentukan dalam ajaran agama Islam bahawa lima perkara yang menjadi asas dan matlamat hukum agama di muka bumi ialah untuk: menjaga agama, akal, nyawa, harta, dan maruah diri. Dan Muslimin ditegah sekali-kali dengan nas-nas Quran dan Sunnah, daripada melakukan perkara-perkara yang membaya sebab kebinasaan nyawanya, atau dirinya, firman Allah taala:

(ولا تلقوا بأيديكم الى التهلكة ) yang bermaksud: “Dan janganlah kamu melemparkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam kebinasaan”. (13), dan lagi ayat: ( و لا تقتلوا أنفسكم ) (14) yang bermaksud: “Janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri”.

Dalam hubungan dengan ini juga boleh diingatkan hadith riwayat Tirmidhi :

( لا تزول قدما عبد يوم القيامة حتى تسأل عن عمره فيم أفناه , وعن علمه فيم فعل به , وعن ماله من أين اكتسبه و فيم أنفقه , وعن جسمه فيما أبلاه)

Dua tapak kaki anak Adam tidak akan bergerak pada Hari Kiamat sehingga ia ditanya tentang umurnya dalam perkara apa ia habiskannya, tentang ilmunya apa yang dibuat dengannya, dan berkenaan dengan hartanya dari mana punca mata pencariannya, dan bagaimana ia membelanjakannya, dan tentang tubuh badannya, bagaimana ia menggunakannya”.

Dari segi israf dan perbuatan membazirkan harta, maka itu ditegahkan oleh Syara’ sebagaimana yang terkandung dalam ayat:


( ولا تبذر تبذيرا )

Ertinya “Dan janganlah amu membazirkan harta kamu”. Itu perbuatan yang amat ditegah kerana membinasakan kehidupan. Boleh diingatkan pula ayat celaan terhadap manusia yang membinasakan harta dalam perkara yang sedemikian ini sebagaimana yang ada dalam surah al-Balad: ( يقول أهلكت ما لا لبدا ) yang bermaksud: “Dia mengatakan (di sini dengan amal perbuatannya) Aku telah menghabiskan harta yang banyak (secara literalnya “aku membinasakan harta yang banyak)”.

Bila dilihat dari segi-segi yang di atas tadi, maka jelaslah yang si Muslim itu bila ia menghisap rokok, dengan berlain-lainan cara dan jenisnya, yang mendatangkan bahaya yang amat sangat ke atas manusia.

Dr ‘Abdul Jalil Shalabi ahli badan penyelidikan Islam membuat beberapa kenyataan yang bernas berkenaan dengan masaalah merokok ini. Beliau menyatakan bahawa menghisap rokok tidak ada zaman Nabi s.a.w., juga zama tadwin teks-teks fiqh imam-imam yang awal, juga para imam mazhab-mazhab fiqh Islam awal, maka kerana ianya tidak ada dalam Quran dan Sunnah, maka tidak ada hukumnya pada para ashab al-mazahib. Merokok hanya ada lebih kurang dalam kurun ke 16 Masihi, maka para fuqaha melihat tentang hukumnya itu mengikut kadar maklumat yang ada pada mereka, dan pada masa mereka tidak kelihatan jelas bahayanya merokok itu, dengan itu maka tumpuan pandangan mereka lebih banyak kepada orang yang menghisap itu sendiri bukan kepada bahan yang dihisap itu. Dikatakan tidak ada bahaya padanya, maka dianggap sebagai perkara yang diminum di antara bahan-bahan yang diminum sahaja, yang harus pada zatnya. Maka nisbah pada orang yang menghisapnya mereka memandangnya dari segi hukum Syara’ yang lima itu, tetapi tentang hukumnya itu sendiri mereka tidak bersepakat tentangnya.

Antaranya ialah:

· harus hukumnya bagai orang yang tidak mendatangkan apa-apa kesan atas hartanya dan kesihatannya, ia seperti kopi dan the yang diminum demikian seterusnya.

· hukumnya makruh nisbah bagi orang sedikit hartanya, bila harga rokok itu tidak memberi kesan atas hartanya yang ia perlu untuk kehidupannya dan keluarga yang ia tanggung, juga tidak mendatangkan kesan buruk atas kesihatannya.

· hukumnya haram nisbah bagi orang yang fakir yang memerlukan harga rokok itu untuk belanja hidup dan keperluannya, sebagaimana ia haram baginya bila ada kesan buruk atas kesihatannya;

· hukumnya sunat bagi orang yang mendapat kecergasan daripada menghisap rokok itu bagi setengah daripada kerja-kerjanya, kedudukannya seperti kedudukan kopi yang menjadikan orang cergas dan jaga.

· hukumnya wajib bila sabit pada menghisap rokok itu penyembuh sesuatu penyakit yang dihidapinya, dengan itu kedudukannya seperti ubat yang wajib ia gunakan untuk mendapat kesihatannya kembali.

Pada bahagian akhir kenyataannya Dr ‘Abd al-Jalil Shalabi membuat kesimpulannya bahawa para ulama di atas menumpukan perhatian ke atas penghisap rokok walaupun pada zaman mereka belum sabit kemudaratan perbuatan itu atas kesihatan.

Lepas itu beliau menyebut penemuan-penemuan dari segi perubatan; kata beliau adalah sabit kini bahawa merokok ada kesannya yang besar atas kesihatan manusia yang merokok itu, dan lagi kemudaratan itu bukan hanya terbatas setakat dirinya sahaja tetapi kepada masyarakat dan zuriatnya; dan pada beliau selepas membaca bahan-bahan penerbitan yang menerangkan bahaya merokok itu dilihat pada segi kesihatan manusia dan masyarakat, maka beliau berpendapat ianya haram:.

( أقول أنه حرام قطعا

ويجب على المدخنين أن يقلعوا عنه , وعلى غير المدخنين أن يتحاشوه )

Saya menyatakan bahawa menghisap rokok itu haram secara putus dan wajib atas mereka yang menghisap itu meninggalkannya, dan mereka yang tidak menghisapnya hendaklah menjauhkan diri daripadanya.

Seorang lagi yang boleh kita kemukakan huraiannya ialah Dr Hamid Jami’ –beliau bekas setiausaha (amin) Universiti al-Azhar, pakar ensiklopedia fiqh Islami di Kuweit-yang menulis “al-Hukm al-Shar’I fit-Tadkhin” yang menyenaraikan fuqaha’ yang mengeluarkan fatwa merokok itu haram:

· faqih mazhab Hanafi Shaikh Isma’il al-Nablusi: beliau menukilkan bahawa suami ada hak melarang isterinya makan bawang dan bawang putih yang menyebabkan mulut berbau busuk.Kemudian katanya bahawa maksudnya pula ini menegah orangmenghisap sesuatu yang menyebabkan bau mulut menjadi busuk, di sini asak daripada merokok; apa lagi kalau suaminya tidak merokok.

· faqih Hanafi: Shaikh ash-Sharanbalali: dinyatakan dengan terang bahawa ditegah menjual dan menghisap rokok dan orang yang menghisapnya sewaktu ia berpuasa, terbatal puasanya.

(ويمنع من بيع الدخان وشربه وشاربه فى الصوم لا شك يفطر )

· faqih Hanafi Shaikh al-Masiri, kata muridnya Shaikh Isma’il al-Nabblusi: beliau telah mengeluarkan fatwa haram menghisapnya - iaitu menghisap “asap” iaitu merokok- iaitu shaikh dari shaikh-shaikh kami al-Masiri.

· faqih Hanafi Shaikh al-‘Imadi: di sebut dalam hasyiah Ibn ‘Abidin: “Aku menyatakan: zahir kata-kata ‘Imadi bahawa ianya makruh tahrim dan menjadi fasik orang yang menghisapnya’.

Selepas menyebut beberapa orang faqih Hanafi lagi beliau menyebut pula fuqaha mazhab Shafi’I dan Hanbali.

· faqih mazhab Maliki yang disebutkan beliau ialah Shaikh Salim as-Sanhuri: fatwanya dinukilkan oleh muridnya Shaikh Ibrahim al-Laqqani, katanya, bila mula-mula menghisap rokok mula tersebar di Mesir, datanglah seorang dari negeri Maghrib, disebutkan namanya sebagai Ahmad bin ‘Abdullah, maka bila ditanya maka beliau memfatwakan ianya haram, maka semenjak masa itu al-‘Allamah Salim as-Sanhuri memfatwakan ianya haram, dan Shaikh Sanhuri mengeluarkan fatwa itu sampai ia meninggal. Dan beliau sebutkan tidak ada yang menyalahi fatwa itu.

· faqih Shafi’I yang beliau sebutkan ialah Shihab al-Din al-Qalyubi yang menyatakan: ( كل جامد فيه تخدير وتغطية للعقل طاهر وان حرم تناوله لذلك كما قال بعض مشائخنا : ومنه الدخان المشهور وهو كذلك , لآنه يفتح مجارى البدن ويهيئها لقبول الآمراض المضرة , ولذلك ينشأ عند الرجل الترهل والتنافيس ونحوها , وربما أدى الى العمى. وقد أخبر من يوثق به يحصل منه دوران الرأس أيضا, ولا يخفى أن هذا أعم ضررا من المكمور الذى حرم الزركشى أصله لضرره )

Ertinya: Tiap-tiap bahan beku yang padanya ada kesan melalikan (تخدير) dan menutupi (تغطية) bagi akal, adalah suci walaupun ianya haram dimakan kerana demikian itu, sebagaimana yang dikatakan oleh setengah daripada para syaikh kami: termasuk daripadanya ialah merokok (lit. asap) yang masyhur ianya demikian itu (juga hukumnya, iaitu suci tapi haram kerana menutupi dan melalikan akal-p), kerana ia membuka lubang-lubang halus badan dan menyediakannya bagi menerima penyakit-penyakit yang memudaratkan, kerana itulah maka timbul pada orang yang berkenaan itu sifat membengkak badan dan payah bernafas dan yang sepertinya, dan mungkin kadangt-kadang membawa kepada penyakit buta. Dan sesungguhnya ada orang yang dipercayai bahawa hasil daripada perbuatan merokok itu juga pusing atau pening kepala dan tidak tersembunyi lagi bahawa ini adalah kemudaratan yang paling am dialami daripada “al-makmur” yang Zarkasyi mengharamkan asalnya kerana kemudaratannya”.

· faqih Shafi’I lagi yang beliau kemukakan ialah Shaikh an-Najm al-Ghazzi, yang dinukillkan pendapatnya oleh pengarang “ad-Durr al-Mukhtar” katanya : (والتتن -أحط الد;خان- الذى يدعى شاربه أنه لا يسكر , وان سلم فانه مفتر , وهو حرام لحديث أحمد عن أم سلمة قالت :نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن كل مسكر ومفتر" وليس من الكبائر تناوله المرة والمرتين , ومع نهى ولى الآمر عنه حرم ققطعا , على أن استعماله ربما أضر بالبدن. نعم الاصرار عليه كبيرة كسائر الصغائر.

Dan “tutun” iaitu asap (merokok) yang didakwa oleh penghisapnya bahawa ia tidak memabukkan, walaupun sejahtera ia melemahkan, dan haram hukumnya, berdasarkan hadith riwayat Imam Ahmad, dari Umm Salamah katanya: Rasulullah s.a.w. menegahkan tiap-tiap bahan yang memabukkan dan melemahkan (badan)”, ianya bukan daripada dosa besar bila dihisapnya sekali atau dua kali, dan dengan waliyul-amr menegahnya ia menjadi haram secara putus hukumnya, dengan alasan penggunaannya boleh memudaratkan badan.Ya, sentiasa menghisapnya menjadikannya dosa besar, sebagaimana halnya dengan dosa-dosa kecil lainnya (yang menjadi dosa besar bila berkekalan melakukannya).

· faqih mazhab Shafi’I seorang lagi yang dikemukakan beliau ialah Sulaiman al-Bujairimi katanya : ( وأما الدخان الحادث الان المسمى بالتتن - لعن الله من أحدثه - فانه م㻂 البدع القبيحة . فقد نهى شيخنا الزيادى أولا لآنه لا يفطر, لآنه لم يكن يعرف حقيقته , فلما رأى أثره بالبوصة التى يشرب بها رجع وأفتى

بأنه يفطر.)

Adapun menghisap rokok yang baharu timbul sekarang ini yang dipanggil “tutun” - Allah melaknat orang mula mengadakan pembaharuan yang buruk ini- ia daripada bid’ah yang keji. Sesungguhnya Syaikh kami al-Ziyadi mula-mulanya menegahkannya, katanya tidak menyebabkan batal puasa (orang menghisapnya), kerana beliau tidak mengetahui hakikatnya, kemudian bila beliau melihat kesannya dengan “al-busah” alat yang digunakan untuk menghisapnya, beliau kembali daripada fatwanya dan mengeluarkan fatwa (baharu) bahawa menghisapnya membatalkan puasa.

· dari kalangan fuqaha mazhab Hanbali yang beliau kemukakan ialah al-Shaikh Mustafa ar-Rahibani yang berkata: ( وكل مذهب من الآربعة فيهم من حرمه , و فيهم من كرهه , و فيهم من أباحه , ولكن غالب الشافعية والحنفية قالوا انه مباح أو مكروه , وبعض منهم حرمه , و غالب المالكية حرمه , وبعض منهم كرهه , وكذا أصحابنا , لا سيما النجديون , الا أن لم أر من الآصحاب من صرح فى تأليفه بالحرمة )

Tiap-tiap mazhab daripada yang empat itu di kalangan mereka ada yang mengharamkannya, dan yang memakruhkannya, yang mengharuskannya, tetapi di kalangan yang lebih ramai dalam mazhab Imam Syafi’I dan mazhab Hanafi mereka berpendapat hukumnya harus atau makruh, setengtah dari mereka berpendapat ianya haram, dan yang ramai di kalangan mazhab Maliki mengharamkannya, dan setengah daripada mereka memakruhkannya, demikian sahabat-sahabat kami, terutamanya ulama Najd, melainkan hanya kami tidak melihat dari kalangan sahabat-sahabat itu orang yang menulis dengan nyata dalam tulisannya mengharamkannya.

Kemudian beliau masuk kepada pendapat ulama semasa berkenaan dengan perkara itu. Beliau mulai dengan ulama al-Azhar. Lujnah fatwa di al-Azhar mengeluarkan fatwanya berkenaan dengan menghisap rokok (al-dukhan):

( "شرب الدخان ثبت يقينا من أهل المعرفة والاختصاص والمعتمرات الطبية العالمية ضرره بالصحة , لما يسببه من سرطان الرئة والحنجرة والاضرار بالشرابيين , كما أنه ضار بالمال لانفاقه فيما لا يعود على الانسان بالفائدة , وهى نهى الرسول صلى الله عليه وسلم عن كل ما يضر بالصحة والمال , ففى الحديث الشريف " لا ضرر ولا ضرار" لهذا نرى حرمة شرب الدخان واستيراده وتصديره والاتجار فيه . والله تعالى أعلم.)

Menghisap rokok adalah tetap dengan yakinnya mengikut ahli pengetahuan dan para pakar dan persidangan-persidangan perubatan antarabangsa ianya memudaratkan kesihatan, kerana ia menyebabkan barah paru-paru dan kerongkong dan mendatangkan mudarat yang amat sangat atas mereka yang ketagih menghisapnya, sebagaimana ia memudaratkan hartabenda kerana mengeluarkan belanja dalam benda yang tidak mendatangkan faedah kepada manusia; sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menegahkan tiap-tiap perkara yang memudaratkan kesihatan dan harta benda, dan daam hadith Nabi s.a.w. bersabda: “jangan kamu memudaratkan dan terkena mudarat”. Dengan ini kami berpendapat haram merokok, mengimportnya, mengeluarkannya dan menjalankan perniagaan di dalamnya. Wallahu a’lam”.

Pada tahap ini mungkin kita boleh membuat ringkasan tentang hukum berkenaan dengan merokok ini dengan mengambil catitan apa yang disebut dalam “al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah” di bawah artikel “tabagh”. Antaranya ialah:

· dari jenis pokok datang asalnya dari Amerika, tidak diketahui oleh Orang Arab zaman purba.Antara nama-namanya “al-dukhan”, “al-tutun”, “al-tunbak”; kemudian terkenal pula dengan nama “al-taba’”.Kemudian yang menyamai “al-tabagh” dari segi disedut hisapnya (“tadkhin”) “al-tubbaq”.

· Dari sini timbul yang terkenal pada fuqaha “al-dukhkhan”yang muncul di akhir kurun ke 10 Hijrah dan bahagian awal kurun ke 11 Hijrah.Yang awal membawanya ke bumi Rom (atau Turki ‘Uthmaniyah) ialah Orang Inggeris, yang membawanya ke Maghrib ialahYahudi, kemudian dibawa ke Mesir, Hijaz, India, dan banyak negeri-negeri Islam.

· Hukum menggunakannya: Semenjak lahir “dukhkhan”, nama terkenal bagi “al-tabagh”, para fuqaha berbeza pendapat tentangnya, sebab berlainan tahkik tentang kemudaratan dalam menggunakannya, maka kerana tidak ada hukum asal tentangnya, dikiaskan hukumnya. Setengahnya mengatakan haram, yang lainnya mengatakan makruh, ada yang mengatakan ianya harus.

· Yang mengatakan haram: yang mengatakan haram menghisap rokok (“tahrim shurb al-dukhkhan”) dari kalangan mazhab hanafi: Shaikh Sharannbulali, pengarang “al-Durr al-Muntaqa”, dan Ibn ‘Abidin mengeluarkan kenyataan makruh tahrim mengikut Shaikh ‘Abd al-Rahman al-‘Imadi.

· dari kalangan mazhab Maliki yang menyatakan hukum haram ialah: Salim al-sanhuri, Ibrahim al-Laqqani, Muhammad bin ‘Abd al-karim al-Fakkun, Khaloid binj Ahmad, Ibn Hamdun dan lainnya.

· Dari kalangan mazhab Shafi’I: Najm al-Din al-Ghazzi, Qalyubi, Ibn ‘Allan, dan lainnya.

· Dari kalangan Hanbali: Shaikh Ahmad Buhuti, dan setengah ulama Najd.

· Dari kalangan mereka yang mengarang trentang haramnya: seperti al-Laqqani, Qalyubi, Muhammad ibn ‘Abd al-Karim al-Fakkun, dan ibn ‘Allan.

· Dalil yang diambil oleh mereka yang mengatakan ia haram: rokok itu (“al-dukhkhan”) pada awal menggunakannya ada mabuk yang singkat, kemudian terus menerus setiap kali diambilnya berkurang sedikit demi sedikit, samapai lama masanya, sehingga tidak terasa lagi, tetapi ada rasa seronok, dan kemabukan (“nashwatan wa tarban”), ada tutupan pada akal, walaupun tidak kuat Tidak syak lagi ini berlaku pada awal mula orang menggunakannya. Atas fahaman ini maka is najis, haram sedikit atau banyaknya. (Dinyatakan dalam artikal ini:”yuhaddu syaribuh: dihadkan peminumnya atau penghisapnya”).

· Kalau dikatakan tidak memabukkan (“la yuskir”), maka ianya menyebabkan penghisapnya rasa lemah dan terasa “kebas”, atau kurang sensitif rasanya (“numb”), (“taqtiran wa khadran”), maka ia menyamai khamar pada awal “mabuk”nya. (“fi nashwatih”). Umm Salamah meriwayatkan nabi s.a.w. bersabda (hadith yang bermaksud): “Rasulullah s.a.w. menegah tiap-tiap yang memabukkan dan melemahkan” (“muskirin wa mufattirin”). (كل مسكر ومفتر). Ulama menyatakan: “al-mufattir” ialah apa yang menimbulkan rasa lemah lunglai dan rasa “kebas” kurang merasa apa-apa pada anggota (ما يحدث الفتور والخدر فى الآطراف) ) dan membawa kepada kelemahan dan kerosakan kekuatan (صيروتها الى وهن وانكسار ) dan cukuplah dari segi ini dalil hadith Umm Salamah sebagai hujah dan dalil tentang haramnya; tetapi atas dasar ini tidaklah ianya najis dan penghisapnya tidak dikenakan had. Dan haram yang sedikit seperti yang banyaknya kerana takut berlaku kesan itu, kerana pada ghalibnya kesannnya berlaku dengan sedikit daripadanya. Dan menjaga akal adalah disepakati daripada perkara am yang lima.

· Sesungguhnya dengan menghisapnya berlaku kemudaratan pada badan, akal, harta, dan merosakkan kalbu atau jantung, melemahkan kekuatan badan, menjadikan kuning tubuh, dan timbul daripada kesan asap dalam badan itu penyakit-penyakit, seperti batuk, membawa kepada TB (“sill, sull”), menimbulkan penyakit yang membinasakan lagi. Semua ini termasuk ke dalam apa yang dimaksudkan dalam ayat (ولا تلقوا بأيديكم الى التهلكة) ): “jangan kamu campakkan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan”: iaitu tersekatnya perjalanan darah, menjadikan gagal sampainya makanan ke seluruh badan, maka penghisapnya boleh maut dengan mengejut.

· Dinyatakan bahawa para ahli perubatan bersepakat bahawa merokok memudaratkan, dan disebutkan kenyataan shaikh ‘Ulaysh bahawa setengah Orang Inggeris yang bergaul dengannya menyatakan bahawa mereka tidak membawa rokok ke negeri-negeri Islam melainkan selepas sepakat ahli-ahli perubatan mereka perbuatan itu perlu ditegah melaziminya, dan mereka disuruh mengambil dengan berhemat, sedikit sahaja, supaya tidak mendatangkan mudarat dan diteruskan kenyataan bahawa British menyuruh tembakau itu dijual kepada Muslimin untuk memudaratkan mereka (kalau diingatkan apa yang mereka lakukan kepada Orang Cina dengan candu, maka kenyataan ini munasabah benarnya-p).

· Dinyatakan juga berhubungan dengan ini hadith (الحلال بين والحرام بين وبينهما مشتبهات لا يعلمهن كثير من الناس فمن اتقى الشبهات استبرأ لدينه وعرضه ومن وقع فى الشبهات وقع فى الحرام كالراعى يرعى حول الحمى

· يوشك أن يرتع فيه ) ) :Yang halal itu nyata, yang haram itu nyata, antara keduanya ada perkaraperkara syubahat yang ramai tidak mengetahuinya, maka sesiapa yang menjaga dirinya daripada yang syubahat maka ia menjaga agamanya dan maruah dirinya, dan sesiapa yang terjatuh ke dalam yang syubahat maka terjatuh ia ke dalam yang haram, seperti pengembala yang membawa hewaan jagaannya sekeliling kawasan larangan, ditakuti ia makan dalam kawasan haram itu.

· Disebutkan bagaimana perbuatan merokok itu merupakan israf dan pembaziran harta, menyia-nyiakannya. Disebut kenyataan Shaikh ‘Ulaysy yang bermaksud bahawa bila ditanya fuqaha tentang orang-orang yang bodoh yang perlu dihajarkan – dihalang - daripada menggunakan hartanya dalam Syara’’ kerana ia membazirkannya dalam melepaskan keinginan-keinginan syahwat dan kelazatan-kelazatan yang sia-sia, kemudian tentang menhajarkan mereka yang mengekali menghisap rokok mereka bertawaqquf. Berhubung dengan ini dinyatakan bagaimana mereka ini menyia-nyiakan harta, tidak membantu para fuqara dan masakin, tidak membantu untuk kemaslahatan Muslimin, bermusamahah dalam berbelanja (melalui perbuata merokok mereka itu) untuk mereka yang tidak membawa iman dan yang menjadi seteru Muslimin.

· Disebutkan dalam masa Kerajaan ‘Uthmaniyah dikeluarkan perintah Sultan waktu itu - berdasarkan fatwa ulama zaman itu - menegah orang menghisap rokok dan mengenakan hukuman ke atas penghisapnya. Maka bila menghisapnya keluarlah orang itu daripada taat kepada perintah itu, walhal mengikut perintahnya wajib dalam perkara yang tidak diijma’kan haramnya, dan menyalahi perintahnya adalah haram.

· bau rokok yang busuk, menyakiti orang, dan rokok lebih buruk baunya daripada bawang sudah ada riwayat melarang orang yang memakannya daripada memasuki masjid.

· mereka yang mengharuskannya: antaranya ialah Shaikh ‘Abd al-Ghani al-Nablusi, juga pengarang kitab “al-Durr al-Mukhtar”, ibn ‘Abidin, Shaikh Muhammad al-‘Abbasi al-Mahdi, pengarang “al-fatawa al-Mahdiyyah”, al-Hamawi, pensyarah “al-Ashbah wan-Naza’ir”; dari kalangan mazhab Maliki: ‘Ali al-Ajhuri, beliau ada risalah berjudul “Ghayah al-Bayan li-Hill shurbi Ma la Yughayyibu al-‘Aqla mina’d-Dukhkhan”” dan beliau menukil di dalamnya fatwa tentang halalnya daripada mereka yang diperpegangi pendapatnya dari imam-imam dari kalangan mazhab empat, dan yang mengikutnya dari kalangan mjuta’akhkhirin: ad-Dusuqi, as-Sawi, al-Amir, pengarang “Tahdhib al-Furuq”;

· dari kalangan mazhab Syafi’I: al-Hifni, al-Halabi, al-Rashidi, Syubramilsi, al-Babili, ‘Abd al-Qadir bin Muhammad, bin Yahya, al-Husaini at-Tabari al-Makki.

· dari kalangan mazhab Hanbali: al-Karmi, demikian pula al-Syaukani, demikian seterusnya.

· Kata Syaikh ‘Ali al-Ajhuri(الفتور الذى يحصل لمبتدئ شربه ليس من تغييب العقل فى شئ , وان سلم أنه مما يغيب العقل فليس من المسكر قطعا, لآن المسكر يكون معه نشوة وفرح, والدخان ليس كذلك, وحينئذ فيجوز استعماله لمن لايغيب عقله, وهذا يختلف باختلاف الآمزجة , والقلة والكثرة, فقد يغيب غقل شخص ولا يغيب عقل أخر, وقد يغيب من استعمال الكثير دون القليل )

Rasa lemah yang hasil daripada orang yang baharu mula menghisapnya bukanlah daripada masalah menghilangkan akal dalam suatu perkara pun, kalaulah dibenarkan bahawa ia mengghaibkan akal, maka ia bukan termasuk perkara yang memabukkan (al-muskir) secara putus, kerana kalau perkara yang memabukkan itu ada serta dengannya mabuk dan rasa gembira (nashwah wa farah), walhal menghisap rokok bukan demikian sifatnya, dengan itu maka harus menggunakannya (yakni harus menghisap rokok itu) bagi orang yang tidak ghaib akalnya (dengan dia), dan ia berbeza (hukumnya) dengan berlainan keadaan tabiat orangnya, campurannya, banyak atau sedikitnya, kadang-kadang menghilangkan akal seseorang, tetapi tidak mengghaibkan akal rang lain, kadang menyebabkjan ghaib akal dengan banyak menggnanya tetapi tidak kalau sedikit menggunanya.

maka dikembalikan kepada dasar segala sesuatu itu harus pada asalnya (الآصل فى الآشياء الاباحة )

· Antaranya dikeluarkan kenyataan dari Ibn ‘Abidin: ( وحرر ابن عابدين أنه لا يجب تقليد من أفتى بحرمة شرب الدخان , لآن فتواهم ان كانت عن اجتهاد فاجتهادهم ليس بثابت , لعدم توافر شروط الاجتهاد , وان كانت عن تقليد لمجتهد اخر , فليس بثابت كذلك لآنه لم ينقل ما يدل على ذلك , فكيف ساغ لهم الفتوى وكيف يجب تقليدهم؟ ثم قال: والحق فى افتاء التحليل والتحريم فى هذا الزمان التمسك بالآصلين الذين ذكرهما البيضاوى فى الآصول , ووصفهما بأنهما نافعان فى الشرع .الآول أن الآصل فى المنافع : الاباحة, والايات الدالة على ذلككثيرة.الثانى أن الآصل فى المضار: التحريم والمنع لقول النبى صلى الله عليه وسلم: لاضرر ولا ضرار, ثم قال :وبالجملة ان ثبت فى هذا الدخان اضرار صرف عن المنافع فيجوزالافتاء بتحريمه , وان لم يثبت اضراره فالآصل الحل.مع أن الافتاء بحله فيه دفع الحرج عن المسلمين, فان أكثرهم يبتلون بتناوله , فتحليله أيسر من تحريمه , فاثبات حرمته أمر عسير لا يكاد يوجد له نصير. نعم لو أضر ببعض الطبائع فهو عليه حرام, ولو نفع ببعض وقصد التداوى فهو مرغوب… )

Ibn ‘Abidin menerangkan dengan nyatanya bahawa tidak wajib bertaqlid kepada orang yang memfatwakan haram merokok itu, kerana fatwa mereka itu kalaulah ianya daripada ijtihad mereka, itu tidak sabit, kerana tidak mencukupi syarat ijtihadnya, dan kalau itu daripada taqlid bagi mujtahid yang lain, maa itu tidak sabit, kerana tidak ada dinukilkan (dalil) yang menunjukkan kepada yang demikianm itu, maka bagaimanakah boleh dibenarkan fatwa bagi mereka dan bagaimana wajib bertaqlid kepada mereka? Kemudian katanya: yang sebenarnya dalam memfatwakan halal dan haram dalam zaman ini ialah dengan berpegang kepada dua perkara dasar yang disebutkan oleh al-Baidawi dalam ‘al-usul”nya, yang disifatkan olehnya dua perkara yang mendatangkan manfaat dalam Syara’. Pertamanya: bahawa sesungguhnya asal dalam perkara-perkara yang mendatangkan manfaat: harus, dan ayat-ayat yang menunjukkan yang demikian itu banyak. Keduanya: sesungguhnya asal dalam perkara-perkara yang memudaratkan: haram dann tegah berdasarkan kepafda sabda nabi s.a.w. jangan melakukan kemudaratan dan jangan terkena mudarat. Kemudian katanya: Ringkasnya, kalau sabit dalam perkara merokok ini memberi mudarat, maka terpaling ianya daripada yang mendatangkan manfaat, maka boleh difatwakan haram, dan kalau tidak sabit mendatangkan mudarat, maka asalnya halal. Berserta dengan hakikat bahawa memberi fatwa halalnya di dalamnya ada unsur menolak kesulitan dari Muslimin; maka sesungguhnya kebanyakan mereka dibencanai dengan menghisapnya, maka menghalalkannya lebih senang daripada mengharamkannya, maka menetaplkan haramnya adalah perkara sukar hampir-hampir tidak ada unsur yang membantunya. Benar, kalau mendapat mudarat dengan setengah tabiat manusia maka haram ke menghisap rokok itu atasnya, dan kalau bermanfaat untuk setengah orang maka diniatkan untuk berubat, maka itu dikehendaki.

Maklumat-Maklumat Tentang Perkembangan Semasa Berkenaan Dengan Merokok:

Antaranya:

· Dari Pusat Kesihatan Dayton, Satu Bahagian Daripada Pusat Jagaan Kesihatan Ohio, US membuat kenyataan: terkenal merokok faktor terbesar menyebabkan barah paru-paru dan penyakit-penyakit paru-paru yang kronik; lagi: tembakau disalahkan sebagai penyebab ¼ daripada kematian kerana penyakit jantung, dan ia penyebab terbesar penyakit kanser.

· Nikotin dalan tembakau sangat kuat menjadikan orang ketagih dengannya; bila nikotin dihisap, ia meransangkan sistem sarat pusat, tiap-tiap kimia dalam satu sedutan sigaret masuk ke dalam badan dalam 8 saat, akibatnya tekanan darah naik, saluran darat menjadi sempit, sensitivti kepada rasa sakit dan stress menjadi berkurang; penghisap rokok yang kronik selalu mengadu kurang sensitiviti penciuman, selera, dan kurang stamina; juga menghisap rokok menyebabkan kulit menjadi tua lebih cepat daripada sepatutnya.

· Risiko atas wanita dan kanak-kanak: Kajian-kajian mengaitkan menghisap rokok dengan kemandulan. Risiko terbesar ialah bila wanita merokok sebelum berumur 18 tahun; risiko keguguran 33% lebih tinggi atas wanita merokok; ibu yang merokok lebih risikonya berat badan berkurangan dan anak-anak lahir sebelum masanya.

· Asap kedua (“second-hand smoke”) merokok oleh ibu bapa dibuktikan memberi kesan buruk kepada paru-paru anak kecil, seawal dua sampai sepuluh minggu hayatnya. Asma menjadi bertambah pada anak-anak yang ibu bapanya merokok, dan penyelidikan baharu-baharu ini membuktikan orangt-orang yang kerap terdedah kepada asap “second-hand” lebih besar risikonya mendapat kanser paru-paru dan barah-barah lainnya.

· Racun yang dihisap: nikotin ada dalam semua produk tembakau: sigar, tembakau paip, tembakau yang dikunyah, snuf (yang disedut melalui hidung). Tembakau ada racun seperti: DDT, arsenik, cynide, dan 43 daripada 4,000 kimia yang ada dalam tembakau adalah bahan-bahan penyebab kanser.

Penagihan Nikotinh Di US Di Kalangan Para Pemudi-Pemudi (Dari “New England Journal of Medicine, 20 Julai, 1995):

Antara maklumatnya:

· Walaupun penyakit dan maut akibat merokok disebut berlaku waktu dewasa, ia bermula waktru anak-anak. Setiap hari 3,000 orang-orang muda menjadi penghisap rokok yang regular, dan kiemudian ia menjadi ketagih tidak meninggalkan merokok.

· Ketagih dengan nikotin bukan sahaja melalui rokok tetapi juga melalui “snuff” dan tembakau yang dikunyah. Daripada 6 milion orang di US yang menggunakan tembakau tidak berasap, seorang dalam empat berada di bawah umur 19 tahun.

· Muda-mudi merupakan target sebagai pelanggan-pelanggan baharu syarikat-syarikat rokok di negeri ini, untuk menggantikan oran-orang dewasa yang meninggalkan menghisap rokok atau yang meninggal dunia.

· Kebencanaan ketagih nikotin di US di kalangan muda-mudi misalnya, tiap-tiap tahjun di US lebih daripada 400,000 penghisap rokok meninggal dunia kerana penyakit-penyakit berkaitan dengan merokok. Menghisap rokok membunuh manusia lebih daripada AIDS, kemalangan jalan raya, alkohol, pembunuhan, drug-drug haram, bunuh diri, dan kebakaran tergabung semua sekali. Penyakit-penyakit berkiaitan dengan menghisap rokok: penyakit jantung, kanser paru-paru, bronchitis yang kronik, emphysema; tembakau tidak berasap berkait dengan kanser mulut, mencalar gigi, merusut gusi, dan leukoplakia.

· Antaranya disebut: Dengan ada 40 milion penghisap rokok di US yang ketagih nikotin maka pengharaman rokok nampaknya tidak ada jalan yang senang. Kalau ditarik bahan itu mengejut dari pasaran akan timbul pasar gelap dan seterusnya bahaya kepada mereka yang ketagih. Maka perlu dilakukan pendidikan dan langkah-langkah yang beransur-ansur sehingga amalan itu berkurang. (Tulisan ini dari karangan David A.Kessler.M.D.).

Ceramah Director-General WHO Dalam Persidangan di New Delhi - 7 Jan.2000.

Antara yang disebutkan di dalamnya:

· yang berhimpun dalam persidangan antarabangsa anjuran WHO itu ialah mereka dalam bidan-bidang perubatan, undant-undang, ekonomi, dan sains sosial.

· yang menghimpunkan mereka ialah masalah menghisap rokok atau penggunaan tembakau dalam negara-negara membangun (“developing world”).

· disebutkan tembakau faktor risiko 25 penyakit

· industri tembakau memasarkan produk yang membunuh setengah daripada para penggunanya, dengan itu industri ini menentang sains, ekonomi dan proses-proses politik (kalau kita penentang agama).

· Industri tembakau dibenarkan membunuh seorang manusia dalam lapan saat, walhal 4 milion kematian boleh dihalang dalam setahun (kerana merokok).Di India tembakau membunuh manusia seramai 670,000 orang setahun.Di China, kalan trend ini berterusan, lebih kurang 1/3 daripada 300 milion Orang Cina sekarang berumur antara 10-29 akan terbunuh melalui merokok.

· kalau tidak dikawal dan dihalang pada tahun 2030, tembakau akan membunuh 10 milion orang setiap tahun. 7o% daripada kematian itu akan berlaku dalam dunia membangun.

· Katanya: Tembakau menyebabkan orang ketagih. Produk rokok adalah produk yang dihasilkan dengan teliti “a highly enginered product”, mereka mengkaji air liur manusia, mengkaji sistem saraf pusatnya, untuk menentuk dos yang tepat untuk menyebabkan penagihan, supaya dengan itu penagihan itu berkekekalan.

Fatwa Merokok oleh Mufti Mesir ( Mei 2000):

Mufti Mesir Dr Farid Wasil mengeluarkan maklumat bahawa WHO mengurniakan kepada fatwanya yang memutuskan menghisap rokok haram dalam Islam keranba membahayakan kesihatan manusia. Dr Wasil menjelaskan bahawa orang-orang yang ketagih dalam menghisap rokok perlu mendapat rawatan doktor, dan mengambil langkah-langkah sosial dan kerohanian yang boleh membantu mereka.

Tentang pengeluar-pengeluarnya, beliau menyatakan tidak halal mengikut Islam mengeluarkan rokok dan menjualnya dalam negeri Islam, membahayakan individu dan masyarakat.

Berita ini disiarkan dalam Bahasa Arabnya dan dikutip dalam “Islam on line” (Bahasa Arab) bertarikh 14 Safar 1421/18 Meii 2000 yang menyebut bagaimana WHO memberki kurnia kepada Badan fatwa Mesir kerana mufti Dr Farid Wasil mengeluarkan fatwa tentang merokok haram. Selain daripada mengeluarkan fatwa itu mufti mahu supaya beransur-ansur perusahan tembakau itu ditutup untuk menjaga kepentingan anak-anak Muslimin dan harta umat Islam daripada dibinasakan dalam amalan merokok ini. Beliau menyebut beberapa nas yang sudah disebut dalam nota ini iaitu antaranya (ولا تقتلوا أنفسكم) dan (ولا تبذر تبذيرا), (ولا تقتلوا انفسكم ) dan (لا ضرر ولا ضرار) (34).

Demikianlah perbincangan tentang merokok dengan membentangkan maklumat-maklumat tentangnya, dan penulis ini sendiri cenderung kepada memutuskan ianya haram memandangkan kepada bahayanya kepada agama, individu, masyarakat, umat, ekonomi, hidup kemasyarakatan, alam sekitar, dan kesihatan. Yang perlu dilakukan ialah mendidik masyarakat supaya mentaati keputusan yang diberikan.

Wallahu a’lam.

OLEH: MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY

Tiada ulasan: