Islam merupakan agama yang mudah dan tidak pernah bermaksud menyusahkan manusia. Sebaliknya, kedangkalan manusia memahami Islamlah yang sering mengundang perilaku songsang segelintir umat hingga Islam tertampil bagaikan agama yang rumit dan banyak pantang larangnya.
Situasi sedemikian pastilah bertentangan dengan realiti dan tabii Islam itu sendiri sebagaimana yang dijelaskan Allah s.w.t.: Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya.; Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. (al-Hajj: 22).
Rasulullah s.a.w. ketika mengutuskan Muaz dan Abu Musa ke Yemen, turut bersabda: Sesungguhnya agama Islam mudah....permudahkanlah dan jangan kamu menyusahkan, sampaikan khabar gembira dan jangan membuat mereka lari. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Sebab itulah syariat Islam sama ada berkaitan ibadah (peraturan berhubung kait dengan hubungan antara makhluk dengan Tuhannya) mahupun muamalah (bersangkutan hubungan sesama manusia) tidak pernah meletakkan bebanan ke atas manusia di luar kemampuan dan kudratnya. Bahkan dalam ibadah umpamanya terdapat hukum yang dinamakan rukhsah yang memberi kelonggaran beribadah terutamanya apabila wujud kesukaran untuk menyempurnakannya.
Sebagai contoh, Allah mengharuskan berbuka puasa pada bulan Ramadan bagi yang bermusafir dan orang sakit. Begitu juga mengharuskan sembahyang jamak dan qasar
bagi musafir, tayamum ketika ketiadaan air atau jika air mendatangkan kemudaratan dan pelbagai lagi.
Kesepakatan ulama terdahulu mengenai prinsip kemudahan dalam Islam inilah yang membentuk satu kaedah fiqah masyhur, ‘al-masyakkah tajlibu at-taisir’ yang
bermaksud kepayahan membawa kepada kemudahan (Imam Al-Sayuti, Al-Ashbah Wa An-Nazoir). Berasaskan kaedah ini, para ulama menyepakati bahawa apabila seseorang
berhadapan dengan situasi susah hingga menyukarkannya melaksanakan kewajipan syarak secara sempurna, maka kesusahan dan kesulitan itu menjadi sebab untuk dia mendapat kemudahan dan keringanan dengan cara dipermudahkan pelaksanaannya dan dibuangkan kesusahan yang melanda.
Berdasarkan prinsip ini jugalah, isu-isu berkaitan dengan muamalah maaliah atau urusniaga kewangan telah banyak dapat diselesaikan oleh ulama kontemporari terutamanya yang bersangkutan dengan kekangan semasa. Sebagai contoh, senario dunia pelaburan masa kini umpamannya, amat sukar untuk umat mendapatkan pelaburan yang seratus peratus bebas daripada unsur-unsur haram seperti riba.
Hakikat ini juga pernah dinyatakan Rasulullah dalam sebuah hadis: Akan tiba suatu masa pada manusia, di mana semua orang terjebak (memakan) riba. Ditanya, “Apakah semua manusia?” Jawabnya: “Yang tidak langsung makan akan juga terkena debunya. (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan An-Nasa‘i).
Menyedari realiti inilah, ulama kontemporari berpendapat bahawa adalah harus untuk melabur dalam syarikat yang beroperasi di dalam aktiviti perniagaan yang bercampur di antara unsur-unsur halal dan haram. Dengan syarat, aktiviti utamanya adalah halal tetapi terdapat sedikit sahaja unsur haram dalam operasinya.
Sebagai contoh, sebuah syarikat perladangan yang aktiviti utamanya memasarkan produk perladangan halal tetapi turut memperoleh pendapatan faedah daripada simpanan tetap (fixed deposit) dalam bank konvensional. Maka dalam hal ini, Majlis Penasihat Syarak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia memutuskan bahawa seseorang itu tetap dibenarkan melabur dalam syarikat perladangan tersebut selagi mana nilai perolehannya yang berunsur riba tadi tidak melebihi 10 peratus daripada keseluruhan perolehan syarikat.
Ketetapan ini berdasarkan prinsip yang dinamakan ‘umum balwa iaitu suatu kaedah yang memaafkan sebahagian daripada unsur haram yang amat sukar dielakkan terutama dalam senario dunia perniagaan kini yang tidak boleh lari daripada elemen riba secara total. Imam As-Sayuti dalam bukunya Al-Ashbah Wa An-Nazoir turut memperincikan prinsip ‘umum balwa sebagai salah satu sebab yang membolehkan kelonggaran diberikan berpandukan kaedah syarak ‘kepayahan membawa kepada kemudahan’.
Demikianlah hebatnya Islam yang merungkai pelbagai permasalahan dan kekangan yang dihadapi umat dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah di muka bumi. Sebarang kesulitan dan kepayahan yang dihadapi tidak wajar dijadikan alasan untuk curang terhadap Allah sehingga melanggar segala batasan syariat.
Apa yang paling mustahak dalam mengaplikasikan instrumen syarak yang cukup luas ini, aspek warak atau takutkan Allah harus mendominasi pemikiran dan sikap kita dalam bermuamalah. Sikap warak inilah yang akan membentengi umat daripada sebarang bentuk penyimpangan, pelampauan mahupun keterlanjuran hingga mungkin terjerumus ke dalam kancah menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.
Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI (Mingguan Malaysia)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan