Khamis, April 30, 2009

Injil Barnaba: Rantai Penghubung Antara Kristian & Islam

Barnaba ialah seorang Hawari unggul yang disepakati sebagai sahabat Nabi 'Isa 'alaihissalam.

Para ilmuwan dan golongan ahli falsafah Kristian sependapat menyatakan bahawa penulis-penulis Injil tidak pernah mengenali Nabi 'Isa 'alaihissalam secara peribadi. Mereka tidak pernah mendengar ucapan Baginda dan tidak pernah menemani Baginda dalam siri-siri penjelajahan dakwah Baginda. Mereka adalah golongan asing bagi Nabi 'Isa 'alaihissalam kecuali Barnaba.

Selain itu, para ilmuwan ini turut sependapat bahawa Injil yang empat (Mark, Matthew, Luke & John) pada permulaannya ditulis dalam bahasa Yunani. Sebuah bahasa asing bagi Nabi 'Isa 'alaihissalam yang bertutur dalam bahasa Aramia Mesir. Ini adalah kerana Baginda pernah menjejakkan kaki di Mesir ketika kecil dan menetap di negara itu sehingga berusia 12 tahun.

Begitu juga, Injil yang empat ini tidak pernah menikmati perlindungan atau pemeliharaan gereja sepanjang kurun pertama Masihi dan selepas kurun ini ia terdedah pula kepada perubahan, pengubahsuaian dan penyelewengan.

Majalah Times bertarikh 30 Disember 1974 telah menerbitkan sebuah artikel bertajuk (Sampai Bila Hakikat Injil Akan Muncul) yang menyebut:

Anda mampu untuk meminta naskhah Injil secara percuma yang mengandungi 50 000 kesalahan. Naskhah-naskhah ini telah dicetak beberapa kali dan ia turut disiarkan menerusi majalah Christian Awakening bertarikh 8 September 1957. Tidak hairan jika kita mendapat maklumat bahawa terdapat 4000 teks berbahasa Yunani bagi sebuah Injil sahaja!

Cadoux menerusi buku beliau yang berjudul (The Life Of Christ) menyebut:

Kita menemui sebuah teks yang memiliki tabiat yang berbeza dan pelbagai. Kita tidak mungkin boleh menjadikannya sebagai pegangan dan kita tidak boleh merasa tenang untuk menjadikannya sebagai sumber yang dipercayai ketika kita ingin mengisi ruang-ruang kosong daripada sumber-sumber lain dalam Injil yang empat. Kerana itu, kita menemui unsur keraguan yang membunuh; menjadikan kita terhenti ketika itu juga. Kita menyatakan bahawa tugas itu mengecewakan. Sebagaimana kontradiksi sejarah yang terkandung dalam Injil yang empat serta beberapa perkara mustahil dalam sebahagian yang lain telah digunakan untuk menyokong hujah-hujah yang mereka gunakan dalam penceritaan kisah hidup Jesus Christ. Namun begitu, kesemua perkara mustahil dan kontradiksi sejarah ini telah dipatahkan oleh fakta-fakta lain. Oleh itu, perbincangan dan perkara-perkara yang meragukan mengenainya masih kekal menjadi tumpuan.

Pope Gilaseus I yang dilantik pada tahun 492 Masihi telah mengeluarkan senarai Injil-injil yang perlu dihapuskan. Kesemuanya berjumlah 270 buah antaranya Injil Barnaba. Injil-injil ini dibuang ke laut secara berperingkat selama lima tahun. Tiada siapa yang mengetahui rahsia penghapusan Injil-injil ini sedangkan mereka mendakwa Injil-injil ini adalah wahyu Tuhan!

Gereja Konstantinople juga pernah menyaksikan lukisan Arius (Patrick Alexandaria) yang dibunuh sekitar tahun 335 Masihi kerana beliau menyeru kepada ajaran Tauhid. Begitu juga Pope Honorius I yang dilantik pada tahun 625 hingga 678 Masihi telah dijatuhkan hukuman bunuh kerana seruannya kepada fahaman Tauhid. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 682 Masihi mengikut ketetapan Majlis Gereja Konstantinople bertujuan untuk memerangi golongan penganut ajaran Tauhid ketika itu. Pope Honorius I hidup pada zaman perutusan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Beliau melihat terdapat persamaan yang besar antara risalah Islam dengan apa yang diseru oleh Arius sebelum itu. Beliau turut berpandangan bahawa antara Islam dan Kristian perlu wujud jambatan penghubung yang menghubungkan kedua-dua agama ini. Menerusi pidato-pidatonya, beliau menyokong mazhab 'Satu Kehendak' atau 'Satu Fikiran'. Mengenai perkara ini beliau berkata, "Jika Allah memiliki tiga kehendak atau tiga fikiran, natijahnya akan mengundang kepada kacau bilau. Tabiat juga menegaskan bahawa Tuhan hanya Satu." Secara rasmi, tidak ada sesiapa pun yang berani mengemukakan pandangan sebegini selama tiga kurun sehingga Pope Honorius I dihukum bunuh.

Pada tahun 314 Masihi, satu persidangan diadakan di Antokia. Persidangan tersebut menyatakan sokongan terhadap ajaran Tauhid dan menganggapnya sebagai tafsiran sebenar bagi agama Kristian. Resolusi ini turut disokong menerusi perhimpunan lain yang diadakan di Sirmium pada tahun 351 Masihi. Natijah daripada resolusi tersebut, ajaran Tauhid yang diseru oleh Arius berkembang luas dan menjadi agama majoriti penganut Kristian sehingga St. Jerome menulis pada tahun 359 Masihi dengan menyebut bahawa, "Dunia seluruhnya bergembira kerana menganut ajaran Arius."

Ensiklopedia Britanica, jilid sebelas, halaman 663 menyebut bahawa ajaran Tauhid berterusan menjadi pegangan Gereja Konstantinople sehingga tarikh kematian Pope Honorius I. Golongan Kristian yang menganut fahaman ini pula merupakan golongan yang memegang jawatan-jawatan tertinggi di gereja. Ini merupakan bukti kewujudan teks-teks ketuhanan yang menyokong bahawa ajaran Tauhid adalah risalah Nabi 'Isa 'alaihissalam.


Kisah Injil Barnaba.

Injil Barnaba tidak dijadikan pegangan oleh gereja sebagaimana Injil-injil yang lain. Namun, gereja Alexandaria mengiktiraf Injil ini dan menganggapnya sebagai sumber yang dipercayai sehingga tahun 325 Masihi. Iranaeus (130-200 M) telah menulis sebuah risalah untuk menyokong ajaran Tauhid yang murni serta menyanggah tindakan Paul yang memasukkan ajaran-ajaran paganisme Rom dan falsafah-falsafah Plato ke dalam agama Kristian. Dalam risalah ini, beliau menyebut dalil-dalil yang kebanyakannya dipetik daripada Injil Barnaba. Ini menunjukkan bahawa Injil Barnaba sememangnya tersebar luas pada kurun pertama, kedua dan ketiga Masihi.


Ini bererti Injil Barnaba telah ditulis dan didapati sebelum kedatangan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Injil ini juga disenaraikan oleh Pope Gilaseus I antara 270 buah Injil yang diharamkan pembacaannya dan perlu dibakar. Perintah ini dikeluarkan pada penghujung kurun kelima Masihi. Ini menandakan bahawa Injil Barnaba semenjak kemunculannya telah melalui era yang panjang. Injil Barnaba menceritakan tentang Nabi 'Isa 'alaihissalam bermula daripada kelahiran Baginda sehingga hari Baginda diangkat ke langit. Ia juga turut merakamkan perbincangan antara Barnaba dan Nabi 'Isa 'alaihissalam serta beberapa pidato yang disampaikan oleh Nabi 'Isa 'alaihissalam. Walaupun pihak gereja tidak mengiktiraf Injil Barnaba, ia tetap tersebar di kalangan para ilmuwan Eropah. Mereka menjadikannya sebagai bahan kajian serta memberi perhatian penuh terhadapnya. Keengkaran pihak gereja tidak mampu menghalang mereka daripada berbuat demikian. Mereka sepakat menyatakan bahawa Barnaba adalah seorang yang suci, utusan dan pegangan dalam dakyah Kristian yang pertama. Beliau juga adalah salah seorang Hawari Nabi 'Isa 'alaihissalam yang mendapat keistimewaan berdamping dengan Baginda dalam suka dan duka. Barnaba adalah hujah golongan Kristian dan merupakan orang yang mendapat ilham menurut kepercayaan mereka.


Naskhah Tertua Injil Barnaba.


Para sejarawan sepakat menyatakan bahawa naskhah tertua Injil Barnaba yang pernah ditemui adalah naskhah yang ditulis dalam bahasa Itali. Ia ditemui oleh Kremer, salah seorang penasihat diraja Rusia pada tahun 1709 Masihi. Naskhah itu kemudiannya dipindahkan ke istana kerajaan di Vienna bersama buku-buku yang lain milik penasihat tersebut pada tahun 1738 Masihi. Naskhah ini adalah asal kepada salinan-salinan Injil Barnaba yang ditulis dalam versi bahasa-bahasa yang lain. Akan tetapi, pada awal kurun kelapan Masihi terdapat sebuah naskhah berbahasa Sepanyol yang telah ditranslisasikan ke bahasa Inggeris oleh seorang orientalis bernama Sail. Namun begitu, tiada maklumat yang diperolehi mengenai naskhah tersebut dan terjemahannya kecuali sedikit sahaja yang didedahkan oleh Dr. Houit. Golongan sejarawan turut mengesahkan bahawa naskhah berbahasa Itali adalah naskhah yang serupa berbahasa Sepanyol. Dalam naskhah itu, seorang paderi berbangsa Latin yang bernama Faramino telah disebut. Faramino telah berkata menerusi prakata naskhah tersebut bahawa beliau telah menemui beberapa risalah yang ditulis Iranaeus. Di antaranya terdapat sebuah risalah yang mengandungi kecaman terhadap Paul. Kecaman-kecaman tersebut menggunakan dalil-dalil yang dipetik daripada Injil Barnaba. Ini mendorong beliau untuk mencari Injil Barnaba. Faramino akhirnya mendapat apa yang dihajatinya ketika beliau menjadi salah seorang paderi kanan Pope Sactase V. Beliau menemui Injil ini di dalam perpustakaan milik Pope tersebut. Faramino telah menelitinya dan akhirnya memeluk Islam.


Oleh itu, naskhah tertua yang dikenal pasti setakat ini adalah naskhah Itali yang ditemui pada awal kurun ke-18. Naskhah ini ditemui dalam suasana Kristian yang murni. Maka tiada di sana andaian bahawa ia mengalami unsur-unsur kemasukan asing. Orang yang pertama menemuinya adalah seorang pemimpin tertinggi agama Kristian dan beliau menyimpannya di dalam perpustakaan peribadinya. Kemudian ianya didedahkan oleh seorang paderi. Setelah sekian lama berpindah tangan, akhirnya ia sampai ke tangan seorang penasihat diraja beragama Kristian yang kemudiannya berpindah pula ke istana kerajaan di Vienna. Naskhah ini dinisbahkan kepada Barnaba. Hanya ada seorang Barnaba. Beliau sememangnya memiliki kedudukan tertinggi dalam agama Kristian. Maka kewujudan Injil Barnaba sebenarnya adalah sesuatu yang tidak asing di kalangan paderi-paderi Kristian sebagaimana yang disaksikan oleh sejarah dan dinyatakan menerusi prakata-prakata naskhah tersebut. Injil Barnaba sememangnya terkenal dan tersebar luas sebelum perutusan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam selama lebih daripada dua kurun. Inilah satu-satunya Injil yang mengandungi maklumat terperinci mengenai Taurat. Penulisnya (Barnaba) telah memberikan perhatian yang menakjubkan terhadap lembaran-lembaran Perjanjian Lama dan hampir-hampir kita tidak menemui yang semisalnya di kalangan kelompok Kristian.


Barnaba Memberi Berita Gembira Tentang Perutusan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.


Perlu disebutkan di sini bahawa Injil Barnaba telah menyebut nama Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam secara terang-terangan sebanyak lebih kurang 30 kali, iaitu lebih banyak daripada sebutan nama Baginda di dalam al Quran! Di sini kami sertakan sebahagian teks daripada Injil Barnaba yang menyebut nama Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sebagai contoh sahaja:


1) Pada fasal 42, bilangan 10-11:


Ketika para pemimpin mengutuskan dukun-dukun Levi dan sebahagian penulis untuk bertanya kepada Nabi 'Isa: Lantas ketika itu 'Isa bersabda, " Saya adalah suara nyaring bagi golongan Yahudi. Saya bertempik: Sediakan jalan buat utusan Tuhan yang telah dicatat di dalam Asyiya'."


Dalam fasal yang sama, bilangan 13 menyebut:


'Isa menjawab, "Sesungguhnya ayat-ayat yang ditunjukkan Allah dengan tangan saya ini membuktikan bahawa saya berbicara menurut kehendak Allah. Saya bukan orang yang kamu sangkakan itu kerana saya sendiri tidak layak untuk merungkai tali capal Rasulullah yang kamu namakan sebagai Messiah itu. Baginda dicipta sebelum saya dan akan datang selepas saya[1]. Baginda akan datang dengan Kalam Kebenaran dan agamanya tiada penghujung.


2) Fasal 44, bilangan 19-31:


Kerana itu saya mengatakan kepada kamu bahawa Rasulullah itu indah dan menggembirakan semua makhluk Allah tidak lama lagi kerana Baginda dihiasi dengan roh Kefahaman dan Mesyuarat. Roh Hikmah dan Kekuatan. Roh Takut dan Kasih Sayang. Roh Ketelitian dan Keseimbangan. Roh Kasih Sayang dan Rahmat. Roh Keadilan dan Ketaqwaan. Roh Kelembutan dan Kesabaran. Dengan roh-roh ini, Baginda mengambilnya daripada Allah tiga kali ganda nikmat yang dikurniakan buat makhluk seluruhnya. Alangkah bahagianya zaman yang padanya Baginda datang ke alam ini. Percayalah kerana saya telah melihatnya. Saya telah mempersembahkan salam hormat ke hadrat-nya sebagaimana setiap Nabi juga telah melihatnya. Kerana Allah mengurniakan kepada mereka Nubuwwah dengan roh-nya. Ketika melihat-nya, saya merasa bangga sambil berkata, "Muhammad! Semoga Allah bersama-mu. Semoga Dia menjadikan saya layak untuk merungkai tali capal-mu." Jika saya mengucapkan begini, maka saya layak menjadi seorang Nabi yang agung dan orang suci Allah.


3) Fasal 97, bilangan 13-18:


'Isa menjawab, "Nama Messiah itu menakjubkan! Kerana Allah sendiri yang menamakan-nya begitu ketika Dia mencipta-nya dan meletakkan-nya di kawasan keindahan langit. Allah berfirman: Muhammad! Sabar sebentar kerana Aku ingin mencipta Syurga dan alam kerana-mu dan mencipta segolongan besar manusia untuk Ku hadiahkan pada-mu, supaya sesiapa yang mengucap berkat pada-mu maka dia akan diberkati dan sesiapa yang melaknat-mu maka dia akan dilaknat kembali. Apabila Aku mengutus-mu ke dunia ini, Aku jadikan engkau sebagai Rasul-Ku yang akan membebaskan umat manusia. Ucapan-mu benar sehingga langit dan bumi merasa lemah namun iman-mu tidak akan lemah selama-lamanya.


Sesungguhnya nama-nya yang berkat itu ialah Muhammad."


Ketika itu, orang ramai meninggikan suara sambil berkata, "Ya Allah! Utuslah kepada kami Rasul kami. Ya Muhammad! Datanglah segera untuk bebaskan dunia ini."


4) Fasal 112, bilangan 14-19:


Saya yakin sesiapa yang menjual saya, akan dibunuh dengan nama saya. Kerana Allah akan mengangkat saya dari bumi ini dan Dia akan mengubah rupa pengkhianat itu sehingga manusia menyangka dia adalah saya. Apabila dia mati dalam keadaan yang buruk, saya akan berada dalam keburukan itu untuk tempoh yang lama di dunia ini. Namun, apabila Muhammad Rasulullah yang suci datang, maka lenyaplah keburukan itu daripada saya. Allah akan melakukannya kerana saya mengakui kebenaran Messiah yang akan mengurniakan saya ganjaran ini iaitu Baginda akan memberitahu bahawa saya masih hidup dan saya berlepas diri daripada keburukan si pengkhianat itu.


5) Fasal 220, bilangan 17-21:


'Isa menjawab, "Barnaba! Percayalah pada saya bahawa Allah akan membalas setiap kesalahan walaupun kecil dengan balasan yang besar kerana Allah bencikan kesalahan. Oleh itu, ketika bonda dan para pengikut saya yang setia mencintai saya dengan kasih yang mendalam lantas Allah ingin membalas mereka dengan kesedihan di waktu ini agar mereka tidak dibalas dengan neraka Jahim. Bila manusia mula memanggil saya sebagai Tuhan dan putera Tuhan sedangkan saya tidak terbabit langsung dalam hal ini di dunia. Maka Allah ingin mencemuh manusia dengan sebab saya di dunia ini, lalu Dia mematikan Yahuza supaya manusia menyangka bahawa saya yang mati di palang salib agar dengan ini syaitan tidak mampu mencemuh saya di akhirat kelak. Ini akan berterusan sehingga datangnya Muhammad Rasulullah. Apabila Baginda datang, Baginda akan menyingkap pemalsuan ini bagi mereka yang beriman kepada syariat Allah."

Setelah selesai mengemukakan jawapan ini, 'Isa berdoa, "Tuhan kami! Engkau Maha Adil kerana bagi-Mu jualah Kemuliaan dan Keagungan tanpa penghujung."

Nota: Dipetik daripada majalah al Tibyan, tahun keempat, bilangan 47, bulan Jamadil Akhir 1429 H (Jun 2008 M). Saya (Humair) menterjemahkannya berserta sedikit olahan dan tambahan berupa nota kaki. Segala puji bagi Allah yang memperlihatkan kebenaran agama-Nya. Benarlah firman Allah Ta'ala mafhumnya:

Dia (Allah) jualah yang mengutuskan Rasul-Nya (Muhammad) dengan petunjuk dan agama yang benar supaya ia mengatasi agama-agama kesemuanya walaupun orang-orang musyrik membencinya. [al Saff: 9]

[1] Ini seakan-akan ayat yang disebut di dalam surah al Soff ayat 6 mafhumnya:

Dan (ingatlah) ketika 'Isa putera Maryam berkata, "Bani Israil! Saya adalah Rasulullah yang diutuskan kepada kamu sebagai pembenar terhadap kitab Taurat yang muncul sebelum saya serta pembawa berita gembira tentang seorang Rasul yang akan datang selepas saya bernama Ahmad.."

Oleh: Muhammad Abdul Syafi al Qusi.

Tiada ulasan: