Bagaimana Ia Bermula
Ajaran Kristian pada hari ini dikatakan telah diasaskan oleh Yesus Kristus, ataupun lebih dikenali dengan Nabi Isa a.s. dalam dunia Islam, tetapi jika kita mengkaji dengan lebih menyeluruh terutamanya di dalam Alkitab, kita akan mendapati bahawa hampir keseluruhan doktrin yang terkandung di dalam ajaran agama Kristian pada hari ini adalah berpunca daripada atau merupakan ciptaan seorang Yahudi yang bernama Saulus yang lahir di bandar Tarsus, ibu kota Cicillia di Asia Minor, yang kemudiannya dikenali dengan nama Paulus.
Nabi Isa a.s. yang sebenarnya adalah seorang nabi daripada golongan Bani Israil yang diutuskan sebagai Rasul yang megesahkan kebenaran kitab Taurat dan membawa wahyu yang bernama Injil yang datangnya dari Allah s.w.t. Baginda juga diutuskan Allah s.w.t. untuk menyampaikan perkhabaran tentang kelahiran Nabi dan Rasul terakhir utusan Tuhan yang Maha Agung, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Nabi Isa a.s. telah memperlihatkan mukjizat-mukjizat kenabiannya sebagaimana nabi-nabi yang terdahulu daripadanya di dalam melaksanakan tugas mengembangkan ajaran Allah s.w.t., yang kemudiannya telah diubah oleh tangan-tangan kotor yang tidak bertangungjawab.
Kesemua mukjizat yang diperlihatkan oleh baginda itu adalah dengan keizinan daripada Allah s.w.t. juga. Baginda menghidupkan rakannya iaitu Lazarus yang mati adalah atas izin Allah s.w.t., baginda megubati penyakit orang yang terkena penyakit sopak juga atas izin Allah s.w.t., kelahiran baginda yang ajaib tanpa berbapa itu juga adalah atas kehendak Allah s.w.t. di mana kebanyakan penganut agama Kristian pada hari ini telah menolaknya dan bermacam-macam lagi mukjizat yang diperlihatkan baginda itu adalah juga atas kehendak Allah s.w.t. Baginda kemudiannya telah diselamatkan oleh Allah s.w.t. daripada dibunuh oleh para pendeta Yahudi yang tidak berasa senang hati dengan baginda pada ketika itu, dan di mana si pengkhianat Yudas Iskariot telah diubah wajahnya supaya menyerupai Nabi Isa a.s. dan akhirnya dibunuh di atas tiang salib.
Begitulah antara gambaran yang telah dicatatkan di dalam “The Final Testament”, iaitu Al-Quran ul-Karim, mengenai Nabi Isa a.s. yang menjadi asas pegangan seluruh umat Islam.
Walaupun orang Kristian secara amnya turut memaparkan perasaan cinta mereka terhadap Nabi Isa a.s. sebagaimana seorang Muslim, tetapi cara mereka amat bertentangan sekali dengan umat Islam.
Umat Islam amat menyayangi dan mencintai Nabi Isa a.s. kerana baginda merupakan salah seorang Nabi Allah yang diutuskan kepada kaumnya. Segala mukjizat yang diperlihatkan adalah bukti bahawa baginda a.s. adalah seorang utusan Allah s.w.t. yang membawa ajaran yang benar. Tetapi orang Kristian menyatakan perasaan cinta dan sayang mereka dengan menyatakan bahawa baginda a.s. adalah salah satu daripada oknum ketuhanan di dalam Triniti atau Tritunggal dan pelbagai lagi dakwaan yang kadangkala seakan-akan tidak memasuki akal seorang manusia yang waras.
Inilah versi agama Kristian pada hari ini yang berdasarkan kepada Paulus dan interpretasinya. Agama Kristian pada hari ini bangun dan jatuh berdasarkan kepada fahaman Paulus. Malah tidak dinafikan lagi bahawa nama Paulus bukanlah satu nama yang asing di kalangan para pengkaji ilmu perbandingan agama, khasnya bagi golongan agamawan Kristian. Ini kerana beliau adalah seorang tokoh yang begitu besar peranannya di dalam mencorakkan dan mencipta satu agama yang tersebar luas, yang kemudiannya dinamakan sebagai “Agama Kristian”. Dan para pengkaji agama sendiri, walaupun sebahagian mereka itu dilahirkan di Barat, mereka juga tidak segan-silu untuk menyatakan bahawa Paulus adalah orang yang bertanggungjawab mencipta dan menyebarkan “Kristianiti” yang dilihat sebagaimana pada hari ini – dan ia bukannya ajaran asli yang dibawa oleh Nabi Isa a.s.
Siapakah Paulus?
Sejurus selepas pemergian Nabi Isa a.s., seorang lelaki berbangsa Yahudi bernama Saulus, seorang yang anti kepada ajaran Nabi Isa a.s. yang asli, telah berusaha untuk memesongkan ajaran Isa a.s. dengan membunuh berpuluh-puluh orang penganut ajaran Nabi Isa a.s. Malah Saulus juga bertanggungjawab di dalam pembunuhan Stefanus, salah seorang daripada pengikut Isa a.s.
Umumnya telah mengetahui bahawa Paulus sebelum dikenali sebagai pendeta terulung agama Kristian adalah seorang Rabbi (pendeta) Yahudi yang bernama Saul Ben Kissai (Saulus) daripada suku Benyamin. Beliau pernah mendapat pendidikan agama Yahudi di Yerusalem. Di antara para gurunya adalah Gamaliel, seorang pendeta besar Yahudi yang meninggal dunia pada tahun pertengahan kurun yang pertama. Beliau juga pernah menuntut di beberapa buah tempat yang kuat pengaruhnya daripada falsafah Yunani dan Rom. Setelah tamat pengajiannya, beliau telah kembali ke kampung halamannya di Tarsus untuk membantu ayahnya sebagai seorang saudagar dan dalam masa yang sama, Paulus telah berusaha mengembangkan agama Yahudi aliran Farisiyyin kepada anak-anak bangsanya. Agama Yahudi aliran Farisiyyin ini merupakan satu aliran yang paling kuat menentang dakwah yang dibawa oleh baginda Nabi Isa a.s ketika itu.
Rujuk: KISAH PARA RASUL (22): 3
Saulus berharap ajaran tersebut akan menjadi semakin lemah lantaran kurangnya sambutan yang diterima oleh masyarakat. Namun yang berlaku adalah sebaliknya. Ajaran Nabi Isa a.s. yang disebarkan oleh para pengikut baginda yang dipimpin oleh Petrus, salah seorang pengikut Isa a.s. yang paling setia, semakin hari semakin berkembang.
Melihatkan keadaan itu, Saulus menjadi seperti berputus asa, namun niatnya untuk menyelewengkan ajaran Nabi Isa a.s. yang dibawa oleh pengikut-pengikut setia baginda a.s. masih lagi terbuku di hati. Mungkin apa yang timbul di fikiran Saulus ketika itu adalah dengan menghancurkan ajaran Nabi Isa a.s. dari dalam. Maka untuk menyakinkan para pengikut Isa a.s. supaya menerimanya, Saulus harus menunjukkan bukti bahawa dia telah menerima suatu mesej terus dari Nabi Isa a.s. dan dilantik sebagai pengikutnya yang sah. Dengan cara inilah maka bolehlah beliau melakukan kegiatan-kegiatan subversif untuk menghancurkan ajaran Isa a.s. daripada dalam.
Saulus Menjadi Paulus
Sejurus selepas bertaubat, Saulus mula mendakwa telah menerima ‘petunjuk’ secara langsung daripada Nabi Isa a.s. Saulus kemudiannya berjumpa dengan para pengikut Nabi Isa a.s. tersebut untuk bertaubat atas kesalahan yang telah dilakukannya terhadap mereka sebelum ini. Kisah ini diceritakan di dalam Kisah Para Rasul, 9-13.
Ekoran daripada peristiwa di atas (taubatnya Paulus), beliau telah mengisytiharkan dirinya juga sebagai salah seorang daripada para rasul bagi Nabi Isa a.s. Beliau selalu dan tanpa segan-silu mendakwa dirinya juga terdiri daripada para rasul yang mulia itu dengan kata-katanya:
(I) - 1 KORINTUS (1): 1
“Dari Paulus, yang oleh kehendak Allah dipanggil menjadi rasul Kristus Yesus…”
(II) - 2 KORINTUS (11): 5
“Tetapi menurut pendapatku sedikitpun aku tidak kurang daripada rasul-rasul yang tak ada taranya itu.”
Walau bagaimanapun, pengisytiharan Paulus sebagai rasul itu tidak sedikitpun mendapat perhatian masyarakat Yahudi, bahkan para pengikut dakwah Nabi Isa a.s sedikit pun tidak percaya kepadanya. Bagaimanakah hendak dipercayainya dengan begitu mudah, walhal Paulus sebelum ini merupakan musuh terutama bagi para pengikut Nabi Isa a.s.?
Alkitab juga turut menyebut pendokong-pendokong dakwah Nabi Isa a.s sebelum munculnya Paulus, adalah Barnaba dan juga Petrus.
BIOGRAFI BARNABA
KISAH PARA RASUL (4) : 36 – 37 / (9) : 26 – 27 / (11) : 22 – 26
BIOGRAFI PETRUS
2 PETRUS (3): 14-16 / KISAH PARA RASUL (1): 12 – 14 / MATIUS (10): 2- 4
/ MARKUS (3): 16 – 19 / LUKAS (6): 14 – 16 / YOHANNES (21): 1 – 2
Sebagaimana yang telah dimaklumkan sebelum ini, Paulus tidak pernah berguru dengan Nabi Isa a.s. secara langsung dan tidak pernah pun sekali-kali mendengar sebarang pengajaran daripada mulut baginda a.s. Tetapi disebabkan beliau sendiri mengakui bahawa beliau juga terdiri daripada golongan para rasul, maka segala pengajaran yang diciptanya sendiri dikatakan sebagai “Wahyu Tuhan”. Hal ini diterangkan sendiri oleh Paulus di dalam Galatia 1: 11 – 12, sebagaimana berikut:
“Sebab aku menegaskan kepadamu, saudara-saudaraku, bahawa Injil yang aku beritakan itu bukanlah Injil manusia. Kerana aku bukan menerimanya dari manusia yang mengajarkannya kepadaku, tetapi aku menerimanya oleh penyataan Yesus Kristus.”
Paulus juga mengakui bahawa Injil yang diajarkannya itu bukanlah Injil yang dibawa oleh Para Rasul selainnya. Kata Paulus lagi di dalam Galatia 1: 6 – 9:
“Aku heran, bahawa kamu begitu lekas berbalik daripada Dia, yang oleh kasih karunia Kristus telah memanggil kamu, dan mengikuti satu injil lain, yang sebenarnya bukan Injil. Hanya ada orang yang mengacaukan kamu dan yang bermaksud untuk memutar-balikkan Injil Kristus. Tetapi sekalipun kami atau seorang malaikat dari sorga yang memberitakan kepada kamu satu injil yang berbeza dengan Injil yang telah kami beritakan kepadamu, terkutuklah dia. Seperti yang telah kami katakan dahulu, sekarang kukatakan sekali lagi: jikalau ada orang yang memberitakan kepadamu suatu injil, yang berbeda dengan apa yang telah kamu terima, terkutuklah dia.”
Selain daripada sikap Paulus yang meriwayatkan injil yang berlainan dengan apa yang dibawa oleh para rasul itu, Paulus juga amat marah dengan melaknati setiap orang yang tidak percaya kepada Injil yang dibawa oleh dirinya. Lantaran itulah Paulus meminta orang ramai agar menerima sahaja secara bulat-bulat (taklid) dakwaannya sebagai salah-seorang para rasul dengan alasan bahawa martabatnya juga tidak kurang daripada para rasul selainnya.
Kata Paulus di dalam 2 Korintus 11: 4–5:
“Sebab kamu sabar saja, jika ada seorang datang memberitakan Yesus yang lain dari pada yang kami telah beritakan, atau memberikan kepada kamu roh yang lain dari pada yang telah kamu terima atau Injil yang lain daripada yang telah kamu terima. Tetapi menurut pendapatku sedikitpun aku tidak kurang daripada rasul-rasul yang tak ada taranya itu.”
Diceritakan sendiri di dalam Alkitab bahawa semua para pengikut Nabi Isa a.s cuba mengelakkan diri daripada Saulus sehinggalah Barnaba mula mempercayai Saulus dan memberinya perlindungan. Melalui Barnaba, Paulus diterima oleh semua pengikut-pengikut Nabi Isa a.s. yang lain dan kemudiannya diberikan nama Paulus.
Those whom Jesus son of Mary sent, both disciples and those who came after them, in the land were: Peter the disciple and Paul with him (Paul belonged to the followers and was not a disciple) to Rome. Andrew and Matthew to the land of the cannibals; Thomas to the land of Babel, which is in the land of the east; Philip to Carthage and Africa; John to Ephesus the city of the young men of the cave; James to Jerusalem which is Aelia the city of the sanctuary; Bartholomew to Arabia which is the land of Hijaz; Simon to the land of Berbers; Judah who was not one of the disciples was put in place of Judas.
Sepanjang menyebarkan ajaran Nabi Isa a.s., Barnaba banyak mengembara bersama Paulus sehingga reputasi Paulus yang terkenal sebagai pembunuh penganut Nabi Isa a.s. sebelum ini bertukar kepada imej seorang penganut Nabi Isa a.s. yang paling setia. Paulus mula memperkenalkan dirinya sebagai “hamba Kristus Yesus” atau “rasul Kristus Yesus” dan ini terdapat di permulaan surat-suratnya.
Sifat hubungan antara Barnaba dan Paulus ditunjukkan dalam Kisah 13:1-2 seperti berikut:
“Pada waktu itu dalam jemaat di Antiokhia ada beberapa nabi dan pengajar, yaitu: Barnaba dan Simeon yang disebut Niger, dan Lukius orang Kirene, dan Menahem yang diasuh bersama dengan raja wilayah Herodes, dan Saulus. Pada suatu hari ketika mereka beribadah kepada uhan dan berpuasa, berkatalah Roh Kudus: ‘Khususkanlah Barnaba dan Saulus bagi-Ku untuk tugas yang Kutentukan bagi mereka”.
Dalam senarai para pengikut Isa a.s., Lukas telah menyebut Barnabas dalam urutan pertama dan Saul/Paulus dalam urutan terakhir.
Kerana telah terpilih untuk bekerjasama, maka para rasul menyebar, dan Barnaba serta Paulus berangkat bersama Markus untuk menyebarkan ajaran Yesus di Yunani. Sementara James, putera Maria dari suami Yusuf, ditinggal sebagai ketua para pengikut Yesus, Peter juga tetap tinggal bersama-sama mereka.
Dalam Kisah Para Rasul diceritakan, di samping mereka kadang-kadang dilempari batu di beberapa tempat, dua orang penyebar agama tersebut sangat berhasil. Reputasi mereka sebagai manusia-manusia utusan Tuhan tersebar luas.
Pertelingkahan Paulus dengan Golongan Hawariyyun
Tidak berapa lama selepas mereka bersama-sama menyebarkan misi dakwah Isa a.s., Barnaba sendiri mula menjauhkan diri daripada Paulus kerana beliau telah dapat menghidu taktik kotor Paulus yang cuba menyesuaikan agama Isa a.s. dengan akidah orang-orang Yunani. Ajaran Isa a.s. mengenai konsep tauhid adalah suatu bentuk penghapusan semua dewa-dewa yang berbagai-bagai. Ajaran seperti inilah yang tidak dapat diterima oleh mereka.
Bagi orang yang setulus dan seteguh Barnaba, tugas menciptakan cara hidup yang diajarkan Isa a.s. di Yunani tanpa menyesuaikan diri dengan lingkungannya, pastilah sangat berat. Barnaba tentunya amat memegang teguh kepada kepercayaan bahawa Isa a.s. mengetahui bahwa penciptaanya/kelahirannya tidak menginginkan hukum-hukum Taurat dikurangi atau diubah sekecil mana pun. Untuk itu dia tetap berpegang teguh pada ajaran yang pernah diterima langsung olehnya dari Isa a.s.
Akhirnya mereka berdua, Barnaba dan Paulus, lebih banyak bertentangan pendapat, sehingga menimbulkan perselisihan yang tajam. Akhirnya, mereka mengambil keputusan untuk berpisah dan mengikut hala-tuju masing-masing.
Tercatat di dalam Kisah Rasul 15:39-40 bahawa:
“Hal itu menimbulkan perselisihan yang tajam, sehingga mereka berpisah dan Barnaba membawa Markus berlayar ke Siprus.”
Lihat GALATIA (2 ) : 11 - 14 / KISAH PARA RASUL ( 9 ) : 26 - 27 & (15 ) : 35 – 41
Paulus mula menjauhkan diri daripada Barnabas dan berhasrat untuk mengembangkan ajaran Nabi Isa a.s. kepada golongan bukan Yahudi (gentiles). Beliau mula membuat pelbagai tohmahan dengan mengatakan kumpulan hawariyyun itu malas, sesat dan bersifat hipokrit. Beliau juga mendakwa mereka ini perlu sentiasa dibimbing keluar daripada kejahilan dengan kebenaran dari Tuhan melalui ‘petunjuk’ yang kononnya telah diterimanya daripada Nabi Isa a.s. Secara terbuka, dia menyatakan bahawa kumpulan hawariyyun itu tidak mengajarnya apa-apa. Segala kebenaran yang disampaikan oleh Paulus adalah semata-mata daripada ‘petunjuk’ yang diterimanya secara terus daripada Nabi Isa a.s. Pada mulanya, seruan Paulus tidak mendapat sambutan daripada golongan bangsa asing bukan Yahudi disebabkan bencinya mereka kepada bangsa Yahudi.
Adakah masuk akal sekiranya para rasul yang mana mereka itu telah menerima dakwah secara langsung daripada baginda Nabi Isa a.s akan “berdiam diri” melihat segala kemunafikan, kesesatan, kepalsuan dan kedustaan yang ditaja oleh Paulus ini? Tentu sahaja tidak! Lantaran itulah, Petrus dan Barnaba (kemudian diikuti pula oleh para pendeta lain seperti Arius pada kurun ketiga) telah bangkit menentang Paulus yang telah cuba membawa masuk unsur-unsur bidaah, khurafat, syirik dan riddah ke dalam dakwah Nabi Isa a.s.
Sudah pasti ramai yang bangkit menentang kerakusan dan kelicikan Paulus ini bukannya Petrus dan Barnaba sahaja. Mengapa orang-orang Timur (Asia) menentang keras dakyah Paulus? Jawapannya ialah disebabkan di Timurlah ramai para nabi dan rasul a.s telah diutuskan kepada umat manusia. Apatah lagi di Palestin yang sehingga sekarang masih berada di dalam benua Asia yang digelar sebagai “Timur” itu. Oleh sebab manusia di Timur kebanyakannya telah terdedah dengan dakwah tauhid yang dibawa oleh para anbiya a.s sebelum itu, maka dengan mudah mereka dapat “mencium bau” kesesatan Paulus daripada landasan tauhid yang biasanya dikembangkan oleh para anbiya’ di Timur.
Paulus juga terkenal reputasinya sebagai seorang pendusta:
“Tetapi jika kebenaran Allah oleh dustaku semakin melimpah bagi kemuliaannya, mengapa aku masih dihakimi sebagai orang yang berdosa?” (Roma 3:7).
Bahkan Paulus ini juga terkenal licik dengan penuh tipu daya:
“Baiklah, aku sendiri bukan merupakan beban bagi kamu, tetapi dalam kelicikanku aku telah menjerat kamu dengan tipu daya.” (2 Korintus 12:16).
Tidaklah menghairankan juga mengapa Paulus sendiri ditentang hebat oleh golongan al-hawariyyun, sehinggakan Paulus sendiri bersungut mengenangkan hal itu. Paulus berkata kepada Timotius:
“Engkau tahu bahwa semua mereka yang di daerah Asia Kecil berpaling daripadaku: termasuk Figelus dan Hermogenes.” (2 Timotius 1:15)
Asas-Asas Ajaran Paulus
Para penganut agama Kristian pada hari ini mendakwa bahawa Paulus adalah tergolong dalam senarai para pengikut Isa a.s. dan bertanggungjawab menyebarkan ajaran-ajaran Nabi Isa a.s. ke serata dunia. Namun begitu, terdapat banyak ajaran-ajaran Paulus yang terkandung di dalam tulisan-tulisannya yang amat bertentangan dengan apa yang telah disuruh oleh Nabi Isa a.s. sendiri. Untuk memahami kenapa Paulus banyak menukar ajaran Isa a.s., kita perlu mengimbas kembali keadaan sejarah pada waktu itu.
Kebanyakan golongan bangsa asing yang bukan Yahudi atau Kristian ini menyembah tuhan-tuhan Yunani atau Rom kuno seperti Jupiter atau Zeus, Aphrodite, Apollo, Artemis dan sebagainya. Di dalam Alkitab, Paulus telah mengaku untuk sanggup melakukan apa saja untuk menukar kepercayaan bangsa bukan Yahudi yang berkepercayaan jahiliah itu agar kelihatan menarik kepada mereka. Beliau terus bertolak-ansur dengan mereka dan mengubah ajaran Nabi Isa a.s. kepada satu agama yang hampir serupa dengan kepercayaan bukan Yahudi itu yang mempercayai konsep Tuhan Bapa, Tuhan Anak, Tuhan Penyelamat dan sebagainya.
Mereka percaya bahawa tuhan-tuhan mereka ini telah mati disebabkan dosa-dosa lampau mereka dan kemudian dihidupkan kembali. Paulus pula menyatakan bahawa Nabi Isa a.s. adalah anak Tuhan dan anak Tuhan ini telah mati untuk menebus dosa seluruh umat manusia dengan darahhnya. Golongan bukan Yahudi ini mula melihat pertalian dan persamaan yang besar di antara kedua-dua kepercayaan ini. Mereka hanya perlu menukarkan beberapa nama sahaja untuk menyamakannya. Dengan cara ini, Paulus berjaya meyakinkan kaum Yunani dan golongan bukan Yahudi yang lain untuk “menerima” agama Nabi Isa a.s. ini.
Ketika mereka sampai ke Lucaonia dan menyembuhkan seorang yang pincang, terdapat desas-desus bahwa dewa-dewa telah diturunkan kepada mereka dalam bentuk manusia. Mereka memanggil Barnabas dengan sebutan Jupiter dan Paulus dengan sebutan Mercuries. Kemudian para pendeta (penyembah) Jupiter membawa binatang ternak dan karangan bunga ke pintu-pintu gerbang, dan akan melakukan pengorbanan bersama orang-orang banyak. Maka ketika para rasul tersebut, Barnabas dan Paulus, mendengar tentang hal tersebut, mereka mengoyakkan pakaian dan lari ke kumpulan orang yang sedang berteriak-teriak:
“Dan mereka berdua berkata: ‘Tuan-tuan, mengapa anda melakukan semua ini? Kami berdua juga manusia yang ingin membagi kasih dengan saudara, dan mengajarkan kepada anda tentang Tuhan Yang Maha Hidup yang telah menciptakan langit dan bumi, laut dan segala sesuatu yang ada didalamnya’.” (Kisah Para Rasul, 14:15)
Jika reaksi dari penduduk Yunani adalah seperti ini (yang menganggap bahawa Barnabas dan Paulus adalah dewa yang menyerupai manusia), maka hal ini menandakan bahwa kedua-duanya mengalami masalah dalam menyebarkan ajarannya. Seorang yang mengenali Isa a.s. akan sangat mudah mengenali bahwa ajarannya merupakan sambungan dari ajaran Musa a.s. Tetapi bagi kebanyakan penyembah berhala, ajaran ini dipandang baru dan aneh. Semua penyembah berhala, yang mengakui banyak dewa tetap mempercayai bahwa Tuhan itu beragam.
Bagi orang-orang Yunani, penggambaran tentang Isa a.s. sesuai dengan salah satu dewa mereka dan mungkin sekali dengan cara ini mereka mudah untuk menerima ajaran Isa a,s, dalam penggambaran seperti ini, sebab bagi pemahaman mereka tetap ada ruang untuk lebih dari satu. Ajaran Isa a.s. mengenai konsep tauhid adalah suatu bentuk penghapusan semua dewa-dewa yang pelbagai itu. Ajaran inilah yang tidak dapat diterima oleh mereka. Bagi orang yang setulus dan seteguh Barnabas, tugas menciptakan cara hidup yang diajarkan Yesus di Yunani tanpa menyesuaikan diri dengan lingkungannya, pastilah sangat berat.
Bagi Paulus, yang telah memperlihatkan kecenderungannya mengubah ajaran yang diketahuinya, melihat kesempatan untuk “berdakwah” dengan terlebih dahulu menggunakan kepercayaan orang-orang Yunani tersebut dan ditamsilkan ke dalam Isa a.s. Saat itu Yunani telah menjadi sebahagian dari kekaisaran Rom. Dewa-dewa Rom banyak memiliki persamaan dengan dewa-dewa yang dianuti oleh orang Yunani dan Paulus adalah seorang yang sangat bijak memanfaatkan situasi ini. Beliau menyedari sepenuhnya keteguhan kepercayaan dalam agama Yunani-Rom (campuran elemen agama Yunani dan Rom) dari rakyat awam di alam kekaisaran Rom tersebut. Jelas terlihat bahwa beliau merasakan tidak mungkin dapat mengubah cara ibadah mereka tanpa diubah ajaran Isa a.s.
Paulus telah menginovasi dan merekacipta satu ajaran yang baru yang sesuai dengan akidah dan cara hidup golongan kaum Yunani dan bukan Yahudi. Apatah lagi dengan ketekunan Paulus menuntut kebudayaan dan falsafah Yunani (Hellenisma) sebelum ini dan aliran Stoa (yang mempertuhankan alam), lebih memudahkan lagi kerja Paulus untuk menarik masyarakat pada waktu itu untuk sama-sama masuk ke dalam agama baru yang dibawanya itu. Doktrin-doktrin itulah yang menjadi asas utama agama Kristian sehinggalah ke hari ini.
Kesimpulan ajaran-ajarannya ialah:
1. Paulus mengajarkan bahwa Tuhan bukan satu tetapi dua, iaitu Allah Bapa dan Allah Anak (I Korintus 1:3).
2. Nabi Isa a.s. adalah juga Allah yang sama dan sehakikat dengan-Nya. Walaupun adalah diakui bahawa Paulus tidak bertanggungjawab dalam mendefinisikan ajaran “Triniti” (Tritunggal), tetapi beliau telah meletakkan batu asas untuk ajaran seperti ini diperkembangkan pada zaman-zaman selepasnya.
3. Isa a.s. telah disalib, mati dan dikuburkan, bangkit pula pada hari yang ketiga, duduk di sebelah kanan Allah Bapa yang Maha Kuasa. Baginda disalib untuk menebus isi dunia ini disebabkan oleh seluruh manusia yang telah berdosa disebabkan dosa asal Adam a.s., tidak ada seorang pun yang terkecuali.
4. Paulus juga mengajarkan bahwa hukum Taurat sudah tidak laku lagi sejak penyaliban Yesus di bukit Golgotha. Beliau kemudian berpendapat bahawa hukum Musa a.s. adalah sebenarnya sumber segala dosa dan suatu kutukan yang tiada taranya. Di dalam Galatia 5:4, beliau dengan angkuhnya mengatakan:
“Maka kamu yang hendak dibenarkan oleh Taurat Musa itu, sudah diceraikan daripada Kristus.”
Juga Paulus telah menekankan bahawa Kristus Yesus itulah adalah penyudah atau penamat Taurat. Meskipun Paulus mengatakan bahawa beliau tidak menentang ajaran-ajaran yang terkandung di dalam kitab Taurat, tetapi hakikatnya beliau telah menjadikan dirinya penentang nombor satu hukum-hukum di dalam kitab Taurat.
Mengenai isu bersunat, beliau menyatakan:
“Camkanlah. Aku Paulus, berkata kepadamu, kalau kamu mahu bersunat, maka Kristus tak berguna lagi sedikitpun bagimu.” (Galatia 5:2).
Meskipun firman Allah s.w.t. telah berulang-ulang menegaskan mengenai perlunya bersunat secara hakiki, tetapi Paulus dengan beraninya membatalkan perintah itu tanpa memberikan apa-apa alasan yang jelas.
Mengenai makanan yang diharamkan oleh Allah s.w.t. seperti daging babi dan sebagainya di dalam kitab Taurat, Paulus mengatakan:
“Maka barang sesuatu yang terjual di pasar daging, makanlah dengan tiada memeriksa sebab perasaan hati.” (I Korintus 10:25)
Itulah sebabnya maka Lukas, murid didikannya, telah “mengarang” cerita bahwa Allah telah menemui Petrus di dalam mimpi dan menyuruh Petrus memakan semua binatang tanpa kecuali, sama ada halal atau haram.
Epiminedes adalah seorang tokoh falsafah dari kaum Kreta yang berkata “Semua orang Kreta adalah pembohong.” Di dalam buku-buku yang membicarakan tentang ilmu logika/mantik, pernyataan ini dinamakan sebagai Paradoks Epiminedes. Dan adalah amat menghairankan apabila kita melihat di dalam Titus 1 bahawa Paulus menulis seperti berikut:
Seorang dari kalangan mereka, nabi mereka sendiri, pernah berkata: ‘Dasar orang Kreta pembohong, binatang buas, pelahap yang malas’. Kesaksian itu benar. Karena itu tegorlah mereka dengan tegas supaya mereka menjadi sehat dalam iman, dan tidak lagi mengindahkan dongeng-dongeng Yahudi dan hukum-hukum manusia yang berpaling dari kebenaran. (Titus 1:12-14)
Apa yang menarik di dalam ayat di atas ialah Paulus telah mengambil pernyataan ini daripada Paradoks Epiminedes, dan kemudian mengatakan dengan jelas bahawa penyampainya adalah seorang nabi dari golongan Kreta: “Dasar orang Kreta pembohong…”, dan kemudian Paulus mengatakan bahawa nabi orang Kreta yang membuat kenyataan ini berkata benar.
Di sinilah timbulnya masalah logika dalam tulisan Paulus ini: jika pernyataan ini diucapkan oleh seorang Kreta (dan ini diakui oleh Paulus sendiri), sudah tentu kenyataan orang Kreta tersebut adalah tidak benar. Dan jika orang Kreta ini memang bercakap benar ketika membuat kenyataan ini, ia bermakna pernyataan asalnya bahawa “Dasar orang Kreta pembohong…” adalah palsu. Jadi, pernyataan ini boleh menjadi benar kerana orang yang mengucapnya adalah seorang Kreta, dan juga boleh menjadi palsu kalau orang Kreta itu berkata benar. Jadi yang mana satukah yang benar dan harus dipercayai?
Kemungkinan yang boleh juga disimpulkan dari ayat Titus 1:12-14 ialah Paulus pada ketika menulis kenyataannya ini tidak “diinspirasi” oleh Allah pada masa itu. Rujuk kepada 1 Korintus 7:25, di mana Paulus dengan angkuhnya mengatakan bahawa dia memberikan “pendapatnya” sendiri sebagai “seorang yang dipercayai oleh Allah”. Nampaknya kesilapan logik dalam Titus 1:12-14 jelas menunjukkan bahawa Paulus tidak mungkin mendapat “inspirasi” ataupun “kepercayaan” dari Allah!
Sumber: http://malay.bismikaallahuma.org
Tiada ulasan:
Catat Ulasan