Selasa, Julai 01, 2008

Hukuman Murtad

Jenayah Riddah atau Jenayah Murtad mesti ditangani dan dibendung dengan sewajarnya. Janganlah dibiarkan berlaku tanpa sebarang tindakan, jika dibiarkan begitu saja, jawablah nanti depan Allah. Murtad adalah termasuk dalam jenis kekufuran yang terdahsyat dan merupakan jenayah besar terhadap Islam dan penganutnya. Sebagaimana dinyatakan oleh Imam an-Nawawi rhm. dalam "Raudhatuth Thoolibin", jilid 7, halaman 283, di mana beliau menulis:-

هي من أفحش أنواع الكفر و أغلظها حكما

Ianya adalah dari sekeji-keji kekufuran dan yang paling berat hukumannya.

Islam mengajar bahawa tiada paksaan dalam beragama, yakni dalam menjadikan Islam sebagai agama anutan. Oleh itu, kita tidak memaksa orang yang bukan Islam untuk menukar agama mereka tanpa kerelaan hati mereka. Jika paksaan menjadi amalan umat Islam, maka tiadalah lagi penganut agama Hindu di India atau penganut Kristian di Sepanyol. Kewujudan penganut-penganut agama Hindu dan Kristian tersebut menjadi bukti nyata bahawa umat Islam tidak pernah menukar agama seseorang secara paksa walaupun umat Islam beratus-ratus tahun menguasai negeri-negeri tersebut.

Seseorang yang berada di luar Islam, tidaklah dipaksa memeluk Islam. Tetapi apabila dia masuk Islam, maka dia terpaksalah tunduk dan patut dengan segala ajaran Islam termasuklah kepada hukum riddah atau murtad. Seseorang itu tidak dibenarkan untuk murtad dengan sewenang-wenangnya kerana tindakannya untuk murtad akan mengakibatkan hukum hadd dijalankan ke atasnya. Haddnya tidak lain melainkan dibunuh dengan dipancung kerana tindakannya menjadikan agama sebagai persendaan dan permainan. Sungguh kita umat yang beragama, kita tidak akan membiarkan ghirah kita kepada agama dipermain-mainkan.

Pada halaman 296, Imam an-Nawawi rhm. menyebut:-

"... Dan orang yang murtad itu hukumannya adalah dibunuh dengan dipancung lehernya, dan bukannya dibakar atau lain-lain. Hukuman tersebut hendaklah dilaksanakan oleh pemerintah atau orang yang diberinya kuasa. Jika hukuman tersebut dilaksanakan oleh selain pemerintah (yakni tanpa kebenaran pemerintah) maka orang yang melaksanakan hukuman tersebut hendaklah dihukum ta'zir.

Orang yang murtad itu hendaklah disuruh bertaubat sebelum dibunuh. Adakah suruhan bertaubat ini hukumnya wajib atau mustahab? Dalam perkara ini terdapat dua qawl atau wajah; Yang adzharnya suruhan bertaubat ini adalah wajib. Berhubung kadar tempoh yang diberi untuk orang yang murtad itu bertaubat sebelum hukuman bunuh dilaksanakan terdapat dua qawl; Qawl yang pertama menyatakan bahawa tempoh penangguhan tersebut adalah tiga (3) hari, manakala qawl yang adzharnya ianya adalah ketika itu juga, jika orang murtad itu enggan bertaubat setelah disuruh, maka dia dibunuh ketika itu juga (yakni tidak diberi penangguhan 3 hari atau lainnya kerana dia enggan bertaubat dan tetap dengan keputusannya untuk murtad). Menurut pendapat yang lemah (qil) penangguhan tiga (3) hari tersebut adalah tidak wajib sekali-kali....."

Inilah pegangan para ulama kita, asy-Syafi'iyyah, terhadap hukuman ke atas orang murtad. Yakni hukumannya adalah dibunuh dengan dipancung, tetapi sebelum hukuman dilaksanakan wajib kita suruh orang yang murtad itu bertaubat dan kembali kepada Islam. Jika dia enggan, maka tidaklah ditangguh hukuman tersebut 3 hari, bahkan bolehlah dilaksanakan hukuman pancung itu pada ketika itu juga.

Hukuman bunuh bagi orang lelaki yang murtad telah disepakati oleh para ulama kita dari kalangan mazhab 4. Adapun jika yang murtad itu perempuan, maka terdapat khilaf di mana Hanafiyyah berpendapat dia tidak dibunuh tetapi hendaklah disuruh bertaubat dan jika dia enggan maka dia hendaklah dipenjarakan sehingga dia mau bertaubat dan kembali kepada Islam atau dia mati dalam penjara. Manakala ulama mazhab Syafi'iyyah, Malikiyyah dan Hanabilah menyatakan hukuman bagi jenayah murtad adalah bunuh, tanpa mengira jantina.

Qadhi Abu 'Abdullah Shadruddin Muhammad bin 'Abdur Rahman bin al-Husain ad-Dimasqi al-Utsmani asy-Syafi'i (w. 780) pengarang kitab "Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf al-Aimmah" pada halaman 228 menulis:-

" ... Telah ittifaq (sepakat) para Imam bahawa sesiapa yang murtad dari Islam dia wajib (mesti) dibunuh. Yang menjadi pertikaian ialah:-

1. sama ada hukuman bunuh tersebut dilaksanakan serta-merta atau ditangguh untuk orang murtad yang disuruh bertaubat itu bertaubat?
2. sama ada suruhan bertaubat itu wajib atau mustahab?
3. sama ada orang murtad yang enggan bertaubat setelah disuruh diberi penangguhan hukuman?

Imam Abu Hanifah rhm. berpendapat:- Tidak wajib disuruh bertaubat, orang murtad boleh dibunuh serta-merta melainkan jika dia memohon penangguhan, maka diberi penangguhan selama 3 hari. Di kalangan sebahagian sahabat beliau (yakni para ulama Hanafiyyah) berpendapat bahawa memberi penangguhan itu dihukumkan sunnat walaupun si murtad tidak memohon penangguhan.

Imam Malik rhm. berpendapat: Wajib menyuruhnya bertaubat, dan jika dia bertaubat ketika itu maka diterima taubatnya. Jika dia enggan bertaubat pada ketika disuruh untuk bertaubat, maka dia diberi penangguhan 3 hari agar dia bertaubat, dan jika dia enggan bertaubat setelah tempoh penangguhan tersebut, barulah dia dibunuh.

Imam Syafi'i rhm. mempunyai dua pendapat berhubung menyuruh orang murtad untuk bertaubat dan yang adzhar ianya adalah wajib. Begitu pula dengan memberi penangguhan, beliau juga mempunyai dua pendapat dan yang adzhar ianya adalah wajib. Jika penangguhan tidak memberi apa-apa faedah yakni si murtad memang telah nekad untuk keluar Islam walaupun sudah disuruh bertaubat, maka Imam Syafi'i mempunyai dua pendapat berhubung penangguhan ketika itu, dan yang adzharnya adalah tidak wajib diberi penangguhan walaupun diminta oleh orang yang murtad itu dan dia dibunuh ketika itu juga (yakni jika disuruh bertaubat, si murtad enggan, maka dia dibunuh tanpa diberi penangguhan kerana keengganan untuk bertaubat itu).

Imam Ahmad rhm. mempunyai dua riwayat berhubung suruhan bertaubat bagi orang yang murtad. Pendapat yang pertama adalah sama seperti pendapat mazhab Maliki, manakala pendapatnya yang kedua menyatakan yang suruhan bertaubat itu bukanlah satu kewajipan (yakni tidak wajib). Berhubung hukum memberi penangguhan, maka berlaku perbezaan pendapat dalam mazhabnya kepada 3 pendapat yang berbeza.

Imam Malik, Imam Syafi'i dan Imam Ahmad berpendapat bahawa hukuman bagi orang yang murtad adalah sama, tanpa mengira jantina. Imam Abu Hanifah pula berpendapat bahawa orang perempuan yang murtad hendaklah dipenjarakan dan tidak dihukum bunuh.

Syaikh 'Abdul Qaadir 'Awdah dalam "at-Tasyrii' al-Jinaa-i al-Islamiy" halaman 720 memperjelaskan lagi pendapat Abu Hanifah tersebut dengan menyatakan bahawa menurut Imam Abu Hanifah perempuan tersebut hendaklah dikembalikan kepada Islam dengan setiap hari disuruh bertaubat dan diajarkan dia ajaran Islam sehingga dia mau bertaubat atau dia mati dalam penjara tersebut. Jadi bukanlah ertinya dia dipenjarakan semata-mata sehingga ajalnya tiba.

Allahu ... Allah, berat - berat hukuman terhadap pelaku jenayah murtad ini. Dalam Kes Mal No. 07100-043-0191-2006 kes murtad Siti Fatimah bt. Abdullah @ Tan Ean Hung (ini adalah kes murtad kerana Siti ni telah memeluk Islam pada 25/7/1998, jadi tak timbul isu "menentukan status agama", tok sahlah nak kelentong, ini adalah kes murtad), Y.A. Tuan Haji Othman bin Ibrahim, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang dalam alasan penghakimannya menyatakan bahawa "riddah" itu adalah sekeji-keji kekufuran dan mendapat seberat-berat hukuman. Y.A. Tuan Hakim juga menyatakan kesepakatan ulama mengenai hukuman bunuh terhadap orang murtad dan beliau turut menukilkan beberapa nash mengenainya antaranya hadits:

من بدل دينه فاقتلوه

"Sesiapa yang menukar keIslamannya, bunuhlah dia. (Terjemahan beliau)

Juga beliau nukilkan keterangan kitab "Kifayatul Akhyar" yang menyatakan:-

"Barangsiapa yang keluar daripada Islam, ia diminta bertaubat tiga kali. Jika bertaubat (diterima taubatnya dan ia kembali kepada Islam) dan jika tidak, dia dibunuh, dan tidak boleh dimandikan, tidak boleh disembahyangkan dan tidak boleh dikuburkan di perkuburan orang Islam." (Terjemahan beliau)

Maka di sini, aku ingin bertanya:- Adakah Siti Fatimah Tan bt. Abdullah ini telah disuruh atau diperintahkan untuk bertaubat dan kembali kepada Islam? Pertanyaanku ini adalah kerana dalam alasan penghakiman yang ada padaku tak nampak pulak suruhan tersebut yang merupakan satu kewajipan menurut mazhab jumhur termasuk asy-Syafi'iyyah dilaksanakan. Ni bukan nak pertikai, sekadar mendapatkan kepastian. Pihak kami yang jahil ini sentiasa mengharapkan tunjuk ajar daripada Mahkamah yang mulia.

Sumber: http://bahrusshofa.blogspot.com/

Tiada ulasan: