Solat ini disebut witir kerana ganjil, bersesuaian dengan bilangan rakaat solat sunat ini iaitu sama ada dilaksanakan satu, tiga, lima, tujuh, sembilan atau sebelas rakaat.
Solat witir dilakukan selepas solat isyak. Hukum melaksanakannya adalah sunat muakkad iaitu sunat yang amat digalakkan di dalam Islam.
Dalilnya adalah berdasarkan hadis daripada Abu Ayyub RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda:
الْوِتْرُ حَقٌّ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِخَمْسٍ فَلْيَفْعَلْ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِثَلاَثٍ فَلْيَفْعَلْ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِوَاحِدَةٍ فَلْيَفْعَلْ
“Solat Witir ialah syariat yang dituntut atas setiap orang Islam. Sesiapa hendak melakukannya 5 rakaat lakukanlah, sesiapa yang hendak melakukannya 3 rakaat lakukanlah, dan sesiapa hendak melakukannya 1 rakaat sahaja lakukanlah.” (HR Abu Daud No:1422)
Kepentingannya juga disebut dalam hadis daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ خَافَ أَنْ لاَ يَقُومَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ فَلْيُوتِرْ أَوَّلَهُ وَمَنْ طَمِعَ أَنْ يَقُومَ آخِرَهُ فَلْيُوتِرْ آخِرَ اللَّيْلِ فَإِنَّ صَلاَةَ آخِرِ اللَّيْلِ مَشْهُودَةٌ وَذَلِكَ أَفْضَلُ
Sesiapa yang takut tidak terbangun pada saat akhir malam, dia hendaklah bersolat witir lebih awal, dan sesiapa yang bersungguh-sungguh untuk bangun pada akhir malam dia hendaklah bersolat witir pada akhir malam. Sesungguhnya solat pada akhir malam disaksikan (dihadiri oleh para malaikat) dan itu adalah yang afdhal”. (HR Muslim No 755).
Imam al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah berkata: Para ulama berbeza pandangan pada bilangan rakaat. Imam al-Thauri berpandangan bahawa witir sama ada lima, atau tiga atau satu, tetapi digalakkan berwitir dengan tiga rakaat. Pandangan ini juga merupakan pandangan Ibn al-Mubarak dan ahl al-Kufah dan sebahagian daripada sahabat antaranya Abdullah bin Mas'ud.
Di dalam bulan Ramadan ini, menjadi kebiasaan kita melaksanakan solat witir selepas selesai solat sunat tarawih.
Selepas solat witir, antara zikir yang menjadi sunnah Rasulullah SAW ialah membaca 'Subhanal Malikil Quddus' sebanyak 3 kali.
عن عبد الرحمن بن أبزى أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ فِي الْوِتْرِ سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكِ الْأَعْلَى وَقُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ فَإِذَا سَلَّمَ قَالَ: سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ يَرْفَعُ بِالثَّالِثِ صَوْتَهُ
"Daripada Abdul Rahman bin Abza bahawa Nabi SAW membaca dalam solat witir surah al-A'la, al-Kafirun dan al-Ikhlas. Selepas memberi salam baginda akan menyebut: "SUBHANAL MALIKIL QUDDUS [Maha suci (Allah), Raja Yang Maha Suci]'' sebanyak 3 kali. Baginda menguatkan suara pada kali yang ketiga." (HR Nasaie, No: 1753) Status: Hadis Sahih
Berdasarkan hadis ini, antara bacaan surah yang dibaca Nabi SAW dalam solat witir ialah Surah al-A‘la (rakaat 1), Surah al-Kafirun (rakaat 2) dan Surah al-Ikhlas (rakaat 3). Dalam Sunan al-Tirmizi pula diriwayatkan bahawa Nabi SAW membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas sekaligus pada rakaat ketiga.
Kata Imam al-Nawawi rahimahullah:
يُسْتَحَبُّ أَنْ يَقُولَ بَعْدَ الْوِتْرِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ
"Disunatkan untuk menyebut selepas solat witir sebanyak 3 kali 'Subhanal Malikil Quddus'." [Al-Majmu' Syarah Al-Muhazzab].
Semoga kita tidak ketinggalan melaksanakan solat sunat witir dan zikirnya setiap malam termasuk di luar dari bulan Ramadan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan