Seringkali orang-orang Kristian mengajak umat Islam supaya memeluk agama mereka kerana pada dakwaan mereka, agama Kristian itulah yang benar dan ajaran Islam itu adalah palsu. Kita ingin bertanya kepada mereka: di manakah kebenaran agama Kristian itu? Di sini kita ingin menunjukkan kriteria-kriteria yang membuktikan bahawa sesuatu ajaran itu benar atau salah. Kita harus bersetuju bahawa sekiranya sesuatu agama gagal memenuhi kriteria-kriteria yang telah ditetapkan ini, maka selayaknya ia ditolak sebagai agama untuk pegangan hidup umat manusia seluruhnya.
Berikut adalah sebab-sebab mengapa agama Kristian harus ditolak sebagai agama pilihan untuk manusia:
1. Konsep Ketuhanan
Ajaran Kristian menekankan bahawa Allah itu terdiri dari tiga oknum, iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Tuhan Ruhul Kudus. Ketiga-tiga “tuhan” ini bukanlah tiga, tetapi satu. Apakah logikkah pemikiran seperti ini?
Lebih-lebih lagi, salah satu daripada “Tuhan” orang Kristian, iaitu Yesus (Nabi ‘Isa), yang kononnya adalah Tuhan Allah itu sendiri menurut kepercayaan orang-orang Kristian, diperlakukan seperti manusia biasa. Berikut adalah dalil-dalil yang menyokong hujah ini:
Di dalam ‘Matius’, fasal 4 ayat 5, menyebut:
“Kemudian daripada itu iblispun membawa Yesus ke Negeri Suci, lalu diletakkannya Jesus di atas bumbung Baitullah.”
Wajarkah Tuhan yang disembah dan dimuliakan oleh manusia dibawa oleh Iblis yang dilaknat dan dikutuk tunduk kepada kemahuan Iblis dibawa ke mana-mana sahaja? Wajarkah Iblis berani berhadapan dengan Allah?
Di dalam ‘Matius’ lagi, fasal 27 ayat 1-2, menyebut:
“Setelah hari siang, maka segala ketua imam dan orang-orang tua kaumpun berundinglah atas hal Yesus supaya dibunuhkan dia, maka diikat dia serta dibawa pergi, lalu diserahkan kepada Pilatus, iaitu Wakil Pemerintah.”
Wajarkah Tuhan boleh diikat sesuka hati oleh manusia dan di mana pula kekuatan yang ada pada diri Tuhan sehingga sanggup menyerah diri kepada manusia?
Manakala di dalam ‘Lukas’ fasal 2 ayat 21, menyebut:
“Apabila genap delapan hari, ia disunat, lalu disebut namanya Yesus….”
Wajarkah Tuhan disunatkan kemaluannya seperti manusia biasa? Apakah perlunya Tuhan disunatkan? Kalaulah Tuhan itu disunatkan bererti Tuhan mempunyai hawa nafsu untuk kepuasan seks.
Di dalam ‘Matius’ lagi, fasal 26 ayat 2, menyebut:
“Anak manusia akan diserahkan supaya disalibkan.”
Yang dimaksudkan dengan anak manusia ialah Yesus dan di sini jelaslah bahawa Yesus itu bukanlah anak Tuhan, tetapi anak manusia. Ini merupakan pertentangan di antara konsep kepercayaan ajaran Kristian bahawa Yesus itu adalah anak Tuhan dengan ayat di atas bahawa Yesus itu adalah anak manusia.
Di dalam ‘Matius’ fasal 5 ayat 45, menyebut:
“Supaya kamu menjadi anak Bapamu….”
Di sini juga menyebut bahawa orang-orang yang taat kepada perintah Tuhan menurut Yesus akan menjadi anak Tuhan, oleh itu bukan Yesus sahaja anak Tuhan yang tunggal.
Di dalam ‘Matius’ fasal 7 ayat 21 menyebut:
“Bukan tiap-tiap orang yang menyeru aku tuhan, tuhan akan masuk ke dalam kerajaan syurga, hanyalah orang-orang yang melakukan kehendak Bapa-ku yang di syurga.”
Di dalam Alkitab sendiri jelas menyangkal dan menolak orang-orang yang menganggap diri Yesus sebagai tuhan atau menyerunya sebagai tuhan, malah orang-orang yang menyeru itu tidak akan masuk kerajaan syurga.
Kalau Yesus itu benar-benar Allah, mengapa dia dilahirkan oleh seorang manusia? Adakah Yesus keturunan tuhan? Wajarkah ilmu pengetahuan zahir atau batin menerima bahawa Tuhan itu diperanakkan? Wajarkah ilmu pengetahuan exact atau yang abstrak (exact/abstract wetenschap) menerima hakikat ini?
2. Percanggahan Dalam Alkitab
Wajarkah sebuah kitab yang dianggap suci dan datang dari Allah mempunyai banyak kesilapan dan kesalahan di dalamnya? Sila rujuk kepada artikel ini untuk melihat bukti-buktinya.
3. Tiada Ulama dan Tokoh Ilmuan
Ajaran Kristian tidak mempunyai ulama atau tokoh ilmuan yang menghuraikan lebih lanjut tentang ajaran Kristian atau menghuraikan lebih lanjut lagi tentang ajaran Kristian atau menghuraikan pengertian ayat-ayat yang terkandung di dalam Alkitab. Kekuatan sesuatu ajaran adalah bergantung kepada kekuatan ilmu pengetahuan yang ada pada para ulamanya yang mempertahankan kekuatan ajaran tersebut.
Ketiadaan tokoh-tokoh agama di dalam ajaran Kristian melambangkan ajaran tersebut ketandusan ilmu pengetahuan dan penghuraian lanjut tentang peranan seterusnya yang harus dimainkan oleh ajaran Kristian. Agama Kristian hanya menyediakan para mubaligh untuk berdakwah menyeru manusia ke arah agamanya tetapi tidak mampu melahirkan manusia yang benar-benar profesional dan berkualiti terhadap konsep kepercayaan tersebut. Sepatutnya di sana perlu sekali penjelasan lanjut tentang konsep agama, konsep ketuhanan, konsep dakwah atau lain-lain lagi yang mampu dihuraikan oleh para ulama Kristian. Merekalah yang bertanggungjawab menyelesaikan permasalahan yang dihadapi dalam kehidupan manusia seharian dan menyelesaikannya dengan baik dan kemudian memandu mereka ke jalan yang benar. Tetapi hakikatnya ajaran Kristian tidak bermaya melahirkan tokoh ilmuan dalam agamanya dan tidak pula mampu mengluarkan ulama yang berperanan, sebagaimana yang berlaku di dalam ajaran Islam, seolah-olah ajaran tersebut menyekat budaya berfikir dan kebebasan mengeluarkan idea.
4. Konsep Ijtihad, Tajdid dan Mujaddid
Setiap ajaran memerlukan idea-idea pembaharuan atau tajdid untuk mengemaskinikan lagi ajaran agama. Maksud pembaharuan atau tajdid ini bukannya mencipta suatu bentuk ajaran lain dalam agama atau mengubahsuai ajaran agama atau mengada-adakan suatu ideologi dalam agama, tetapi apa yang dimaksudkan ialah suatu pembaharuan yang membaik-pulih ajaran agama yang telah lama ditinggalkan oleh para penganutnya atau membetulkan segala kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh para penganutnya dengan menilai semula apa yang sepatutnya yang dituntut oleh ajaran agama.
Di dalam ajaran Kristian tidak wujud sama sekali konsep tajdid yang mencetuskan idea ‘ijthad’ terhadap sesuatu perkara yang tidak terdapat dalam nas atau dalam Kitab Suci, justeru ianya memerlukan suatu bentuk pemikiran yang tidak melanggar ketentuan syarak dan tidak terkeluar dari batas-batas agama. Konsep ‘ijtihad’ ini kadang-kadang bergantung kepada keadaan dan sesuatu tempat sebagai kesesuaian untuk masyarakat supaya tidak membebankan mereka di dalam mengendalikan ajaran agama.
Ajaran Islam telah ramai melahirkan tokoh ijtihad dalam masalah fiqh seperti Imam Syafie’i, Imam Maliki, Imam Hanafi, Imam Hambali dan lain-lain lagi yang telah banyak memberi sumbangan kepada keharuman ajaran Islam. Juga wujud tokoh-tokoh mujaddid yang membawa pembaharuan dalam agama seperti Sheikh Mohamed Abduh, Jamaluddin Al-Afghani, Hassan Al-Banna, Syed Qutb dan lain-lain lagi. Mereka banyak memberi sumbangan kepada ajaran Islam melalui hasil tulisan tangan mereka.
5. Manhaj Kehidupan Yang Tidak Jelas
Ajaran yang syumul dan komprehensif mestilah mempunyai manhaj kehidupan yang jelas dan teratur. Manhaj tersebut meliputi semua aspek kehidupan manusia di dunia dan di akhirat.
Ajaran Kristian tidak mengatur dengan jelas tentang manhaj kehidupannya untuk diprogram kepada para penganutnya, tetapi yang dititik-beratkan ialah masalah ketuhanan dan meninggalkan unsur-unsur yang berbentuk keduniaan. Dalam masalah ketuhanan, ajaran Kristian hanyalah menyentuh tentang pendekatan diri kepada Tuhan dan kepercayaan tentang hari kemudian, tetapi tidak sekali-kali menyentuh tentang konsep kekuasaannya, konsep peribadatan dari aspek ;rububiyyah’ atau ‘uluhiyyah’, tidak pula membahaskan tentang sifat-sifat ketuhanan, perbuatannya dan perkara-perkara yang berkaitan dengan Zat-Nya. Oleh itu, dari aspek tersebut terdapat kepincangan yang harus diselesaikan.
Dalam masalah peribadatan atau konsep amalannya pula, ajaran Kristian tidak menggariskan batas sempadan halal-haram sesuatu perkara, yang mana harus dibuat dan yang mana harus ditinggalkan dan bagaimana pula sesuatu perkara ataupun sesuatu benda itu dianggap halal atau haram? Dan di dalam ajaran Kristian juga tidak terdapat pun suatu kaedah yang menunjukkan bagaimana struktur ibadat itu terbina.
Keadaan seumpama ini tidak cukup untuk kesempurnaan hidup manusia. Bahkan manusia memerlukan bekalan yang lebih untuk perjalanan hidupnya di hari esok dan hari-hari seterusnya.
6. Tiadanya Contoh Masyarakat Kristian
Ajaran Kristian tidak mempunyai suatu model bagaimana dakwah yang disampaikan itu dapat membentuk suatu perubahan kepada manusia dan membimbing mereka ke arah masyarakat yang kolektif. Ajaran Kristian tidak pernah menggariskan bagaimana rupa bentuk masyarakat yang mahu diwujudkan dan ke arah mana mereka mahu membawa masyarakat tersebut. Tidak ada contoh masyarakat Kristian untuk dijadikan cermin perbandingan kepada umat manusia dan adakah konsep pengasingan diri atau konsep pertapaan mahu diwujudkan dan kemudian dijadikan suatu masyarakat untuk dihayati? Kalaulah itu yang mereka mahukan, nescaya jumudlah pemikiran manusia, punahlah nilai kemanusiaan dan hakikat kehidupan.
Tetapi Islam mempunyai model masyarakatnya tersendiri tanpa dicampur-adukkan dengan mana-mana unsur atau mana-mana agama, sebagaimana yang telah dibina oleh Rasulullah s.a.w. di Madinah yang berjaya menyatu-padukan para penduduk Madinah yang sebelum ini tidak pernah bersatu dan mengeratkan lagi hubungan persaudaraan iman, sekalipun mereka tidak diikat dengan ikatan tali perkahwinan ataupun keturunan.
7. Perbalahan Dalam Mazhab
Agama Kristian terbahagi kepada beberapa mazhab yang saling bermusuhan di antara satu sama lain. Perkara ini berlaku di eropah apabila wujudnya pertelingkahan dan perbalahan di antara kumpulan-kumpulan penganut ajaran Kristian menyebabkan mereka berpecah dan menubuhkan kumpulan masing-masih. Mereka semua adalah orang-orang Kristian tetapi mengelarkan diri mereka dengan nama khas, seperti Katolik Roma, Protestan, Orthodoks, Anglican dan Methodist. Orang-orang Kristian dari sekte Katolik Roma mengakui Pope di Rom sebagai ketua agama mereka.
Sewaktu timbulnya mazhab Protestan di Eropah yang diasaskan oleh Martin Luther, pihak gereja Katolik telah bangkit menentang pengikut-pengikut mazhab tersebut dengan segala kekuatan yang ada. Sejarah penekanan manusia telah melihat beberapa peristiwa penyembelihan yang ngeri, di antaranya ialah ‘Penyembelihan Paris’ yang berlaku pada 24hb Ogos 1572 M di mana pihak Katolik telah menjemput para pengikut mazhab Protestan sebagai tetamu mereka di Paris untuk mencari penyelesaian supay dapat diselaraskan beberapa pertentangan dan percanggahan pendapat di antara kedua-dua mazhab. Akan tetapi pihak mazhab Katolik telah mengambil kesempatan ini dengan menyerang para pengikut mazhab Protestan dan membunuh mereka sewaktu mereka sedang tidur. Setelah berlakunya peristiwa terseubut, datanglah bertalu-talu ucapan tahniah kepada Raja Charles XI daripada Pope dan daripada raja-raja Katolik serta para pembesarnya. Tetapi yang anehnya, apabila puak Protestan memperoleh kekuatan, mereka pula bertindak liar dengan melakukan keganasan terhadap puak Katolik dan sebenarnya Protestan tidak kurang liarnya kalau dibandingkan dengan puak Katolik (Utusan Malaysia, 17 April 1997). Luther pernah menegaskan kepada para pengikutnya bahawa “Sesiapa di antara kamu yang boleh membunuh, mencekik leher dan menyembelih sama ada secara sulit atau terang, maka bunuhlah, cekiklah dan sembelihlah mereka para petani yang memberontak itu dengan sepuas-puas kamu.” (Dr Ahmad Syalabi, Al Masihiyyah).
Kesimpulan
Inilah hakikat ajaran Kristian yang ingin disampaikan oleh para misionaris kepada umat Islam. Apakah inikah agama, yang serba kekurangan baik dari segi intelektual mahupun dari segi etika dan moral, yang ingin ditukar-ganti dengan Al-Islam yang suci? Sekali-kali tidak! Kebenarannya terserlah, bahawa ajaran Kristian adalah ajaran yang rapuh yang mengajak penganutnya ke arah kemunduran dan keganasan. Hanyalah Islam agama Allah yang diperakui untuk anutan umat manusia seluruhnya, dan hanyalah Islam yang dapat menyelamatkan manusia dari lembah kehinaan. Firman Allah s.w.t.:
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai AL-ISLAM itu menjadi agamamu.” (Surah Al-Maidah (5):3)
Sumber: http://malay.bismikaallahuma.org
Tiada ulasan:
Catat Ulasan