Menurut agama Kristian, Jesus ataupun Nabi Isa a.s telah mati disalib oleh orang-orang yahudi. Dan ini lah yang diimani oleh mereka dari dulu dan menganggap itu adalah penebusan dosa terhadap dosa Nabi Adam a.s. Tetapi pada hakikatnya Nabi Isa a.s tidak mati malah baginda diangkat ke langit ke sisi Allah dan dia termasuk di dalam orang-orang yang ditangguh kematiannya (minal mundzharin).
Dan manusia yang digantikan sebagai jesus pada masa itu ialah Judas Iscariot , di mana Judas adalah salah seorang dari sahabat Nabi Isa a.s dan merangkap anak muridnya tetapi cuba berpaling tadah dan dialah yang memberitahu tempat persembunyian Nabi isa a.s kepada pemerintah Rome pada waktu itu. Tetapi Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang terhadap nabiNya, Judas telah ditukar kan rupanya sebaik sahaja beliau keluar dari tempat persembunyian Nabi Isa a.s untuk memberitahu kepada askar-askar agar menangkap Nabi Isa. Para askar terus menangkap Judas Iscariot yang waktu itu berwajah Nabi Isa dan terus dibawa ke pengadilan. Dan Nabi isa a.s dengan rahmat Allah telah diangkat ke langit tanpa diketahui oleh pemerintah Rome.
Dan ada orang-orang yang menuduh ada percanggahan dalam ayat AlQuran tentang keberangkatan Nabi Isa a.s ke langit. Tetapi sebenarnya itu bukan percanggahan tetapi salah faham mereka yang tidak memahami Bahasa Arab dengan baik. Yang menjadi salah faham itu adalah apabila ayat Al Quran tentang Nabi Isa itu diterjemahkan ke dalam bahasa lain seperti Bahasa Malaysia, Indonesia , Inggeris dan sebagainya.
Ayat-ayat tersebut seperti ,
“(Ingatlah) ketika Allah berfirman, “Hai Isa, sesungguhnya Aku akan menyampaikan kamu kepada akhir ajalmu (mutawaffiika) dan mengangkat kamu kepada-Ku…”
(Surah Ali Imran: 55).
Dan juga pada ayat;
“Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku (mengatakan)nya iaitu, ‘Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu’, dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada di antara mereka. Maka setelah Engkau wafatkan (angkat) aku, Engkaulah yang mengawasi mereka. Dan Engkau adalah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu.” (Surat al-Maa’idah: 117)
Maka ia seolah-olah menceritakan bahawa Nabi Isa a.s telah wafat. Tetapi sebenarnya maksud dalam Bahasa Arab sebenarnya bukanlah meninggal dunia sebagaimana yang kita fahami. Dalam bahasa Arab, kata yang diterjemahkan dalam ayat-ayat tersebut menjadi “meninggal” (to die) adalah kata “tawaffa” dan berasal dari kata “wafa – memenuhi/mengabulkan”. Tawaffa tidak bererti “kematian” tetapi merupakan aksi “penarikan jiwa kembali”, baik dalam keadaan tidur mahupun meninggal. Juga dari Al-Qur’an, kita memahami bahawa “penarikan jiwa kembali” tidak serta merta bermakna kematian.
Misalnya, dalam satu ayat di mana kata “tawaffa” digunakan, makna yang dimaksudkan bukanlah kematian seorang manusia, tetapi ‘penarikan jiwa dari tidurnya’.
“Dan Dialah yang menidurkan kamu (yatawaffakum) di malam hari dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari, kemudian Dia membangunkan kamu pada siang hari untuk disempurnakan umur(mu) yang telah ditentukan, kemudian kepada Allah-lah kamu kembali, lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang dahulu kamu kerjakan.” (Surat al-An’aam: 60)
Sedangkan ayat tersebut menggunakan perkataan ‘yatawaffa’ yang juga bermaksud wafat atau mati. Tetapi dalam ayat di atas ini bukan Allah hendak beritahu tentang kematian, tetapi manusia ditidurkan atau dengan kata lain ‘penarikan jiwa dari tidurnya’. Dan kata-kata yang digunakan itu adalah sama dengan yang disebut dalam Surah Ali Imran ayat 55 tadi.
Maka ianya juga sama dengan keadaan dalam ayat di bawah ini;
“Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya; maka Dia tahanlah jiwa (orang) yang telah dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.” (Surat az-Zumar: 42)
Sebagaimana disebutkan dalam ayat di atas, Allah menarik jiwa orang yang sedang tidur, namun Dia mengirim kembali jiwa-jiwa tersebut kepada mereka yang waktu kematiannya belum ditentukan. Dalam konteks ini, dalam tidurnya, seseorang tidaklah wafat dalam erti kematian. Tetapi ia hanyalah peninggalan sementara jiwa dari tubuh dan pendapat ulamak mengatakan roh ketika tidur akan terbang ke langit dan ke beberapa tempat lain dan mungkin juga akan melihat ke Luh Mahfiz dengan izin Allah.
Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa ada tiga makna dalam istilah ‘wafat’: wafat kematian, wafat tidur, dan terakhir sekali wafat diangkat kepada Allah, sebagaimana yang terjadi pada Nabi Isa (as). Kesimpulannya, kita dapat mengatakan bahawa Jesus (as) kemungkinan berada pada suatu tempat yang khusus, diangkat ke sisi Allah. Apa yang sebenarnya dia alami bukanlah kematian dalam erti yang biasa kita fahami, melainkan benar-benar merupakan suatu keberangkatan dari dimensi ini ke dimensi yang lain.
“Dan kerana ucapan mereka, “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih, Isa putera Maryam, Rasul Allah”, padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak pula menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keragu-raguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu kecuali mengikuti persangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahawa yang mereka bunuh itu adalah Isa. Tetapi (yang sebenarnya), Allah telah mengangkat Isa kepada-Nya. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surat an-Nisaa’: 157-15 8)
Semoga kita semua menjauhi pendapat yang mengatakan Jesus a.s mati disalib yang pada ketika itu ada beberapa orang penjenayah lain yang disalib bersama-samanya. Darjat para nabi adalah tinggi dan kita tidak boleh merendah-rendahkan darjat mereka sebegitu rupa. Jika mereka mengatakan bahawa Jesus a.s mati disalib, maka sama lah seperti mereka merendah-rendahkan darjat seorang nabi, na’uzubillahi min zaalik.
Walau bagaimana pun perselisihan pendapat sudah semestinya ada terutamanya apabila merungkaikan persoalan sejarah. Manusia mempunyai banyak ideologi, corak pemikiran dan boleh menyebabkan bermacam salah faham. Yang penting, keimanan kita mesti tetap utuh terhadap ALLAH S.a.w walaupun digoyah oleh musuh-musuh Islam yang cuba memporak-perandakan umat ini.
Wallahu a’lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan