Rabu, Ogos 24, 2011

Pengisian Program Aidilfitri

Aidilfitri hendaklah disambut dengan acara-acara yang ditunjukkan oleh Al-Quran dan Al-Sunnah, iaitu:

a. Membanyakkan Ucapan Takbir

Firman Allah: "Dan sempurnakanlah ibadah puasa kamu mengikut bilangan hari dalam bulan Ramadhan (29 atau 30 hari), dan bertakbirlah (membesarkan Allah) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." (AlBaqarah : 185) Sabda Rasullullah s.a.w. pula: "Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir dan tahmid." Di dalam kitab-kitab Fiqh dijelaskan, takbir hari raya itu terbahagi kepada dua:

1. Takbir Mursal: Ia sunat dilafazkan sama ada oleh orang yang bermukim atau musafir, di masjid atau di jalan, dengan cara duduk atau berdiri, di pasar-pasar, di rumah-rumah kediaman dan sebagainya. Waktunya bermula dari ghurub matahari akhir Ramadhan dan berterusan sepanjang malam Hari Raya hingga solat 'Id didirikan pada esok hari. Demikian juga bagi Takbir 'Id Al-Adhha (Hari Raya Qurban) sunat dilafazkan sepanjang malam hingga esok harinya ketika solat 'Id Al-Adhha dilaksanakan.

2. Takbir Muqaiyad: Iaitu takbir yang terikat dengan waktu-waktu solat. Jelasnya ia sunat dilafazkan setiap kali selesai solat. Waktunya bermula selepas Subuh hari Arafah (hari ke-9) dan berakhir selepas Asar 13 Zulhijjah.

b. Menunaikan Zakat Fitrah

Walaupun dibolehkan pembayarannya sejak awal Ramadhan, yang afdhalnya ialah pada pagi hari Raya selepas solat Subuh dan sebelum solat 'Id didirikan. Inilah menurut hukum asal yang dipraktikkan pada zaman hayat Rasullullah s.a.w. dan para sahabat serta tabi'in yang lalu. Masa dulu Zakat Fitrah pada peringkat awal yang lalu dalam bentuk makanan asasi dan terus disampaikan kepada fakir miskin. Jadi, dalam saat-saat mereka hendak menyambut 'Idil Fitri, hari mulia yang penuh barakah, alangkah gembiranya mereka mendapat pemberian makanan itu. Ibnu Abbas r.a. berkata: "Rasullulah s.a.w. memfardhukan Zakat Fitrah itu sebagai (I) membersihkan kecacatan ibadah puasa kerana perbuatan yang sia-sia dan mencarut, (2) di samping itu menjadi habuan untuk orang-orang, miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat 'Id, maka zakatnya itu diterima. Tetapi yang membayarnya selepas solat 'Id, ia menjadi sodaqah biasa." (Riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah dan disahkan oleh al-Hakim). Masa kini Kini di negara kita, Zakat Fitrah diberikan dalam bentuk wang ringgit sebagai ganti beras. Fakir dan miskin telah menerima habuan sebelum Hari Raya dengan diberi pendahuluan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri-negeri. Oleh itu, elok Zakat Fitrah dibayar lebih awal atau pada malam Hari Raya, untuk mengelakkan kesibukan tugas amil memungutnya.

PERINGATAN

Sempena 'Idul Fitri, selain diwajibkan berfitrah, umat Islam yang berkemampuan disunatkan memberikan sodaqah-sodaqah yang lain dengan mengutamakan kaum kerabat kita yang susah, kemudian barulah kepada fakir miskin dan anak-anak yatim.

c. Menghadiri Upacara Solat Sunat Aidilfitri

Sekalian umat Islam tua atau muda, lelaki dan perempuan termasuk yang haidh disunatkan menghadiri upacara perhimpunan Solat Sunat Aidilfitri, yang merupakan muktamar tahunan bagi masyarakat Islam setempat. Kehadiran mereka sebagai menghayati syi'ar keagungan Islam dan lambang perpaduan umat, di samping itu mereka berpeluang bertakbir (mengagungkan Allah) beramai-ramai, mendengar khutbah 'Id yang penting, berzikir dan mengaminkan do'a yang dibaca oleh imam. Bagi yang tidak uzur berpeluang mendirikan solat Hari Raya. Daripada Ummu 'Atiyah r.a. ujarnya: "Kami disuruh membawa gadis-gadis kecil dan wanita-wanita yang haidh pada dua Hari Raya ('Idil Fitri dan 'Idil Adhha), agar mereka menyaksikan kebajikan dan do'a kaum muslimin, tetapi wanita-wanita yang sedang haidh itu terpisah dari tempat solat." (Muttaqafaq 'alaih)

Untuk Hari Raya Puasa kita disunatkan menjamah juadah terlebih dahulu, kemudian pergi ke musolla (tempat solat). Tetapi untuk Hari Raya Haji sunat tidak makan terlebih dahulu, sebaliknya kita bersegera ke upacara perhimpunan solat. Solat Aidil Adha disegerakan, lalu menyembelih qurban. Kemudian, kita pulang dengan membawa daging qurban, lalu dimasak dan baru makan. Mengikut Syara', sunat bagi kita mandi pada pagi Hari Raya dan memakai pakaian serba baru atau yang bersih dan indah. Kemudian, ketika kita pergi ke musolla (masjid/surau), pergi melalui satu jalan dan pulang melalui satu jalan yang lain, dengan tujuan dapat bertemu lebih ramai sahabat handai dan saudara sesama Islam. Kita sama-sama mengucapkan salam 'Idil Fitri sambil berbalas senyuman, sama-sama menyatakan gembira dan bersyukur ke hadhrat Ilahi atas petunjuk dan pertolongan-Nya sehingga kita berjaya menundukkan nafsu sepanjang bulan Ramadhan.

d. Amalan-amalan Menjelang Hari Raya Puasa

Umat lslam digalakkan melakukan i'tikaf beramai-ramai di masjid pada malam-malam sepuluh terakhir pada bulan Ramadhan (malam ke-21 hingga malam ke-30) kerana mengharap bertemu malam Lailatul qadr, yang mempunyai nilai lebih baik daripada seribu bulan. Amalan ini dilakukan pada zaman hayat Rasulullah s.a.w., para sahabat dan abad-abad berikutnya. Bahkan hingga kini masih dilakukan besar-besaran di sesetengah negara lslam khususnya di Makkah. Namun di negara kita kebanyakan umat Islam menyambut 'Idil Fitri dengan cara melebihkan faktor fizikal atau lahiriah. Sejak awal Ramadhan lagi mereka lebih tertumpu ke pusat membeli-belah, melengkapkan persiapan dengan membeli pakaian, hiasan rumah dan sebagainya secara berlebih-lebihan. Apabila Hari Raya sudah hampir, kebanyakan suri rumah lebih menumpukan perhatian terhadap penyediaan kuih-muih yang pelbagai jenis. Malam Hari Raya yang sepatutnya dipenuhi dengan ibadah-ibadah qiyamullail, telah dikorbankan kerana memasak ketupat, lemang, rendang dan sebagainya. Anak-anak tidak diajar mengucapkan takbir tetapi disogokkan dengan permainan bunga api dan mercun, yang bukan sahaja membazir wang ringgit malah membahayakan.

e. Sederhana dan Diredhai Allah

Umat Islam wajib menilai semula segala aktiviti yang telah berjalan selama ini, yang sesetengahnya telah menjadi 'budaya' termasuk acara menyambut 'ldil Fitri. Ciri-ciri yang diambil dari budaya luar Islam atau warisan budaya bangsa yang tidak sesuai dengan aqidah dan syari'ah lslam hendaklah ditinggalkan. Kita boleh menyediakan makanan. juadah dan kuih-muih untuk Hari Raya tetapi biarlah dalam bentuk sederhana. Demikian juga persiapan-persiapan seperti menghias rumah, pakaian, biarlah sederhana dan sesuai dengan pendapatan keluarga. Acara ziarah-menziarahi saudara-mara, kaum kerabat, orang-orang yang berjasa kepada kita seperti guru-guru dan sahabat handai, ini sebenarnya tidak terbatas sempena Hari Raya sahaja, tetapi perlu dilakukan pada hari dan bulan lain, yang sesuai dari masa ke semasa, sebagaimana sabda Nabi s.a.w. Maksudnya: "Ziarahilah saudara-mara kamu dari masa ke semasa, kerana ia boleh menambahkan kasih sayang." Lebih-lebih lagi menziarahi ibu bapa kita hendaklah dilakukan lebih kerap dan jangan menunggu pada Hari Raya sahaja."

Sumber: http://www.al-azim.com/

Tiada ulasan: