Isnin, Januari 14, 2008

Menutup Aurat bahagian pertama

Menutup aurat adalah kewajipan setiap umat Islam untuk
melaksanakannya apabila telah sampai had baligh masing-masing.
Sehubungan ini Allah berfirman yang bermaksud: Wahai Nabi! Katakanlah
bagi isteri-isterimu itu supaya mereka melabuhkan (sehingga menutupi
ke atas mereka jilbab mereka) (surah al-Ahzab ayat 59) dan firman-Nya
lagi yang bermaksud: Tutupilah tudung mereka atas lubang tengkuknya
(An- Nur ayat 31).

Para ibu bapa dan suami bertanggungjawab menjaga dan mengawasi
tingkah laku tanggungan dan keluarga masing-masing supaya dapat
menutupi aurat mereka termasuk rambut kepalanya dan lubang
tengkuknya. Mereka dikira bersalah sekiranya mengabai atau
membenarkan mereka yang di bawah tanggungan cuai dalam menjalankan
perintah Allah s.w.t.

Kesimpulannya wanita itu sendiri, ibu, bapa dan suami masing-masing
bertanggungjawab atas kesalahan yang mereka lakukan dan kesalahan
mereka yang di bawah jagaannya. Tetapi apabila mereka telah
menjalankan tugas tersebut dengan baik, maka dosa kesalahan, mereka
menanggung sendiri kerana ibu bapa dan suami tidak ada taqsirnya
lagi.

Setiap wanita Muslim itu pasti dengan rela hati akan menunaikan
perintah Allah sekalipun tanpa arahan orang lain dan tidak akan
berani melanggar larangan atau titah perintah-Nya meskipun atas
dorongan dan restu daripada sesiapa.

Nabi bersabda yang bermaksud: Tidak harus melakukan kesalahan maksiat
kepada Allah s.w.t. untuk mentaati makhluk (riwayat Bukhari dan lain-
lain). Sekiranya berlaku demikian (ertinya ibu bapa atau suami
sendiri yang memerintahkan isteri atau anak-anak dengan perkara dosa
dan maksiat). Adakah harus pihak isteri dan anak-anak mendurhakai
perintah tersebut?

Dalam hal ini Allah pernah berfirman bermaksud: Dan sekiranya mereka
berdua (ibu bapa ) berusaha untuk menjadikan kamu syirik dengan-Ku
maka jangan kamu ikut atau mentaati arahan tersebut tetapi layanilah
mereka di dunia ini dengan baik (surah Lukman ayat 15). Maknanya kita
masih harus menggauli mereka dengan cara yang sebaiknya.

Tiada ulasan: