RASULULLAH SAW ada menyampaikan pesanan dan wasiat kepada isteri,
anak, kaum kerabat dan umat Islam seluruhnya. Namun antara wasiat yang
menarik dan boleh dijadikan bahan renungan bersama ialah wasiatnya
kepada menantu baginda, Saidina Ali Abu Talib.
Sungguhpun wasiat itu khusus kepada Ali, namun kita sebagai Muslim
dan muslimah, perlu menjadikannya sebagai iktibar lalu menjadikannya
amalan.
Larangan dan suruhan Rasulullah saw melalui wasiat itu, adalah juga
untuk kaum Muslimin dan muslimat. Malah, boleh dikatakan semua perkara
dalam wasiat itu adalah ciri-ciri utama orang beriman. Berikut adalah antara wasiat Nabi kepada Ali seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas:
Ibnu Abbas meriwayatkan, bahawa Ali Abu Talib berkata: “Pada hari
perkahwinan dengan Fatimah, Rasulullah saw bersabda kepadaku,
mengutarakan tiga belas wasiat khusus untukku:”
1. Wahai Ali, takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi
(hammam) tanpa memakai kain separas pinggang. Bahawasanya barang siapa
memasuki tempat mandi tanpa kain separas pinggang, maka dia mendapat
laknat (mal’un).
2. Wahai Ali, janganlah engkau ‘memakai cincin di jari telunjuk dan
di jari tengah’. Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum
Lut.
3. Wahai Ali, sesungguhnya Allah mengagumi hamba-Nya yang melafazkan
istighfar: “Rabighfirli fainnahu la yaghfirul-zunuba illa Anta” (
Tuhanku, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa
melainkan Engkau). Allah lalu berfirman: “Hai malaikat-Ku, sesungguhnya
hamba-Ku ini mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa
melainkan Aku. Hai malaikat-Ku: Jadilah saksi, bahawasanya aku telah
mengampuni dia”.
4. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berdusta. Bahawasanya
berdusta itu menghitamkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai kazzab
(pendusta). Dan, bahawasanya benar itu memutihkan muka dan disuratkan
oleh Allah sebagai sadiq. Ketahuilah engkau, bahawasanya sidq (benar)
itu berkat dan kizb (dusta) itu cxlxkx.
5. Wahai Ali, peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan
mengadu-dumba. Bahawasanya orang berbuat demikian itu diwajibkan ke
atasnya seksaan kubur dan menjadi penghalang kepadanya di pintu syurga.
6. Wahai Ali, janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, sama ada
dusta atau benar, kecuali dalam keadaan darurat, dan janganlah jadikan
Allah permainan sumpah engkau. Sesungguhnya Allah tidak menyucikan dan
tidak mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan nama-Nya.
7. Wahai Ali, janganlah engkau mencita-citakan rezeki untuk hari esok. Bahawasanya Allah mendatangkan rezeki engkau setiap hari.
8. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berbantah-bantah dan
berkelahi dengan maki-hamun dan sumpah-seranah. Bahawasanya perbuatan
itu pada awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan.
9. Wahai Ali, sentiasalah engkau bersugi dan mencolek (mencungkil)
gigi. Bahawasanya bersugi itu menyucikan mulut, mencerahkan mata dan
diredai Allah, manakala mencolek gigi itu dikasihi malaikat kerana
malaikat amat tidak senang dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan di
celah gigi tidak dicolek selepas makan.
10. Wahai Ali, janganlah engkau melayani rasa marah.Apabila timbul
rasa marah, duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan dan
kesabaran Allah Taala ke atas hamba-Nya. Pertahankah diri engkau
daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran.
11. Wahai Ali, perhitungkanlah (tahassub) kurniaan Allah yang telah
engkau nafkahkan untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau
peroleh peruntukan daripada Allah.
12. Wahai Ali, apa yang engkau benci pada diri engkau, maka engkau
bencikan juga pada diri saudara engkau dan apa yang engkau kasih pada
diri engkau maka engkau kasihkan juga pada diri saudara engkau, yakni
engkau hendaklah berlaku adil dalam memberi hukuman. Dengan itu, engkau
dikasihi seluruh isi langit dan bumi.
13. Wahai Ali, perbaikkanlah perhubungan di antara penduduk (jiran)
sekampung dan antara ahli rumah engkau. Hiduplah dengan mereka
sekaliannya dengan rasa persahabatan dan kekeluargaan,
nescaya disuratkan darjat yang tinggi bagi engkau.
Wahai Ali, peliharakanlah pesananku (wasiatku). Engkau akan peroleh kemenangan dan kelepasan. insyaAllah
Islam pada awalnya asing dan akan kembali terasing, maka berbahagialah kiranya bagi yang terasing.
Sumber: http://abuumair.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan