Khamis, Jun 10, 2010

Solat Berjemaah di Belakang Imam Berlainan Mazhab

Mendirikan solat-solat fardhu secara berjemaah tetap menjadi tuntutan utama dalam Islam sekalipun dalam suasana musafir. Adalah menjadi suatu disiplin dan prinsip tegas baginda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam untuk melaksanakan solat-solat fardhu secara berjemaah dan disiplin ini diteladani oleh Para Khalifahnya yang empat beserta lain-lain para sahabat, radiallahu-anhum. Keutamaan solat fardhu secara berjemaah diterangkan oleh sebuah hadith masyhur yang bermaksud: Solat berjemaah adalah 27 kali lebih tinggi kedudukannya daripada solat yang didirikan bersendirian. Solat berjemaah harus diusahakan seboleh mungkin sekalipun bilangan orang adalah kecil, kerana solat bersendirian hanya akan membuka pintu-pintu gangguan syaitan Iblis, samada ketika solat mahupun di luarnya. Amaran Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Tidaklah 3 orang di suatu desa atau perkampungan yang tidak mendirikan solat sesama mereka melainkan syaitan akan menguasai mereka. Maka kalian harus berjemaah kerana serigala hanya akan memangsakan kambing yang liar berseorangan. Sesungguhnya serigala bagi manusia adalah syaitan, apabila hanya berdua lantas akan dimakannya (iaitu syaitan akan memangsakan manusia sebagaimana serigala memangsakan kambing-P).

Mengingatkan kepada pesanan-pesanan serta sunnah teladan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tentang keutamaan solat-solat fardhu berjemaah, kita amatlah dituntut agar melaksanakan solat-solat fardhu secara berjemaah samada di perkampungan asal, dalam perjalanan atau apabila telah tiba ke destinasi. Dalam setiap suasana solat fardhu berjemaah tetap menjadi penekanan agama dan sesiapa yang mendokonginya akan memperoleh ganjaran manakala bagi yang meremehkannya hanya akan merugikan diri sendiri beserta umat umumnya.

Walaubagaimanapun apabila seseorang itu bermusafir dari satu benua ke benua yang lain, mendirikan solat secara berjemaah akan menimbulkan dua persoalan, iaitu: Pertama - Apakah hukum solat di belakang imam yang berlainan mazhab, di mana perbezaan mazhab tersebut melibatkan hal-hal yang berkaitan sah atau tidak solat, dan Kedua - Bagaimanakah seharusnya seseorang itu mengikut imam yang berlainan mazhab, di mana perbezaan mazhab tersebut melibatkan hal-hal yang berkaitan etika dan adab solat ? Kedua-dua persoalan ini akan dihuraikan berikut ini.

Pertama - Apakah hukum solat di belakang imam yang berlainan mazhab, di mana perbezaan mazhab tersebut melibatkan hal-hal yang berkaitan sah atau tidak solat ?

Yang dimaksudkan dengan persoalan ini ialah umpama seorang makmum dari Mazhab Shafie yang bersolat jemaah di belakang seorang imam dari Mazhab Hanafi, di mana imam tersebut sebelum memulakan solat telah menyentuh seorang wanita dan dia (imam) tidak mengulangi wudhu'nya kembali. Dalam hal ini bagi Mazhab Hanafi menyentuh wanita tidaklah membatalkan wudhu' manakala bagi Mazhab Shafie, menyentuh wanita adalah membatalkan wudhu'. Maka bolehkah dan sahkan solat makmum tersebut di belakang imam itu ? Contoh kedua ialah seorang makmum dari Mazhab Hanafi yang bersolat jemaah di belakang seorang imam dari Mazhab Shafie, di mana imam tersebut ketika berwudhu' hanya membasuh sebahagian kecil dari kepalanya. Dalam hal ini kaedah membasuh kepala bagi Mazhab Shafie adalah memadai dengan sebahagian kepala manakala bagi Mazhab Hanafi, syarat sah wudhu' adalah dengan membasuh keseluruhan bahagian kepala. Maka dalam contoh kedua ini, bolehkah dan sahkan solat makmum tersebut di belakang imam itu ?

Dalam kedua-dua contoh di atas atau dalam apa-apa situasi seumpama, para fuqaha berbeza pendapat mengenai status solat makmum tersebut, iaitu:

1. Ada di antara mereka yang berpendapat solat makmum adalah tidak sah kerana solat imam itu sendiri adalah tidak sah, kerana imam telah melakukan sesuatu yang membatalkan solat mengikut syarat-syarat mazhab makmum.

2. Sebahagian pendapat lain pula menyatakan bahawa makmum harus menerima syarat-syarat solat mazhab imam yang dikuti dalam jemaah tersebut dan selagi apa yang dilakukan oleh imam adalah sah berdasarkan mazhabnya maka sahlah juga bagi makmumnya, sekalipun antara imam dan makmum berbeza mazhab.

Ketahuilah sebenarnya bahawa perbezaan-perbezaan yang wujud antara ajaran-ajaran Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah yang 4 ini hanyalah perbezaan kecil yang melibatkan hal-hal cabang, iaitu furuqiyyah. Ia bukanlah perbezaan yang melibatkan urusan aqidah, tauhid mahupun prinsip-prinsip dasar agama. Perbezaan antara mazhab muncul atas beberapa sebab yang sememangnya sukar untuk dielakkan, seperti beza tafsiran terhadap sesuatu dalil, atau beza anggapan terhadap kekuatan sesuatu hadith dan sebagainya. Ini semua adalah sesuatu yang lumrah lagi terbuka dalam agama dan ia adalah sesuatu yang sudah diterima umat sejak dari hari-hari pertama sejarah agama Islam ini lagi.

Oleh itu jikalau kita menyemak kitab-kitab sejarah para sahabat dan generasi-generasi selepas mereka, kita akan dapati mereka saling bersolat jemaah sesama mereka sekalipun terdapat perbezaan pendapat dalam beberapa hal furu' sesama mereka sendiri. Teladan ini didokongi oleh para Imam Mazhab sendiri. Contohnya Imam Ahmad bin Hanbali, yang dari anak-anak muridnya lahir Mazhab Hanbali, berpendapat bahawa seseorang yang sedang solat lalu berlaku pendarahan pada hidung, maka batallah solatnya itu kerana pendarahan hidung adalah salah satu dari hal yang menyebabkan batalnya wudhu'. Lain pula dengan pendapat Imam Malik bin Anas, yang dari anak-anak muridnya lahir Mazhab Maliki, beliau berpendapat pendarahan hidung itu tidaklah membatalkan wudhu'. Akan tetapi apabila di suatu ketika salah seorang dari anak murid Imam Ahmad bertanya kepadanya - apakah hukum solat di belakang imam yang tidak memperbaharui wudhu' apabila berlaku pendarahan hidung, Imam Ahmad menjawab: Adakah patut aku enggan bersolat di belakang Imam Malik dan Sa'id ibnu Musayyib ? Jawapan Imam Ahmad di atas jelas menunjukkan bahawa perbezaan pendapat antara dirinya dan Imam Malik tidak menjadi penghalang bagi dia untuk tetap bersolat jemaah di belakang Imam Malik atau para pengikut mazhab Maliki.

Demikianlah sepatutnya teladan yang kita contohi, iaitu tetap berjemaah sekalipun timbul perbezaan mazhab antara makmum dengan imam ikutan solat jemaah. Perbezaan yang timbul antara ajaran mazhab tidak sepatutnya menjadi batu penghalang bagi kita umat Islam dari bersatu berjemaah mendirikan solat menghadap Allah Subhanahu waTa'ala. Lebih dari itu solat berjemaah antara sesama mazhab yang berbeza dapat menjauhkan sikap taasub dan fanatik mazhab yang hanya akan memecah-belahkan umat kepada kumpulan-kumpulan mazhab masing-masing. Bukankah solat berjemaah itu sendiri merupakan salah satu dari lambang kesatuan umat Islam, dan mengasingkan diri kepada jemaah mazhab tersendiri sahaja merupakan satu lambang perpecahan umat ?

Hujah penerangan di atas adalah berasaskan kepada kesimpulan yang dibuat oleh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili, seorang tokoh fiqh Islam mutakhir, di mana setelah beliau mengupas dan menghurai pendapat setiap mazhab dalam persoalan ini, beliau menulis: Dengan itu bersembahyang di belakang orang yang berlainan dalam persoalan furu' atau cabang mazhab adalah sah dan tidak makruh. Ini kerana pengambilan kiraan dilihat kepada mazhab imam, kerana para sahabat dan tabi'in serta angkatan selepas mereka sering berjemaah sesama mereka sedangkan terdapat perselisihan sesama mereka dalam perkara-perkara furu'. Perbuatan mereka ini dikira sebagai ijma'. Dengan memegang pendapat ini juga akan luputlah kesan-kesan kefanatikan mazhab.

Oleh itu dibolehkan seseorang makmum itu bersolat di belakang seorang imam yang berbeza mazhab dengannya, sekalipun imam tersebut telah melakukan sesuatu perkara yang menyalahi syarat mazhab ikutan si-makmum. Asal sahaja imam ikutan itu melakukan sesuatu yang sah dalam lingkungan mazhab pegangannya, maka sahlah solatnya dan sahlah juga solat para makmum yang mengikutinya.

Kedua - Bagaimanakah seharusnya seseorang itu mengikut imam yang berlainan mazhab, di mana perbezaan mazhab tersebut melibatkan hal-hal yang berkaitan etika dan adab solat ?

Antara perbezaan yang dimaksudkan dalam persoalan kedua ini ialah solat di belakang imam yang menyebut Basmalah secara perlahan ketika membaca surah al-Fatiha dalam solat fardhu Subuh, Maghrib, Isyak, dan solat di belakang imam yang tidak membaca doa qunut ketika solat fardhu Subuh. Maka dalam persoalan ini adakah seorang makmum itu mengikut sahaja perbuatan imam atau adakah dia melakukan apa yang dituntut mengikut mazhabnya sendiri ?

Penjelasan bagi soalan ini mirip kepada penjelasan bagi persoalan pertama di atas, iaitu seseorang makmum itu harus sahaja mengikut perbuatan-perbuatan solat imam ikutannya itu sekalipun terdapat perbezaan mazhab antara imam tersebut dan diri makmum. Sekali lagi dinyatakan, perbezaan ajaran mazhab tidak boleh dijadikan faktor penghalang bagi umat Islam solat berjemaah bersama-sama. Oleh itu jikalau seseorang itu solat di belakang imam yang tidak membaca doa qunut, maka dia juga tidak membaca doa qunut, dan jikalau seseorang itu solat di belakang imam yang membca doa qunut, maka dia juga perlu ikut membaca doa qunut. Walauapapun perbezaan ajaran mazhab antara makmum dan imam, imam tetap berfungsi sebagai pemimpin solat yang diikuti. Mengikut dengan tepat pimpinan imam solat jemaah dan bertoleransi dalam perbezaan hal-hal furuqiyyah adalah suatu kesepakatan kesemua mazhab Ahli Sunnah yang empat.

Hal ini dibuktikan oleh sejarah, apabila Imam Shafie, Imam Ahmad, Imam Abu Hanifah serta anak-anak murid mereka generasi ke generasi, semuanya turun ke Kota Mekah dan Madinah bagi melaksanakan ibadah haji mereka, padahal imam-imam di kedua-dua masjid kota suci tersebut, Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi adalah terdiri dari anak-anak murid Imam Malik binAnas, iaitu bermazhab Maliki. Akan tetapi perbezaan mazhab sebegini tidak menghalang mereka dari bersolat jemaah bersama-sama, sekalipun terdapat perbezaan dalam etika solat seperti bacaan Basmalah dan bacaan doa qunut Subuh antara keempat-empat mazhab tersebut.

Dilarang serta ditegah dari melakukan sesuatu pergerakkan solat yang berbeza dengan imam semata-mata kerana perbezaan mazhab antara imam dan jemaah. Antara perbezaan yang dimaksudkan ialah pembacaan doa qunut ketika menunaikan solat fardhu Subuh. Apabila kita berjemaah di belakang imam yang membaca doa qunut maka hendaklah juga kita ikut membacanya dan apabila kita berjemaah di belakang Imam yang tidak membaca doa qunut, seperti Imam dari Mazhab Hanafi atau Hanbali, maka hendaklah kita turut tidak membacanya.

Ini adalah berdasarkan perintah yang jelas dari baginda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang melarang para jemaah melakukan sesuatu pergerakkan solat yang berbeza dengan imam yang mereka ikuti. Perintah beliau: Seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya. Apabila dia rukuk, maka rukuklah. Apabila dia membaca 'SamiAllahuliman Hamidah' maka katalah 'Rabbana lakal Hamduh' . Apabila dia sujud, maka sujudlah. Dan apabila dia solat duduk maka bersolat duduklah kamu semua (dalam jemaah). Dan luruskanlah barisan saf dalam solat (jemaah) kerana sesungguhnya saf yang lurus adalah tanda kesempurnaan solat (jemaah).

Nabi sallallahu-alaihi-wasallam bukan sahaja melarang perbuatan solat yang berbeza dengan imam, tetapi juga melarang seseorang itu daripada melakukan sesuatu perbuatan solat yang tidak seragam dan semasa dengan imam yang sedang diikuti. Dua hadith berikut memberikan amaran serta ancaman berat kepada seseorang makmum yang tidak mengikut dengan tepat dan seragam akan imam solatnya:

[01] Abu Hurairah radiallahu-anhu berkata bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda: Tidak takutkah salah seorang dari kalian apabila dia mengangkat kepalanya dari rukuk dan sujud sebelum imam, (lalu) Allah akan menjadikan kepalanya (seperti) kepala keldai atau Allah akan menjadikan bentuknya (seperti) bentuk keldai ?

[02] Abu Hurairah radiallahu-anhu berkata bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda: Orang yang menurun dan mengangkat sebelum Imam, sesungguhnya ubun-ubun kepalanya berada di tangan syaitan (dipimpin oleh syaitan).

Nah ! Perhatikanlah kedua amaran di atas. Jikalau pergerakkan solat yang tidak seragam dengan imam sudah diancam dengan sebegitu berat, maka bagaimana pulakah dengan sesuatu pergerakkan solat yang sengaja dilakukan bertentangan dengan imam ? Sudah tentu juga tidak boleh. Oleh itu janganlah seseorang makmum itu melakukan apa-apa perbuatan solat yang berbeza dengan imam ikutannya. Ini termasuklah etika pembacaan doa qunut dalam solat fardhu Subuh, di mana telahpun diterangkan sebelum ini bahawa terdapat perbezaan pendapat sesama mazhab akan hukum pembacaannya. Akan tetapi perbezaan ini tidaklah seharusnya mendorong seseorang jemaah itu daripada berlaku beza dengan imam ikutannya dalam solat berjemaah. Tiga hadith terakhir di atas jelas lagi nyata bagi menerangkan adab-adab solat berjemaah - iaitu tetap selari dan seragam dengan imam ikutan.

Diketahui penulis bahawa ada segelintir pendapat yang menyuruh seseorang itu untuk tetap membaca doa qunut Subuh apabila bersolat jemaah di belakang imam yang tidak membacanya. Pendapat ini juga sering diajar kepada para jemaah kita yang akan berangkat ke Tanah Suci bagi melaksanakan ibadah Haji dan Umrah, di mana mereka disuruh untuk tetap 'menyelitkan’ bacaan doa qunut apabila imam sedang iktidal, sebelum turun ke posisi rukuk (Para imam di Arab Saudi tidak membaca doa qunut Subuh). Pendapat ini mengikut analisa penulis adalah sangat tidak tepat lagi menyalahi sunnah-sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dalam etika dan adab solat berjemaah.

Justeru apabila seorang makmum mengikut imam yang berlainan mazhab dalam solat jemaah, hendaklah dia mengikut setiap tatacara dan etika solat imam tersebut, sekalipun perbuatan imam itu tidak menepati ajaran mazhab makmum. Sikap sebegini adalah merupakan dasar manhaj para imam mazhab yang empat dan ia paling menepati tujuan serta objektif pensyari'atan solat berjemaah itu sendiri.



Kesimpulan

1. Dibolehkan solat di belakang imam yang berlainan mazhab sekalipun imam tersebut telah melakukan sesuatu perkara yang menyalahi syarat mazhab ikutan si-makmum.

2. Hendaklah tetap mengikuti tatacara solat imam ikutan sekalipun ia tidak menepati tuntutan mazhab pegangan makmum.

Tiada ulasan: