Selasa, Julai 01, 2008

Bersuci

Apakah perkara-perkara yang wajib kita lakukan sebelum solat?

1. Bersuci
2. Memakai pakaian menutup aurat
3. Memastikan arah qiblat
4. Menentukan telah masuk waktu jika solat yang hendak dilakukan merupakan solat fardhu atau solat sunat yang berwaktu.

Apa dalil wajib bersuci?

Firman Allah; “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan”. (Surah al-Muddathir, ayat 4)

Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Tidak diterima solat tanpa bersuci” (Riwayat Imam Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abdullah bin Umar –radhiyallahu ‘anhu-). Hadis ini menunjukkan bahawa bersuci adalah wajib sebelum menunaikan solat. Sekelian ulamak telah sepakat bahawa bersuci adalah salah satu syarat sahnya solat. Tidak sah solat tanpa bersuci.[1]

Apakah bentuk bersuci yang dituntut oleh Syarak sebelum solat?

1. Bersuci dari najis
2. Bersuci dari hadas
3. Menyucikan batin (Tazkiyah an-Nafs)

Apakah skop bersuci dari najis?

1. Membersihkan badan, pakain dan tempat ibadah dari najis
2. Istinjak; iaitu iaitu menyucikan najis yang ada pada kemaluan (yakni zakar atau dubur) selepas kencing atau berak.
3. Menyucikan kulit binatang

Apakah skop bersuci dari hadas?

1. Mengambil wudhuk
2. Mandi hadas atau mandi wajib
3. Tayammum

Apakah alat atau bahan yang ditetapkan Syarak untuk bersuci?

1. Air; air adalah bahan/alat asal yang ditetapkan Syarak untuk bersuci sama ada membersihkan najis atau menghilangkan hadas. Tidak harus meninggalkan air kecuali dalam kes-kes yang diizinkan oleh Syarak. [2]

2. Tanah; iaitu bahan/alat bersuci yang ditetapkan Syarak untuk tayammum dan untuk membersihkan najis mughallazah (najis anjing dan babi)

3. Benda-benda kesat; seperti batu, kertas, tisu, kayu dan sebagainya. Ia menjadi alat/bahan bersuci untuk beristinjak (iaitu membersihkan kemaluan selepas kencing atau berak).

3. Bahan yang bersifat menghakis; iaitu bahan-bahan seperti kapur, tahi burung merpati, serbuk pencuci atau bahan kimia tertentu yang bersifat tajam dan menghakis. Ia menjadi bahan/alat bersuci untuk menyamak kulit.

Apakah yang dimaksudkan dengan penyucian batin?

Penyucian batin bermaksud menyucikan hati dan akal dari aqidah dan kepercayaan kufur dan sesat yang boleh mengeluarkan seseorang itu dari iman. Selain bersuci zahir sebagaimana di atas, penyucian batin juga amat dititik-beratkan oleh Islam. Ini kerana solat dan ibadah-ibadah yang lain tidak sah melainkan dari orang yang beriman. Allah tidak menerima ibadah orang yang mensyirikkanNya atau mengkufuriNya termasuklah orang yang murtad dari agamaNya.

Selain itu, termasuk juga dalam pengertian penyucian batin yang mesti diperhatikan sebelum menunaikan solat ialah menyucikan hati dari sifat-sifat riyak, ujub dan sebagainya yang menafikan keikhlasan ketika mengerjakan solat. Ibadah yang tidak ikhlas akan ditolak oleh Allah.

AIR

Apakah jenis air yang harus digunakan untuk bersuci?

Iaitulah air mutlak. Air mutlak ialah air yang semata-mata air, yang tidak dikaitkan dengan sebarang nama kecuali pada sebutan sahaja, bukan pada hakikatnya. Dipanggil dengan mutlak kerana apabila diitlakkan air (yakni disebut kalimah ‘air’ dengan tidak dikaitkan dengan sebarang nama yang lain seperti tepung, mawar, tebu, kopi dan sebagainya), maka difahami bahawa yang dimaksudkan ialah air yang semata-mata air, yang tidak dikaitkan dengan sebarang nama yang lain. Air sebegini mungkin dapat kita namakan dalam bahasa Melayu sebagai air murni atau air sejati. Menurut ulama’, air mutlak ini terbahagi kepada dua iaitu;
1. Air yang turun dari langit; merangkumi air hujan, air embun dan salji.
2. Air yang terbit dari bumi; merangkumi air sungai, air mata-air, air telaga dan air laut.

Apakah contoh-contoh air yang tidak harus digunakan untuk bersuci?

1. Air kopi, air tebu, air mawar, air sirap, air gula dan sebagainya. Air-air jenis ini dinamakan air muqayyad iaitu air yang dikaitkan dengan nama-nama tertentu secara hakikatnya, maka ia tidak tergolong dalam air mutlak.

2. Air mutlak yang berubah kerana dimasuki bahan asing hingga tidak dapat dipanggil air mutlak lagi. Contohnya, air yang dimasuki sabun dalam kuatiti yang banyak hingga tidak lagi dipanggil air melainkan “air sabun”. Air jenis ini dinamakan air mutaghaiyyir iaitu air yang berubah.

3. Air najis atau air yang dicemari najis (yakni air mutanajjis).

3. Air Musta’mal; iaitu air yang kurang dari dua kolah yang telah digunakan untuk menghilangkan hadas sama ada hadas besar (iaitu mandi wajib) atau hadas kecil (iaitu wudhuk yang wajib). Mengikut mazhab Syafi’ie, air Musta’mal tidak harus digunakan semula untuk bersuci. Namun ada di kalangan ulamak yang mengharuskannya, antaranya ulamak-ulamak mazhab Imam Malik.

Bagaimana jika air dimasuki najis?

Jika air adalah sedikit (iaitu kurang dua kolah), otomatik ia menjadi mutanajis (iaitu air yang bercampur dengan najis) sebaik sahaja terjatuh najis ke dalamnya sama ada nampak perubahan pada air atau tidak nampak. Tidak harus lagi ia digunakan untuk bersuci sekalipun air itu nampak elok. Namun sekiranya air itu banyak (iaitu lebih dua kolah), hendaklah diperhatikan;
1. Jika nampak perubahan pada air itu (sama ada dari segi bau, warna dan sebagainya), maka air itu menjadi mutanajjis sebagaimana di atas.
2. Jika tidak nampak sebarang perubahan, maka ia tidak menjadi mutanajjis, yakni ia masih dalam hukum asalnya iaitu suci dan harus digunakan untuk bersuci.

Hukum di atas adalah merujuk kepada sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- (yang bermaksud); “Apabila air sampai dua kolah nescaya ia tidak akan menjadi cemar atau kotor”. Dalam lafaz hadis yang lain disebutkan; “….tidak akan menjadi najis”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Hibban, ad-Daruqutni, al-Hakim dan al-Baihaqi dari Ibnu ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu)

Bagaimana caranya untuk menentukan kadar dua kolah mengikut ukuran semasa?

Sukatan air dua kolah jika ditimbang ialah 500 ritl (kati) Baghdad mengikut ukuran lama atau 192.857kg mengikut ukuran baru bersamaan 216 liter (iaitu lebih kurang 11 tin minyak tanah). Dari sudut keluasan tempat, bekas atau kolam, ukurannya ialah 1 ¼ hasta (yakni satu hasta suku) atau 60cm panjang, lebar, dan dalam.

Tiada ulasan: