SESEORANG yang beriman belum tentu ia seorang bertakwa tetapi jika seseorang itu bertakwa, sudah tentu ia orang yang beriman. Dalam al-Quran, Allah menggesa orang yang beriman supaya bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa.
Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan sebagai Muslim." – (Surah ali-Imran, ayat 102)
Ayat ini menjelaskan tidak semua orang yang beriman itu benar-benar bertakwa hinggakan Allah menegur mereka supaya menjadi orang yang bertakwa dengan melakukan amal salih. Mereka yang sudah beriman, beramal salih dan bertakwa disediakan Allah ganjaran syurga.
Ketahuilah bahawa dalam syurga terdapat nikmat yang tidak pernah terlintas oleh mata, telinga dan hati manusia. Inilah kebesaran Allah terhadap hamba-Nya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Untuk hamba-Ku yang salih, Aku sediakan kesenangan yang tidak pernah terlintas oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah sedikitpun terlintas dalam hati manusia – (Hadis riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Ibn Majah. Inilah kehebatan Allah dalam menyediakan ganjaran kepada hamba-Nya yang melakukan kebaikan.
Melalui hadis itu dapat difahami bahawa, Allah memberitahu kepada hamba-Nya mengenai nikmat dan kesenangan yang akan diberikan kepada hamba-Nya yang salih. Bermacam corak ragam serta bentuk nikmat kesenangan yang disediakan itu menandakan keagungan dan kebesaran-Nya.
Nikmat itu sebenarnya tidak dapat digambarkan atau dilukiskan dengan tepat seperti adanya, kerana ia bersifat kekal abadi, tidak luntur dan lusuh, jauh sekali daripada menjadi buruk atau seumpamanya yang membawa kepada kehancuran. Inilah nikmat yang perlu direbut manusia.
Manusia yang beriman kepada Allah mesti bersyukur kepada-Nya kerana mereka dihidupkan sebagai seorang Muslim dalam agama Islam dibawa junjungan besar Nabi
Muhammad SAW dan inilah nikmat terbesar diterima umat Islam yang balak menghuni syurga Allah.
Untuk menghuni syurga Allah, al-Quran menerangkan ciri hambanya yang layak terdiri daripada orang beriman lagi bertakwa. Pertama ialah mereka yang menjauhi penyembahan berhala iaitu menjauhkan diri daripada mensyirikkan Allah yang boleh menyebabkan seseorang menjadi murtad dan orang yang mendengar arahan Allah
dengan mengikutnya melakukan kebaikan, menjauhi larangan-Nya.
Dengan melakukan kebaikan dan menjauhi larangan Allah, jelaslah mereka itulah orang yang bertakwa. Firman Allah yang bermaksud: "Bagi mereka yang menjauhi penyembahan berhala dan kembali mentaati kepada Allah, tersedia khabar gembira. Beritakanlah khabar gembira itu kepada hamba-Ku yang mahu mendengarkan kata-kata (yang hakikatnya dari Allah) lalu mereka mengikuti kata-kata yang terbaik. Mereka itulah orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal." – (Surah al-Zumar, ayat 17-18)
Kedua ialah orang yang beriman dan beramal salih dengan segala suruhan dan menjauhi segala larangannya. Ini dijelaskan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: "Wahai hamba-Ku yang salih, tidak ada rasa takut pada diri kalian di hari ini (hari Kiamat) dan tidak pula kalian rasa sedih. Mereka itulah orang yang beriman kepada tanda kebesaran kami dan mereka yang Islam (menyerah diri kepada Allah)." – (Surah
al-Zukhruf, ayat 68-69)
Dalam ayat ini Allah menjelaskan sifat hambanya yang beriman iaitu mereka yang rasa takut pada hari kiamat dan tidak pula berasa sedih untuk meninggalkan dunia kerana mereka adalah orang yang tunduk patuh kepada peraturan Allah di atas muka bumi semasa hayatnya.
Ketiga ialah orang Islam. Sesungguhnya syurga itu adalah tempat orang naik saksi bahawa tiada Tuhan berhak disembah melainkan-Nya dan mengakui Nabi Muhammad SAW itu adalah hamba dan utusan-Nya.
Apabila orang yang sudah mengakui syahadah, walaupun sebelum itu mereka berada dalam kekufuran akan dimasukkan Allah dalam syurga-Nya kerana ia adalah tempat kembali bagi orang yang sudah memeluk agama Islam.
Ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan yang sebenarnya berhak disembah kecuali Aku. Rahmat-Ku sudah mendahului kemurkaan-Ku. Barang sesiapa yang naik saksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya berhak disembah kecuali Allah dan Nabi Muhammad SAW adalah hamba dan utusan-Nya, nescaya ia berhak mendapat syurga." – (Hadis diriwayatkan al-Daimali)
Inilah ciri manusia yang akan menjadi penghuni syurga kelak. Sesungguhnya beruntunglah mereka yang akan menjejakkan kaki ke sana kerana ia adalah tempat yang
tidak ada bandingnya dengan tempat dilihat manusia di atas muka bumi ini.
Sumber: SurauKampung
Tiada ulasan:
Catat Ulasan