Islam menggalakkan umatnya untuk hidup bahagia di dunia dan akhirat. Oleh itu Allah telah menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w supaya dapat memimpin umatnya ke arah hidup yang sempurna.
Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 1-5:
﴿اۤلۤمۤ ` ذٰلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيْهِ هُدًى لِّلْمُتَّقِيْنَ ` الَّذِيْنَ يُؤْمِنُوْنَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيْمُوْنَ الصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقْنٰهُمْ يُنْفِقُوْنَ ` وَالَّذِيْنَ يُؤْمِنُوْنَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَاۤ أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ وَبِالأَخِرَةِ هُمْ يُوْقِنُوْنَ ` أُوْلَـۤئِكَ عَلَىٰ هُدًى مِّنْ رَّبِّهِمْ وَأُوْلَـۤئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ`
“Alif Laam Mim. Demikianlah kitab al-Quran tidak ada ragu-ragu lagi di dalamnya, ia memberi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa (berbakti kepada Allah). Iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib (tidak dapat diketahui atau tidak dapat dilihat) dan mereka mendirikan sembahyang (solat) dan menafkahkan sebahagian rezeki yang kami kurniakan kepada mereka. Dan mereka beriman pada apa yang diturunkan kepada kamu (Injil, Zabur, Taurat) dan di akhirat nanti Allah akan meletakkan mereka di tempat yang sempurna. Mereka itulah yang menerima petunjuk dari Tuhan mereka, mereka itulah daripada golongan orang yang berjaya”.
Daripada ayat ini jelaslah bahawa membaca al-Quran dan beramal dengan isi kandungannya mempunyai banyak kelebihan dan dimuliakan di sisi Allah S.W.T. Kelebihan ini dilipat gandakan lagi apabila ianya diamalkan pada bulan yang penuh keberkatan iaitu bulan Ramadhan dengan bertadarus. Tadarus ialah membaca al-Quran secara berdua, bertiga atau berkumpulan, di mana caranya ialah seseorang membaca manakala yang lain mendengar sambil memperbetul kesilapan bacaan jika ada dan seterusnya dengan bergilir-gilir.
Daripada Abu Hurairah r.a berkata, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang berharap untuk menemui Allah S.W.T, maka hendaklah memuliakan ahli Allah”, maka disoal lagi: “Wahai Rasulullah! Adakah Allah mempunyai ahli?” Jawab Rasulullah: “Ya”. Soal lagi: “Siapakah mereka itu?”
Jawab Rasulullah: “Ahli Allah di dunia ialah mereka yang selalu tadarus dan membaca al-Quran, adakah tidak ada orang orang yang menerima kemuliaan itu dimuliakan oleh Allah dan dimasukkan ke syurga, sebaliknya mereka yang dihina, maka sesungguhnya Allah akan menghina lalu dimasukkan ke neraka. Wahai Abu Hurairah, tiadalah di sisi Allah seorang yang dimuliakan daripada orang yang bertadarus dan membaca al-Quran, tidak ada seorang itu membawa dan membaca di sisi Allah dimuliakan daripada salah seorang kamu kecuali para nabi”.
Oleh itu, sebaik-baik hamba itu ia membaca al-Quran serta mendalami, mengkaji dan menghayati segala kandungannya kemudian mengajarkannya. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
"خَيْرُ كُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآن وَعَلَّمَه"
“Sebaik-baik kamu adalah orang yang membaca al-Quran dan mempelajari isi-isi kandungan ayat-ayat al-Quran itu (dan mengajarkannya kepada orang lain)”.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Iri hati (hasad) tidak dibenarkan melainkan 2 perkara sahaja iaitu seorang yang mana dihormati dengan bacaan al-Quran dan terus berada dalam keadaan yang demikian siang dan malam dan seorang lagi yang mana dilimpahkan kurnia dengan harta yang banyak oleh Allah S.W.T dan membelanjakan siang malam pada jalan Allah”.
Dalam hadis di atas, hasad yang dimaksudkan ialah sifat ingin berlumba yang diredhai Allah. Iaitu dengan berlumba-lumba membaca atau memperbanyakkan bacaan al-Quran siang dan malam. Serta membelanjakan harta yang dikurniakan Allah siang dan malam dijalan Allah.
Oleh itu, ditambah dengan keberkatan bulan Ramadhan ini, maka setiap umat Islam mestilah berlumba-lumba untuk menambahkan amalan masing-masing. Ini kerana hati yang tidak ada al-Quran seumpama rumah yang kosong. Sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w;
Daripada Abdullah bin Abbas r.a telah meriwayatkan, sabda Rasullullah s.a.w: “Seseorang yang tidak ada sebahagian pun al-Quran di dalam hatinya adalah seumpama rumah yang ditinggalkan (kosong)”.
Sumber: http://disertasi.blogspot.com/