Isnin, Mac 17, 2008

Penggunaan putik kapas (cotton bud)

SEIRING dengan perkembangan kemajuan negara, masyarakat Malaysia juga semakin mengambil berat dalam soal penjagaan kesihatan dan kebersihan diri.

Limpahan produk di pasaran boleh dikatakan lebih daripada mencukupi. Apa yang menarik perhatian untuk saya kongsi di sini ialah berhubung penggunaan putik kapas (cotton bud) sebagai alat untuk membersihkan telinga.

Berdasarkan pengalaman mengendalikan klinik telinga, hidung dan tekak, masalah pesakit yang datang dengan kurang deria dengar boleh dikatakan ada setiap hari.

Mereka terdiri daripada yang berusia seawal baru lahir sehingga warga emas, punca yang pelbagai juga dikesan menjadi sebab berlakunya masalah ini.

Salah satu punca yang boleh diatasi dan didapati kerap berlaku di kalangan pesakit kurang dengar ialah masalah saluran telinga luar yang tersumbat dengan 'tahi telinga' atau lebih tepat lagi lilin telinga (ear wax) yang telah mampat.

Melalui soal selidik yang dijalankan, majoriti jika tidak kesemua daripada mereka mengakui menggunakan putik kapas secara rutin dan berterusan.

Mereka atau kita juga mungkin beranggapan putik kapas yang digunakan akan dapat membersihkan saluran telinga daripada lilin telinga yang terhasil secara fisiologi.

Di sinilah timbulnya kesilapan. Putik kapas yang digunakan sebenarnya menolak lilin telinga masuk lebih ke dalam dan hanya sedikit yang melekat padanya dan dikeluarkan.

Sedangkan, saluran telinga kita telah dicipta lengkap dengan mekanisme rerambut halus yang berfungsi dalam gerakan ke arah keluar telinga bagi mengeluarkan lilin yang berlebihan.

Penggunaan putik kapas dalam gerakan ke dalam yang melawan arus fisiologi akan menyebabkan kegagalan fungsi normal ini dan seterusnya menyebabkan sedikit demi sedikit lilin telinga akan tertolak semakin ke dalam, termampat ke arah gegendang telinga dan seterusnya mengganggu konduksi bunyi dari punca rangsangan. Keadaan ini disebut gangguan pendengaran jenis konduktif (conductive hearing loss).

Satu lagi masalah yang timbul daripada penggunaan putik kapas ialah ada kemungkinan bahagian kapasnya tertanggal dan tertinggal di dalam saluran telinga. Ini juga akan mengganggu pendengaran. Jika terbiar lama akan mengundang jangkitan kuman pula.

Selaras dengan slogan 'mencegah lebih baik daripada merawat', marilah sama-sama kita menjaga kebersihan dan kesihatan diri dengan mendalami ilmu yang sahih daripada autoriti yang tepat.

Kita telah dicipta dengan sebaik-baik keadaan dan sifat, justeru menjadi anggungjawab kitalah untuk menjaganya dengan selamat.

- DR. IRFAN MOHAMAD,
Jabatan ORL-HNS (ENT),
Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

Tiada ulasan: