Jumaat, April 11, 2008

Apakah Pandangan Al-Qur’an Terhadap Keaslian Alkitab?

Ada di antara kalangan misionaris Kristian yang menyalahtafsirkan ayat-ayat Al-Qur’an yang mengatakan bahawa Alkitab (Bibel) tidak boleh diubah kerana ia adalah kalam Allah. Mereka juga mendakwa bahawa Al-Qur’an menyuruh umat Islam supaya mempercayai ayat-ayat Alkitab kerana Al-Qur’an sendiri mengakui bahawa Alkitab itu datangnya daripada Allah. Sebenarnya, anggapan seperti ini adalah tidak tepat sama sekali.

Tidak dinafikan bahawa setiap Muslim wajib mempercayai kitab-kitab yang datang daripada Allah, tetapi Al-Qur’an langsung tidak memerintahkan supaya umat Islam mempercayai Alkitab (Bibel). Ia hanya menyuruh umat Islam supaya mempercayai kitab-kitab daripada Allah, yang semuanya berjumlah 104 kitab (termasuk Al-Qur’an). 104 itu ialah 100 buah suhuf (lembaran-lembaran) serta 4 buah kitab-kitab besar iaitu Taurat, Zabur, Injil and Al-Qur’an. Tetapi orang Islam mempercayai bahawa salinan asal kesemua kitab-kitab itu telah hilang, seperti yang dijelaskan oleh Rev. David J. Fant, seorang Setiausaha Umum bagi New York Bible Society:

The question naturally arises, do any of the original manuscripts of the Bible still exist? The answer is No. The original manuscripts were on papyrus and other perishable materials and have long since disappeared.

(Soalan biasanya ditanya, adakah naskah-naskah asal Alkitab masih wujud sehingga kini? Jawapannya tidak. Naskhah-naskhah asal di atas papirus dan bahan-bahan lain yang mudah rosak semuanya telah lama hilang)

Kenyataan di atas dipetik daripada Rev. David J. Fant, Simple Helps and Visual Aids to Understanding The Bible, m.s. 6.

Apa yang diperkatakan oleh Rev. David J. Fant juga diakui oleh ahli teologi Kristian bernama Dr. Verkuyl di dalam bukunya berjudul Fragmenta Apologetika, bahawa

Kitab-kitab Alkitab yang seluruhnya berjumlah 66 itu, datang kepada kita dalam bentuk salinan-salinan yang beribu-ribu banyaknya. Naskah-naskah asli yang tertulis dalam tulisan tangan-autographa telah hilang semua.

Walau bagaimanapun, kita orang Islam mengakui bahawa hanya sedikit sahaja kebenaran yang masih terkandung di dalam Alkitab. Kita sebagai orang Islam boleh menerima apa-apa ayat dari Alkitab asalkan ia selaras degan ajaran Al-Qur’an dan As-Sunnah. Rasulullah s.a.w. pernah menasihatkan sahabat-sahabat baginda supaya jangan terus menerima atau menolak apa-apa yang dibawa dari Alkitab, sebaiknya hendaklah dikaji dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan.

Allah s.w.t. juga telah berfirman di dalam Al-Qur’an, bahawa:

“Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakannya: “Ini dari Allah,” (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka, kerana apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan yang besarlah bagi mereka, kerana apa yang mereka kerjakan.” (Surah Al-Baqarah (2): 79)

Tiada ulasan: