Di dalam berwudhu’, sebahagian anggota tubuh yang banyak memainkan pernanan yang penting dalam kehidupan kita dibersihkan. Jari-jemari, mulut, muka, telinga, tangan dan kaki, semuanya diwudhu’kan.
Anggota tubuh tersebut merupakan suatu kesatuan dalam kehidupan. Umpamanya, tangan mahu mengambil sesuatu tetapi kalau kaki tidak bergerak kita tidak boleh berbuat apa-apa. Seterusnya, biarpun tangan boleh bergerak, kaki pun boleh bergerak, kalau tidak ada perancangan dengan kepala kita pun tidak boleh berbuat apa-apa. Semuanya harus direncanakan.
Kepala tadi disapu ketika berwudhu’, supaya fikiran kita menjadi sejuk, supaya hati kita menjadi bening. Telinga dibersihkan, mulut dibersihkan, kedua tangan dibersihkan. Tangan merupakan anggota yang bayak digunakan dalam aktiviti kita seharian. Dibantu dengan kaki ditambah dengan mulut yang berbicara dan kepala yang merancang. Itu semuanya sudah dibasuh pada waktu kita berwudhu’.
Mengapa perut tidak dibasuh? Kerana kurang peranannya. Perut hanya tahu makan hingga tidak perlu untuk dibasuh. Adapun yang paling banyak berperanan adalah mulut, telinga yang mendengar, mata yang melihat, semuanya sudah dibersihkan. Tangan yang mengambil beserta kaki yang membawa kita ke sana ke mari juga telah dibersihkan. Begitu juga dengan muka yang ada mata, hidung, mulut, kepala yang memangku otak. Semuanya berperanan pentingdalam kehidupan kita telah dibersihkan. Nah, ternyata anggota tubuh kita yang paling memainkan peranan dalam solat adalah anggota yang kita wudhu’kan.
Tidak boleh berdiri? Duduk. Yang boleh membuatkan kita tegak dihadapan Allah adalah kaki. Yang digerakkan pada waktu takbir adalah tangan. Tangan juga digunakan pada waktu sujud. Mata dipakai untuk melihat bersih tidak tempat solat, arah kiblatnya & jantina imamnya (lelaki tidak boleh berimam dengan wanita kan?). Telinga berfungsi untuk mendengar bacaan. Mulut yang digunakan untuk membaca dibersihkan terlebih dahulu dengan berkumur-kumur.
Begitulah hikmah yang mengapa kita berwudhu’ dengan empat anggota tubuh. Sebabnya empat anggota tadi itulah yang terpenting dalam aktiviti seseorang.
Hikmah yang lainnya kenapa kita berwudhu’ dengan empat anggota tubuh tersebut adalah kerana empat anggota itulah yang paling memainkan peranan dalam solat. Dalam satu hadith nabi bersabda
“Aku diperintahkan sujud dengan tujuh anggota (dahi, dua tangan, dua lutut & dua telapak kaki).”
Anggota tubuh ini semuanya tercuci.
(dipetik dari buku “Rahsia Keutamaan Sholat Shubuh” karangan Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjari)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan