Jumaat, Ogos 08, 2008

Berkaitan Puasa Syaaban

Imam Al-Bukhari meriwayatkan, daripada Aisyah R.Ha;

عن عائشة رضي الله عنها قالت : " كان رسول الله يصوم حتى نقول لا يفطر ويفطر حتى نقول لا يصوم وما رأيت رسول الله استكمل صيام شهر إلا رمضان وما رأيته أكثر صياما منه في شعبان "

Maksudnya;
“Rasulullah SAW berpuasa hingga kami berkata bahawa baginda tidak puasa. Dan tidak berpuasa hingga kami kata baginda tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan melainkan Ramadhan. Dan aku tidak pernah melihat Baginda banyak berpuasa daripadanya pada bulan syaaban”

Riwayat Imam Muslim;

كان يصوم شعبان كله ، كان يصوم شعبان إلا قليلا

Maksudnya;
“Baginda SAW berpuasa syaaban semuanya. Baginda berpuasa Syaaban melainkan sedikit”

Dari hadis-hadis ini, ulama menyatakan bahawa Nabi SAW tidak pernah puasa cukup sebulan dalam bulan Syaaban, tetapi nabi hanya banyak berpuasa pada bulan tersebut.

Begitujuga, Ibnu Abbas memandang makruh berpuasa sebulan penuh melainkan Ramadhan.

Imam An-Nasai meriwayatakan hadis, Daripada Osamah bin Zaid berkata;

يا رسول الله لم أرك تصوم من شهر من الشهور ما تصوم من شعبان ، فقال : " ذاك شهر تغفل الناس فيه عنه ، بين رجب ورمضان ، وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين ، وأحب أن يرفع عملي وأنا صائم

Maksudnya;
“Wahai Rasulullah SAW, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa sebulan daripada bulan-bulan sepertimana kamu berpuasa pada bulan Syaaban. Bersabda nabi: ia adalah bulan yang manusia lalai terhadapnya. Dia berada diantara rejab dan ramadhan. Ia adalah bulan yang diangkat padanya segala amalan kepada tuhan yang mentadbir alam. Dan aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa”

Ramai menyangka bahawa puasa sunat rejab lebih mulia berbanding puasa sunat Syaaban. Sebenarnya, puasa sunat syaaban lebih mulia berbanding puasa Rejab, walaupun rejab merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram.

Hujjah ini bersandarkan kepada perkataan Nabi SAW;

شعبان شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان

Maksudnya;
“Syaaban adalah bulan yang dilalaikannya oleh manusia, ia berada diantara rejab dan Ramadhan”

Apabila Baginda SAW menggambarkan syaaban merupakan bulan yang sering dilalaikan manusia, maka berbuat taat pada bulan itu adalah afdhal, kerana melakukan taat ketika orang sedang lalai adalah terlebih afdhal. Ianya sama seperti berzikir di Pasar, iaitu dikala orang sedang sebuk dengan jual beli. Solat malam dikala orang tidur.

PUASA SETENGAH SYAABAH

Berpuasa selepas setengah Syaaban (Nisfi Syaaban) adalah perkara yang khilaf dikalangan ulama. Jumhur Ulama mengharuskan, Hanabilah memandang Makruh dan Syafii pula mengharamkan.

Yang lebih utama, bagi mereka yang bukan berkebiasaan dengan puasa, maka lebih baik ia tidak berpuasa, melainkan dia melakukan puasa qada’.

Dengan demikian, antara dalil-dalil jumhur ulama yang mengharuskannya adalah hadis Imran bin Hushain bahawa Baginda SAW berkata;

يا فلان أما صمت سرر هذا الشهر ؟ قال الرجل : لا يا رسول الله ، قال : فإذا أفطرت فصم يومين من سرر شعبان

Maksudnya;
“Wahai Fulan, adakah kamu tidak berpuasa pada pertengahan bulan ini? Berkata lelaki ; tidak wahai Rasulullah. Bersabda : jika kamu tidak berpuasa, maka berpuasalah dua hari dari pertengahan Syaaban”

Kalimah “سرر” itu ditafsirkan sebagai pertengahan mengikut pendapat Jumhur ulama, maka dengan sebab itulah, mereka memandang harus berpuasa selepas pertengahan Syaaban.

Adapun dalil Hanabilah pula yang memandang makruh adalah hadis Abu Hurairah, bahawa Sabda Nabi SAW;

إذا انتصف شعبان ، فلا تصوموا

Maksudnya;
“Apabila dipertengahan Syaaban, maka jangan kamu berpuasa”

Dari hadis ini juga, Imam Syafii mengistinbatkan hukum berpuasa selepas pertengahan Syaaban adalah haram.

Imam Syihabuddin Ar-Ramli berkata;

إن المعتمد جواز الصوم إذا انتصف شعبان إن وصله بما قبل نصفه وإلا فيحرم.

Maksudnya;
“Sesungguhnya yang muktamad adalah harus berpuasa apabila berada dipertengahan Syaaban. Itupun jika puasa itu bersambung dengan sebelum pertengahan itu. adapun jika tidak (tidak bersambung), maka hukumnya adalah haram”

Tiada ulasan: