Selasa, April 26, 2011

Etika Kerja Menurut Sunnah Rasulullah S.A.W

Dalam Islam, nilai hidup terbahagi kepada tiga. Pertamanya akidah, iaitu yang menyangkuti pegangan hidup. Keduanya Syariah, iaitu yang menyangkuti sistem hidup. Ketiganya akhlak, iaitu yang menyangkuti moral hidup.

Pembahagian ini terpakai dalam berbagai aspek hidup, termasuk dalam soal pekerjaan. Khusus berkait dengan pekerjaan, akidah menyangkuti konsep tentang kerja berkenaan. Syariah menyangkuti system yang dipilih bagi melaksanakan kerja itu. Akhlak pula menyangkuti sikakp dalam melaksanakan kerja berkenaan.

Tentang 'Konsep', Rasulullah bersabda, maksudnya “Sesungguhnya setiap kerja itu dinilai berasaskan kepada niat, dan setiap orang akan memperolehi apa yang dia niatkan. Sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasulnya. Dan sesiapa yang hijrahnya kepada keuntungan dunia yang diperolehi atau perempuan yang dikahwini maka hijrahnya itu kepada hal-hal seperti itu.

Dalam hadis ini persoalan yang timbul ialah keperluan kepada konsep yang betul. Tanpa konsep seperti ini sesuatu kerja itu walau bagaimana baik sekalipun tidak akan diterima sebagai kerja-kerja Islam, kerana tidak mempunyai asas akidah yang diperlukan.

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah ditanya tentang “Orang-orang yang berperang kerana berani dan orang-orang yang berperang kerana dendam. Mana satu antara keduanya berperang Fi Sabilillah ?” Jawab baginda “Sesiapa yang berperang kerana meninggikan kalimat Allah dialah yang berperang Fi Sabilillah”. Soalnya bukan kerja yang dilakukan, tetapi niat, iaitu konsep yang menjadi asas pegangan atau akidah kepada kerja itu sendiri.

Pada peringkat ini persoalannya bukan cara melakukan (kaifiyat) iaitu yang merupakan aspek dalam syariah .Bukan juga moral kerja yang dilakukan ,iaitu yang merupakan aspek dalam akidah. Tetapi lebih asas daripada kedua-duanya itu, yang merupakan aspek dalam akidah,iaitu falsafah tentang melakukan sesuatu itu.

Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda “Sesiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendakah dia mengubah kemungkaran itu dengan tangannya. Sesiapa yang tidak mampu dia perlu mengubah dengahn lidahnya. Sesiapa yang tidak mampudia perlu mengubah dengan hatinya”

Hadis ini tidak lagi memperkatakan tentang 'mengapa', iaitu niat dan akidah. Ia sebaliknya memperkatakan tentang nilai peringkat kedua dalam kerja itu, iaitu syariat.

Bagaimanapun soal 'mengapa' masih berbangkit melalui hadis-hadis lain, termasuk yang tersebut di atas tadi. Jika niat sudah betul barulah berbangkit soal tindakan fizikal dalam menghapuskan kemungkaran itu lebih utama daripada tindakan moral. Tetapi jika sebaliknya, keutamaan itu tidak berbangkit. Malah, mungkin tidakan moral yang dianggap paling lemah itu, jika dibuat secara jujur lebih baik daripada tindakan fizikal secara tidak jujur atau berasaskan objektif yang salah.

Dalam sebuah hadis lain lagi Rasulullah bersabda, maksudnya “Allah sangat suka apabila sesorang itu melakukan sesuatu kerja dia melakukannya dengan cukup mahir dan tekun”

Dalam hadis ini persoalannya bukan lagi mengapa dilakukan ,iaitu akidah. Juga bukan lagi apa yang dilakukan, iaitu syariah. Tetapi bagaimana melakukan, iaitu akhlak atau moral. Walaubagaimana pun perkaitan dengan soal akidah dan syariat di atas itu tadi masih ada dan rapat. Jika kerja itu berasaskan objektif yang salah,misalnya kerja-kerja jahat, atau menggunakan kaedah atau sebagainya yang tidak betul, kemahiran dan ketekunan yang tinggi tidak mempunyai nilai apa-apa. Malah kerja-kerja baik yang berfaedah yang dilakukan tanpa kemahiran yang cukup itu lebih baik daripada kerja –kerja jahat yang dilakukan dengan kemahiran ketekunan yang tinggi.

Konsep:

Ini bererti bahawa yang dimaksudkan dengan etika kerja itu ialah segala prinsip akhlak atau moral yang mempengaruhi tindak tanduk seseorang atau kumpulan dalam melakukan kerja. Sebagai contohnya ialah sikap tekun dan sifat mahir yang ditimbulkan oleh hadis di atas tadi, iaitu yang diistilahkan sebagai “Itqan”.

Bagaimana pun, persoalannya tidak dapat dipisahkan daripada dua nilai yang lebih asas sepertimana yang tersebut di atas itu tadi, iaitu konsep tentang kerja itu sendiri dan apa yang dilakukan dalam kerja berkenaan.

Dalam satu istilah lain, etika kerja ini disebut juga sebagai “Ihsan” . Maksud nya melakukan sesuat dengan tekun, mahir dan moral yang tinggi . Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda menyatakan bahawa “Iman” itu ialah kepercayaan dan keyakinan, “Islam” itu ialah merialisasikan kepercayaan dan keyakinan itu tadi dalam kerja sebenar,sementara “Ihsan” pula “Bahawa kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatnya . Jika kamu tidak melihatnya sekalipun, Dia tetap melihat kamu “. Maksudnya melakukan dengan sebaik mungkin sehingga kepada tahap yang paling maksimum.

Dalam suatu hadis yang lain pula Rasulullah memyebut prinsip ‘Ihsan” ini perlu diamalkan dalam semua kerja yang dilakukan sampai kepada kerja-kerja menyembelih binatang. Antara contoh “Ihsan” dalam mmenyembelih binatang ialah “dengan menggunakan pisau yang tajam” dan “melatakkan binatang itu dalam kedudukan yang selesa”. Maksudnya, melakukan dengan cara yang sangat bermutu dan tinggi etikanya

Dalam al-Quran Allah menyebut tentang keperluan menjawab salam dengan cara yang sempurna, iaitu dengan menjawabnya secara lebih kompehensif daripada salam yang diterima atau sekurang-kurang nya sama dengannya. Maksudnya dengan cara yang terbaik.

Berbanding dengan nilai akidah dan syariah, nilai akhlak ini terlepas daripada implikasi hukum dan undang-undang, seperti hak dan obligasi, sah dan batal dan sebagainya, kecuali dalam bentuk moral dan akhlak sahaja. Mengambil contoh di atas, sembahyang tetap sah, jika sudah cukuk rukun dan syaratnya walaupun orang yang bersembahyang itu gagal menghadirkan Tuhan dalam dirinya ketika melakukannya. Cuma moral sembahyangnya itu rendah dan mungkin tidak boleh memmbantu mencapai sebahagian daripada objektifnya, sebagai contoh menjadi perisai buat menolak kerja-kerja jahat. Begitu juga sembelihan itu sah dan halal dimakan walau pun dengan menggunakan pisau yang tumpul. Bagaimana pun penyembelihan itu tidak beretika atau bermoral tinggi kerana gagal mengurangkan azab binatang berkenaan ketika disembelih. Begitulah seterusnya.

Dalam kata lain, etika kerja menyangkuti nilai moral kerja itu dan tidak membangkitkan soal tidak melaksanakan tanggunggawab atau kewajipan yang telah ditetapkan. Kerana jiwa sudah melibatkan masalah cuai dan tidak melakukan tugas atau tanggungjawab ia bukan soal etika atau akhlak lagi. Ia adalah soal lebih asas daripada itu, iaitu syariah yang mementukan hak dan kewajipan berhubung dengan kerja berkenaan. Bagaimanapun hal ini tidak menafikan kepentinagn etika kerja itu sendiri dalam mencapai matlamat hidup yang berjaya. Kerana ia menjadi asas kepada kecemerlangan dan mutu serta penghasilan kerja yang tinggi.

Contoh-contoh Daripada Sunnah Rasulullah:

Apa yang akan disebut di bawah ini hanyalah beberapa contoh sahaja. Untuk menyenaraikan satu senarai etika kerja yang komprehensif memerlukan penelitian yang meluas dan mendalam. Antara contoh-contoh tersebut ialah:

1. Bekerja dengan tulus ikhlas:

Dalam al-Quran Allah s.w. berfirman:

“Mereka tidak disuruh kecuali berabdi kepada Allah dengan penuh ikhlas” al-Baiyinah (98): 5

Sesuai dengan prinsip ini Rasulullah bersaba:

"Sesungguhnya segala perbuatan itu ( dinilai ) berasaskan kepada niat , dan setiap orang akan memperolehi apa yang dia niatkan . Maka sesiapa yang hijrah nya kepada Allah dan Rasul nya maka hijrah nya itu kepada Allah dan Rasulnya . Dan sesiapa yang hijrahnya bertujuan untuk mendapat keuntungan dunia atau untuk mengahwini mana-mana perempuan maka hijrahnya itu untuk apa yang dia berhijrah kepada nya", Hadis Muttafaq ‘alaih.

Sabda Rasulullah lagi:

“Peniaga yang bersikap benar dan amanah itu (dibangkitkan pada hari kiamat) bersama para nabi , siddiqin dan para syuhjada” – Hadis riwayat al-Tirmidzi , Ibn Majah dan Abu Daud.

2. Bekerja dengan komitmen yang tinggi.

Maksudnya dengan penuh rasa tanggongjawab sebagai seorang yang memikul sendiri segala hal dan persoalan yang berbangkit daripada kerja berkenaan. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Setiap kamu adalah pemimpin , dan setiap kamu akan dipertanggongjawabkan tentang kepimpinannya “ – Hadis Muttafaq ‘alaih.

Sehubungan dengan ‘kerja” hadis ini menegaskan bahawa setiap orang secara individu melihatnya sebagai tugas peribadi yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab. Baginda Rasulullah s.a.w. sendiri telah menggambarkan komitmen baginda terhadap kerja-kerja penyebaran Islam apabila dihalang oleh orang-orang Quraisy dengan sabda nya :

“Demi Allah , kalau mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiri ku agar aku meninggalkan urusan ini tidaklah aku akan meninggalkannya sehingga Allah memberikan kemenangan bagi agama itu atau akan hancur didalamnya”

3. Sentiasa berusaha kearah kecemerlangan:

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda:

“ Sesungguhnya Allah mewajibkan Ihsan atas semua perkara perkara . Apabila kamu membunuh , bunuhlah dengan baik. Apabila kamu menyembelih sembelihlah dengan baik. Tajamkan pisau dan rehatkan binatang yang disembelih itu “ – Hadis riwayat Muslim dan Ibn Majah.

Maksud Ihsan disini ialah melakukan dengan sebaik munkin dan cemerlang. Antara contoh yang disebut ialah membunuh dan menyembelih binatang dengan cara yang penuh kasihan.

Satu contoh kecemerlangan yang lain ialah melakukan sesuat dengan kemahiran yang tinggi. Baginda Rasulullah bersabda:

Yang bermaksud: “Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu dia akan melakukannya dengan penuh mahir “ – Hadis riwayat al- Baihaqi

Satu contoh lain bagi ihsan ialah bberusaha mencari kesempurnaan dalam melakukan sesuatu melaui nilai tambah yang tertentu. Menjawab soalan tentang ihsan ini Rasulullah bersabda :

“Bahawa kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatnya. Dan kalau pun kamu tidak melihat nya Dia tentu sekali melihat kamu : - Hadis riwayat Muslim

4. Menjaga waktu:

Sabda Rasulullah:

“Apabila kiamat sedang berlaku , dan di tangan seorang daripada kamu ada benih , kalau dia masih sempat menanam benih iitu hendaklah dia menanamnay . Dengan itu dia dapat pahala”. – Hadis Anas Ibn Malik bertaraf Hasan.

Termasuk dalam perinsip ini ialah penggunaan masa secara maksimum . Dalam alQuran Allah bersumpah menggunakan perkataan “ waktu asar”. Mengikut bahasa “asar” bererti memerah. Ia seolah- olah memberi erti masa yang telah diperah , iaitu yang telah digunakan secara paling maksimum.

Mengenai penjagaan waktu ini Rasulullah s.a. w. pernah menyifatkan sebagai satu amalan yang terpuji. Menjawab soalan tentang apakah amalan yang paling afdhal , jawab baginda "الصلاة لوقتها " – متّفق عليه yang bermaksud “bersembahyang di awal waktu” – Hadis Muttafaq ‘alaih

5. Menghortmati kepakaran orang lain:

Melihatkan para pekebun tamar sentiasa bekerja keras mengahwinkan debungan antara pokok berkenaan supaya ia berbuah , Rasulullah s.a.w. bertanya mengapa sampai begitu? Tidakkah tamar itu boleh berbuah tanpa debunga nya dikahwinkan?

Mendengar pertanyaan Rasulullah s.a.w. itu para pekebun berkenaan berhenti daripada melakukan proses yang diamalkan zaman berzaman itu. Hasil nya negative sekali. Pada tahun itu buah tamar menjadi kerdil dan tidak sesuai dimakan. Apabila hal seperti itu sampai ke pengtahuan Rasulullah s.a.w. baginda lalu membetulkan keadaan. Sabda Rasulullah s.a.w.

“Kamu semua lebih tahu tentang hal dunia kamu “ – Hadis riwayat Muslim

Terdapat juga hadis menceritakan apabila Rasulullah ditanya samada stratiji mempertahankan kota Madinah yang dibentangkan oleh baginda itu berasaskan wahyu daripada Allah atau tidak. Apabila baginda menyatakan ia bukan wahyu , seorang sahabat mencadangkan suatu stratiji lain. Baginda lalu menerima cadangan itu memandangkan kepakaran sahabat berkenaan.

5. Sentiasa berdoa kepada Allah:

Salah satu etika yang sentiasa diberi perhatian oleh Rasulullah s.a.w. dalam melakukan kerja ialah berdoa kepada Allah bagi kebaikan kerja itu. Ia bukan sahaja dalam ibadat khusus , yang di dalamnya doa di sifatkan sebagai otak“Mukh” tetapi juga dalam semua kerja yang dilakukan

Penutup:

Demikian secara ringkas perinsip dan beberapa contoh daripada sunnah Rasulullah s.a.w. tentang etika kerja. Bagaimana pun,contoh-contoh di atas bukanlah nilai-nil;ai yang static . Sepertimana yang dihuraikan dalam pendahuluan di atas , ia tersimpul dalam konsep-konsep “Itqan”, iaitu kemahiran yang tinggi, dan “Ihsan“, iaitu pelaksanaan yang sebaik munkin.

Wallahu a’lam.

Oleh: Oleh: Prof. Dato' Dr. Mahmood Zuhdi H A.Maji

Tiada ulasan: