Selasa, Disember 13, 2022

Malaikat Mendoakan Kebaikan Kepada Pendoa


عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Daripada Abi Darda RA, Rasulullah SAW bersabda: 'Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan, melainkan malaikat akan mendoakannya pula: 'Dan bagimu kebaikan yang sama.' (Sahih Muslim No: 4912) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Antara adab persaudaraan dan menjaga ukhuwah sesama Muslim ialah mendoakan kebaikan kepada sahabat kita.

2. Mereka yang mendoakan sahabatnya ketika berjauhan, malaikat juga akan mendoakan kebaikan yang sama untuknya.

3. Doa seseorang kepada sahabatnya ketika berjauhan adalah mustajab. Sepertimana hadis Rasulullah SAW:

Daripada Safwan bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ

“Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)”. (Riwayat Muslim No: 4914) Status: Hadis Sahih

دُعَاءُ الأخِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الغَيبِ لايُرَدُّ

"Doa seseorang kepada saudaranya yang tidak ada disisinya, tidak akan tertolak" (HR Al-Bazzar: 500)

Marilah kita doakan saudara Muslim kita termasuk pemimpin kita dengan kebaikan. Moga dapat memacu Malaysia menjadi negara yang baik dan dirahmati. 

Al-Fudhayl bin 'Iyadh berkata: "Jika aku memiliki satu doa yang mustajab, nescaya akan kudoakan (kebaikan) buat sang pemimpin" (Abu Nu'aym al-Asbahani).

Imam Ahmad bin Hanbal mewajibkan dirinya untuk mendoakan ulil amri siang dan malam supaya dikurniakan ketepatan, taufik dan pertolongan (al-Khallal).

Sifat Kasih Sayang Dicabut Akibat Perbuatan Keji


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, "Rasa kasih sayang tidak akan dicabut kecuali daripada orang yang celaka (berbuat keji)." (Sunan Tirmizi No: 1923) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Allah menganugerahkan sifat kasih sayang kepada sesiapa yang dikehendaki

2.  Allah akan mencabut sifat kasih sayang daripada seseorang yang melakukan perbuatan keji.

3.  Perbuatan keji (seperti memfitnah, mengumpat dan mencela) akan menghilangkan perasaan kasih sayang kepada orang lain dan akan menjadi penyebab kepada perbuatan yang  memutuskan hubungan ukhuwah dan silaturahim.

Pupuklah sifat kasih sayang dalam diri kita terhadap orang lain secara berterusan agar ia menjadi ia menjadi akhlak terpuji.

Orang Yang Berhak Mendapat Kecintaan Allah


حَدَّثَنَا هَاشِمٌ حَدَّثَنِي عَبْدُ الْحَمِيدِ حَدَّثَنِي شَهْرٌ حَدَّثَنِي أَبُو ظَبْيَةَ قَالَ إِنَّ شُرَحْبِيلَ بْنَ السِّمْطِ دَعَا عَمْرَو بْنَ عَبَسَةَ السُّلَمِيَّ فَقَالَ يَا ابْنَ عَبَسَةَ هَلْ أَنْتَ مُحَدِّثِي حَدِيثًا سَمِعْتَهُ أَنْتَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ فِيهِ تَزَيُّدٌ وَلَا كَذِبٌ وَلَا تُحَدِّثْنِيهِ عَنْ آخَرَ سَمِعَهُ مِنْهُ غَيْرِكَ قَالَ نَعَمْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ قَدْ حَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَحَابُّونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَصَافُّونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَزَاوَرُونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَبَاذَلُونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَنَاصَرُونَ مِنْ أَجْلِي

Telah menceritakan kepada kami Hasyim telah menceritakan kepadaku Abdul Hamid telah menceritakan kepadaku Syahr telah menceritakan kepadaku Abu Dzabyah ia berkata; Bahawasanya Syurahbil bin As Simth memanggil Amru bin Abasah As Sulami dan bertanya, "Wahai Ibnu Abasah, apakah Anda mahu menceritakan kepadaku suatu hadis yang telah Anda dengar dari Rasulullah SAW tanpa ada tambahan ataupun kedustaan? Dan janganlah anda ceritakan kepadaku suatu hadis dari sahabat lain yang ia mendengarnya dari baginda selain anda. Amru bin Abasah berkata; Baiklah, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Allah Ta'ala telah berfirman: 'Sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling mencintai kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling merapatkan barisan kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling mengunjungi kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling berkorban (untuk membantu yang lain) kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling menolong kerana Aku.'"(Musnad Ahmad No: 18621) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Setiap Muslim berhak mendapat kecintaan Allah apabila:

1.  Saling mencintai kerana Allah

2.  Saling merapatkan hubungan (ukhuwah) kerana Allah

3.  Saling menziarahi kerana Allah

4.  Saling berkorban (untuk membantu yang lain) kerana Allah

5.  Saling bantu membantu dan tolong menolong kerana Allah

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW dalam hadis yang lain:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Daripada An Nu'man bin Bisyir dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya) (HR Muslim No: 4685)

Jadikanlah diri kita orang yang dicintai Allah kerana kecintaan kita kepada orang lain.

Kemanisan Iman Kerana Cinta Dan Benci


عن أنسٍ رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال:   ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Daripada Anas RA dari Nabi SAW baginda bersabda: Ada tiga perkara, barangsiapa ada pada dirinya tiga perkara ini, maka dia akan merasakan manisnya iman (iaitu, yang pertama): Allâh Azza wa Jalla dan Rasul-Nya lebih dia cintai berbanding dengan yang lain, (kedua) dia mencintai seseorang dan dia tidak mencintai kecuali kerana Allâh dan (ketiga) dia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan kedalam api neraka (Sahih Muslim No: 43) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Tiga perkara jika dimiliki oleh seorang Muslim akan menjadikannya memperoleh kemanisan iman:

a.  Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari selain keduanya.

b.  Apabila ia mencintai seseorang, ia hanya mencintainya kerana Allah.

c.  Ia tidak suka untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, sebagaimana ia tidak mahu untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

2.  Mencintai Rasulullah SAW mewajibkan adanya penghormatan, ketundukan dan mengikuti serta mencontohi apa yang dilakukan oleh baginda (mengagungkan sunnahnya).

3.  Di antara tanda cinta kepada Rasulullah SAW adalah dengan mengamalkan Sunnahnya, menghidupkan, dan mengajak kaum Muslimin untuk mengamalkannya, serta berjuang membela As-Sunnah dari orang-orang yang mengingkari As-Sunnah dan melecehkannya. Termasuk cinta kepada Nabi SAW adalah menolak dan mengingkari semua bentuk bidah dan kesesatan.

4.  Mencintai seseorang adalah semata-mata kerana Allah sebagai tanda mencapai kemanisan iman. Ibnul Qayyim berkata: “Setiap kecintaan dan pengagungan kepada manusia hanya dibolehkan dalam rangka mengikuti kecintaan dan pengagungan kepada Allah. Mencintai dan mengagungkan Rasulullah SAW  adalah penyempurnaan kecintaan dan pengagungan kepada Allah”.

5.  Imam Nawawi berkata: “Apabila seseorang tidak mencintai saudaranya sebagaimana ia cinta kepada dirinya sendiri, maka dia adalah seorang pendengki”. Pendengki menurut pendapat Imam Ghazali ada tiga keadaan:

a.  Bercita-cita supaya hilang terus nikmat orang lain dan berpindah nikmat itu kepadanya
b.  Bercita-cita supaya hilang nikmat tersebut sekalipun ia tidak mendapatnya
c.  Tidak bercita-cita hilang nikmat itu dari orang lain tetapi dia tidak suka melihat orang itu lebih tinggi keadaan daripadanya atau lebih banyak mendapat bahagian daripadanya, apa yang disukainya biar sama tarafnya.

6.  Kemanisan iman juga tercapai apabila ia tidak suka untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, sebagaimana ia tidak mahu (benci) untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

Rabu, Januari 05, 2022

Kita dan Keluarga

Dalam kesibukan kita berkerjaya dan mengejar keperluan di dunia, jangan sama sekali kita mengabaikan keluarga khususnya masa hadapan anak-anak kita.

Setiap kita sewajarnya berusaha untuk memastikan ahli keluarga, pasangan dan anak cucu kita bersama masuk ke Syurga. Ingatlah peringatan Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan (At-Tahrim: 6)

Untuk tujuan tersebut, beberapa doa yang dipetik daripada Al-Quran untuk kita jadikan amalan.

1. Doa Dikurnia Zuriat Yang Baik

‎هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُ قَالَ رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ

Ketika itu Nabi Zakaria a.s berdoa kepada Tuhannya, katanya:
"Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan". (Ali Imran: 38)

2. Doa Agar Sejuk Mata Memandang Isteri dan Anak-Anak

Setiap kita sentiasa berharap agar dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan bersama pasangan dan anak-anak.

‎وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. (al-Furqan: 74)

3. Mendidik Mereka Agar Mendirikan Solat

Urusan membesarkan dan mendidik ahli keluarga agar mereka mengenal Pencipta, mendirikan solat dan menjadi anak yang Soleh dan Musleh.

Doa Nabi Ibrahim AS

‎رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku" (Ibrahim 40)

Nasihat Lukman al Hakim perlu diulang kepada anak-anak.

‎يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya" (Lukman:17)

4. Menjangkau Usia 40, Kebimbangan Masa Hadapan Diri dan Anak-anak

Berdoa sebagaimana Doa Nabi Sulaiman AS

‎حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

"Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)"(al-Ahqaf 15).

Hadapi Kesukaran Dengan Zikir

Setiap yang hidup akan melalui pelbagai ujian dan cabaran dalam mengharungi kehidupan. Ada orang yang diuji dengan kesusahan dan kesulitan. Ada juga yang diuji dengan kesenangan, harta, pangkat dan sebagainya.

Rasulullah SAW mengajar kita agar sentiasa mengingati Allah dalam setiap situasi yang dihadapi khususnya ketika menghadapi kesusahan. Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَدْعُو عِنْدَ الْكَرْبِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْحَلِيمُ الْحَكِيمُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمُ

Daripada Ibnu Abbas bahawa Nabi SAW berdoa ketika sedang kesusahan dengan mengucapkan: Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, Yang Maha Lembut, Maha Bijaksana, tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah Tuhan Pemilik 'arsy yang agung, tidak ada tuhan yang berhak di sembah kecuali Allah, Tuhan Pemilik langit dan bumi dan Tuhan Pemilik 'arsy yang mulia. (HR Tirmizi No: 3357) Status: Hasan Sahih.

Berdasarkan hadis ini, ketika menghadapi kesusahan, Rasulullah SAW mengajar kita membaca zikir ini:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْحَلِيمُ الْحَكِيمُ
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمُ
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمُ

Al-Imam At-Thobari rahimahullah juga pernah menyebut di dalam kitabnya Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran: "Golongan Salafus Soleh telah berdoa dengan doa ini dan mereka menamakan doa ini dengan nama دعاء الكرب (Doa ketika ditimpa kesusahan)"

Ini adalah antara zikir yang kita digalakkan untuk dijadikan amalan semasa menghadapi segala kesusahan dan kesulitan termasuk lah banjir, penyakit dan sebagainya. Semoga menjadi pemberat timbangan amal dan dipermudah urusan kehidupan kita semua.

Jangan Merasa Diri Lebih Baik

Jika Allah membukakan pintu solat tahajud untuk kita, janganlah kita memandang rendah saudara seiman yang sedang tidur nyenyak.

Jika Allah membukakan pintu puasa sunat untuk kita, janganlah kita memandang rendah saudara seiman yang tidak berpuasa sunat.

Boleh jadi orang yang tidur dan jarang melakukan puasa sunat itu lebih dekat kepada Allah berbanding diri kita.

إِنَّمَا يُؤْمِنُ بِآيَاتِنَا الَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِهَا خَرُّوا سُجَّدًا وَسَبَّحُوا بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ . تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dengan ayat Kami, adalah orang-orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat (Kami), mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhannya, sedang mereka tidak menyombongkan diri. Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdo’a kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka” (al-Sajdah: 15-16)

Ilmu Allah amat sangatlah luas. Jangan pernah bangga dan sombong pada amalanmu.

Walau sehebat apapun diri kita, jangan pernah berkata: "Aku lebih baik daripada kalian". Ingatlah kisah Hasan al-Basri. Suatu hari di tepi sungai Dajlah, Hasan al-Basri melihat seorang pemuda duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan. Di sisi mereka terletak sebotol arak.

Kemudian Hasan berbisik dalam hati, "Alangkah buruknya akhlak orang itu dan alangkah baiknya kalau akhlaknya seperti aku!"

Tiba-tiba Hasan melihat sebuah perahu di tepi sungai yang sedang tenggelam. Lelaki yang duduk di tepi sungai tadi langsung terjun untuk menyelamatkan penumpang perahu yang hampir lemas. Enam dari tujuh penumpang itu berhasil diselamatkan.

Kemudian dia berpaling ke arah Hasan al-Basri dan berkata, "Jika engkau memang lebih mulia daripada saya, maka dengan nama Allah selamatkanlah seorang lagi yang belum sempat saya tolong. Engkau diminta untuk menyelamatkan satu orang saja, sedang saya telah menyelamatkan enam orang".

Bagaimanapun usahanya, Hasan al-Basri tetap gagal menyelamatkan yang seorang itu.

Maka lelaki itu berkata padanya, "Tuan, sebenarnya perempuan yang duduk di samping saya ini adalah ibu saya sendiri, sedangkan botol itu hanya berisi air biasa, bukan anggur atau arak".

Hasan al-Basri terpegun lalu berkata, "Kalau begitu, sebagaimana engkau telah menyelamatkan enam orang tadi dari bahaya tenggelam ke dalam sungai, maka selamatkanlah saya dari tenggelam dalam kebanggaan dan kesombongan".

Lelaki itu menjawab, "Mudah-mudahan Allah mengabulkan permohonan tuan"

Semenjak itu, Hasan al-Basri sentiasa merendahkan hati, bahkan ia menganggap dirinya sebagai makhluk yang tidak lebih daripada orang lain.

Islam mengajar kita tidak berburuk sangka kepada saudara seagama. Jika datang satu berita mengenai keburukan saudara kita, maka perlulah kita selidiki terlebih dahulu berita tersebut supaya kita tidak menzalimi saudara kita dengan prasangka yang buruk.

Justeru, jangan cepat berburuk sangka dengan orang lain serta memandang rendah padanya. Apabila melihat orang lain membuat maksiat kepada Allah, jangan redha kepada perbuatannya. Namun, elakkan daripada menghina orang tersebut serta mencari aibnya yang lain. Mungkin orang itu jahil tentang perbuatannya. Cegahlah mengikut kemampuan masing-masing.

Musibah Sebenar

Ibn ‘Ataillah al-Sakandari dalam Bahjah An-Nufus menyatakan: “Musibah yang sebenar bukanlah orang yang mati anaknya atau kehilangan harta, keluarga atau kekasih. Tetapi, musibah yang sebenar adalah orang yang dihentam dengan dosa, diserang oleh syahwat, dan dihempap oleh pelbagai kesalahan!

Inilah musibah yang sebenar! Mereka menghabiskan waktu mudanya untuk meraih segala kenikmatan, mereka menghabiskan umur mereka untuk melakukan segala maksiat dan perkara terlarang.

Jangan kau menganggap orang yang berduka dan mendapat musibah adalah mereka yang terkena penyakit, dilanda kemiskinan, atau sedang dipenjara. Boleh jadi, semua itu membuatkan mereka lebih dekat dengan Allah dan memperoleh redhaNya. Adakalanya kesembuhan itu datang setelah meminum ubat yang pahit.

Tetapi, hakikatnya, yang sebenarnya ditimpa musibah adalah mereka yang bermaksiat pada Allah dan tidak bertaubat dari dosa. Mereka memasukkan kotoran maksiat ke dalam hati mereka yang bersih. Mereka penuhkan neraka dosa dalam kalbu mereka sehingga mereka mati.

Apabila engaku di tanya tentang ‘Apakah yang patut di ratapi?’, maka, kau jawablah: "Yang sepatutnya diratapi adalah seorang hamba yang Allah kurniakan kesihatan dan kekayaan, namun dia menghabiskan kedua-duanya untuk bermaksiat pada Allah”.

Moga kita dipelihara oleh Allah daripada bergelumang dengan maksiat.

Indikator Kebahagiaan

Suatu hari, Ibnu Abbas yang mendapat julukan al-bahr (lautan ilmu) ditanya oleh sahabat, apa yang dimaksudkan dengan kebahagiaan. Beliau menjawab ada tujuh indikator kebahagiaan di dunia;

1) Hati yang sentiasa bersyukur

Sentiasa menerima seadanya (qanaah) apa sahaja yang dikurniakan dengan ikhlas dan redha. Sentiasa bersyukur dengan setiap nikmat sehingga tidak ada cita-cita yang berlebihan, tidak ada stress, inilah nikmat bagi hati yang selalu bersyukur. Berbahagialah orang yang bersyukur.

2) Pasangan hidup yang soleh

Pasangan hidup yang soleh akan mewujudkan suasana rumahtangga dan keluarga yang soleh. Setiap pasangan keluarga akan berusaha mencipta suasana keluarga yang Sakinah dan rahmah dengan melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan sebaiknya. Berbahagialah orang yang memiliki pasangan yang bahagia.

3) Anak yang soleh

Anak soleh yang sentiasa berbakti, berbuat baik dan mendoakan kedua ibu bapa sama ada semasa mereka masih hidup mahupun selepas kematiannya. Berbahagialah ibu-bapa yang memiliki anak soleh dan solehah.

4) Persekitaran hidup yang baik

Persekitaran kehidupan yang kondusif untuk iman kita. Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk selalu bergaul dengan orang-orang soleh yang selalu mengajak kepada kebaikan dan mengingatkan bila kita melakukan kesalahan. Hadis Rasulullah SAW:

مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ وَكِيرِ الْحَدَّادِ لَا يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً

Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu atau kamu mendapatkan bau yang busuk.” [HR Bukhari No:5534)

5) Harta yang halal

Bukan banyaknya harta tapi halalnya harta yang dimiliki. Harta yang halal akan menjauhkan ancaman syaitan dari hati. Hati menjadi bersih, suci dan kukuh sehingga memberi ketenangan dalam hidup. Berbahagialah orang yang sentiasa teliti menjaga kehalalan hartanya.

6) Semangat untuk memahami agama

Semangat dan kesungguhan memahami agama sentiasa berkobar-kobar dengan mempelajari ilmu agama. Semakin banyak belajar, semakin cinta ia kepada agama dan semakin tinggi cintanya kepada Allah dan Rasul. Cinta inilah yang akan memberi cahaya bagi hatinya. Berbahagialah orang yang sentiasa bersemangat untuk memahami agama.

7) Umur yang barakah.

Umur yang barakah bermaksud semakin berusia semakin soleh. Setiap saat dari usianya diisi dengan amal ibadah. Semakin tua semakin rindu untuk bertemu dengan Allah SWT. Inilah semangat hidup orang yang barakah umurnya. Berbahagialah pemilik umur yang barakah.

Banjirkan Pahala

Ketika dan saat ini, beberapa negeri di Malaysia dilanda banjir. Pada kali ini, ada yang menggambarkan banjir di Selangor dan Pahang seperti Tsunami. Ia bukan hanya fenomena alam namun merupakan musibah yang didatangkan kepada kita untuk menguji dan mendatangkan pahala.

Setiap orang harus beriman bahawa musibah apa pun termasuk musibah banjir merupakan ketetapan Allah sehingga wajib menerima ketentuan Allah tersebut dengan lapang dada. Sebagaimana firman Allah SWT:

مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَا إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِير

“Tiada suatu musibah pun yang menimpa di bumi dan pada diri kamu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” (Al Hadid: ayat 22)

Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا إِلَّا أَجَرَهُ اللهُ فِي مُصِيبَتِهِ وَأَخْلَفَ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا

 Tidaklah seorang hamba ditimpa musibah lalu ia mengatakan, "Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya lah kami kembali, (lalu berdoa) Ya Allah berilah pahala kepadaku dalam musibahku ini, dan berilah ganti bagiku yang lebih baik daripadanya," kecuali Allah memberinya pahala dalam musibahnya dan menggantinya dengan yang lebih baik untuknya. (HR Muslim No: 918) Status: Hadis Sahih.

Hal ini menjelaskan bahawa ketika musibah datang kepada kita, maka seharusnya dihadapi dengan istirja’, doa dan sabar, maka Allah akan menggantinya dengan yang lebih baik, di dunia lagi dan atau di akhirat. Bukan hanya itu, Allah juga menjanjikan ampunan bagi orang yang terkena musibah apapun. Seperti yang disebutkan oleh Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Tidaklah seorang muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya." (HR Bukhari No: 5641) Status: Hadis Sahih

Jadikan banjir sebagai penyuci dosa. Jadikan banjir sesuatu yang positif. Contoh, asbab banjir, tersedia pelbagai lapangan pekerjaan seperti 'towing car', bengkel baiki kereta, kedai perabot dan tilam dan sebagainya. Bahkan, asbab banjir juga orang ramai dapat beramal melalui penyaluran dana untuk membantu mangsa banjir, pesta pahala untuk para sukarelawan dan kepada yang terlibat dengan banjir pula 'banjirkan pahala' dengan banyakkan bersabar dan redha kepada-Nya.

Menukar kesempitan menjadi kesempatan, menukar bala menjadi pahala dan menukar musibah menjadi hikmah adalah tindakan orang yang bijaksana. Bijak di sini dan bijak 'di sana'.