Khamis, April 03, 2008

Kenali Syiah

MUQADDIMAH

Sabda Nabi SAW yang bermaksud;
“Berpecah yahudi kepada 71 puak, satu puak didalam syurga dan 70 lagi didalam neraka. Berpecah Nasrani kepada 72 puak, satu puak didalam syurga dan 71 puak lagi di dalam neraka. Demi Nyawaku di tangan-Nya, lagi akan berpecah umat ini kepada 73 puak, satu puak sahaja di dalam syurga dan 72 puak didalam neraka. Sahabat bertanya : Wahai Rasulullah SAW, siapakah mereka? Berkata Nabi : mereka adalah Jamaah”

Ciri-ciri puak yang masuk neraka yang dimaksudkan didalam hadis di atas adalah, mereka menghalalkan perkara yang Allah haramkan dan mengharamkan perkara yang Allah halalkan.

Dalilnya adalah hadis yang meriwayatkannya oleh At-Tibrani didalam kitab “Al-Mu’jam Al-Kabir” yang bermaksud;

“Daripada ‘Adi bin Hatim berkata; Aku berjumpa dengan Nabi SAW, ketika itu, di tengkokku ada satu salib daripada Emas. Lalu berkata Nabi SAW; wahai Adi, buangkan berhala di tengkok kamu itu. Aku membuangnya dan terus Aku bersama Nabi sehingga Baginda membaca surah Al-Baraah (at-taubah), lalu Baginda membaca ayat ini yang bermaksud “Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah” hingga selesai daripadanya, aku berkata; Sesungguhnya kami tidak menyembah mereka. Menjawab Baginda SAW; adakah tidak mereka mengharamkan perkara yang Allah halalkan, lalu kamu mengharamkannya, dan menghalalkan perkara yang Allah haramkan, lalu kamu menghalalkannya? Aku berkata : benar. Berkata Baginda SAW; maka itulah ibadat kamu kepada mereka”

SYIAH

Definisi Syiah dari sudut bahasa adalah “pengikut”
Adapun definisi Syiah dari sudut istilah adalah;
“kumpulan yang mendakwa menjadi pengikut Ali bin Abi Talib secara khusus[7]”

SIAPAKAH SYIAH?

Seperti definisi di atas, difahami bahawa Syiah adalah puak yang mendakwa bahawa mereka adalah golongan yang mengikut Saidina Ali RA.

Didalam kumpulan mereka itu pula terbahagi kepada beberapa puak yang dari kalangan mereka ada golongan yang melampau dan sederhana.

Antara golongan yang sederhana seperti Syiah Zaidiyyah, Imamiyyah, Al-Baqiriyyah, Al-Jaafariyyah, Al-Mausawiyyah, Al-Fadhliyyah dan Al-Isma’iliyyah Al-Waqifah.

Syiah-syiah yang tersebut di atas, di perselisih dikalangan ulama tentang terkeluarnya mereka daripada Islam.

Di sana juga adalah syiah yang melampau, yang seluruh ulama sepakat menyatakan bahawa mereka sudah terkeluar daripada Islam.

Antaranya adalah Syiah As-Sabaiyyah, Al-Ismailiyyah, Al-Batiniyyah, Qaramitah, Duruz, Rafidhah, Al-Kibsaniyyah, Al-Hasyimiyyah, Ar-Ruzamiyyah, Al-Karbiyyah, Al-Kamiliyyah, Muhammadiyyah, Isyamah, Az-Zurariyyah, Al-Yunusiyyah dan As-Syaitaniyyah.

Menurut ceritanya, syiah bermula dari seorang yang beragama yahudi yang bernama Abdullah bin saba’ yang telah masuk Islam, kemudian membuat pembelaan terhadap Saidina Ali RA.

Semasa dia beragama yahudi, dia telah mendakwa secara melampau bahawa Yusya’ bin nun ialah pengganti Nabi Musa. Lalu semasa dia sudah Islam, dia mendakwa bahawa Ali adalah pengganti Nabi SAW.

Kemudian daripada itu, maka berbagai-bagai kekarutan yang ditimbulkan oleh Abdullah bin Saba ’, seperti mendakwa bahawa Ali tidak mati lagi, bahkan Ali masih hidup lagi, tinggal di awan. Apabila suara guruh berbunyi, maka itu merupakan suaranya dan apabila kilat memancar, maka itu adalah senyumannya[.

Dan lagi, dia membawa fahaman “at-Tanasukh”, iaitu fahaman yang menyatakan bahawa apabila seseorang mati, maka rohnya akan berpindah ke jasad manusia lain, kemudian dia mendakwa bahawa Tuhan menjelma kedalam diri Imam-imam yang dilantik selepas Saidina Ali RA.

KEKARUTAN SYIAH

Antara kekarutan syiah adalah seperti berikut;

a. Mushaf Fatimah.

Mereka mendakwa bahawa di sana ada Al-Quran yang lain dari Al-Quran yang dipegang oleh umat Islam.

Kenyataan sebegini bercanggah dengan Islam, kerana menyalahi tugas nabi yang bersifat “At-Tabligh” iaitu menyampaikan Islam, dan juga menafikan kesempurnaan agama ini, seperti yang difirmankan oleh Allah yang bermaksud;

“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu”
(surah Al-Maidah : 3)

Juga, Allah menyatakan didalam firmanNya yang bermaksud;
“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya”
(Surah Al-Hijr : 9)

b. Pendapat Imam adalah sunnah.

Syiah mendakwa bahawa perkataan imam adalah sunnah yang wajib di taati. Mengingkari perkataan imam sudah layak di isytihar sebagai kafir mengikut pemahaman Syiah.

c. Imamah.

Menurut Syiah, Imam mempunyai kedudukan sepertimana kedudukan nabi. Mereka beri’tiqad bahawa Imam boleh mendapat wahyu daripada jibril.

I’tiqad sebegini bercanggah dengan islam kerana firman Allah yang bermaksud;
“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu”
(surah Al-Maidah : 3)

d. Imam Ma’sum

Syiah beri’tiqad bahawa semua imam mereka adalah ma’sum. Kata-kata imam mereka menyamai dengan firman Allah dan Sabda Nabi SAW.

Menurut Syaik Muhibuddin Al-Khatib : orang pertama yang mencipta aqidah sesat ini (imam Ma’sum) adalah Syaitan At-Tooq atau di kenali dikalangan syiah sebagai mu’min at-Tooq.

e. At-Taqiyyah.

At-Taqiyyah ialah “menyembunyikan kebenaran dan aqidah pegangan kerana kemudharatan yang menimpa agama atau dunia”[14]. At-Taqiyyah pada hakikatnya ialah berdusta dan berbohong.

Ustaz Asri Yusuf menukilkan riwayat Al-Kulaini dalam kitabnya “Al-Kafi” bahawa Jaafar As-Sadiq berkata;

“Taqiyyah adalah antara ajaran agamaku dan agama nenek moyangku. Tiada agama bagi orang yang tidak mengamalkan At-Taqiyyah”(Al-Kafi : 2/223)

Ada dari kalangan syiah berdalilkan kepada kisah Ammar bin Yasir yang di izinkan menyebut kalimah kufur dikala di seksa oleh kuffar quraish. Sehinggakan Allah menyebut didalam firman-Nya yang bermaksud;

“Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar”

Bagi menjawab kepada dakwaan mereka; di benarkan kepada ‘Ammar bin Yasir untuk menyebut kalimah kufur di kala terpaksa. Adapun syiah At-Taqiyyah bukan di gunakan di kala terpaksa, tetapi di gunakan untuk berdolak dalik.

f. Ar-Raj’ah.

Ar-raj’ah bermaksud;
“Kembangkitan semula para imam sebelum kiamat untuk menghukum orang yang menentang dan memusuhi Ahl Bait”

Syiah mendakwa, tujuan Raj’ah adalah imam Mahdi membalas dendam terhadap musuh-musuh mereka terutamanya dendam terhadap Abu Bakar dan Umar.

g. Al-Bada’.

Al-Bada’ bermaksud “nyata atau jelas sesuatu setelah tersembunyi”. Adapun Al-Bada’ mengikut pemahaman Syiah adalah “Jahil, tidak mempunyai ilmu yang meliputi”.

Orang Syiah beraqidah bahawa Allah bersifat dengan Al-Bada’. Mereka berdalilkan kepada firman Allah yang bermaksud;

“Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot”
(Surah Al-Baqarah : 143)

Dari ayat ini mereka mendakwa bahawa Allah itu mengetahui sesuatu yang sudah berlaku, adapun sesuatu yang belum berlaku, Allah tidak mengetahui. Jika Allah sudah mengetahui, mengapakah Allah menguji manusia untuk mengetahui siapakah yang mengikuti Rasul dan mereka yang membelakangkan Rasul.

Ayat ini tidak mengandungi pemahaman seperti yang mereka fahami. Tujuan Allah mencuba manusia adalah untuk memastikan manusia yang beriman itu mengenali manusia yang mengingkari rasul dan manusia yang mengikuti Rasul.

Pemahaman syiah terhadap aqidah bada’ ini sebenarnya menyalahi firman Allah yang bermaksud;

“sesungguhnya Allah ilmu-Nya benar-benar meliputi segala sesuatu.”
(surah At-Talaq : 12)

h. Al-Ghaibah.

“Al-Ghaibah” bermaksud “ghaib” atau “tersembunyi”.

Al-Ghaibah merupakan aqidah asas bagi syiah Imamiyyah. Ini kerana, mereka mendakwa bahawa dunia ini, setiap masa tidak sunyi daripada Imam.

Oleh yang demikian, setelah kematian Abu Muhammad Al-Hassan Ali Al-Askari (imam yang kedua belas, maninggal pada 260 hijrah) Abu Muhammad tidak meninggalkan anak-anak sebagai penggantinya, maka dengan demikian, terputuslah imam.

Bagi menyelamatkan keadaan, mereka mula membuat rekaan bahawa di sana ada satu aqidah yang bernama “Al-Ghaibah”, iaitu imam yang bersembunyi. Maka dengan demikian, mereka menyatakan, imam tidak terputus, tetapi imam bersembunyi bagi menegaskan bahawa dunia ini tidak sunyi daripada Imam.

Berbagai-bagai alasan syiah bagi menyatakan mengapakah “imam tersebut bersembunyi”. Ada dari kalangan mereka mendakwa bahawa imam tersebut takut di bunuh.

i. Kahwin mutaah

Islam menjaga institusi nasab dengan mewajibkan kepada penganutnya berkahwin atau bernikah. Nikah atau kahwin adalah bertujuan untuk memberikan kemurnian hidup dan tanggungjawab didalam berkeluarga.

Perkara ini menyalahi dengan amalan syiah yang telah menghalalkan amalan jahiliyyah yang bernama “nikah mutaah”.

Nikah mutaah adalah nikah yang tidak perlu kepada wali dan dua orang saksi. Adapun nikah syarii, diwajibkan wali dan dua orang saksi yang Adil kesemuanya.

Nikah Mutaah merupakan amalan jahiliyyah yang telah diharamkan oleh Islam dengan firman-Nya yang bermaksud;
“kawinilah mereka dengan seizin tuan mereka” (surah An-Nisa’ : 25)

Kahwin mutaah tidak perlukan wali dan saksi, sedangkan dalam firman Allah ini, Allah mewajibkan mendapat keizinan dari wali. Maka dengan demikian, ayat ini menjadi dalil atas pengharamkan kahwin mutaah.

Syiah menghalalkan mutaah, antara buktinya adalah kenyataan Ustaz Asri yusuf yang menukilkan kata “Al-Khomaini” didalam bukunya “Tahrir Al-Wasilah” yang bermaksud;

“ia (nikah mutaah) di bolehkah berlaku antara seorang perempuan dengan seorang lelaki di mana-mana sahaja. Boleh dilakukan bersama perempuan majusi, nasrani dan yahudi, hatta bersama perempuan pelacur sekalipun[23]”

j. Mengkafirkan sebahagian daripada sahabat Nabi.

Antara amalan syiah adalah mereka mentakfirkan sebahagian besar dari sahabat. Mereka mengiktiraf keislaman sebahagian kecil sahaja dari kalangan sahabat RA.

Syiah mendakwa bahawa, semua para sahabat murtad selepas kewafatan nabi melainkan tiga orang sahaja, iaitu Miqdad bin Aswad, Abu Zar Al-Ghiffari dan Salman Al-Farisi.

Dakwaan syiah ini adalah bercanggah dengan apa yang telah dinyatakan oleh Allah Taala didalam firman-Nya yang bermaksud;

“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah ridha kepada mereka dan merekapun ridha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka surga-surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar”
(Surah At-Taubah : 100)

Ayat ini telah memberi gambaran sebenar tentang keredhaan Allah terhadap golongan sahabat RA. Sekiranya Allah memberi keredhaan-Nya kepada para sahabat, maka sewajibnya kita juga meredhai mereka.

Adapun syiah telah menyalahi firman Allah ini, maka dengan sebab itu, syiah sudah dikira sebagai golongan yang terkeluar daripada Islam.

PENUTUP

Tidak dinafikan, dunia kini dikejutkan dengan serangan musuh-musuh Islam, samada dari Amerika , Israel dan sebagainya. Lalu dengan kejadian sebegini, dilihat golongan syiah telah menjuarai isu-isu tersebut sebagai mewakili dari pihak umat Islam.

Menjuarai isu-isu tersebut, bukanlah bermakna syiah itu adalah satu pegangan yang benar, sehinggakan ada dari kalangan umat Islam yang terpengaruh dengan mereka dengan mengambil aqidah mereka yang menyesatkan itu.

Mudah-mudahan kita tergolong dari kalangan muslim yang terselamat dari kesesatan yang nyata ini.

Wallahu ‘Alam.

Tiada ulasan: