Mungkin ramai yang kurang jelas maksud antara khusyuk dan tomakninah. Adapun tomakninah adalah ketenangan iaitu berdiam sejenak. Hukum khusyuk tidak wajib tidak seperti tomakninah pula hukumnya wajib. Ini berdasarkan hujah-hujah dan dalil-dalil berikut:
Diriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda:
“Pencuri yang paling buruk adalah yang mencuri dalam solat.” Para sahabat bertanya : “Bagaimanakah seorang boleh mencuri dalam solatnya?” Sabda baginda s.a.w: “Itulah mereka yang tidak meneympurnakan rukuk dan sujudnya.”
(Riwayat al-Tabrani dan al-Hakim)
Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w ternampak seorang lelaki yang tidak sempurnakan rukuknya bila keadannya seperti burung mematuk dalam sujudnya ketika solat. Lalu baginda s.a.w bersabda :
“Sekiranya orang ini mati dalam keadaan sperti ini, nescaya dia mati bukan millah Muhammad, kerana dia solat seperti burung gagak mematuk darah. Perumpamaan orang yang tidak sempurnakan rukuknya dan mematuk dalam sujudnya seperti orang lapar yang memakan satu atau dua biji buah kurma yang tidak memberi manfaat apa-apa kepadanya”
(Riwayat al-Baihaqi dan al-Tabrani)
Dari Abu Hurairah r.a katanya: seorang lelaki bernama Khallad bin Rafi` telah masuk ke dalam masjid lalu solat. Setelah selesai, ia datang kepada Rasulullah s.a.w dan memberi salam. Baginda menjawab lalu bersabda:
“Kembali dan solatlah, kerana sebenarnya engkau belum bersolat lagi”. Maka orang itu pun kembali dan hal itu dilakukan sampai tiga kali, sampai akhirnya dia bertanya: “Demi Tuhan yang mengutuskanmu dengan membawa kebenaran, saya tidak dapat lakukan yang lebih baik daripada ini, oleh itu ajarkan aku” Maka baginda bersabda:
“Jika kamu berdiri solat, bertakbirlah, lalu bacalah ayat al-Quran yang mudah bagimu, kemudian rukuklah dengan tomakninah, lalu bangkitlah hingga engkau berdiri tegak, lalu sujudlah dengan tomakninah, dan bangkitlah hingga engkau duduk dengan tomakninah pula, dan kemudian sujudlah lagi juga dengan tomakninah. Dan lakukanlah cara itu dalam semua solatmu”
(Riwata al-Buhkari, Muslim, dan Ahmad)
Daripada semua riwayat-riwayat di atas, dapatlah difahamkan bahawa tidak seperti khusyuk, tomakninah adalah wajib di dalam solat hinggakan mereka yang tidak melakukan tomakninah dalam solat, maka dicemuh bahkan diarah diulang kembali. Inilah yang selalunya berlaku apabila perbuatan wajib di dalam solat tidak dilakukan. Adapun mereka yang tidak khusyuk dalam solat tidak dicemuh dan tidak pula diarahkan agar mengulangi solatnya. Suka diingatkan dan diingatkan lagi bahawa walaupun khusyuk bukan suatu faktor yang wajib, itu tidak bererti bahawa kita tidak perlu berusaha untuk khusyuk dalam solat.
Daripada Aisyah r.ha. katanya:
“Rasulullah s.a.w solat dengan mengenakan pakaian daripada bulu yang bergambar, kemudian sabdanya: “Gambar-gambar pakaian ini menggangu perhatianku, kembalikanlah kepada Abu Jaham dan tukarlah dengan pakaian bulu kasar yang tidak bergambar.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Daripada ANas katanya:
“Aisyah r.ha. mempunyai tabir tipis yang dipasang di pintu rumahya maka Nabi s.a.w bersabda: “ Turunkanlah tabirmu itu, kerana gambar-gambarnya menganggu aku dalam solat.”
(Riwayat Bukhari)
Dikatakan Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar r.hm pernah diuji oleh Rasulullah s.a.w Baginda berjanji akan memberi mereka hadiah. Kedua-dua sahabat besar ini, cuba untuk tidak mahu memikirkan janji baginda semasa mereka solat tetapi gagal. Kalaulah khusyuk menjadi sebab pembatalan dan kerosakan solat, sudah tentu Rasulullah s.a.w akan perintahkan agar kedua-dua sahabat itu, mengulangi solat mereka kerana teringat janji-janji baginda s.a.w.
Kesimpulannya, khusyuk dalam solat memang merupakan perkara yang penting. Apa saja yang boleh menggangu khusyuk harus dijauhkan. Tetapi apabila dalam keadaan tertentu, seseorang yang sedang solat terganggu khusyuknya kerana perlu melakukan sesuatu yang penting, maka beliau boleh berbuat demikian dan solatnya tidak akan ditolak.
Sumber: http://fikir-sejenak.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan