Amalan berpuasa telah lama menjadi ritual agama-agama penting di dunia. Tatkala amalan ini menjadi perhatian dunia apabila umat Islam seluruh dunia berpuasa serentak pada bulan Ramadhan, amalan berpuasa ini telahpun lebih awal menjadi amalan lazim masyarakat bukan Islam terdahulu seperti di zaman Mesir kuno,Yunani Greek, bangsa Romawi dan China kuno. Dan ritual ini masih dipraktikan oleh sesetengah agama seperti Kristian, Judaism, Buddhism, Hindusim, Jainism dan sebagainya.
Amat benarlah perintah Allah bahawasanya puasa itu telahpun disyariatkan kepada umat-umat terdahulu. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa.” [al-Baqarah 2:183]
Konsep puasa difahami oleh agama-agama umumnya sebagai satu kaedah penyucian jiwa dan raga manusia, selain sebagai langkah penyatuan dan ketakwaan kepada Tuhan. Secara konseptualnya puasa difahami sebagai suatu tindakan ‘menahan diri daripada melakukan sesuatu’. Justeru walaupun amalan berpuasa ini terdapat dalam agama-agama lain, puasa dari segi syariat dan pengisiannya adalah berbeza-beza.
Menahan diri daripada melakukan sesuatu bagi sesetengah agama merujuk kepada makan dan minum, atau salah satu darinya untuk beberapa waktu, atau juga terhadap sesuatu tindakan seperti menahan diri daripada berkahwin. Melihat kepada agama-agama samawi, kewujudan dan pemahaman tentang puasa juga wujud dalam bentuk-bentuk dan cara-cara yang berbeza.
Yahudi (Judaism)
Puasa dalam agama Yahudi (Judaism)
Dalam agama Yahudi, amalan berpuasa telah wujud dalam beberapa hari berdasarkan kalender bulan Yahudi. Hal ini ada disebutkan di dalam Bible apabila Jesus dirujuk kepada amalan pengikut Yohanes:
Orang-orang berkata kepada Jesus, "Pengikut Yohanes dan pengikut orang Farisi sering berpuasa dan berdoa. Tetapi pengikut-pengikut-Mu makan dan minum." [Luke 5:33]
Bilakah mereka berpuasa?
Pihak synagogue juga berkuasa menyuruh penganut Yahudi untuk berpuasa apabila ditimpa musibah. Namun amalan berpuasa yang wajib ialah pada hari yang dinamakan Yom Kippur (Hari Penebusan atau Pembersihan Dosa), satu-satunya puasa yang diperintahkan dalam hukum Taurat (Mosaic Law). Setelah menfokuskan 10 hari untuk tujuan bertaubat sejak Rosh Hashanah (Tahun Baru mengikut kalender Yahudi), diikuti dengan berpuasa pada hari Yom Kippur untuk memastikan taubat dan diampunkan dosa-dosa tahun sebelumnya kerana mengikut kepercayaan mereka pada hari Yom Kippur itulah nasib semua penganut Yahudi ditentukan untuk tahun berikutnya.
Selain Yom Kippur, ada yang menambah empat hari tambahan puasa masing-masing satu hari di bulan Ab, Tammuz, Tebeth dan Tishri. Ini bertujuan untuk berkabung atas bencana yang menimpa kaum Yahudi.
Bagaimana mereka berpuasa?
Terdapat segolongan penganut Yahudi ortodoks yang berpuasa seperti mana puasa Nabi Yahya, Nabi Musa dan Nabi Ilyas yang berpuasa selama empat puluh hari lamanya. Ada juga yang hanya berpuasa pada hari Isnin dan Khamis secara sukarela.
Adapun pada hari Yom Kippur, golongan Yahudi berpuasa sejak terbenamnya matahari sehinggalah terbenamnya matahari keesokkan harinya menjadikan mereka berpuasa selama lebih kurang 25 jam.
Dalam berpuasa, mereka tidak sahaja menahan diri daripada makan dan minum, mereka juga dilarang berkerja, bersetubuh dan mandi, malahan menggunakan minyak sapuan atau krim (ointment) dan kasut kulit juga adalah dilarang.
Kristian
Puasa dalam agama Kristian
Memandangkan amalan berpuasa juga telah diamalkan oleh agama-agama sebelum zaman kedatangan Jesus, amalan berpuasa juga dilakukan oleh Jesus dan Nabi-nabi terdahulu. Hal ini banyak direkodkan dalam Bible (Perjanjian Lama), dalam satu laporan Jesus didakwa berkata:
Dan apabila kamu berpuasa, janganlah muram mukamu seperti orang munafik. Mereka mengubah air mukanya, supaya orang melihat bahawa mereka sedang berpuasa. Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya mereka sudah mendapat upahnya.Tetapi kalau kalian berpuasa, cucilah mukamu dan sisirlah rambutmu, supaya tak ada yang tahu bahwa kalian berpuasa, kecuali Bapamu yang tidak kelihatan itu saja. Dia melihat perbuatanmu yang tersembunyi itu dan akan memberi upah kepadamu."(Mathew 6:16)
Bilakah mereka berpuasa?
Dalam agama Kristian waktu berpuasa tidak ditetapkan secara spesifik oleh agama, contohnya mazhab Kristen Protestan tidak mewajibkan untuk berpuasa, sedangkan Kristen Katolik mewajibkan untuk berpuasa pada waktu-waktu tertentu.
Amalan berpuasa dalam agama Kristian pada masa ini telah mengalami perubahan apabila tidak ada pengkhususan terhadap amalan berpuasa apabila ia dianggap perbuatan sukarela. Ada mazhab Kristian yang menganggap Bible hanya memperkenalkan puasa sebagai sesuatu yang baik, berguna dan digalakkan. Namun tradisi pernah membuktikan penganut Kristian (Katolik) berpuasa selama 40 hari bermula dari “Ash Wednesday” sehingga hari “Easter”. Mereka juga berpuasa pada hari “Good Friday”, “Rogetion Days”, “Ember Day” dan hari-hari lain secara sukarela.
Bagaimana mereka berpuasa?
Perbezaan ini berpunca daripada kefahaman bahawa terdapat perbezaan jelas antara amalan berpuasa yang tercatat dalam kitab Perjanjian Lama dan kitab Perjanjian Baru di dalam Bible yakni perbezaan tujuan berpuasa sebelum kedatangan dan selepas kedatangan Jesus. Justeru amalan berpuasa dalam agama Kristian boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk mengikut mazhab Kristian yang ada, baik dengan menahan diri dari makan dan minum, hanya memakan daging, hanya memakan sayur dan air putih, berpuasa dengan tidak bersuara dan juga berpuasa sehingga 40 hari 40 malam lamanya. Berikut disertakan contoh-contoh berpuasa seperti mana yang dilaporkan di dalam Bible:
a) Puasa hanya dengan tidak memakan yang lain seperti hanya makan sayur dan minum air putih (Daniel 10:3)
b) Puasa dalan rangka berkabung selama 21 hari atau 3 minggu (Daniel 10:2)
c) Puasa untuk mendengar suara Tuhan (Acts 13:2-3)
d) Puasa tanpa makan dan minum (Matthew 11:18)
e) Puasa 3 hari 3 malam tidak makan dan tidak minum (Est 4:16)
f) Puasa tidak makan dan semalaman berbaring di tanah (2 Sam 12:16)
g) Puasa selama 3 hari 3 malam tidak makan, tidak minum dan tidak melihat ( Acts 9:9, Yunus 1:17)
h) Puasa 7 hari 7 malam tidak bersuara (2:13)
i) Puasa selama 40 hari 40 malam (Exodus 24:16, Exodus 34:28, 1 Kings 19:8, Jonah 3:4-5, Matthew 4:2)
Hindu
Puasa dalam agama Hindu
Golongan beragama Hindu berpuasa pada hari ekadasi ini dengan tujuan dan kepercayaan bahawa hari tersebut dapat menghilangkan semua dosa sekaligus merubah nasib hidup mereka, bahkan dapat meningkatkan kekuatan dalaman mereka. Bagi yang tidak mempunyai kekuatan untuk berpuasa tanpa makan dan minum, mereka dibenarkan memakan buah-buahan, sayur-sayuran dan meminum susu.
Bilakah mereka berpuasa?
Dalam kitab Vedic, golongan beragama Hindu sangat dianjurkan untuk melakukan puasa pada hari Ekadasi. Ekadasi merupakan bahasa Sanskrit yang bermaksud hari kesebelas, Eka bererti satu dan Dasa bererti sepuluh, yakni hari kesebelas yang dihitung mulai dari sehari setelah purnama (bulan purnama) menjadikannya dua hari dalam sebulan. Hal ini membuktikan bahawa agama Hindu juga memiliki kalender mereka yang berpandukan kepada bulan.
Bagaimana mereka berpuasa?
Terdapat pelbagai tatacara puasa dalam agama Hindu, ianya disesuaikan dengan cara ddan pilihan masing-masing, Dilaporkan ada 26 macam cara dan sejarah di sebalik puasa Ekadasi ini.Ada penganut agama Hindu yang berpuasa pada siang hari dan menfokuskan diri untuk bersembahyang atau bermeditasi pada malamnya.
Buddha
Puasa dalam agama Buddha
Puasa dalam agama Buddha disebut sebagai Uposatha, puasa bukanlah merupakan suatu perbuatan wajib dalam agama Buddha, sekiranya ada penganut agama Buddha yang berpuasa.
Bilakah mereka berpuasa?
Ia selalu dilakukan berdasarkan kalender agama Buddha yang juga bergantung kepada peredaran bulan, berpuasa dilakukan pada bulan cerah dan bulan purnama atau hari 1 dan 15 kalender Buddhist. Uposatha difahami dengan maksud hari yang dilalui dengan berpuasa.
Bagaimankah mereka berpuasa?
Uposatha (puasa) dilakukan dalam dua cara.
Cara pertama yang dinamakan sebagai Uposatha-sila atau uposatha atthasila, iaitu lapan aturan yang telah ditetapkan iaitu:
1. Bertekad akan melatih diri menghindari pembunuhan makhluk hidup.
2. Bertekad akan melatih diri menghindari mengambil barang yang tidak diberikan (mencuri).
3. Bertekad akan melatih diri menghindari seks (memuaskan seksual)
4. Bertekad akan melatih diri menghindari berbicara atau berucap yang tidak benar (berbohong)
5. Bertekad akan melatih diri menghindari segala makanan dan minuman yang dapat melemahkan kesedaran (alkohol, ubat-ubat yang terlarang).
6. Bertekad akan melatih diri menghindari makan setelah tengah hari sehingga watu subuh (saat matahari berdiri tegak sehingga subuh kesokan harinya)
7. Bertekad akan melatih diri menghindari menyanyi, menari, bermain muzik, pergi melihat hiburan, memakai bunga-bungaan, wangi-wangian, serta alat- alat kosmetik yang bertujuan untuk memperindah/ mempercantik diri.
8. Bertekad akan melatih diri menghindari tempat tidur dan tempat duduk yang mewah.
Puasa (uposatha)penganut agama Buddha hanya layak dinyatakan sah, apabila berjaya mematuhi kesemua lapan larangan, panduan serta aturan tersebut seperti yang tertulis di atas. Jika salah satu larangan tersebut dilanggar—baik secara sengaja atau tidak— bererti puasa yang dilakukan itu tidak dianggap sempurna.
Cara kedua ialah dengan menjadi vegetarian, iaitu tidak memakan makanan daripada makhluk hidup, dalam erti kata daging dan hanya memakan sayur-sayuran atau buah-buahan. Makanya tiada hari atau waktu tertentu dalam aspek larangan kerana mereka yang vegetarian bebas untuk makan sayur-sayuran pada bila-bila masa.
Kesimpulan
Kajian ringkas ini cuba mengupas ritual puasa yang wujud dari sudut pelbagai agama yang ada dalam cubaan mengetengahkan persamaan serta perbezaan ketara yang wujud antara agama lain dan ajaran Islam seperti mana yang pernah Nabi Muhammad Sallallahu’alaihi Wa Sallam lakukan (melalui hadis-hadis) dalam mengetengahkan kepada umat Islam ciri-ciri ritual puasa agama lain sebagai pengetahuan tambahan dalam beramal. Hal ini ketara dalam sabda Nabi Muhammad Sallallahu’alaihi Wa Sallam apabila cuba membezakan puasa umat Islam dan agama lain.
"Perbezaan antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian)adalah makan sahur ". [Hadith Riwayat Imam Muslim no.1096]
“Agama ini akan sentiasa menang selama mana manusia menyegerakan berbuka, kerana Yahudi dan Nasrani (Kristian) mengakhirkannya ". [Hadith Riwayat Imam Abu Daud no. 2353]
Dengan rasa penuh hormat terhadap kajian ringkas berkenaan ritual puasa yang terdapat dalam agama-agama lain selain Islam dan selaku seorang Muslim, penulis berpandangan jenis dan cara puasa dalam agama-agama lain ini mempunyai beberapa persamaan dari sudut konsep berpuasa seperti mana yang dipraktikkan dalam ajaran agama Islam. Namun konsep puasa dalam Islam dilihat lebih luas dengan tidak hanya difahami melalui definisi lahiriahnya sahaja yakni menghindari makan, minum, persetubuhan antara suami isteri dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dengan sengaja dari bermulanya terbit fajar sehingga terbenamnya matahari. Ajaran Islam juga menyuntik keseimbangan dalam aspek rohani atau spiritual dan fizikal melalui perintah kewajiban berpuasa sepanjang bulan Ramadhan (bulan ke 9 dalam kalender Islam) berserta dengan tawaran-tawaran pahala beganda serta pengampunan dosa.
Dengan hanya melihat bulan ke-9 dalam kalender Islam (bulan Ramadhan) ini sahaja sudah boleh dianggap suatu mukjizat, mengambil negara-negara di utara bumi sebagai contoh, sekiranya utara bumi menyambut bulan berpuasa itu pada musim sejuk, waktu fajar adalah lebih pendek menjadikan tempoh berpuasa adalah lebih pendek sesuai dengan suasana sejuk yang dialami pada musim tersebut, hasilnya waktu Subuh lebih lewat dan waktu Maghrib yang lebih awal. Adapun sekiranya bulan berpuasa di utara bumi sewaktu musim panas, lain pula waktunya apabila waktu siang menjadi lebih panjang berbanding waktu malamnya yang singkat. Hal ini membuktikan bahawa musim sejuk atau panas membantu dalam memberi kesesuaian kepada mereka yang sedang berpuasa sesuai dengan musim yang dialaminya.
Dari aspek pembersihan spiritual dan fizikal pula, apa yang ditekankan dalam kewajiban berpuasa dalam ajaran agama Islam boleh diertikan sebagai suatu manifestasi dalam bentuk keimanan, kepercayaan serta tingkah laku mendidik seorang manusia dalam kehidupan beragama. Elemen-elemen galakan seperti keberkatan bersuhur (makan dan minum sebelum terbit fajar sebagai persediaan menghadapi waktu berpuasa pada siang hari),mengelak daripada berkata dusta, meninggalkan perbuatan keji dan sia-sia, menyegerakan berbuka puasa dan menunaikan solat secara berjemaah pada malam hari atau dikenali sebagai solat terawih serta banyak lagi senarai amalan-amalan bagi meraih pahala pada bulan puasa, semua amalan ini dianggap komprehensif dalam menjana program pembentukan nilai-nilai murni baik secara spiritual, fizikal dan mental seorang manusia.
Apabila disoal definisi puasa, bila (waktunya) dan bagaimana seorang Muslim itu berpuasa barangkali dijawab sama antara seorang Muslim dengan yang lainnya. Namun puasa seorang Muslim itu hanya dapat dilihat dari aspek luaran berdasarkan definisi zahir maksud puasa yang telah disebutkan di atas, Tetapi masih ada yang digambarkan hanya mendapat lapar dan dahaga, manakala ada pula yang berjaya kenal erti takwa. Ritual ini juga diangkat Tuhan sebagai ibadah yang dilakukan khusus kepadaNya dalam bentuk penghambaan (pengabdian) diri ini yang bakal memperoleh ganjaran besar yang hanya diketahui Tuhan jumlah ganjaran sebenarnya bagi seorang Muslim yang berpuasa.
Kini setelah kita mengetahui kewujudan ritual puasa ini dalam agama-agama lain berserta dengan perbezaan-perbezaan yang wujud, hal ini dapat memberi kita peluang melihat konsep kehidupan beragama dengan lebih luas seperti mana saranan dalam kitab suci al-Quran yang turut menceritakan kewujudan agama-agama lain dengan metod pencarian serta proses mendekatkan diri kepada Tuhan yang berbeza-beza.
Dan proses mencari dan mendekatkan diri kepada Tuhan dengan cara berpuasa cara Islam ini bermula dengan suatu objektif yang jelas, supaya manusia itu menjadi insan yang bertakwa, selepas melalui madrasah Ramadhan Justeru, penjelasan ini diharap sedikit sebanyak mampu merungkai persoalan dua golongan. Kepada mereka yang bukan beragama Islam melalui penjelasan di atas, ketahuilah bahawa bukan penganut agama Islam sahaja yang berpuasa, mungkin juga agama yang anda anuti menggalakkan ritual ini, manakala pada yang beragama Islam pula, sampaikanlah kebenaran bahawa puasa yang kita lakukan itu memang dilakukan secara berbeza tatacara serta objektifnya berbanding pamahaman ritual ini dalam agama-agama lain dengan tujuan dan sebab musabab mengapa puasa itu disyariatkan hingga akhir zaman, yakni dengan harapan supaya umat Islam ini tergolong, menjadi dan berkelakuan seperti orang-orang yang bertakwa.
Wallahu'allam.
Sumber: http://ibnyusof.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan