"Segala puji bagi Allah kerana-Nya kita masih mengecapi kemanisan iman sehingga ke hari ini. Nikmat Iman dan Islam inilah yang telah dianugerahkan oleh Yang Maha Esa bersama kemegahan syurga yang dijanjikan oleh Allah Taala.
Ketahuilah !! Islam akan sentiasa menyeberangi medan dalam menentang kebatilan yang diwujudkan dengan pelbagai bentuk dan keupayaan. Kronologi pertembungan antara kebenaran dengan kebatilan merupakan kisah silam yang akan berterusan sehingga munculnya hari kiamat. Hal ini dibuktikan melalui sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;
"..Akan sentiasa ada kumpulan dari kalangan umatku yang bangkit menegakkan kebenaran, mereka tidak sekali merasa mudharat kepada sesiapa yang menentang mereka sehingga datang janji Allah (sama ada mati syahid atau memperolehi kemenangan). ."
Memandangkan Islam yang merupakan agama penutup dalam edaran hubungan perutusan langit dan bumi, maka ia terdedah kepada lebih banyak musuh dan serangan. Kesamaran dan salah faham sengaja diwujudkan untuk menentang Islam telah wujud sejak sekian lamanya. Ancaman musuh-musuh Islam ini tidak berubah melainkan dalam tekniknya yang dipintal secara ilmiah. Walau bagaimanapun, pemikir-pemikir Islam sentiasa bertungkus-lumus melaksanakan tangunggjawab dalam menangani kekeruhan yang dilakukan oleh mereka. Bagaimanapun, musuh-musuh Islam ini terlebih dahulu melakukan kesesatan terhadap agama asal mereka. Contohnya apa yang berlaku kepada penganut agama Kristian, di kalangan mereka berani mengarang dengan mengubah suai kandungan nas asal kitab-kitab Injil demi kepentingan mereka sendiri. Memang mereka menggunakan bahan-bahan tradisional, tetapi mereka tidak teragak-agak untuk menambah dan menguranginya. Hal ini diakui oleh sejarawan Ahmad Syalabi dengan mengatakan bahawa Paul, Luke dan John (Yuhana) mengubah ajaran yang sebenar dibawa oleh Nabi Isa alaihissalam.
4 jenis injil yang diimani penganut Kristian seperti injil Paul, Luke, Matthew (Matius) dan John. Sebelum ini ia tidak dianggap suci oleh penganut Kristian, sehinggalah keempat-empat Injil ini diwartakan oleh Canon (hukum gereja). Pada awalnya ia adalah ibarat karangan biasa kerana mereka boleh mengubah untuk melanggar isi kandungannya. Perubahan terus berlaku di dalam kandungan Injil ini dan ia terbukti jika semakan perbandingan dibuat terhadap masnuskrip- manuskrip yang awal. Bagaimanapun kemunculan Injil Barnaba (Evangile Barnabas) yang pada mulanya dirahsiakan akhirnya menggugat dunia Kristian. Mengapa jadi begitu? Pada tahun 1907 edisi bahasa Sepanyol diterjemahkan ke dalam bahasa Inggris oleh Lonsdale Ragg dan Isterinya, Laura Ragg dan kemudiannya diterbitkan oleh Oxford University dengan berjudul 'The Gospel of Barnabas'. Setahun kemudiannya iaitu 1908, seorang arkeologi Arab pula iaitu Dr. Khalil Sa`adah menterjemahkannya ke dalam bahasa Arab.
Injil Barnaba adalah satu-satunya injil tunggal yang ditulis oleh salah seorang 'hawariyy' jamaknya 'hawariyyun' (gelaran para sahabat Isa alaihissalam yang setia) bernama Barnaba. Diriwayatkan, Barnaba pernah bersama Isa alaihissalam selama 3 tahun membantunya menyampaikan ajarannya dan ia berbeza 4 tokoh penulis-penulis injil yang telah disebutkan (Paul, Matthew, Luke dan John) kerana para penulisnya tidak pernah bersama Isa alaihissalam. Barnaba hidup bersama Isa alaihissalam dan secara tidak langsung beliau memiliki maklumat yang terpercaya mengenai ajaran Isa alaihissalam. Walau bagaimanapun, kebenaran yang dibawa oleh Barnaba disekat oleh Paus Pius Glasius I yang menduduki takhta kerajaan Rom pada tahun 492 Masihi, di mana Glasius mengeluarkan perintah larangan membaca kitab Barnaba secara public. Jika diperhatikan tahun Glasius melakukan larangan tersebut, ini bererti kewujudan injil Barnaba sudah lama ada sebelum kedatangan Muhammad salallahualaihi wasalam.
Oleh kerana kebenaran injil Barnaba menggugat pegangan yang selama ini menjadi lidah rasmi penganut Kristian terhadap ajaran triniti, maka injil Barnaba ditolak bermati-matian dengan dakwaan mereka bahawa ia adalah ciptaan ilmuan-ilmuan Islam dari Universiti al Azhar. Sedangkan ulama Islam ketika itu antaranya seperti Imam Sayyid Redha al Husaini hanya menaqalkan apa yang telah direkodkannya di dalam bahasa Itali. Apa gunanya ilmuan Islam seperti Imam Sayyid Redha melakukan gerakan penulisan injil Barnaba, padahal umat Islam sendiri telah memiliki hujjah paling konkrit & paling muktabar yang disampaikan daripada mukjizat Nabi Muhammad di dunia & di akhirat iaitu al Quranul Karim. Kemuliaan al Quranul Karim adalah dalil yang mutawatir paling berhak berdepan dengan kesesatan ajaran Kristian Nasrani.
Bagaimanapun sebagai tanda kekuasaan Allah, injil Barnaba yang pada mulanya dirahsiakan pihak gereja akhirnya ditemui semula pada tahun 1709 dan penemuannya terus sahaja dibawa ke Vienna, Austria. Penemuan ini telah membuatkan tokoh pendeta besar ketika itu, Laten Framino memeluk agama Islam. Persoalannya, mengapa pihak gereja menolak injil Barnaba? Tidak syak lagi ia adalah disebabkan beberapa perkara dari isinya yang merupakan justifikasi terhadap agama Islam, iaitu;
1) Barnaba menolak ketuhanan Isa (Jesus) al Masih dan menolak dakwaan bahawa ia anak Allah. Lantas menegaskan di sini bahawa Nabi Isa adalah seorang utusan Allah sebagaimana Rasul-Rasul yang lain. Hal ini dijelaskan dalam fasal ke-112;
".. (Nabi Isa alaihissalam) berkata sambil menangis; ..Wahai Barnaba, wajibku jelaskan kepadamu dengan rahsia-rahsia yang besar. Wajiblah di atas engkau menyebarkannya ke seluruh alam setelah aku pergi (meninggalkan dunia).."
Mendengar reaksi Nabi Isa alaihissalam, lalu Barnaba turut menangis sambil berkata;
"..Wahai manusia suci Nabi Allah, tidak ada kebaikannya tuan memperbanyakkan tangisan.."
Jawab Isa alaihissalam;
"..Ku katakan kepadamu bahawa aku ini jika tidak dipanggil sebagai Tuhan tentulah aku dibawa ke syurga ketika aku meninggalkan dunia ini. Tetapi sekarang aku tidak akan ke sana sehingga ke hari pembalasan. Maka dari itu, dapatlah engkau melihat sejauh manakah aku mesti menangis.."
Selain itu, turut berlaku pada satu malam, Nabi Isa bersama kumpulan hawariyyun berkumpul. Lalu Isa alaihi salam berkata kepada mereka sebagaimana yang disebut pada fasal ke-72;
"..Jangan kamu gementar dan jangan merasa takut kerana bukanlah aku yang menciptakan kamu bahkan Allah yang menciptakan kamu dan Dia-lah yang akan menjaga kamu. Adapun kerjaku (kekhususanku) ialah datang menyediakan jalan bagi Rasulullah yang akan datang membawa keselamatan bagi dunia ini. Tetapi berhati-hatilah dari tertipu kerana akan datang ramai nabi-nabi dusta (palsu). Mereka akan mengambil kata-kataku (ajaranku) dan menajiskan injilku.."
2) Barnaba menegaskan bahawa anak yang menjadi azam Nabi Ibrahim untuk menyembelihnya ialah Nabi Ismail dan bukannya Nabi Ishaq. Hal ini dijelaskan oleh Barnaba dalam fasal ke-44;
"..Sebenarnya wajib di atasmu melakukan sesuatu demi kecintaan kepada Allah. Jawab Ibrahim; ..Inilah dia hamba Allah bersedia untuk melakukan segala apa yang dikehendaki Allah.. Maka ketika itu Allah berfirman kepada Ibrahim, firman-Nya; ..Bawalah putera sulungmu iaitu Ismail dan naiklah ke bukit untuk engkau persembahkan sebagai sembelihan korban.. Maka bagaimanakah boleh terjadi Ishaq sebagai putera sulung sedangkan ketika ia dilahirkan, Nabi Ismail telah berusia 7 tahun.."
3) Barnaba menyebut bahawa 'al Masih' (Messiah) yang menjadi penantian penganut-penganut Kristian yang sebenarnya adalah Nabi Muhammad. Hal ini dijelaskan oleh Barnaba dalam fasal ke-44;
"..Alangkah bahagianya masa yang akan datang muncul di dalam dunia ini. Percayalah kepadaku sesungguhnya aku telah melihatnya dan telah aku berikan penghoramatan kepadanya sebagaimana yang layaknya dilihat oleh setiap Nabi. Kerana itu, Allah mengurniakan mereka (para Nabi) roh kenabian. Dan ketika aku melihatnya, penuhlah aku dengan kemuliaannya lantas aku berkata; ..Wahai Muhammad, Allah akan bersamamu dan semoga aku menjadi orang yang layak melorongkan perjalanan kasutmu.."
Hal ini turut dijelaskan dalam fasal ke-112;
"..Manakala ketibaan Muhammad Rasulullah yang suci itu akan menghilangkan keaibanku ini yang (Allah) kurniaankan kepadaku sebagai ganjaran supaya orang tahu bahawa aku hidup dan aku berlepas diri (suci) daripada buruknya kematian itu.."
Salah seorang dari golongan hawariyyun iaitu sahabat Isa alaihissalam bernama Andrew (Andereous-dalam ejaan Arab) pernah bertanya mengenai alamat-alamat yang dapat diketahui siapakah gerangannya Nabi itu, katanya pada fasal ke-72;
"..Tuan guru, sebutkanlah tanda-tanda (alamat kenabiannya) agar kami mengetahuinya. ."
Lalu dijawab oleh Isa alaihissalam;
"..Sesungguhnya dia tidak akan datang pada zaman kamu, tetapi ia akan datang selepas kamu beberapa tahun ketika mana injilku dibatalkan dan hampir-hampir sahaja tidak terdapat 30 orang yang beriman. Allah merahmati alam ini lalu ia mengutuskan Rasul-Nya yang ada di atas kepalanya sentiasa dinaungi awan putih. Dia dikenali sebagai seorang pilihan Allah dan ia akan dinyatakan untuk alam ini dan akan datang dengan kekuatan yang hebat ke atas orang jahat dan akan menghapuskan penyembahan berhala di dunia ini.."
4) Pada catatan Barnaba, beliau menyebut bahawa Nabi Isa tidak dibunuh dan disalib tetapi yang sebenarnya disalib ialah Yahuza yang diserupakan Allah akan wajahnya dengan wajah Nabi Isa alaihissalam. Hal ini dijelaskan dalam fasal ke-112;
"..Ketahuilah wahai Barnaba bahawa menjadi kewajipan untuk berjaga- jaga dan aku akan terjual (diserah kepada tentera Rom) dengan salah seorang muridku berharga 30 keping wang. Di atas hal ini aku yakin bahawa orang yang akan menjual aku itu akan terbunuh dengan namaku kerana Allah akan membawaku dari bumi dan akan mengubah pandangan si pengkhianat itu sehingga setiap orang yang melihatnya akan menyangka dia itu adalah aku.."
Hal ini turut dijelaskan di dalam fasal ke-216;
"..Maka Allah yang Maha Ajaib telah mendatangkan perkara yang ajaib. Tiba-tiba Yahuza berubah suara dalam percakapan, wajahnya menjadi seperti Isa (Jesus) sehingga kami menganggap dia itu Isa. Adapun dia (Yahuza) selepas mengejutkan kami (dari lena) mencari-cari di manakah tuan guru (Isa untuk diserahkan kepada tentera Rom). Oleh sebab itu kami merasa hairan lalu kami menjawab; ..Engkaulah wahai tuan guru kami. Adakah tuan melupai kami sekarang ?? Lalu dia (Yahuza yang diserupakan seperti Jesus) dengan tersenyum berkata; ..Adakah kamu mangli sehingga tidak mengenal Yahuza al Isqaryuti (Judas Iscariot).. ?? "
Firman Allah Taala;
"..Dan ucapan mereka (orang kafir);..Sesungguhn ya kami telah membunuh al Masih, Isa putera Maryam Rasulullah, padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka.."-Surah an Nisa':157, al Quranul Karim
Apabila Rasulullah salallahualaihi wasalam melancarkan dakwah keesaan Tuhan, ini bererti Baginda menentang kepercayaan syirik jahiliyyah sama ada dalam bentuk triniti (Tuhan bapa+anak+roh al quddus) atau trimuti (Brahma, Vishnu, Shira) dan apa jua bentuk kesyirikkan. Sekiranya penganut Kristian menuhankan Isa (Jesus) kerana dilahirkan tanpa bapa, maka mereka perlu menuhankan Adam juga kerana ia dilahirkan tanpa ibu dan bapa. Adapun segala keajaiban yang berlaku kepada 2 orang Nabi ini menunjukkan betapa Maha Tingginya kekuasaan, keagungan dan keilmuan Allah Taala. Firman Allah Taala;
"..Sesungguhnya perumpamaan penciptaan Isa di sisi Allah, adalah seperti penciptaan Adam. Allah mencipta Adam dari tanah kemudian Allah berfirman kepadanya;.. Jadilah !! maka jadilah ia.."-al Imran:59, al Quranul Karim
Berdasarkan keterangan injil Barnaba di atas tadi, nyatalah Nabi yang diutuskan itu telahpun lahir iaitu Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam dan kami hanyalah umat akhir zaman yang bekerja untuk kebenaran agama ajarannya sekalipun dibenci oleh orang yang membenci. Seterusnya di dalam Fasal ke 222 , iaitu fasal terakhir dari kitab tersebut Barnaba telah petanda halangan-halangan yang akan dilakukan terhadap risalah dakwah yang benar;
"..Bertebaranlah para murid di seluruh Israel dan lain-lain negeri. Adapun kebenaran yang dibenci oleh syaitan maka ia akan sentiasa ditindas oleh kebatilan sebagaimana hal (keadaannya) selalu adalah (dilakukan) segolongan daripada kelompok-kelompok yang jahat mendakwa mereka adalah murid-murid (Isa alaihissalam) . Mereka menyebarkan bahawa Jesus (Isa alaihi salam) itu anak Allah dan yang termasuk golongan yang menipu itu adalah Paulus. Adapun kami menyebarkan dengan apa yang telahku (Barnaba) tulis kepada orang-orang yang takutkan Allah supaya mereka terselamat di hari akhirat dari pembalasan Allah. Amin (semoga dimakbulkan) .."
Akhir perutusan ini pembaca hendaklah mengetahui bahawa kedatangan Islam ke dunia bukanlah bagi mengubah kepercayaan manusia kepada Tuhan yang sudah sedia dipercayai oleh mereka. Sebaliknya bagi membetulkan kepercayaan yang salah kepada kepercayaan yang sebenarnya. Islam menyeru dan mengajar manusia bahawa Tuhan hanya satu (esa). Konsep keesaan Tuhan inilah menjadi asas penting dan utama dalam perutusan nabi-nabi dan rasul-rasul sejak zaman Nabi Adam hinggalah zaman Nabi Muhammad sallahualaihi wasalam. WAllahua'lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan