Khamis, Mei 31, 2012

Jenis-Jenis Air


a) Air Mutlaq:

Air yang suci lagi menyucikan ialah air mutlaq yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan oleh Allah s.w.t.Air tersebut masih dikatakan air mutlaq walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar , disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang . Hal ini kerana air itu sukar untuk dielakkan daripada perkara tersebut . Dalil yang menunjukkan kesucian air mutlaq, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Daripada Abu Hurairah r.a.h. katanya, seorang Badwi berdiri lalu terkencing di dalam masjid, kemudian para sahabat pergi mencegahnya. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, biarkan dia dan curahkanlah di atas air kencingnya setimba air. Sesungguhnya kamu disuruh untuk mempermudahkan bukan menyusahkan”.

Perintah Rasulullah s.a.w. supaya menjiruskan air ke tempat air kencing tersebut adalah dalil yang menunjukkan bahawa air tersebut mempunyai sifat menyucikan.

b) Air Musyammas:

Air musyammas ialah air yang suci lagi menyucikan tetapi makruh menggunakannya. Air Musyammas bermaksud air yang panas yang terdedah kepada cahaya matahari iaitu pada negeri-negeri yang beriklim panas yang mana ia boleh mendatangkan karat ke atas besi, tin dan lain-lain yang mana ia memberi mudharat apabila terkena kulit atau tubuh badan menyebabkan penyakit-penyakit kulit dan sebagainya. Sabda Rasullah s.a.w. yang bermaksud :-

“Dari Aisyah sesungguhnya ia telah memanaskan air pada cahaya matahari maka telah bersabda Rasullah s.a.w kepadanya janganlah engkau berbuat demikian wahai Aisyah sesungguhnya air yang dijemur itu dapat menimbulkan penyakit sopak.”

(Riwayat Baihaqi)

c) Air Musta’amal:

Air Musta’mal ialah air yang suci pada dirinya tetapi tidak menyucikan yang lain yang mana maksudnya dengan perkataan air itu boleh diminum tetapi tidak sah dipakai untuk menyucikan sesuatu.

d) Air Muqayyad:

Air yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang mengubah salah satu sifatnya sama ada warna, rasa atau bau yang menyebabkan ia tidak dipanggil air mutlaq lagi seperti air yang dicampur dengan madu, sirap dan lain-lain.

Kedua-dua jenis air ini iaitu air musta’mal dan air muqayyad ialah air yang suci tetapi tidak boleh menyucikan benda lain.

e) Air Mutannajis

Air mutannajis ialah air yang terkena benda najis. Ia terbahagi kepada dua iaitu:

Air yang sukatannya kurang dari dua kolah dan terkena benda najis kecuali yang dimaafkan, sama ada berubah sifat (warna, rasa dan bau) atau tidak.

Air yang sukatannya lebih dari dua kolah dan berubah sifat (warna, rasa dan bau) sama ada perubahan itu sedikit atau banyak. Ukuran air dua kolah itu ialah sebagai berikut :-

  • Kalau dikira dengan tin minyak tanah, maka air dua kolah itu adalah sebanyak 9 2/3 tin
  • Kalau dikira dengan timbangan, maka berat air dua kolah itu adalah seberat 162.72 kg.
  • Kalau dikira dengan ukuran tempat empat persegi, maka air dua kolah itu memerlukan tempat yang berukuran 60 x 60 cm.
Sumber: http://ruangantazkirah.wordpress.com