Adapun terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana bumi merasa
bangga dengan langit. Berkata dia kepada langit, "Hai langit, aku lebih
baik dari kamu kerana Allah
telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara, beberapa laut,
sungai-sungai, tanam-tanaman, beberapa gunung dan lain-lain."
Berkata
langit, "Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu kerana matahari,
bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj, Arasy, Kursi dan syurga
ada padaku."
Berkata bumi, "Hai langit, ditempatku ada rumah yang
dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para
wali dan solihin (orang-orang yang baik)."
Bumi berkata lagi,
"Hai langit, sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan bahkan sebagai
penutup para nabi dan kekasih Allah seru sekalian alam, seutama-utamanya
segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang paling sempurna itu
tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syari'atnya juga di tempatku."
Langit tidak dapat berkata apa-apa apabila bumi berkata demikian. Langit mendiamkan diri dan dia mengadap Allah
dengan berkata, "Ya Allah, Engkau telah mengabulkan permintaan orang
yang tertimpa bahaya apabila mereka berdoa kepada Engkau. Aku tidak
dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta kepadaMu Ya Allah supaya
Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi mulia
dengan kebagusannya dan berbangga."
Lalu Allah mengabulkan permintaan langit, kemudian Allah
memberi wahyu kepada Jibrail a.s pada malam tanggal 27 Rejab,
"Janganlah engkau (Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau Izrail
jangan engkau mencabut nyawa pada malam ini."
Jibrail a.s bertanya, " Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?"
Allah berfirman, maksudnya, "Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke
syurga dan ambillah buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan buraq
itu."
Buraq adalah seekor binatang yang rupanya seperti kuda.
Saiznya kecil sedikit daripada kuda tapi lebih besar dari keldai.
Lariannya sepantas kilat. Selangkah lompatannya, sejauh mata memandang
jaraknya. Buraq akan memanjangkan kaki belakangnya ketika ia mendaki
manakala akan memanjangkan kaki depannya pula apabila ia menurun.
Menggerak-gerakkan telinga dan kakinya adalah tabiat semulajadi buraq.
Di samping rupanya yang cantik, terdapat sayap pada kedua-dua pehanya.
Sayap ini adalah untuk membantu kecepatan lompatannya.
Kemudian
Jibrail a.s pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang
bersenang-lenang di taman syurga dan diwajah masing-masing terdapat nama
Muhammad S.A.W. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail a.s terpandang pada
seekor buraq yang berwarna putih sedang menangis bercucuran air
matanya. Jibrail a.s lalu menghampirinya lalu bertanya, "Mengapa engkau
menangis, ya buraq?"
Berkata buraq, "Ya Jibrail, sesungguhnya aku
telah mendengar nama Muhammad S.A.W sejak 40 tahun, maka pemilik nama
itu telah tertanam dalam hatiku dan sesudah itu aku menjadi rindu
kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar
oleh api kerinduan."
Berkata Jibrail a.s, "Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu."
Kemudian Jibrail a.s memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W.
Ketika
sampai di bumi, buraq yang dibawa oleh Jibrail a.s itu
menendang-nendangkan kakinya. Ia seolah-olah enggan ditunggangi. Melihat
demikian, malaikat Jibrail a.s memegangnya dan berkata, "Wahai buraq!
tidak malukah engkau? Demi Allah, orang yang akan menunggangi engkau
adalah orang yang paling mulia di sisi Allah ".
Mendengar perkataan Jibrail a.s itu maka bercucuranlah peluhnya. Ia
kelihatan malu-malu dan tidak lagi resah. Nabi S.A.W pun naik ke tempat
yang tersedia di atas badan buraq, sebagaimana dilakukan oleh nabi-nabi
sebelum baginda nabi S.A.W.
Setelah siap segalanya, terbanglah
buraq membawa nabi Muhammad S.A.W memulakan Israk. Dalam perjalanan itu,
Jibrail a.s mendampingi nabi S.A.W di sebelah kanan baginda S.A.W
manakala Israfil di sebelah kiri.
Sumber: http://yanty82.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan