Aliran Islam Liberal wujud hampir di mana jua. Nama mereka mungkin berbeza-beza, bahkan mungkin tindak dikenali dengan nama tertentu. Akan tetapi manhaj mereka tetap sama iaitu membuka dan membebaskan tafsiran Islam demi mencapai kejayaan ala kebaratan. Apabila menyebut tentang tokoh-tokoh aliran Islam Liberal, terdapat satu kesamaan di antara mereka semua – iaitu mereka pernah mendapat didikan di negara Barat dan/atau pernah berkhidmat di mana-mana institusi pengajian Barat. Pengalaman ini menyebabkan mereka amat cenderung kepada apa sahaja yang berasal dari Barat tanpa memisahkan antara yang baik dan salah.
Di antara tokoh-tokoh aliran ini yang masyhur di Timur Tengah adalah Rifa‘at Bik al-Thantawi, Thaha Husein, Ali ‘Abd al-Raziq, Mahmud Abu Rayya, Ahmad Amin, Hasan Hanafi, Farag Foudah, Naser Abu Zaid, ‘Athif al-Iraqi, Nawwal al-Sa’dawi dan sebagainya. Pendapat tokoh-tokoh aliran Islam Liberal di atas banyak yang telah dijawab dan ditolak oleh tokoh-tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah di Timur Tengah, bahkan sebahagian daripada mereka telah ditarik balik ijazah kelulusan oleh universiti-universiti tempat asal pengajian mereka. [lebih lanjut rujuk buku Pembaruan Islam dan Orientalisme dalam Sorotan oleh Dr. Daud Rasyid (Akbar Media, Jakarta 2002), ms. 20-45]
Tokoh-tokoh ini melahirkan banyak anak murid tersendiri yang bergiat aktif menyebarkan dakyah Islam Liberal sehingga hari ini. Tidak kurang juga adalah tokoh-tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang bangun menjawab dan menolak mereka. Antara yang aktif ialah Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, semoga Allah memeliharanya, di mana antara lain beliau pernah menulis:
“Di antara masalah paling penting yang sering saya peringatkan dalam beberapa buku yang saya tulis adalah berkenaan usaha musuh-musuh pemikiran Islam yang menciptakan keraguan terhadap ajaran-ajaran agama Islam yang sudah dapat diyakini kebenarannya tanpa ragu (musallamaat), dan berusaha mengubah perkara-perkara yang diyakini (yaqiniat) kebenarannya dan pasti menjadi perkara-perkara yang tidak pasti dan hipotetif (zhanniaat), serta hal-hal yang pasti dan kuat (qath’iat) menjadi tidak pasti dan mengandung pelbagai kemungkinan (muhtamalaat), yang dapat diambil atau ditolak, ditarik atau dilepas, dan dapat mengikuti pendapat kanan-kiri.
Sudah menjadi kejayaan yang amat besar jika mereka mampu menggoncang ajaran-ajaran agama yang tsabit lagi muktamad atau menyerangnya agar dapat dilenyapkan sehingga tidak menjadi sesuatu yang menghalang mereka saat mereka ingin menghancurkan benteng umat Islam atau setidaknya, menerobos pagarnya.
Pada zaman sekarang ini kita dapati ada orang yang meragukan keharaman khamar atau riba, atau tentang bolehnya talak dan berpoligami dengan syarat-syaratnya. Ada yang meragukan keabsahan Sunnah Nabi s.aaw. sebagai sumber hukum. Bahkan, ada yang mengajak kita untuk membuang seluruh ilmu-ilmu Al-Qur’an (Ulumul-Qur’an) dan seluruh warisan ilmu pengetahuan al-Qur’an kita ke tong sampah, lalu kemudian memulai membaca al-Qur’an dari nol dengan bacaan kontemporer dengan tidak terikat oleh suatu ikatan apa pun, tidak berpegang pada ilmu pengetahuan sebelumnya, juga tidak dengan kaidah dan aturan yang ditetapkan oleh ulama umat Islam semenjak berabad-berabad silam.
Di antara pendapat mereka adalah bahawa kalangan Ahli Kitab: Yahudi dan Nasrani, bukanlah kelompok kafir. Jika yang mereka maksudkan itu adalah Yahudi dan Nasrani bukan kalangan ateis yang mengingkari Tuhan dan wahyu, tentu hal itu benar dan tidak dipertentangkan lagi. Namun jika yang mereka maksudkan itu adalah bahwa mereka (Yahudi dan Nasrani) tidak kafir terhadap agama Muhammad dan risalahnya serta al-Qur’an dan penyifatan kafir yang disematkan kepada mereka itu adalah dengan pengertian seperti ini, tentu klaim seperti itu adalah salah.
Kekafiran Yahudi dan Nasrani adalah sesuatu yang amat jelas terlihat bagi individu muslim yang memiliki ilmu keislaman, walaupun hanya sebesar atom. Hal ini juga sesuatu yang disepakati oleh seluruh umat Islam dari seluruh mazhab dan aliran pemikiran sepanjang masa, baik kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, Syi‘ah, Mu’tazilah dan Khawarij. Demikian juga dengan seluruh aliran umat Islam yang ada pada saat ini: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, Zaidiyyah, Ja’fariyyah dan Ibadaniyyah, seluruhnya tidak meragui kekafiran Yahudi dan Nasrani serta orang-orang yang tidak mengimani risalah Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wassalam. Hal ini merupakan sesuatu yang sudah pasti kebenarannya, baik secara teori maupun praktikal.” [Mauqif al-Islam al-‘Aqdi min Kufr al-Yahud wa al-Nashara, edisi terjemahan Indonesia atas judul Bagaimana Islam Menilai Yahudi dan Nasrani (Gema Insani, Jakarta 2000), ms. 11-13]
Selain itu terdapat juga beberapa tokoh aliran Islam Liberal yang menulis dalam bahasa Inggeris seperti Muhammad Arkoun dan Fazlur Rahman. Di antara mereka wujud juga tokoh seperti Fatima Mernissi yang tidak segan-segan membuat fitnah dan tuduhan palsu ke atas para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam dan para ilmuan Islam demi menjayakan alirannya.
Di Indonesia, tokoh aliran Islam Liberal yang paling menonjol adalah Harun Nasution dan Nurcholis Majid. Daripada mereka lahir ramai lagi tokoh-tokoh baru yang berbilang jumlahnya. Akan tetapi alhamdulillah, para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah Indonesia tidak pernah membiarkan mereka selesa dengan dakyah Islam Liberal yang mereka kembangkan. Pelbagai buku dan makalah ditulis untuk menjawab dan menolak manhaj mereka, antaranya:
[1] Koreksi Terhadap Dr. Harun Nasution tentang “Islam Ditinjau dari Berbagai Aspeknya” oleh Prof. H.M. Rasjidi. (Bulan Bintang, Jakarta 1977).
[2] Pembaruan Islam dan Orientalisme dalam Sorotan oleh Dr. Daud Rasyid (Akbar Media, Jakarta 2002) yang merupakan jawapan ilmiah lagi terperinci kepada Nurcholis Majid.
[3] Menelusuri Kekeliruan Pembaharuan Pemikiran Islam Nurcholish Majid oleh Abdul Qadir Djaelani. (Penerbitan Yadia 1994).
[4] Propaganda Sesat Penyatuan Agama oleh Bakr bin Abdullah Abu Zaid. (Darul Haq, Jakarta 2001).
[5] Bahaya Islam Liberal oleh Hartono Ahmad Jaiz. (al-Kautsar, Jakarta 2002).
[6] Islam Liberal: Sejarah, Konsepsi, Penyimpangan dan Jawapannya oleh Adian Husaini dan Nuim Hidayat (Gema Insani, Jakarta 2002).
[7] Mewaspadai Gerakan Kontekstualisasi al-Qur’an: Menanggapi Ulil Absar Abdala oleh Agus Hasan Bashari (As-Sunnah, Surabaya 2003).
[8] Anggapan Semua Agama Benar dalam Sorotan Al-Qur’an oleh Muhammad Thalib (Menara Kudus, Jogjakarta 2003).
Adakah aliran Islam Liberal wujud di Malaysia?
Jika dicermati manhaj aliran Islam Liberal sebagaimana yang penulis senaraikan di atas, mudah untuk dikenal pasti bahawa aliran ini sudah wujud di Malaysia, hanya nama ‘Islam Liberal’ sahaja yang belum wujud. Malah penulis yakin para pembaca sekalian telah dapat mengenali secerah sinaran matahari siapakah tokoh-tokoh aliran Islam Liberal di Malaysia tanpa perlu penulis menyenaraikan nama-nama mereka. Sekalipun tokoh-tokoh tersebut tidak mengemukakan semua daripada manhaj aliran Islam Liberal yang penulis senaraikan di atas, yakinilah dalam masa-masa terdekat ia tetap akan dikemukakan secara bertahap-tahap, one by one.
Satu perkara penting yang perlu diketahui berkenaan tokoh-tokoh ini adalah mereka terdiri daripada generasi baru yang telah belajar daripada kesilapan guru-guru mereka daripada generasi awal. Oleh itu mereka tidak akan mengulangi kesilapan tersebut. Pelajaran utama yang mereka teladani adalah jangan mengemukakan manhaj Islam Liberal secara mendadak dan terus terang. Akan tetapi kemukakannya secara bertahap-tahap dilapik dengan susunan bahasa yang dapat memikat keyakinan para pembaca awam.
Maka bukanlah satu keasingan apabila kita mendapati tokoh-tokoh aliran Islam Liberal di Malaysia lazimnya akan melapik perbahasan mereka dengan kata-kata “tujuan kami hanya untuk membuka fikiran……” , “Kami hanya ingin membebaskan umat yang selama ini dibelenggu oleh tafsiran lama……” , “Dalam bab ini terdapat perbezaan pendapat yang besar……” , “Tidak ada ayat al-Qur’an yang jelas dalam bab ini……” , “Hadis-hadis saling bertentangan sehingga tidak dapat dipastikan kebenaran……” , “Ini bukanlah daripada hal-hal muktamad agama……” , “Kami hanya membanding antara beberapa pendapat yang sedia ada……” , “Perbincangan ini bertujuan meningkatkan kematangan umat dalam beragama……” dan pelbagai lagi yang seumpama.
Perhatikan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam ayat berikut ini dan ambillah iktibar daripadanya:
“Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya.” [al-Baqarah 2:204]
Gerakan Islam Liberal di Malaysia, sekalipun tanpa memakai lencana ‘Islam Liberal’, lebih banyak bersifat meniru apa yang sebelum ini wujud di negara-negara Timur Tengah dan Indonesia. Artikel-artikel bercorak manhaj Islam Liberal yang muncul di akhbar-akhbar harian dan majalah al-Islam sebenarnya hanyalah hujah-hujah lama yang dikemukakan semula dalam bentuk yang baru. Tidak ada idea pemikiran yang tulen melainkan tiruan yang diberikan solekan baru. Sesiapa yang lazim membaca tulisan-tulisan aliran Islam Liberal di Timur Tengah dan Indonesia sejak beberapa dekad yang lepas akan mendapati apa yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh tempatan tidak lain hanyalah ‘lagu lama yang dimainkan dengan tempo baru’. Malah adakalanya hasil tulisan yang dikemukakan juga diambil terus-terus daripada penulisan tokoh Islam Liberal luar negara. Sebagai contoh, perhatikan artikel Fenomenologi Tudungoleh Nasaruddin Umar yang dikemukakan oleh majalah al-Islam edisi Mac 2004 (ms. 76-7. Nasaruddin Umar ialah salah seorang tokoh terkemuka aliran Islam Liberal di Indonesia. Terdapat beberapa lagi artikel beliau yang boleh dirujuk di laman Jaringan Islam Liberal Indonesia. Perhatikan juga catitan tambahan di akhir artikel tersebut: “Nasaruddin Umar adalah Guru Besar Ilmu Tafsir Universitas Islam Negeri Jakarta dan kini sedang melakukan Post Doctoral Research di SOAS, University of London.” Inilah yang penulis maksudkan beberapa perenggan di atas, bahawa kebanyakan tokoh-tokoh aliran Islam Liberal adalah “mereka yang pernah mendapat didikan di negara Barat dan/atau pernah berkhidmat di mana-mana institusi pengajian Barat.”
Pesan penulis kepada para pembaca
Tiada cara mudah untuk kita menangani aliran Islam Liberal melainkan kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menuntut ilmu-ilmu agama daripada para tokoh yang ikhlas, jujur dan mendapat petunjuk Allah shallallahu ‘alaihi wassalam. Dengan ilmu-ilmu tersebut kita dapat membezakan antara yang hak dan batil, sekali gus menerangkan apa yang hak dan menjawab apa yang batil.
Pada waktu yang sama hendaklah kita berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala agar diberikan hidayah ke jalan yang benar dan pemeliharaan daripada jalan yang sesat. Ingatlah bahawa jalan menuju kebenaran hanya satu manakala jalan menuju kesesatan adalah banyak. Jalan kebenaran adalah apa yang ditunjukkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih berdasarkan pemahaman generasi awal umat (al-Salaf al-Salih) manakala jalan kesesatan adalah apa yang menyelisihinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan