Islam adalah agama yang unik. Kepercayaan dalam Islam adalah tidak secara membuta tuli. Faith is not blind. Kepercayaan dalam Islam adalah berdasarkan bukti yang nyata.
"Katakanlah:
"Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik".." (Yusuf 12:108)
"....Katakanlah:
"Tunjukkanlah bukti kebenaranmu jika kamu adalah orang yang benar"." (al-Baqarah 2:111)
"Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat..." (al-Baqarah 2:256)
Selain itu, di dalam Islam, tiada ruang untuk ragu-ragu. There is no room for doubt.
"Kitab (Al Qur'an) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa," (al-Baqarah 2:2)
Malah al-Quran telah banyak mencabar mereka yang meragui kebenaran Islam. Antaranya adalah:
"Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang Al Qur'an yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surah (saja) yang semisal (setanding) Al Qur'an itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar.
Maka jika kamu tidak dapat membuat (nya) dan pasti kamu tidak akan dapat membuat (nya), peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir." (al-Baqarah 2:23-24)
"Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Qur'an? Kalau kiranya Al Qur'an itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka menemui percanggahan yang banyak di dalamnya." (an-Nisa' 4:82)
Maka, segala isu yang melibatkan kepercayaan dalam Islam seperti kebenaran al-Quran, kewujudan Tuhan dan sebagainya mestilah dapat dibuktikan.
PUNCA GEJALA ATHEISM
* Kecewa dengan agama
Gejala atheism yang agak melanda di beberapa negara di dunia sekarang, terutamanya di barat, bukanlah disebabkan mereka sudah tidak percaya kepada Tuhan lagi.
Tuhan masih lagi ‘berada’ jauh di lubuk hati mereka. Tetapi apa yang berlaku adalah mereka kecewa atau 'fed up' dengan agama. Mereka sebenarnya bukanlah meninggalkan Tuhan, tetapi meninggalkan agama.
Mereka bukan mengingkari tentang wujudnya Tuhan, tetapi mereka tidak dapat menerima konsep ketuhanan yang pernah dikemukakan kepada mereka. Tuhan yang mereka tolak sebenarnya adalah ‘model’ tuhan yang sama yang ditolak oleh Islam.
Malangnya mereka menganggap semua agama adalah sama - tidak logik, tidak saintifik, tidak masuk akal, menindas dan sebagainya.
Puncanya adalah samaada mereka belum lagi menemui agama yang benar, iaitu Islam, atau mereka menemui Islam yang salah atau Islam yang tidak diterangkan dengan cara yang betul.
Media-media pula sentiasa membawa propaganda yang mendatangkan imej buruk kepada Islam seperti keganasan, menindas wanita, barbaric dan sebagainya.
Tetapi setelah mereka menemui Islam yang sebenar, ramai di kalangan mereka yang memilih untuk memeluk Islam. Di sebalik perkembangan fahaman atheism, agama Islam sekarang telah menjadi agama yang paling pantas berkembang di barat.
* Cara Golongan intelektual menilai agama
Golongan atheis yang kononnya dari kalangan intelektual juga sebenarnya menghadapi masalah yang sama. Mereka lebih banyak meluangkan masa mereka mengkritik agama Kristian berbanding agama Islam..
Bagi mereka, Islam adalah agama yang ditiru daripada agama Kristian dan Yahudi [ Persoalan ini akan disentuh dalam perbincangan lain]. Sekiranya doktrin agama Kristian dapat dirobohkan, sebahagian doktrin agama Islam juga roboh bersama.
Ini sebagaimana yang disebutkan oleh seorang penulis atheist terkenal yang bernama Christopher Hitchens:
“Islam is at once the most and the least interesting of the world’s monotheisms. It builds upon its primitive Jewish and Christian predessors, selecting a chunk here and a shard there, and thus if these fall, it partly falls also.” [ Dipetik daripada bukunya, “God is not Great.”]
Berdasarkan bab ‘The Koran is borrowed from both Jewish and Christian Myth’ dalam buku beliau, ‘God is Not Great’, ternyata kefahaman beliau tentang Islam adalah menyimpang sama sekali.
Ia bersandarkan kepada penulisan golongan anti-Islam atau berdasarkan salah faham (misconception) terhadap Islam, termasuk salah faham sebahagian umat Islam sendiri.
* Golongan ‘intelektual’ yang kebingungan memikirkan tentang Tuhan
Selain itu, golongan ini seolah-olah tidak mengakui terdapatnya perkara yang masih di luar pengetahuan manusia.
Kita telah melihat bahawa penemuan-penemuan sains sentiasa berlaku dari semasa ke semasa. Apa yang tidak diketahui semalam telah diketahui hari ini. Apa yang tidak diketahui hari ini mungkin akan diketahui esok. Malah kita juga dapat melihat terdapatnya penemuan hari ini yang membetulkan teori lampau.
Alam semesta ini cukup luas dan cukup kompleks. Ia telah membingungkan ramai saintis yang mengkajinya. Banyak lagi perkara yang masih dicari serta dikaji oleh para saintis. Bahkan banyak lagi perkara yang masih menjadi misteri. Sekiranya alam ini sudah terlalu banyak yang diluar jangkaan fikiran, apatah lagi Penciptanya!
Sudah tentu Penciptanya jauh lebih hebat dari itu!
Adalah amat tidak wajar bagi mereka untuk menolak kewujudan Tuhan hanya kerana mereka gagal memikirkan tentangNya. [ Gagal memikirkan tentangNya bukanlah bermaksud kita tidak dapat membuktikan kewujudanNya, tetapi gagal mengetahui sifat-sifat dan ciri-ciriNya, lebih-lebih lagi tanpa bimbingan wahyu yang diturunkanNya. Beberapa kemungkinan ciri-ciri Tuhan telahpun dijelaskan oleh sains seperti eternal, omniscient, omnipotent etc. Ciri-ciri ini tidak bercanggah dengan konsep ketuhanan Islam. ]
Di dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW. menyebutkan:
“Berfikirlah kamu tentang ciptaan Allah, janganlah kamu berfikir tentang Allah,
kerana sesungguhnya kamu tidak akan mampu menyamai kekuasaanNya.”
[ Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. Hadis ini dinilai sahih (authentic) oleh al-Albani dalam “Sahih al-Jami’ ash-Shaghir.”]
KEWUJUDAN TUHAN
Islam tidak banyak menekankan persoalan kewujudan Tuhan. Islam lebih menekankan tentang membawa manusia kepada Tuhan yang satu. Ini kerana, Tuhan telahpun ‘berada’ dalam diri manusia. Majoriti manusia telah pun percaya kepada Tuhan tanpa mengira di mana mereka berada, samaada di bandar, desa, hutan belantara, padang pasir mahupun di pulau. Inilah yang disebutkan sebagai dalil (petunjuk, petanda, bukti) fitrah (nature).
Dalam membincangkan isu kewujudan Tuhan ini, saya akan menggunakan beberapa pendekatan dan bukti:
1. Dalil Fitrah
2. Risiko tidak mempercayai Tuhan
3. Dalil alam semesta
4. Bukti penemuan sains moden
5. Al-Quran dan Sains Moden
1. DALIL FITRAH
* Kecenderungan yang tertanam dalam diri manusia
Tuhan itu Maha Adil. Dia telahpun menanamkan ‘kecenderungan’ (tendency) dalam diri manusia untuk percaya kepadaNya serta mengikut ajaranNya. Inilah yang disebutkan sebagai fitrah. Manusia telah dicipta dengan acuan (mould) ini.
“Acuan Allah. Dan siapakah yang lebih baik acuannya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah.” (al-Baqarah 2:138)
Itulah sebabnya al-Quran menyebutkan apabila roh pada mulanya hendak dimasukkan ke dalam jasad manusia, mereka telah disoal oleh Allah:
“…dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi".”
(Al-A’araf 7:172-173)
Itulah sebabnya juga, menurut Islam setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah atau Muslim:
"Setiap bayi yang lahir itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi atau Kristian." (Riwayat Bukhari & Muslim)
* Majoriti manusia mempercayai Tuhan
Disebabkan fitrah inilah, majority manusia percaya kepada Tuhan tanpa mengira di mana mereka berada, walaupun terpisah daripada tamadun manusia.
Seorang sejarawan (historian) menyebutkan:
“Dalam sejarah, boleh didapati negeri tanpa kubu (fortress), sekolah dan istana,
tetapi tidak pernah ditemui negeri tanpa rumah ibadah!” [Dinukilkan oleh Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya , “Akidah Salaf dan Khalaf.”]
Seorang ahli falsafah terkenal di Eropah yang bernama Rene Descartes mengatakan:
“Saya, dengan kesedaran sendiri mengakui tentang kekurangan yang ada pada diri saya;
pada waktu yang sama merasakan akan adanya Zat Yang Sempurna. Saya yakin dan percaya,
bahawa perasaan tersebut ditanamkan dalam diri saya oleh Zat yang Sempurna dan Yang menyandang segala sifat kesempuranaan itu. Zat itu adalah Tuhan.” [Dinukilkan oleh Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya “Allah Sang Wujud.”]
* Di saat-saat getir, hanya Tuhan yang berada dalam fikiran manusia
Al-Quran juga menyebutkan bahawa di dalam saat-saat getir, tiada suatu pun yang terlintas dalam fikiran manusia melainkan suatu kuasa supernatural yang tidak dapat dibayangkan oleh imaginasi manusia. Kuasa itu adalah Tuhan yang sebenar, iaitu Allah.
“Dialah Tuhan yang menjadikan Kamu dapat berjalan di daratan, (berlayar) di lautan.
Sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan meluncurlah bahtera itu membawa orang-orang yang ada di dalamnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka bergembira karenanya, datanglah angin badai, dan (apabila) gelombang dari segenap penjuru menimpanya, dan mereka yakin bahwa mereka telah terkepung (bahaya), maka mereka
berdo`a kepada Allah dengan mengikhlaskan keta`atan kepada-Nya semata-mata. (Mereka berkata): "Sesungguhnya jika engkau menyelamatkan kami dari bahaya ini, pastilah kami akan termasuk orang-orang yang bersyukur".” (Yunus 10:22)
* Contoh-contoh kes
Perkara ini telahpun dibuktikan dengan banyak kes yang pernah berlaku. Antaranya adalah dua kes berikut:
Kes 1: Cat Stevens (Bintang Pop sensasi 1970an)
Cat Stevens
Pada tahun 1975, ketika penyanyi pop sensasi Cat Stevens sedang berenang di Malibu, beliau telah mengalami suatu pengalaman yang hampir membawa maut kepada beliau (near-death experience). Beliau tenggelam di dalam air dan gagal mengapungkan dirinya.
Dalam keadaan cemas, getir dan takut itu, secara tiba-tiba terlintas hatinya lalu berdoa,
“Oh God! If you save me, I’ll work for you.”
Kemudian datang sebuah ombak besar lalu menolaknya ke pantai.
Beberapa lama setelah itu, abangnya, David yang baru pulang dari Jerusalem menghadiahkan senaskah al-Quran kepadanya.
Kagum dengan kandungan al-Quran serta mendapat ketenangan apabila membacanya, beliau mula mendekati Islam.
Pada tahun 1977, Cat Stevens memeluk Islam. Pada hari ini, beliau dikenali sebagai ‘Yusuf Islam.’ [Kisah ini boleh didapati dalam banyak dokumentari televisyen, laman-laman web, audio dan sebagainya. Ia boleh juga dilayari di http://en.wikipedia.org/wiki/Cat_stevens.]
Kes 2: William Rodriguez (Orang yang terakhir keluar dari bangunan WTC semasa peristiwa 9/11)
William Rodriguez
William Rodriguez merupakan bekas janitor di North Tower, World Trade Center (WTC), New York. Beliau adalah salah seorang pemegang master key yang boleh membuka semua pintu di bangunan tersebut. Pada kejadian serangan 11 September 2001, beliau telah berjaya menyelamatkan ratusan pekerja WTC yang terperangkap.
Beliau juga adalah orang yang terakhir keluar dari bangunan tersebut sebelum ia runtuh.
Jasa dan keberanian beliau telah menyebabkan beliau diberi penghormatan beberapa kali di White House dan dianugerahkan anugerah ‘National Hero Award’ oleh Senate of Puerto Rico.
Pada ketika itu, beliau merupakan seorang ‘agnostic’ – tidak percaya Tuhan.
Tetapi semasa kejadian 9/11, beliau telah melakukan sesuatu yang tidak mungkin dilakukan oleh seorang agnostic… berdoa kepada Tuhan!!
Di saat-saat getir dan cemas, ketika dalam beberapa insiden cuba menyelamatkan mangsa yang terperangkap, beliau beberapa kali berdoa,
“God, please help me…!”
“I beg You…!”
Setelah laporan siasatan yang dibuat oleh 9/11 Commission dikeluarkan, beliau berasa tidak berpuas hati kerana banyak perkara yang didapati cuba ditutup (conceal) oleh badan tersebut. Kenyataan beliau dan saksi-saksi lain yang terselamat juga tidak dimasukkan dalam laporan siasatan itu.
Berdasarkan pengalaman yang dialami beliau dan bukti-bukti lain, beliau meragui bahawa kejadian tersebut adalah suatu serangan pengganas. Sebaliknya beliau percaya ia adalah suatu ‘controlled demolition.’
Oleh sebab itu, William Rodriguez sering dijemput ke persidangan-persidangan, seminar dan majlis-majlis lain bagi menceritakan pengalaman beliau. Ini termasuk majlis-majlis yang dianjurkan oleh masyarakat Islam. Beliau telah berkongsi pentas dengan para imam, sheikh dan tokoh-tokoh termuka dari dunia Islam. Secara tidak langsung, ia telah memberi ruang kepada beliau untuk mengetahui kefahaman Islam yang sebenar.
Pada Disember 2006, beliau telah memeluk Islam di tangan Sheikh Yusuf Estes, seorang pendakwah terkenal yang juga merupakan bekas paderi Kristian, ketika berkongsi teksi dengan beliau ke sebuah program. [Kisah beliau boleh didapati di http://en.wikipedia.org/wiki/William_Rodriguez tetapi tidak diceritakan tentang kemasukan beliau ke Islam. Walau bagaimanapun, perkara ini diceritakan oleh beliau sendiri ketika lawatan dan ceramah-ceramahnya di Malaysia pada Julai dan Ogos 2007. Ini boleh didapati di Portal Rasmi Negeri Pahang Darul Makmur, Malaysia: http://www.pahang.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=72&Itemid=2&lang=en. Kisah beliau, termasuk pengakuannya berdoa ketika berada di WTC pada hari kejadian dipaparkan oleh saluran televisyen NTV 7 dalam program wawancara khas bersama beliau, yang disiarkan pada 16 September 2007, jam 6.30 petang.]
* Fitrah adalah petanda dalam diri manusia
Kes-kes dan pengalaman di atas adalah di antara bukti yang menunjukkan adanya fitrah dalam diri manusia yang membawa kepada Tuhan ketika berlakunya saat-saat getir.
Fitrah ini adalah dalil atau petanda (sign) dalam diri manusia itu sendiri.
Ia bukan sahaja membawa manusia kepada Tuhannya, tetapi juga kepada kebenaran Islam.
“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda Kami dari segenap ufuk (horizon)
dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahwa ini adalah kebenaran. Dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahwa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu?” (Fussilat 41:53)
* Islam dapat diterima oleh semua
Itulah sebabnya Islam dapat diterima oleh semua orang, tanpa mengira tahap pemikiran dan intelektual. Kecenderungan fitrah ini mampu mendorong manusia kepada kebenaran.
Kita tidak perlu menjadi seorang ‘rocket scientist’ untuk menjadi seorang muslim.
Tetapi sekiranya kita seorang ‘rocket scientist,’ kita juga boleh menjadi seorang muslim!!
Penjelasan-penjelasan berikut hanyalah sebagai tambahan. Ia mungkin sesuai bagi mereka yang dikategorikan sebagai orang yang mempunyai keupayaan akal yang tinggi, termasuk ‘rocket scientists.’
2. RISIKO TIDAK MEMPERCAYAI TUHAN
* Pascal’s Wager
Blaise Pascal
Seorang ahli matematik terkenal Perancis, Blaise Pascal, pernah menulis kira-kira 350 tahun dahulu:
“God is, or He is not. But to which side shall we incline? Reason can decide nothing here… You have two things to lose… the true and the good… Let us weigh the gain and loss in wagering that God is. Let us estimate these two chances. If you gain, you gain all; if you lose, you lose nothing. Wager, then, without hesitation that
He is.”
[Ini adalah pernyataan yang terkenal dengan nama ‘Pascal’s Wager’. Teks ini diambil daripada buku “In God We Doubt” karangan John Humphrys.]
Sebagai seorang Muslim, kita tidak bersetuju dengan ‘Pascal’s Wager’ di atas apabila dikatakan ‘Reason can decide nothing here.’ Ini kerana, Tuhan telah memberikan tanda-tanda (signs) yang boleh difikirkan oleh akal manusia. Namun, argument beliau yang meletakkan Tuhan itu wujud sebagai pilihan yang selamat dan menolak kewujudan Tuhan sebagai pilihan yang merbahaya adalah boleh diterima.
3. DALIL ALAM SEMESTA
* Tanda-tanda (signs) sudah mencukupi
“Katakan pada suatu hari anda memasuki sebuah hutan.
Sedang anda berjalan meredah hutan tersebut, anda ternampak banyak kesan tapak kaki harimau. Kemudian setelah beberapa lama anda berjalan lagi, anda ternampak bangkai haiwan yang telah dilapah dengan kesan-kesan kuku dan taring harimau.. Setelah itu, tidak jauh dari tempat bangkai itu, anda menemui pula najis harimau. Kemudian anda menemui banyak lagi kesan yang menunjukkan terdapatnya populasi harimau dalam hutan itu.
Apakah perasaan anda pada ketika itu?
Adakah anda menunggu sehingga anda bertemu dengan sang harimau untuk mempercayai kewujudan populasi haiwan tersebut, merasa takut dan berhati-hati meredah hutan?
Adakah anda menunggu sehingga anda dapat melihat samaada saiz harimau itu besar atau kecil dan samaada liar atau jinak untuk anda mengambil langkah berhati-hati?
Mungkin pada ketika itu anda telahpun terlewat untuk berhati-hati!!”
Sebenarnya, kita tidak perlu melihat sesuatu perkara terlebih dahulu untuk mempercayai perkara tersebut. Petanda-petanda (signs) sudah cukup untuk membuatkan kita meyakini akan sesuatu perkara.
Jika dibandingkan dengan Tuhan, kemampuan manusia sangatlah terbatas. Kita tidak akan mampu memikirkan tentang Tuhan. Maka, cukuplah sekadar manusia mengetahui tanda-tanda kewujudanNya.
Cukuplah juga kita mengenaliNya sebagaimana Dia memperkenalkan diriNya kepada kita melalui wahyu yang diturunkan. Itulah sebabnya Tuhan telah menjadikan alam semesta dan segala yang berada di dalamnya sebagai tanda yang jelas bagi manusia.
“Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang yakin, dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tiada memperhatikan?” (Adz-Dzariyat 51:20-21)
* Keharmonian alam sebagai tanda yang jelas buat manusia
Kejadian alam semesta adalah sangat teratur, tersusun, sistematik, harmoni dan tidak ada sebarang cacat celanya. Ini tidak mungkin terjadi dengan sendirinya secara kebetulan (by chance/coincidence). Ia mestilah diatur oleh suatu Kepintaran (Intelligence) atau Kuasa yang mengurus dan mengaturnya.
Berikut adalah beberapa contoh keteraturan alam sekeliling kita:
Jarak bumi dari matahari
Bumi terletak pada kedudukan yang sangat tepat. Sekiranya jarak bumi dari matahari lebih dekat berbanding kedudukannya sekarang, haba yang diterima oleh bumi akan berlebihan dan tidak dapat memungkinkan banyak hidupan hidup di atasnya seperti sekarang.
Sekiranya jarak bumi dari matahari lebih jauh berbanding kedudukannya sekarang, bumi akan dilitupi glasier dan suhunya yang terlampau sejuk tidak dapat memungkinkan banyak hidupan hidup di atasnya. Itulah sebabnya tiada hidupan berada di atas planet-planet lain.
Kandungan air bumi
John Ray, seorang saintis Inggeris abad ke-18 menyebutkan seperti berikut:
… If there were but half the sea that now is, there would also be but half Quantity of Vapors, and consequently we could have but half as many Rivers as now there are to supply all the dry land we have at present, and half as much more; for the quantity of Vapors which are raised, as well as to the heat which raised them.
The Wise Creator therefore did so prudently order it, that the seas should be large enough to supply Vapors sufficient for all the land. [John Ray, The Wisdom of God Manifested in the Works of the Creation.]
Komposisi oksigen
Atmosfera bumi mengandungi 77% nitrogen, 21% oksigen dan 1% karbon dioksida, argon dan gas-gas lain.
Oksigen sangat penting untuk hidupan. Tanpa oksigen, banyak hidupan akan mati.
Oksigen juga adalah gas yang mudah terbakar. Sekiranya kandungan atmosfera bumi adalah sebanyak 22% dan bukannya 21%, seluruh hutan akan terbakar hanya dengan satu halilintar. Sekiranya kandungan oksigen adalah sebanyak 25%, keseluruhan bumi akan terbakar.
Selain itu, terdapat satu sistem yang cukup sempurna bagi mengekalkan komposisi oksigen ini. Manusia dan haiwan bernafas menggunakan oksigen dan mengeluarkan gas karbon dioksida. Manakala tumbuh-tumbuhan menggunakan karbon dioksida dan mengeluarkan oksigen. Dengan kitaran ini, komposisi oksigen dalam atmosfera bumi sentiasa kekal sebanyak 21%.
"Fine Tuning of the Universe"
Hukum-hukum yang mengaturkan alam semesta ini mengandungi pemalar (constants) tertentu.
Sebagai analogi, peraturan negara juga mempunyai nilai tetap tertentu, contohnya cukai untuk makan di Malaysia ditetapkan sebanyak 5%, samaada kita makan di McDonald's, KFC mahupun di Pizza Hut.
Samalah juga dengan alam semesta. Cahaya ditetapkan supaya bergerak pada halaju yang sama, iaitu 300,000 km sesaat, samada di Bumi, di Marikh mahupun di Pluto.
Saintis pernah bertanya, apakah yang akan berlaku sekiranya kita mengubah nilai tetap ini? Adakah alam semesta kita akan berbeza?
Sebagai contoh, kita ambil halaju cahaya. Sekiranya halaju cahaya lebih daripada 300,000 km sesaat, adakah terdapat perbezaan yang besar?
Mereka membuat perkiraan dan mendapati bahawa sekiranya cahaya "melanggar" halaju yang ditetapkan dan bergerak lebih laju daripada 300,000 km/saat, ia akan menyebabkan perubahan yang sangat mendadak di mana bintang-bintang menjadi "terlalu terang" (high luminescence) dan tidak boleh menyokong kehidupan!
Sebaliknya, sekiranya cahaya bergerak terlalu perlahan pula, bintang akan menjadi kurang terang (low luminescence) dan juga tidak boleh menyokong kehidupan!
Para saintis membuat kajian terhadap setiap pemalar yang wujud di dalam hukum-hukum fizik lalu mendapati perkara yang sama - pemalar yang diwujudkan adalah "just right" dan "just perfect" untuk menyokong kehidupan di atas muka Bumi!
Dalam setiap kes, sekiranya pemalar diubah walaupun sedikit, kehidupan tidak mungkin wujud!
Kita ambil suatu lagi contoh. Melalui proses "fusion," Matahari menghasilkan tenaga dengan menggabungkan dua atom hidrogen untuk menghasilkan elemen lebih besar. Dalam proses penggabungan dua atom hidrogen ini, 0.7% daripada jasad hidrogen dibakar mengeluarkan tenaga.
Jika hanya 0.6% jasad hidrogen dibakar, proton dan neutron dalam hidrogen tak boleh bergabung, dan elemen lebih besar tidak dapat dihasilkan - alam semesta akan dipenuhi dengan hidrogen sahaja dan planet-planet seperti Bumi tidak boleh terbentuk!
Sebaliknya, jika 0.8% jasad hidrogen yang dibakar, fusion akan berlaku terlalu pantas dan terlalu kerap sehingga semua hidrogen di seluruh alam semesta akan serta-merta habis dibakar, dan langsung tiada peluang untuk wujudnya kehidupan!
Kehidupan hanya boleh wujud jika jumlah jasad hidrogen yang dibakar antara 0.6% dan 0.8%.
Pengiraannya adalah sangat 'EXACT' dan 'PRECISE'.
Ini hanyalah dua contoh. Untuk melihat senarai penuh nilai-nilai tetap yang diperlukan pada nilai yang EXACT, boleh rujuk Evidence for the Fine Tuning of the Universe.
Roger Penrose, seorang ahli matematik, pernah membuat pengiraan bahawa kebarangkalian alam semesta yang boleh menampung kehidupan ini wujud secara kebetulan adalah 1/10(kuasa 10123).
Dalam matematik, 1/10(kuasa 50) boleh dianggap sebagai "zero probability" maka kemungkinan alam semesta ini boleh wujud secara kebetulan adalah sifar!
Terdapat banyak lagi contoh yang menunjukkan tentang keharmonian alam sekitar kita. Sebagai rujukan, sila rujuk buku-buku berikut:
* The Perfect Design in the Universe is not by Chance - Harun Yahya
* Wonders of Allah's Creation - Harun Yahya
* The Glory in the Heavens - Harun Yahya
Segala kesempurnaan ini tidak mungkin terjadi dengan sendirinya secara kebetulan. Sekiranya kesemua ini berlaku secara kebetulan, sudah tentulah banyak kerosakan dan ketidakaturan berlaku. Inilah petanda yang cukup jelas yang menunjukkan wujudnya suatu bentuk Kepintaran (Intelligence) atau Kuasa yang mencipta, merekabentuk, mengatur dan mengawal segala yang berlaku dalam alam semesta ini.
Seorang ahli fizik Inggeris yang bernama Sir James Jeans menyebutkan tentang kesempurnaan kedudukan dan susunan kosmos seperti berikut:
"A scientific study of the universe has suggested a conclusion, which may be summed up ... in the statement that the universe appears to have been designed by a pure mathematician." [Sir James Jeans, The Mysterious Universe]
Seperti yang disebutkan sebelum ini, kita tidak perlu melihat sesuatu untuk mempercayai kewujudan sesuatu itu. Tanda-tanda sesuatu itu cukup untuk membuktikan kewujudannya.
Kita tidak dapat melihat arus elektrik, namun kita yakin akan kewujudannya.
Kita yakin wujudnya cas-cas positif dan negatif yang disebabkan oleh elektron dan proton, walaupun kita tidak dapat melihatnya.
Kita yakin akan kewujudan kesemua ini hanya disebabkan oleh kesan-kesan dan tanda-tanda kewujudannya yang dibuktikan oleh eksperimen.
Demikian juga halnya dengan kewujudan Tuhan.
Kita tidak dapat melihat Tuhan, namun kita yakin bahawa Dia wujud.
Kita yakin akan kewujudanNya disebabkan oleh kesan-kesan dan petanda yang jelas
yang dapat dilihat pada kesempurnaan alam semesta ini.
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang,
bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)-nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; Sungguh (terdapat)
tanda-tanda bagi kaum yang memikirkan.” (Al-Baqarah 2:164)
4. BUKTI PENEMUAN SAINS MODEN
Pada tahun 1925, seorang ahli astronomi Amerika yang bernama Edwin Hubble telah mengemukakan bukti bahawa seluruh galaksi bergerak menjauhi antara satu sama lain. Ini menunjukkan bahawa alam semesta ini sedang berkembang dengan pesat.
Edwin Hubble
Penemuan ini sangat penting kerana ia dapat memberi indikasi bagaimana alam semesta ini bermula.
Sekiranya proses ini diundurkan, iaitu dengan mengundurkan masa, kita akan dapati bahawa alam semesta ini suatu masa dahulu adalah lebih kecil daripada sekarang. Dengan kata lain, alam semesta ini mengecut dengan pengunduran masa. Sekiranya kita undurkan masa sehingga ke waktu alam semesta ini bermula, kita akan dapati bahawa alam semesta ini pada mulanya adalah satu titik yang sangat kecil yang disebut sebagai 'point of singularity.'
'Sebelum' point of singularity ini, alam semesta tidak wujud. Tiada ruang, tiada zarah dan tiada masa. Absolute nothingness!
Ini bermakna alam semesta ini ada permulaannya. Ia bermula daripada tiada kepada ada. Apabila kita katakan ia bermula daripada tiada kepada ada, ini bermakna ia dicipta. Ini seterusnya membuktikan bahawa wujudnya Pencipta yang menciptakan alam semesta ini yang menjadi Punca kewujudannya.
Pencipta ini memperkenalkan dirinya dalam al-Quran:
"Dialah (Allah) Punca kewujudan langit dan bumi. Bagaimana Dia mempunyai anak
padahal Dia tidak mempunyai isteri. Dia menciptakan segala sesuatu; dan Dia mengetahui segala sesuatu." (al-An'aam 6:101)
Sila rujuk buku "The Creation of the Universe" oleh Harun Yahya untuk bacaan lanjut tentang perkara ini.
5. QURAN DAN SAINS MODEN
Katakan seseorang itu ditunjukkan dengan suatu objek atau mesin yang baru yang tiada seorang pun dalam dunia ini pernah lihat atau dengar berkaitannya.
Siapakah orang yang pertama yang mampu menceritakan tentang mekanisme objek ini dengan terperinci?
Jawapan yang akan diberikan mestilah "Pembuat" atau "Pencipta" alat tersebut.
Sebenarnya, pada 1400 tahun dahulu, al-Quran telah pun menyebutkan mekanisme alam semesta ini dengan terperinci. Sedangkan kesemua ini hanya ditemui oleh sains moden dalam tempoh 100 tahun lepas.
Sebagai contoh, fakta berkaitan dengan pengembangan alam semesta yang disebutkan tadi telah pun disebutkan dalam al-Quran:
"Dan langit itu telah Kami (Allah) binanya dengan kekuasaan dan sesungguhnya Kamilah yang mengembangkannya." [Adz-Dzariyat 51:47]
Para saintis telah mendapati bahawa alam semesta ini bermula dengan 'point of singularity' yang kemudiannya berlaku suatu letupan yang besar yang daripadanya terhasillah planet-planet, matahari, galaksi dan segala yang terdapat dalam alam semesta ini. Teori ini dipanggil "Big Bang Theory."
Perkara ini juga disebutkan dalam al-Quran:
"Tidakkah orang-orang yang menolak kebenaran itu melihat bahawasanya langit dan bumi itu sebelum ini bercantum (sebagai satu unit) kemudian Kami pisahkan keduanya?"
[al-Anbiyaa' 21:30]
Sebenarnya banyak lagi fakta-fakta saintifik yang baru sahaja ditemui dalam tempoh 100 tahun lepas yang disebutkan dalam al-Quran 1400 tahun lalu.
Ini termasuk fakta-fakta saintifik dalam bidang-bidang berikut:
* Astronomy
* Physics
* Botany
* Embryology
* Hydrology
* Geology
* Oceanology
* Zoology
* dan lain-lain.
Sila rujuk rujukan berikut untuk bacaan lanjut:
* Miracles of the Quran - Harun Yahya.
* The Quran and Modern Science: Compatible or Incompatible - Dr Zakir Naik
* A Brief Illustrated Guide to Understanding Islam
Buku "The Quran and Modern Science: Compatible or Incompatible" oleh Dr Zakir Naik
Al-Quran telah menyebutkan terlalu banyak fakta-fakta saintifik sehinggakan ia tidak mungkin disebutkan secara kebetulan. Ini dapat dibuktikan dengan menggunakan teori kebarangkalian (theory of probability). Sila rujuk Proving the Existence of God to an Atheist oleh Dr. Zakir Naik untuk penjelasan lanjut.
Kembali kepada soalan yang dikemukakan di awal perbincangan ini tadi, siapakah yang pertama yang dapat menjelaskan tentang mekanisme alam semesta ini?
Siapakah yang mampu menceritakan kesemua fakta saintifik ini yang baru ditemui sekitar 100 tahun lepas ini pada 1400 tahun lalu?
Jawapan yang paling logik adalah "Pembuat" atau "Pencipta" seluruh alam semesta dan segala yang terkandung di dalamnya.
Maka dengan ini terbuktilah wujudnya Pencipta alam semesta ini. Pencipta ini ialah Allah, Tuhan sekalian alam.
Penjelasan oleh Dr. Zakir Naik
KESIMPULAN
Melalui penerangan ini, maka terbuktilah wujudnya Tuhan yang mencipta dan mentadbir seluruh alam ini.
Ia terbukti dengan fitrah manusia itu sendiri, akal yang logik, penelitian terhadap alam semesta, pembuktian saintifik dan mukjizat al-Quran.
Tuhan ini bukanlah alam semesta dan bukanlah apa yang terkandung dalamnya. Dia yang berkuasa menciptakan alam semesta yang cukup hebat dan sempurna ini Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dia tidak bergantung kepada masa, makanan, makhluk dan segala sesuatu. Bahkan, segala sesuatu bergantung kepadaNya.. Tiada suatu pun yang setara denganNya.
"Katakanlah:
"Allah itu Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada suatupun yang setara dengan Dia"." [Al-Ikhlas 112:1-4]
"Katakanlah:
"Adakah (Tuhan) selain Allah untuk aku jadikan sebagai Pelindung; (Dia) Pencipta langit-langit dan bumi; (Dia) memberi makan (kepada semua makhluk) dan (Dia) tidak makan";
Katakanlah:
"Aku orang pertama yang menyerah diri (kepadaNya)," janganlah kamu menjadi di kalangan orang yang menyengutukanNya." [al-An'am 6:14]
WaLLahu A'alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan