Rabu, Februari 13, 2013

Kelebihan Nabi Adam a.s Berbanding Iblis

Di antara kelebihan zahir Nabi Adam a.s. berbanding Iblis ialah, Allah s.w.t. menjadikan Nabi Adam a.s. sebagai khalifah di muka bumi ini.
Adapun antara kelebihan yang tersembunyi di sebalik hakikat Nabi Adam a.s. ialah, baginda a.s. merupakan suatu jasad yang akan diletakkan roh dan nur Nabi Muhammad s.a.w. (kekasih teragung di sisi Allah s.w.t.) ke dalamnya. Oleh itu, Nabi Adam a.s. diciptakan untuk dijadikan sebab wujudnya Rasulullah s.a.w. dari nur ke alam basyariah, di dunia ini. Oleh itu, sebab yang membawa kemuliaan juga merupakan suatu yang mulia.
Di antara kelebihan batiniah Nabi Adam a.s., ialah hakikat Ubudiyah dalam diri Nabi Adam a.s. yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada baginda a.s..
Nabi Adam a.s. dikurniakan hakikat Ubudiyah yang tidak ada pada Iblis, walaupun pada zahirnya, Iblis lebih banyak beribadah kepada Allah s.w.t..
Takkala Adam a.s. diciptakan, Iblis merupakan makhluk yang palng kuat beribadah, sedangkan Nabi Adam a.s. pada ketika itu belum lagi pernah beribadah kepada Allah s.w.t. kerana baru diciptakan.
Oleh itu, takkala Iblis disuruh untuk sujud menghormati Nabi Adam a.s., ANA (sifat rasa diri sendiri bagus) meluak-luak di dalam hatinya, kerana membandingkan dirinya yang sudah lama beribadah kepada Allah s.w.t., dengan makhluk yang baru diciptakan, tanpa sebarang ibadah.
Apabila ANA dalam diri Iblis tercabar dengan Nabi Adam a.s., dia lantas lupa bahawa yang menyuruhnya sujud kepada Adam a.s. ialah Tuhan yang Maha Mengetahui segala sesuatu, dan Tuhan yang Maha Berkuasa, walaupun sebelum itu, dia telah mengenali sifat-sifat Allah s.w.t. tersebut.
Namun, apabila yang dipandangnya ialah perintah Allah s.w.t. tersebut, yang memaksa dia menghina dirinya, maka dia tidak nampak lagi kebesaran Allah s.w.t. yang memerintahnya melakukan sedemikian, dek sibuk membela kebesaran ANA (diri sendiri).


Maka, terpacullah dari mulutnya perkataan “ANA” dari dirinya lantas membandingkan ANA dengan Adam a.s. takkala mengatakan “ANA KHAIRUN MINHU” (saya lebih baik dari dia).
Namun, Iblis menyedari, kata-katanya menjatuhkan dirinya di hadapan Allah s.w.t., takkala mengutamakan ANA (dirinya) dari Allah s.w.t.. Ia secara tidak langsung menjadikan ANA sebagai tuhan selain Allah s.w.t.. Iblis lantas segera untuk menutup kesalahannya dengan perkataan: “KAMU (ALLAH) ciptakan aku dari api dan kamu ciptakan dia (Adam a.s.) dari tanah”. Ini ialah satu pendustaan Iblis yang jelas, kerana ucapannya tidaklah sama seperti apa yang disembunyikan di dalam dirinya.
Kalaulah dia sememangnya bermaksud, untuk tidak sujud kepada Adam a.s., kerana dia diciptakan dari api dan Adam a.s. diciptakan dari tanah, apa masalahnya sang api sujud menghormati sang tanah? Dari perkataannya sendiri “KAMU menciptakan aku… ” telah jelas bahawa, Allah s.w.t.lah yang mencipta sesiapa yang dikehendaki sebagaimana yang dikehendaki-Nya.
Jadi, kalaulah dia benar-benar faham apa yang dikatakan tentang “Kamu ciptakanku dari api dan Kamu ciptakan dia dari tanah”, maka, tidak akan menghalang dia untuk sujud kepada Adam a.s. takkala diperintah oleh “KAMU” (Allah s.w.t.) yang menciptakan ku (iblis) dan dia (Adam a.s.). Ini kerana, kalaulah iblis hayati bahawa dia diciptakan oleh Allah s.w.t. dan Adam juga diciptakan oleh Allah s.w.t., jadi tidak boleh mengatakan “SAYA lebih BAIK dari DIA” dari sudut penciptaan kerana kedua-duanya dari Allah s.w.t..
Tetapi, apa yang tersembunyi dalam hatinya bukanlah dari sudut perbezaan ciptaan antaranya dengan Adam a.s. yang diciptakan dari tanah, kerana iblis juga faham, tanah lebih banyak manfaat dari api. Apa yang tersimpan dalam hatinya ialah “ANA”, tuhan selain Allah s.w.t., takkala merasa dirinyalah yang taat kepada Allah s.w.t. dan dirinyalah yang bersusah-payah beribadah kepada Allah s.w.t., sehingga lupa bahawa, ianya (ketaatan dan usahanya) dari Allah s.w.t., padahal dia mengetahuinya.
Apabila hijab diri sendiri menebal, maka yang wujud di pandangannya hanyalah ANA (diri sendiri), bukan DIA (Allah s.w.t.). Maka, Allah s.w.t. memurkai Iblis kerana dia menyembah “ANA” (diri sendiri) takkala merasa diri sendiri layak dikatakan “BAIK” sedangkan sifat “BAIK” itu dari Allah s.w.t. dan hanya Allah s.w.t.lah yang boleh mengaku baik, dan hamba-Nya perlu merendah diri di hadapan Allah s.w.t. yang Maha Baik dengan menghina diri sendiri.
Jadi, kegagalan Iblis menghina diri dengan sujud kepada Adam a.s. kerana tidak mahu merendah diri di hadapan Allah s.w.t. takkala hijab ANAnya menebal, menyebabkan dia (Iblis) sendiri akhirnya mengetahui hakikat bahawa, Adam a.slah yang lebih baik daripadanya, kerana dirinya gagal merendahkan diri di hadapan Allah s.w.t..
Adapun hakikat Adam a.s., seorang Nabi Allah s.w.t., maka sememangnya baginda a.s. lebih baik dari Iblis. Takkala Iblis berusaha untuk menjatuhkan Adam a.s. sepertinya juga, dengan maksiat, Allah s.w.t. mengizinkannya dengan meletakkan syariat kepada Nabi Adam a.s. di dalam syurga tersebut, takkala melarang Adam a.s. dari mendekati dan memakan buah khuldi, bagi memberi ruang Iblis menguji hakikat Nabi Adam a.s. Kalau tiada larangan dari Allah s.w.t., dari mana datang maksiat untuk Nabi Adam a.s. di dalam syurga, kerana maksiat berkaitan dengan melanggar arahan. Kalau tiada perlanggaran terhadap arahan, maka tiada maksiat.
Maka, setelah Allah s.w.t. memberi satu arahan mudah kepada Nabi Adam a.s. supaya tidak memakan buah khuldi, Iblis berusaha untuk menjatuhkan Adam a.s. ke lembah maksiat supaya Adam a.s. sama sepertinya, kerana pada ketika itu, Adam a.s. lebih baik darinya kerana tidak pernah melakukan maksiat.
Iblis a.s. menipu Adam a.s. dengan mengatakan: “Tuhan tidak benarkan kamu makan buah khuldi kerana tidak mahu kamu jadi malaikat ataupun supaya tidak mahu kamu kekal dalam syurga”.
Jadi, Nabi Adam a.s. terfikir, untuk sentiasa bersama dengan Tuhannya, dan tempat yang paling hampir dengan Tuhannya ialah di syurga. Dia juga terfikir, untuk menghampiri Allah s.w.t. dengan menjadi malaikat kerana, pada pendapatnya, malaikat lebih hampir kepada Allah s.w.t. berbandingnya.
Maka, hakikat Adam a.s. memakan buah khuldi ialah untuk menghampiri Allah s.w.t., walaupun pada hakikatnya, cara menghampiri Allah s.w.t. ialah dengan mengikut suruhan Allah s.w.t.
Jadi, salah faham Adam a.s. tentang mahfum taqarrub (menghampirkan diri kepada Allah s.w.t.) menyebabkan baginda a.s. salah memilih cara taqarrub dengan memakan buah khuldi tersebut, dengan tujuan untuk menjadi malaikat supaya dapat lebih hampir kepada Allah s.w.t., dan
kekal dalam syurga supaya dapat sentiasa menghampiri Allah s.w.t. .
Jadi, di sebalik maksiat Adam a.s., ialah UBUDIYAH (pengabdian diri kepada Allah s.w.t.) takkala niatnya ialah untuk menghampiri Allah s.w.t., sedangkan di sebalik maksiat Iblis ialah, RUBUBIYAH ANANIYAH (menjadikan diri sendiri tuhan di samping Allah s.w.t.) dengan merasakan diri sendiri baik.
Jelaslah bahawa, kelebihan utama antara Nabi Adam a.s. dengan Iblis ialah, pada penghayatan makna UBUDIYAH dalam diri, takkala Nabi Adam a.s. mengakuinya sedangkan Iblis menjadikan RUBUBIYAH dalam dirinya.
Lihatlah secara jelas, bagaimana Adam a.s. takkala diturunkan ke dunia untuk membayar harga maksiatnya, Adam a.s. sentiasa menyalahkan diri sendiri dan menyesal serta mengakui bahawa: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami menzalimi diri kami, dan jika Engkau tidak mengampunkan kami, maka kami akan termasuk di kalangan orang-orang yang rugi”.
Dalam doa Adam a.s. ini, ada makna Ubudiyah yang tinggi iaitu:
Menisbahkan kezaliman kepada diri sendiri dan kepada diri sendiri
Menegaskan bahawa, dari Allah s.w.t.lah, datangnya segala kebaikan takkala mengatakan “kalau Engkau tidak mengampuni kami, kami temasuk di kalangan mereka yang rugi” Dalam doa ini mengandungi makna, kebergantungan seseorang hamba kepada Tuhannya dan tanpa cinta Tuhannya, maka rugilah seseorang hamba.
Sedangkan Iblis pula, takkala melakukan maksiat dengan tidak sujud kepada Adam a.s., tidak mengakui kesalahan, bahkan bersumpah untuk menyesatkan orang lain sama. Lihatlah betapa takabburnya Iblis dan betapa rendah dirinya Adam a.s. di hadrah Ilahi s.w.t..
Maka, siapakah sebenarnya yang lebih mulia di sisi Allah s.w.t.?
Maka fahamilah…
Wallahu a’lam…

Sumber: http://muhdhazrie.wordpress.com/

Tiada ulasan: