Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah
serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T: “Pada hari ini, Aku
telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku
kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu.” – Surah
al-Maaidah: 3.Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu
menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah
membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem
pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkaraseperti
adab masuk ke tandas dan beristinjak.Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya
Islam juga telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut
hari-hari kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini.
Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah
sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana
inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah
menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana
padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan
muttaqin(orang yang bertakwa).Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita
mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w
sempena menyambut ketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.
1. Bertakbir
Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu
amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika
terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak
hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah
S.W.T:“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya
kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi
petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” – Surah
al-Baqarah:185.Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang
perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat
Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h:“Mengenai
syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh
kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam
perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula
memandang remeh sunnah ini.” – RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w
Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari,
ms. 32Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan
syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat
solat.
2. Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri
Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu
sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil
Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan
amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah
sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h
yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:“Apabila para
sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka
mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah
menerimaamalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn
Hajar al-’Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini
berstatus hasan.
3. Meneruskan qiamullail
Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan
malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan
(solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya
dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud
mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa
yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan
(solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada
hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadan.
4. Mandi pada pagi hari raya
Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu
sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali
bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan
mandi setiap hari? Beliau menjawab:“Tidak harus melakukannya. Namun,
mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari
Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad
al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.
5. Makan sebelum solat Aidilfitri.
Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan
solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa
dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:“Mengenai
hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar
seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat
hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin
menutup prasangka semacam ini.” – Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms.
272.Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang
ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu
menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri.
Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik
daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi
(tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:“Rasulullah s.a.w
tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan
beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah
menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w
memakannya dalam jumlah yang ganjil.” – Hadis riwayat al-Bukhari di
dalam Sahihnya, no: 953.Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan
untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang
manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali,
memadai dengan hanya meminum air.
6. Memakai pakaian yang indah
Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang
indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:“Aku lebih menyukai
seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya,
iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan
tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah
memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” – Rujuk Ringkasan
Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.
Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang
terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang
bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik
perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie
r.h menambah:
“Mengenai golongan
kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang
dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakai
perhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.” – Rujuk Ringkasan Kitab
al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.
Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta
paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat
hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian
tetapi tidak disunnahkan kepada kaum wanita. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan
lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.” –
Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.
Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya
berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta
kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang
keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak
sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang
kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.
7. Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.
Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:
“Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat
hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” – Hadis riwayat
al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.
Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana
tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan
kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.
8. Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.
Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali
dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:“Nabi
s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” – Hadis riwayat
al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.
Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:
“Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan
pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini
dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui
kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah
kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada
mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain
pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih
tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak
langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu
langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang
lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.” – Rujuk Zaadul Ma’ad,
Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.
9. Tempat perlaksanaan solat hari raya
Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musolla
(tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua
hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia
melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada
sunnah Nabi s.a.w. Apakah musolla itu berbeza dengan masjid? Abu Said
al-Khudri r.a berkata:
“Pada hari
Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musolla.
Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah
mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat).” – Hadis
riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.
Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:
“Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang
mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin
setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali
dalam setahun. Semua orang dari seluruh pelusuk negeri akan berkumpul di
sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua
menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan
satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir
dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas.
Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan
mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan
itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka.” – Rujuk Koreksi Total
Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.
10. Mengerjakan Solat Aidilfitri
Di antara syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah
perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat
Islam. Ibn Abbas r.a berkata:“Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari
raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua
rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan
sesudahnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no:
989.Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya
Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:
“Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar
menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila
tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan
berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf
mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah
kepada mereka (khutbah).” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya,
no: 956.
Para jemaah tidak diwajibkan
menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai
mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta
mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah
bin al-Sa’ib r.a berkata:
“Aku pernah
menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat
baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa
ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin
pergi, dia boleh beredar.” – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya,
no: 975.
11. Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri
Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah
sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada
Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan
kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan
suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya
Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan
ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan
sambutan hari raya Aidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju
baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah
sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah,
cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli
keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua
bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari
tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia
dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h
berkata:
“Mengadakan permainan serta
kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk
nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama
yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani
dan memberi kepuasan serta kegirangan hati.” – Rujuk Fiqh al-Sunnah,
Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.
Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah
al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan
Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:
“Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua
hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah
pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu
semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan
permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah
telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari
raya Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam
Sunannya, no: 959.
12. Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal
Sabda Rasulullah s.a.w:“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu
diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah
berpuasa setahun.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.
Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang
paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah
hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal)
sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat
Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih
mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal,
pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara
berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang
melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula
dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari
mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan
puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa
sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud
hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa
setahun.
PENUTUP
Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan
ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri
menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi
seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang
akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan
selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w
Tiada ulasan:
Catat Ulasan