Risalah ini diusahakan dalam rangka menjawab aliran Islam Liberal yang mendakwa semua agama adalah sama. Dakwaan seperti ini, yang juga dikenali sebagai fahaman Fiqh Lintas Agama sudah mula terbit di sana sini di Malaysia oleh beberapa penulis dan pemikir yang menyembah tamadun Barat. Risalah ini juga telah disiarkan dalam Majalah i edisi Ogos 2004.
Islam sebagai agama yang syumul mengakui kehadiran beberapa agama yang menjadi pilihan masing-masing penganutnya. Islam tidak memaksa manusia untuk memeluk agamanya sahaja tetapi membiarkannya terbuka kepada pilihan setiap individu. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Dan katakanlah: “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya.” [al-Kahf 18:29]
Dan jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. Maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman? [Yunus 10:99]
Yang dituntut oleh Islam adalah hendaknya setiap manusia yang telah dikurniakan Allah pendengaran, penglihatan dan hati merenung penciptaan dirinya serta alam sekitar agar dengan itu mereka sedar akan kewujudan Pencipta yang menciptakannya. Dengan kesedaran ini, hendaklah mereka kembali menyembah kepada Tuhan Pencipta yang sebenar iaitu Allah dan mengikuti agama yang benar iaitu Islam. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.
Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa). [al-Baqarah 2:21-22]
Kerukunan Antara Agama
Atas dasar ini, Islam menekankan kerukunan dan keadilan antara sesama agama. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. [al-Maidah 5:08]
Selagi mana kaum daripada agama lain tidak menzalimi kita umat Islam, selagi itulah kita dituntut untuk berinteraksi dengan mereka secara adil. Allah Subhanahu wa Ta’ala menegaskan hal ini dalam ayat berikut:
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. [al-Mumtahanah 60:8-9]
Sifat keadilan ini juga diwajibkan ke atas umat Islam apabila mereka melaksanakan Jihad Ofensif di bawah khalifah Islam yang sah, dimana tujuan jihad bukanlah memerangi orang kerana perbezaan agama mereka tetapi memerangi halangan-halangan fizikal yang menghalang kebebasan beragama di bawah Dar al-Islam. [lebih lanjut rujuk buku penulis: Apakah Jihad Di Jalan Allah? Buku 1 & Buku 2 (Jahabersa, Johor Bahru 2003)]
Dua Syarat Penting
Terdapat dua syarat penting yang perlu diperhatikan oleh umat Islam ketika mereka bersikap adil dalam kerukunan beragama. Pertama, sikap kerukunan beragama tidak bererti menjadikan orang bukan Islam sebagai Wali di dalam urusan orang Islam, seperti menjadikan mereka sumber pergantungan ekonomi, perlindungan keselamatan dan pembela nasib. Sesiapa yang menjadikan orang bukan Islam Wali dengan membelakangkan sesama umat Islam maka tersemat di dalam dirinya salah satu daripada ciri-ciri orang munafik. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi Wali dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah. [al-Nisa’ 4:138-139]
Wali bagi orang-orang Islam hanyalah Allah, Rasulullah dan sesama orang-orang yang beriman. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Sesungguhnya Wali kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu Walinya (maka berjayalah dia) kerana sesungguhnya golongan Allah, itulah yang tetap menang. [al-Maidah 5:55-56]
Kedua, sikap kerukunan beragama tidak bererti meninggalkan kewajipan berdakwah. Kita umat Islam tetap diwajibkan berdakwah kepada orang bukan Islam sehingga mereka kenal akan kebenaran Islam dan terhindar daripada diri mereka segala salah faham terhadap Islam. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Serulah (dakwahlah) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. [al-Nahl 16:125]
Bukan Kesamaan Antara Agama
Sekalipun Islam mengakui kehadiran beberapa agama lain, ia tidak bererti Islam mengiktiraf dan menganggapnya benar. Di sisi Islam, ukuran benar atau tidak sesuatu agama tidak terletak kepada kebaikan-kebaikan yang diseru oleh agama tersebut tetapi bagaimana ia mengajar penganutnya untuk mentauhidkan Allah. Inilah asas dan pembeza terpenting antara agama Islam dan agama-agama selain Islam. Asas tauhid ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam firman-Nya:
Katakanlah: “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.” [al-Ikhlas 112:1-4]
Berdasarkan asas tauhid ini, Islam tidak mengiktiraf agama-agama yang lain, sama ada Yahudi, Nasrani dan agama-agama penyembahan berhala yang lain.
Pandangan Islam Terhadap Agama Yahudi:
Terhadap agama Yahudi, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih ialah anak Allah”. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran? [al-Taubah 9:30]
Kaum Yahudi bukan sahaja menuduh Allah memiliki anak tetapi juga mengubah ajaran-ajaran yang ada di dalam kitab Taurat dengan tulisan tangan mereka. Hal ini diterangkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam firman-Nya:
Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu. [al-Baqarah 2:79]
Atas penyimpangan-penyimpangan ini, Islam tidak mengiktiraf Yahudi sebagai agama yang benar.
Pandangan Islam Terhadap Agama Nasrani (Kristian):
Sebagaimana agama Yahudi, agama Kristian juga telah diselewengkan oleh para penganutnya. Penyelewengan yang paling besar ialah iktikad mereka terhadap konsep Trinity, iaitu tiga tuhan yang bersama iaitu God The Father, Jesus The Son and The Holy Spirit. Iktikad mereka ini ditolak oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam al-Qur’an:
Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam.” Padahal Al-Masih sendiri berkata: “Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.”
Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan (Trinity).” Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [al-Maidah 5:72-73]
Selain itu para penganut agama Nasrani juga tidak terlepas daripada membuat pelbagai pertukaran di dalam kitab Injil mereka. [rujuk Izhar al-Haq oleh Syaikh Rahmatullah al-Hindi (1308H) (Dar al-Hadith, Kaherah 2001)] Pertukaran ini masih dilakukan sehingga kini, bukan sahaja di negara-negara Barat tetapi juga di Indonesia. [rujuk Dokumen Pemalsuan al-Kitab oleh Molyadi Samuel (Victory Press, Jakarta 2002)] Bahkan di atas segala ini, mereka masih mencipta pelbagai doktrin baru yang bertentangan dengan kitab Injil yang telah mereka tukar tersebut. [rujuk Christianity Through The Lens of Christian and Muslim Scholars, Book 1 & Book 2 oleh M. Amin Yaacob (Jahabersa, Johor Bahru 2004)].
Maka atas penyimpangan-peyimpangan ini, agama Nasrani tidak dianggap sebagai agama yang benar di sisi Islam.
Pandangan Islam Terhadap Agama Berhala Yang Lain:
Al-Qur’an al-Karim sebagai sebuah kitab yang lengkap telah juga membicarakan status agama-agama penyembah berhala, sama ada berhala tersebut terdiri daripada matahari, patung atau apa jua selain Allah. Terhadap penyembah tuhan matahari al-Qur’an menceritakan:
(Burung Belatuk menerangkan kepada Nabi Sulaiman): “Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk.” [al-Naml 27:24]
Terhadap penyembahan patung ukiran, al-Qur’an menceritakan kisah Nabi Ibrahim dan ayahnya yang menyembah patung buatan sendiri:
Dan bacakanlah pula kepada mereka perihal Nabi Ibrahim. Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Apa yang kamu sembah?” Mereka menjawab: “Kami menyembah berhala-berhala, maka (kerana memuliakannya) kami berkekalan menyembahnya.” Nabi Ibrahim bertanya: “Adakah berhala-berhala itu mendengar kamu semasa kamu menyerunya? Atau mereka dapat memberikan sesuatu yang ada manfaatnya kepada kamu ataupun menimpakan sesuatu bahaya?” Mereka menjawab: “(Tidak satupun!) Bahkan kami dapati datuk nenek kami berbuat demikian.”
Nabi Ibrahim berkata: “Sudahkah kamu berfikir sehingga nampak gunanya benda-benda yang kamu sembah itu? - (Yang sekian lama disembah oleh) kamu dan datuk nenek kamu yang dahulu? (Aku bertanya demikian) kerana sesungguhnya berhala-berhala itu ialah musuhKu, (aku tidak menyembah) melainkan Allah Tuhan sekalian alam; Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dia-lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku. [al-Syu’ara 26:69-78]
Terhadap agama kepelbagaian tuhan yang dianggap oleh para penganutnya berada di langit dan di bumi al-Qur’an menceritakan:
Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan. [al-Anbiya’ 21:22]
Terhadap para penganut agama-agama yang membuat berhala-berhala tersendiri sebagai sesuatu yang dapat merapat dan menyampaikan mereka kepada Tuhan, al-Qur’an menyebut:
Dan orang-orang yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya.” [al-Zumar 39:03]
Maka sepatutnya mereka dibela oleh segala yang mereka sembah yang lain dari Allah sebagai penyembahan untuk mendekatkan diri (kepada Allah). (Tetapi tidak), bahkan segala yang mereka sembah itu telah hilang lenyap dari mereka. Dan demikianlah akibat penyelewengan mereka dan kepercayaan yang mereka telah ada-adakan. [al-Ahqaf 46:28]
Daripada ayat-ayat di atas, jelas kepada kita bahawa al-Qur’an membicarakan tentang agama-agama yang menyembah tuhan-tuhan selain Allah – tanpa mengira apa dan bagaimana tuhan-tuhan tersebut – dengan nada yang negatif dan cela. Ini tidak lain menunjukkan penolakan Islam terhadap kebenaran agama-agama tersebut.
Ayat-ayat di atas juga membatalkan hujah mereka yang jahil yang mengatakan kononnya “Masyarakat Arab 1400 tahun yang lalu tidak kenal agama Budha, Hindu, Shinto, Sikh, Tao dan pelbagai lagi. Seandainya agama-agama ini dikenali oleh masyarakat Arab pada zaman tersebut, pasti al-Qur’an akan menyebut dan membenarkannya.”
Yang benar al-Qur’an telah membicara perihal agama-agama tersebut. Bezanya al-Qur’an tidak membicarakannya berdasarkan nama tetapi berdasarkan asas tauhid agama-agama tersebut. Pelbagai bentuk penyembahan kepada pelbagai bentuk tuhan selain Allah boleh dikaitkan secara analogi kepada agama Budha, Hindu, Tao dan ratusan lagi yang namanya tidak disebut oleh al-Qur’an. Yang penting bukanlah nama agama tetapi asas yang membentuk iktikad tauhid sesuatu agama. Dengan cara ini perbahasan al-Qur’an terhadap agama-agama penyembahan selain Allah akan sentiasa releven pada semua zaman dan tempat. Ini penting mengingatkan bahawa agama penyembahan selain Allah yang dicipta oleh manusia sentiasa akan muncul di sana sini tanpa mengira zaman mahupun tempat. Demikianlah antara kemukjizatan al-Qur’an al-Karim.
Perbezaan Antara Kerukunan dan Kesamaan Antara Agama
Daripada kupasan di atas jelas kepada kita bahawa wujud perbezaan yang luas antara kerukunan beragama dan kesamaan agama. Kerukunan antara agama adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam selagi mana diperhatikan syarat-syaratnya. Namun kesamaan antara agama, iaitu fahaman Fiqh Lintas Agama yang menjadi salah satu daripada manhaj utama aliran Islam Liberal, tidak dituntut oleh Islam, malah ia bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan