ALLAH SWT menyebut perihal hari akhirat dan menjelaskan azab kepada orang kafir secara singkat serta pahala orang yang taat secara terperinci. Ini adalah untuk menunjukkan kepada kita bahawa di sisi rahmat itu didahulukan daripada azab.
Kemudian Allah SWT menambah dengan menyebut keadaan dunia, iaitu Dia mendahulukan keadaan orang yang taat (Rasulullah SAW dan umatnya) berbanding keadaan orang yang derhaka dan musyrik.
Sebelum perintah dan larangan yang berhubung dengan Rasulullah SAW dikeluarkan, Allah SWT telah memerintahkan kepadanya agar bersabar terhadap gangguan kaumnya yang baginda alami. Ini adalah untuk menghilangkan kedukaannya dan menguatkan hati baginda, sehingga lapang hati baginda. Justeru baginda sibuk mentaati Allah dengan berada dalam kegembiraan dan keaktifan.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami Telah menurunkan al-Quran kepadamu (hai Muhammad) dengan beransur-ansur. (al-Insaan: 23)
Al-Maraghi berkata: " Penurunan secara berperingkat dan beransur-ansur selama 23 tahun, agar mudah dihafal, memahami dan mempelajarinya. Manakala hukum-hukumnya itu diturunkan sesuai dengan peristiwa yang benar-benar berlaku di dunia sehingga akan memperkuatkan lagi keimanan orang Mukmin dan menambah ketakwaan orang yang bertakwa."
Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT memberikan kurniaan kepada Nabi Muhammad SAW iaitu diturunkannya al-Quran secara beransur-ansur."
Sayid Qutub berkata: "Ayat ini menekankan peringatan pertama kepada sumber perintah memperjuangkan dakwah Islam dan sumber hakikatnya, iaitu dakwah Islam ini adalah daripada Allah SWT."
Dialah sumber dakwah Islam yang tunggal. Dialah yang menurunkan al-Quran membawa dakwah ini. Kerana itu tiada sumber dan tiada punca lain bagi dakwah melainkan al-Quran. Allah SWT yang telah menurunkan al-Quran dan mentaklifkan dakwah ini tidak akan membiarkannya dan tidak akan meninggalkan pendakwahnya begitu sahaja.
Firman Allah SWT: Maka bersabarlah kamu untuk (melaksanakan) ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu ikuti orang yang berdosa dan orang yang kafir di antara mereka. (al-Insaan: 24)
Al-Maraghi berkata: "Bersabarlah kamu terhadap cubaan dan ujian Tuhanmu kerana ditunda memberi pertolongan kepadamu daripada gangguan orang musyrik. Bersabarlah kamu menghadapi gangguan-gangguan ketika menyampaikan risalah dan wahyu yang diturunkan kepadamu. Jangan kamu menurut seorangpun daripada orang berdosa yang mengajakmu kepada dosa dan jangan pula kamu menurut seorangpun daripada orang kafir yang mengajakmu kepada kekafiran."
Ibnu Kathir berkata: "Yakni sebagaimana Aku telah memuliakan dirimu dengan apa yang telah Aku turunkan kepadamu, maka bersabarlah atas ketetapan dan ketentuan-Nya. Dan ketahuilah bahawa Dia akan mengurusmu dengan sebaik-baiknya. Dan janganlah kamu menuruti orang-orang kafir dan orang-orang munafik jika mereka hendak menghalangi dirimu untuk menyampaikan apa yang telah Allah turunkan kepadamu dan hendaklah kamu tetap menyampaikannya serta bertawakal kepada Allah SWT."
Sayid Qutub berkata: "Sabarlah hingga tiba saatnya yang ditentukan. Sabarlah menanggung penindasan dan fitnah, sabarlah melihat kebatilan terus mendapat kemenangan dan kejahatan masih terus merebak dan berleluasa. Sabarlah mempertahankan kebenaran yang diturunkan kepadamu, sabarlah dan jangan kamu
hiraukan tawaran-tawaran perdamaian dan penyelesaian jalan tengah daripada mereka yang membahayakan akidah Islam, kerana mereka bukan menyeru kamu kepada ketaatan dan tidak pula kepada kebaikan dan kebajikan melainkan menyerumu kepada sesuatu dosa dan kekufuran. Mereka adalah orang-orang yang berdosa dan tidak beriman kepada Allah SWT."
Sumber: SurauKampung
Tiada ulasan:
Catat Ulasan