Jumaat, Oktober 29, 2010

Di Sebalik Larangan Melukis Imej Nabi

Kontroversi karikatur yang menghina Nabi Muhammad s.a.w menarik minat banyak pihak mengenai dasar di sebalik hukum larangan membuat imej baginda.

Sebahagian pihak cuba mengalihkan isu itu kepada persoalan apakah benar perbuatan menggambarkan Nabi Muhammad s.a.w salah dalam Islam atau hanya mitos popular semata-mata? Pihak berkenaan cuba menimbulkan syak terhadap hukum tersebut dengan menyatakan larangan itu tidak terdapat sama sekali dalam al-Quran.

Mereka berkata ia, sebaliknya, merupakan pengaruh sebahagian penganut Kristian yang menetap di daerah Syam dahulu, yang menolak penggunaan patung dam imej Isa, Maryam dan lain-lain sebagai simbol agama Kristian.

Mereka juga berhujah bahawa lukisan Nabi Muhammad s.a.w bukan sesuatu yang baru dalam sejarah Islam.

Pelbagai lukisan Nabi telah dijumpai dalam pelbagai karya para seniman dan tersimpan di pelbagai muzium. Bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa isu yang menimbulkan kemarahan umat Islam serata dunia bukanlah soal melukis imej Nabi Muhammad saw tetapi lebih soal penghinaan yang menggambarkan beliau sebagai seorang pengganas. Bahkan, agama Islam dan umatnya juga digambarkan sedemikian.

Ini kemudian diburukkan lagi oleh sikap pihak berkenaan yang berasa tidak mengapa melakukan sedemikian.Kemunculan lukisan Nabi Muhammad saw dan silap guna lambang Islam bukan sesuatu yang baru.

Sebagai contoh, umat Islam pernah membantah kewujudan tulisan seumpama nama Allah di tapak kasut buatan syarikat kasut berjenama dan keratan ayat al-Quran menghiasi grafik permainan komputer. Bagaimanapun, jarang sekali ia menimbulkan kemarahan seperti yang disaksikan baru-baru ini kerana biasanya kesilapan itu dengan segera dibaiki dan bantahan umat Islam ditangani dengan rasa sensitif.

Kewujudan lukisan Nabi Muhammad s.a.w daripada sumber-sumber umat Islam dahulu sememangnya diakui. Namun ia tidak boleh menjadi hujah untuk mengatakan bahawa pandangan yang melarang itu tidak betul atau hanyalah mitos.

Selain itu, kewujudan lukisan itu bukan petanda ia direstui oleh pandangan fikah yang dominan tetapi hanya merupakan penghormatan pada pandangan yang berbeza.


Tambahan pula, kebanyakan lukisan itu tidak dilukis dalam bentuk yang menghina dan bukan pula atas tujuan menghina. Perlu juga diingat kewujudan sesuatu amalan di kalangan umat Islam tidak bermakna bahawa ia menggambarkan keharusan amalan itu di sisi agama. Contohnya perbuatan meminum arak di kalangan sebilangan Muslim.

Hukum Islam (halal, haram dan lain-lain) tidak tertegak atas dasar amalan umat Islam tetapi atas dasar metodologi pengambilan hukum yang telah dibangunkan oleh para ulama secara turun-temurun dari Nabi Muhammad s.a.w.

Memang tidak terdapat nas (pernyataan) jelas di dalam al-Quran yang melarang melukis gambar Nabi Muhammad s.a.w. Namun, ini tidak bermakna larangan itu tertegak atas hujah yang rapuh kerana al-Quran bukan satu-satunya sumber hukum Islam.

Hukum Islam dihasilkan daripada al-Quran dan hadis. Jika tiada pernyataan jelas di dalam al-Quran dan hadis mengenai sesuatu isu, maka ulama menggunakan alat-alat lain, seperti ijmak (kesepakatan), qiyas, sad az-zari`ah (menutup/membuka pintu kemudaratan), istihsan (prinsip ekuiti dalam Islam), maslahah mursalah (pertimbangan kepentingan umum), `urf (adat), istishab (mengembalikan sesuatu pada keadaan asal), maqasid syar`iyah (kembali kepada tujuan umum syariat) dan lain-lain.

Proses mengeluarkan hukum dengan menggunakan alat-alat ini dinamakan ijtihad yang dilakukan mereka yang layak.

Kembali kepada isu yang berkaitan, memahaminya memerlukan kefahaman terhadap pendirian Islam mengenai syirik dan manifestasinya dalam bentuk penyembahan berhala dan pendewaan (kultus) manusia. Oleh kerana tauhid adalah inti pati pada ajaran Islam, maka ia mengambil pendirian yang tegas dan amat cemburu terhadap syirik dan segala perkara yang boleh membawa kepadanya.
Atas dasar itu, Nabi Muhammad s.a.w melarang secara umum perbuatan membuat patung dan lukisan berbentuk manusia dan binatang. Larangan ini mempunyai nas jelas di dalam hadis.

Dalam menghuraikan hadis-hadis ini, sebahagian ulama berpegang pada makna literal dan ada pula yang berpendapat ia merupakan langkah untuk menutup pintu kerosakan. Majoriti ulama mempunyai pendirian yang amat tegas dalam isu membuat patung berbanding dalam isu lukisan.
Dalam al-Quran, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Dan mereka berkata: `Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwaa`, yaghuts, ya`uq dan nasr.” (Nuh, 71:23).

Dalam menghuraikan ayat ini, Ibn Katsir berkata bahawa wadd, suwaa`, yaghuts, ya`uq dan nasr adalah nama-nama orang soleh yang hidup di antara zaman Adam dan Nuh. Setelah kewafatan mereka, para pengikut mereka membuat patung-patung untuk memperingati dan menambah kekhusyukan dalam beribadah sehingga kemudiannya berubah menjadi penyembahan pula ke atas patung-patung itu.

Hadis dan ayat al-Quran di atas mengingatkan umat Islam bahawa amalan penyembahan berhala dan pengkultusan individu sehingga bercanggah dengan konsep tauhid sejak dahulu lagi bermula daripada perbuatan untuk memperingati orang yang dikasihi yang dimanifestasikan dalam bentuk patung dan yang seumpamanya.

Kombinasi daripada kefahaman terhadap pelbagai nas al-Quran dan hadis, roh ajaran tauhid dan alat pengambilan hukum yang lain, seperti sad az-zari`ah, majoriti ulama mengharamkan perbuatan membuat imej semua para nabi, bukan Nabi Muhammad s.a.w sahaja.

Walaupun pembuatan imej orang-orang soleh tidak dikenakan hukum yang tegas seperti itu, ia masih boleh jatuh pada hukum haram jika imej itu boleh membawa kepada natijah yang sama.

Disebabkan ketiadaan nas, jelas mengenai larangan melukis gambar nabi, maka tidak mustahil jika terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenainya. Namun, satu fakta yang tidak dapat ditolak ialah haramnya perbuataan itu adalah pendirian yang dominan. Ia adalah pegangan majoriti ulama yang diikuti oleh majoriti umat Islam.

Kesimpulannya ialah hukum larangan mewujudkan imej Nabi Muhammad s.a.w bukanlah sesuatu mitos yang tidak berpijak pada pemikiran yang rasional. Ia juga bukan sesuatu yang semata-mata dipengaruhi unsur-unsur luar.

Sebaliknya, hujah-hujah bagi larangan itu mempunyai akar pada tradisi ilmu ulama Islam yang unik dan tersendiri.


Sumber: http://www.yadim.com.my/

Tiada ulasan: