Isnin, Mei 12, 2008

Hukum Hudud dan Qisas

HUKUM HUDUD

Takrif jenayah adalah perbuatan atau perilaku yang jahat yang dilakukan oleh seseorang untuk mencerobohi atau mencabuli kehormatan jiwa atau tubuh badan seseorang yang lain dengan sengaja. Jenayah yang ditakrifkan demikian adalah khusus pada kesalahan-kesalahan bersabit dengan perlakuan seseorang

• membunuh, atau
• menghilangkan anggota tubuh badan, atau mencederakan atau melukakan

Seseorang yang lain, yang mana WAJIB dikenakan hukuman qishash (balasan setimpal atau setara) atau diyat (balasan gantirugi).

Sebaliknya, kesalahan-kesalahan yang melibatkan harta benda, akal fikiran, dan sebagainya adalah termasuk dalam kategori jenayah yang umum yang tertakluk di bawahnya semua kesalahan yang wajib dikenakan hukuman hudud, qishash, diyat, dan ta'zir.

Semua kesalahan-kesalahan yang dimaksudkan di atas hendaklah dikendalikan menurut keterangan atau dalil Quran dan hadits shahih.

Hukum hudud adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan secara mutlak oleh Allah Ta'ala sebagaimana yang dijelaskan di dalam Al-Quran dan Hadits-hadits (shahih). Hukuman hudud adalah hak Allah Ta'ala yang tidak boleh ditukar ganti hukumannya dan tidak boleh pula diubahsuai dan dipinda.

Hukuman hudud tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa pun - rujuk Al-Baqarah, ayat 229.

Kesalahan-kesalahan yang WAJIB dikenakan hukuman hudud ialah::

1) Murtad, iaitu orang yang keluar dari agama Islam, sama ada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan i'tiqad kepercayaan.

2) Berzina - iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syara'.

3) Qazaf atau menuduh orang berzina, iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya (seperti mengatakan anak zina dan sebagainya), DAN tuduhan itu tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi.

4) Minum arak atau minuman yang memabukkan, sama ada sedikit atau banyak, mabuk atau tidak.

5) Mencuri, iaitu memindahkan secara bersembunyi harta dari jagaan atau milikan tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milikan tuannya.

6) Merompak, iaitu keluar seseorang atau sekumpulan orang yang bertujuan untuk mengambil harta atau membunuh atau menakutkan dengan cara kekerasan.

7) Penderhaka (Bughat), iaitu segolongan umat Islam yang melawan atau menderhaka kepada Ulul Amr (pemerintah Islam) yang menjalankan syariah Islam dan hukum-hukum Allah.

HUKUM QISHASH

Hukuman Qishash adalah sama seperti hukuman hudud juga, iaitu hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah hukumannya di dalam Al-Quran dan hadits yang WAJIB dikenakan ke atas penjenayah yang sabit kesalahannya.

Hukuman Qishash adalah hukuman balas ke atas kesalahan tertentu, iaitu membunuh dibalas dengan bunuh (nyawa dibalas dengan nyawa), melukakan dibalas dengan luka, mencederakan dibalas dengan mencederakan ke atas yang melakukan kesalahan sebagaimana yang dilakukannya sahaja.

Kesalahan-kesalahan yang WAJIB dikenakan hukuman qishash adalah seperti berikut::

1) Membunuh orang lain dengan sengaja.
2) Menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain dengan sengaja.
3) Melukakan orang lain dengan sengaja.

Hukuman membunuh orang lain dengan sengaja adalah WAJIB dikenakan hukuman qishash ke atasnya (iaitu ke atas yang melakukan pembunuhan,) iaitu dengan dibalas bunuh. Dalilnya adalah ayat ke 128, Surah Al-Baqarah.

Hukuman menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang yang lain, atau melukakannya, adalah WAJIB dibalas dengan hukuman qishash mengikut kadar kecederaan atau luka seseorang itu, dan juga mengikut jenis anggota yang dicederakan atau dilukakan tadi. Dalilnya adalah ayat ke-45, Surah Al-Maidah.

Tiada ulasan: