Haiwan merupakan salah satu sumber makanan. Kitab-kitab fikah membahagikan haiwan kepada dua, iaitu haiwan laut (air) dan haiwan darat.
Allah menghalalkan haiwan laut sebagai sumber makanan berdasarkan dua firman-Nya. Ayat 14 surah an-Nahal bermaksud: Dialah Allah yang mempermudahkan laut, supaya dapat kamu makan makanan daripadanya daging yang lembut dan segar.
Manakala satu lagi firman-Nya bermaksud: Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang diperoleh dari laut sebagai bekalan bagi kamu dan orang-orang dalam pelayaran. - (Surah al-Maidah, ayat 94).
Bagi haiwan di darat, dinyatakan jenis-jenis yang tidak boleh dimakan. Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih bukan kerana Allah. - (Surah al-Baqarah, ayat 173).
Satu lagi ayat menjelaskan tentang haiwan darat yang tidak boleh dimakan ialah ayat 3 surah al-Maidah bermaksud: Diharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah yang mengalir, daging babi dan binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan mati jatuh dari tempat tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala.
Berdasarkan ayat-ayat di atas, terdapat ulama menyatakan semua jenis haiwan selain babi dan cara matinya seperti di dalam ayat 3 surah al-Maidah, maka halal dimakan. Contohnya, mazahab Malik berpendapat selain yang diharamkan itu, maka semua haiwan harus dimakan, termasuklah anjing, binatang buas dan berbisa.
Namun, berdasarkan mazahab dan amalan yang diterima pakai umat Islam di Malaysia, anjing, biantang buas seperti harimau, binatang berbisa seperti ular, binatang dua alam seperti katak, burung berkuku panjang dan makan menyambar seperti helang, haiwan jijik seperti tikus dan bianatang bertaring seperti kucing adalah haram dimakan.
Setiap hujah ulama disandarkan kepada ayat al-Quran dan hadis. Mereka mengetahui secara mendalam apa yang diperkatakan. Sebagai pengamal dan pengikut, memadai kita berpegang kepada satu mazahab yang diterima pakai dalam masyarakat agar tidak timbul salah faham atau fitnah daripada orang ramai.
Terdapat banyak jenis haiwan yang selamat dan bersih untuk dijadikan sumber makanan. Tidak perlu kita melakukan sesuatu yang mendatangkan bahaya semata-mata untuk memakan ular, umpamanya, kerana ada mazahab lain mengatakan boleh dimakan.
Islam mengharamkan sebarang tindakan yang mendatangkan bahaya. Allah menyuruh mnemilih makanan yang halal dan baik saja.
Firman Allah bermaksud: Oleh itu makanlah (wahai orang-orang yang beriman) semua yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika kamu hanya menyembah-Nya semata-mata. - (Surah al-Baqarah, ayat 172).
Firman-Nya dalam surah al-Araf ayat 157 bermaksud: Allah menghalalkan mereka segala benda yang baik dan mengharamkan mereka segala benda yang kotor.
Kita harus memakan makanan haram hanya ketika dalam keadaan terdesak atau terpaksa. Firman Allah bermaksud: Maka barangsiapa terpaksa, bukan kerana ia memang mahu memakannya, dan tidak lebih daripada seperlunya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. - (Surah al-Anam, ayat 145).
Kita dinasihatkan agar berwaspada dalam memilih makanan. Banyak makanan halal disediakan oleh Allah, yang lebih baik mendatangkan kebaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan