Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina”. [Al-Mu'min (40): 60]
Sungguh, doa adalah senjata bagi orang mukmin. Ketika kita berdoa, terdapat 6 anggota yang bekerja. Anggota yang pertama ialah tangan. Mungkin selama ini apabila berdoa, tangan kita diangkat dalam keadaan yang lemah longlai. Seolah-olah kita tidak bersungguh-sungguh berdoa. Oleh itu sewaktu berdoa, kita hendaklah mengangkat tangan kita dengan bersungguh-sungguh.
Anggota kedua yang terlibat sewaktu kita berdoa ialah mata kita. Cari satu titik fokus di atas tapak tangan kita sewaktu berdoa supaya kita akan fokus sewaktu berdoa.
Anggota ketiga yang bekerja sewaktu kita berdoa adalah mulut kita. Sewaktu kita berdoa, pastikan mulut kita mengeluarkan suara. Tidak perlu terlalu kuat tetapi cukuplah sekadar telinga kita boleh mendengar. Oleh yang demikian, anggota keempat yang terlibat ialah telinga kita.
Anggota kelima yang terlibat ialah otak kita. Sewaktu berdoa, otak kita perlu bekerja, perlu berfikir apa yang kita minta. Seandainya kita berdoa, “Ya Allah, Kau ampunilah dosa-dosaku…“ maka kita hendaklah membayangkan dosa-dosa kita.
Anggota keenam ialah hati kita. Semasa berdoa, hati kita hendaklah ikhlas dan dalam keadaan benar-benar mengharap, dalam keadaan benar-benar yakin bahawa sesungguhnya Allah yang berkuasa ke atas setiap sesuatu dan Dia jugalah yang menetapkan setiap dari perjalanan hidup kita.
Jagalah adab-adab berdoa ini, agar setiap rintihan hati kita dipandang dengan oleh Allah dengan penuh kasih sayang, insha Allah.
Tidak lupa juga, ingin dikongsikan bersama anda semua di sini beberapa petua agar doa kita mudah dimakbulkan oleh Allah. Antaranya:
* Berdoa dengan ikhlas kepada Allah.
* Memulakan dengan pujian kepada Allah , diikuti dengan selawat ke atas Nabi s.a.w. Sekurang-kurang kalimah pujian kepada Allah dan selawat adalah AlhamdulilLah dan wassalatu wassalam ala Rasulillah.
* Mengakhiri doa dengan pujian kepada Allah dan selawat kepada Nabi s.a.w juga.
* Bersungguh-sungguh ketika berdoa , menghadirkan hati dan meyakinkan diri pada penerimaannya oleh Allah s.w.t .
* Berdoa dengan khusyu’ dan rendah diri .
* Berdoa dengan penuh pengharapan dan mengangkat ke dua tangan.
* Berdoa dengan sabar menanti dimakbulkan Allah . Sikap terburu-buru mengakibatkan doa ditolak.
* Sentiasa berdoa pada setiap masa, sama ada ketika senang atau susah. Perkara ini berdasarkan firman Allah swt dalam surah al-Anbiya’, ayat 60 yang bermaksud :
Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).
* Tidak berdoa tentang perkara keburukan, seperti mendoakan kecelakaan bagi orang lain dan memutuskan silaturrahim. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
Doa seseorang hamba akan sentiasa dikabulkan selama dia tidak berdoa untuk berbuat dosa atau memutuskan silaturrahim … [HR Muslim]
* Tidak berdoa pada tempat maksiat.
* Merendahkan suara , kerana Allah berfirman dalam surah al-A’raf ayat 205:
Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.
* Berdoa dengan mengulangkan Ya Rabb sebanyak 3 kali . Diriwayatkan daripada Atha` ra , beliau berkata:
Tidaklah seseorang hamba mengatakan Ya Rabb sebanyak tiga kali , melainkan Allah akan mendengar permintaannya .
Al-Imam Malik pernah ditanya tentang panggilan kepada Allah dalam doa , jawab beliau katalah: Ya Rabb , kerana itulah panggilan para Nabi a.s kepada Allah dalam munajat mereka .
* Doa juga perlu selalu diulang-ulang. Baginda s.a.w selalunya mengulangi satu-satu doa sebanyak tiga kali.
* Mengadap ke arah kiblat .
* Mengangkat ke dua belah tangan semasa berdoa
* Berdoa dalam keadaan berwudhuk.
* Hendaklah bertaubat serta dan kepada Allah sebelum memohon hajat.
* Tidak bersajak dalam berdoa dengan tujuan diperindahkan bagi orang yang mendengarnya
* Menggunakan ayat yang ringkas tapi padat dengan makna ( al-jami’).
* Menyeru Allah s.w.t dengan nama-namaNya yang mulia iaitu Al-Asmaul Husna .
* Makanan dan minuman mestilah dari sumber yang halal, kerana Allah menolak doa oleh orang yang makan dan dibesarkan dari sumber yang haram.
* Hendaklah melakukan Al-Amru bil Ma’ruf wan Nahyi anil Munkar . Sabda Nabi saw yang bermaksud :
“Demi Allah yang jiwaku berada di tanganNya, hendaklah kalian menyeru kepada yang ma’ruf dan mencegah dari perkara yang munkar atau, jika kalian tidak melakukannya Allah akan menurunkan seksa kepada kalian, hingga apabila kalian berdoa kepadaNya, tetapi tidak dimakbulkan”. [HR at-Tirmizi, dianggapnya sebagai hasan]
* Hendaklah berdoa untuk diri sendiri sebelum mendoakan bagi orang yang lain.
* Menghimpunkan anak-anak jari kesemuanya melainkan jari ibu kerana kesemua itu menghimpunkan kebaikan dunia dan akhirat.
* Menyapu muka dengan tangan selesai berdoa .
Umar bin Khattab pula menceritakan, apabila Baginda s.a.w mengangkat kedua belah tangannya berdoa, baginda tidak akan menjatuhkannya sehinggalah disapu mukanya dengan kedua belah tangan tersebut. [HR at- Tirmizi dan al-Hakim]
* Mengaminkan doa yang dibacakan.
Maka, marilah kita sama-sama mendarah-dagingkan budaya berdoa/munajat kepada Ilahi, agar hati-hati kita sentiasa basah dengan mengingati Allah s.w.t. Allah lebih mengetahui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan